VIP Dedaun Alam

Tuesday, August 31, 2010

Pantai Hujung Airport

Keindahan Gunung Matchichang yang boleh dilihat dari pantai berpasir putih ini.

Pantai yang landai dan bersih.


Pantai Hujung Airport diberi nama sedemikian oleh penduduk tempatan kerana pantai ini tidak wujud sebelum ini seperti mana pantai-pantai lain yang wujud secara semulajadi sejak lebih 500 juta tahun dahulu. Pantai ini wujud pada penghujung tahun 1990 hasil tebus guna tanah untuk pembinaan landasan kapalterbang Langkawi International Airport, Padang Matsirat. Walaupun pantai ini cantik tetapi ia tidak menjadi pilihan untuk berkelah atau mandi manda  kerana beberapa faktor. Di sini tiada kemudahan asas dan air lautnya juga sedikit keruh kerana terletak berhampiran Kuala Sungai Muda.

Thursday, August 26, 2010

Duku

Pokok duku dari jenis duku palembang. Duku jenis ini jarang ditanam dan ditemui kerana kesukaran untuk mendapat benih pokoknya. (Foto sumbangan Kak Rosa)

Buah duku palembang yang masih muda. Duku palembang bersaiz agak kecil berbanding duku jenis lain dan langsat. Saiznya hanya sebesar ibu jari orang dewasa. (Foto sumbangan Kak Rosa)

Duku palembang yang telah masak. Warna kulitnya putih kekuningan. Isinya pejal dan rasanya sangat manis. (Foto sumbangan Kak Rosa)


Nama Botani : Lansium Domesticum Sp.
Famili : Meliaceae

Pengenalan

Pokok duku berasal dari dari Asia Tenggara dan kini ia tersebar luas diseluruh Asia. Tumbuhan ini tergolong dalam jenis pokok buah bermusim kerana ia hanya mengeluarkan buah sekali sahaja dalam setahun. Pokok duku biasanya mencapai ketinggian sehingga 15 meter. Buah duku muda berwarna hijau, bergetah putih dan rasanya masam. Kulit buah duku akan berubah menjadi putih kekuningan dan isinya manis setelah masak. Terdapat beberapa spesis yang hampir sama dengan duku iaitu langsat dan dokong.

Kegunaan Dan Khasiat

Buah duku mengandungi serat yang bermanfaat untuk melancarkan sistem pencernaan, mencegah kanser usus dan mencegah tubuh kita daripada radikal bebas yang menyebabkan kanser. Kulit buah dan bijinya dikatakan boleh digunakan untuk merawat cirit birit dan meredakan demam. Manakala kulit pokoknya digunakan untuk mengubati gigitan serangga berbisa dan sebagai ubat disentri.

Dalam setiap 100 gm buah duku mengandungi kalori 70 kal, protein 1.0 g, lemak 0.2 g, karbohidrat 13 g, mineral 0.7 g, kalsium 18 mg, fosforus 9 mg dan ferum 0.9 mg.

Wednesday, August 25, 2010

Kenanga @ Ylang-ylang

Pokok kenanga yang ditanam dalam pasu dan sentiasa dipangkas untuk memastikan ia tidak membesar dan meninggi. Cara ini juga menggalakkan pembungaan pokok kenanga.

Bunga kenanga yang masih muda.

Nama Botani : Cananga odorata
Famili : Annonaceae

Pengenalan

Pokok kenanga merupakan tumbuhan yang berasal dari Asia Tenggara, Kepulauan Pasifik dan Australia. Pokok kenanga tumbuh secara liar di hutan. Ramai yang menyangka pokok kenanga adalah tumbuhan jenis renek tetapi sebenarnya ia merupakan pokok saka dengan ketinggian mencapai 40 meter. Pokok ini berbatang lurus dengan diameter sehingga 1 meter. Daunnya jenis ringkas dan berselang seli. Bunga kenanga keluar dalam bentuk jambak dengan setiap jambak mempunyai 2 hingga 6 kuntum bunga. Ketika muda, bunga kenanga berwarna hijau dan bertukar menjadi kuning setelah matang. Buah kenanga berbentuk bujur berwarna hijau dan bertukar hitam apabila masak. Pokok ini secara semulajadi membiak melalui biji benih dan boleh dibiakkan melalui keratan batang (kaedah tut). Ada dua jenis kenanga iaitu Cananga odorata macrophylla (kenanga biasa) dan Cananga odorata genuina. Cananga odorata genuina juga dikenali sebagai ylang-ylang. Cananga odorata macrophylla tumbuh dengan cepat iaitu lebih daripada 5 meter dalam setahun dan mampu mencapai ketinggian 12 meter. Pokok kenanga memerlukan pancaran cahaya matahari penuh atau sebahagian.

Kegunaan

Batang pokok kenanga yang lurus dan keras boleh digunakan dalam pembuatan alatan muzik. Biji buah kenanga boleh digunakan untuk merawat sakit perut dan demam panas. Tumbuk biji kenanga sehingga hancur dan gosok pada perut untuk merawat sakit perut dan disapu pada dahi untuk meredakan demam panas. Bunga yang dilumatkan dan ditelan boleh merawat asma. Untuk mengubati masalah penyakit kulit dan bisul, daun kenanga yang dihancurkan ditampal pada bahagian berkenaan. Kulit pokok kenanga yang ditumbuk lumat dipercayai boleh mengubati panyakit kudis. Bunga kenanga menghasilkan minyak pati yang dikenali sebagai ylang-ylang. Ylang-ylang banyak digunakan dalam pembuatan minyak wangi, kosmetik dan aromaterapi. Minyak ylang-ylang digunakan sebagai aromaterapi kerana ia meredakan ketegangan, memberi perasaan riang serta segar dan bersifat sensual.

Tuesday, August 24, 2010

Bendang Padi Di Bumi Lagenda

Sawah padi dipanggil bendang atau padang oleh penduduk Langkawi. Di sini, terdapat beberapa tempat yang mempunyai kawasan penanaman padi samada sekali atau dua kali setahun. Kawasan sawah padi yang paling luas adalah di mukim Ulu Melaka, diikuti oleh mukim Padang Matsirat, Kedawang dan Ayer Hangat. Tanaman padi di sini biasanya dibuat sekali setahun kerana masalah pengairan. Kebanyakan petani mula mengusahakan sawah padi pada musim 'barat' (April - Disember). Musim 'timur' adalah tempoh paling kurang hujan dengan kemarau yang agak panjang dan cuaca panas kering.

Sawah padi yang berlatar belakang Kampung Mawat. Di kampung inilah Mahsuri tinggal pada masa dahulu.

Di seberang sawah padi terdapat kampung mini Eropah kerana terdapat lebih daripada lima buah rumah milik orang asing yang dibina di situ. Mereka tinggal di sini melalui program M2H. Program ini rasanya tidak perlu diteruskan kerana terdapat pelbagai masalah yang timbul.

Masjid Al-Qodim gah berdiri di kejauhan sana. Masjid ini asalnya sebuah binaan menggunakan kayu. Mengikut sejarah (bukan lagenda) masjid lama ini cuba dibakar oleh bala tentera Siam semasa menyerang Langkawi pada masa dahulu tetapi tidak berjaya mebakarnya walaupun binaan daripada kayu dan papan sahaja. Sayangnya, binaan tersebut telah tinggal sejarah dek kerana pembangunan. Sepatutnya tinggalan sejarah seperti ini dikekalkan untuk tatapan generasi pada masa sekarang.

Sunday, August 22, 2010

Lalang

Lalang yang sering dianggap pengacau kepada tumbuhan lain

Nama Botani : Imperata cylindrica
Famili : Gramminae

Pengenalan

Lalang merupakan sejenis tumbuhan daripada keluarga rumput yang tumbuh liar dihampir semua tempat terutama kawasan terbuka. ia juga mampu tumbuh subur di kawasan kurang subur. Ia dikenali sebagai jenis rumput yang paling degil kerana bukan mudah untuk memusnahkan pokok ini. Hanya beberapa jenis racun yang boleh digunakan untuk membunuh pokok lalang. Jika lalang tumbuh di ladang atau kebun, ia akan menganggu tanaman lain. Lalang mempunyai kadar pertumbuhan yang sangat cepat berbanding rumput atau pokok lain. Ia membiak dengan pantas dan tanpa disedari kerana pembiakannya melalui akarnya yang berada didalam tanah. Ia juga membiak melalui biji benih yang diterbangkan oleh angin pada jarak yang agak jauh.

Kegunaan

Walaupun kehadiran pokok lalang tidak disukai tetapi ia sebenarnya mempunyai kegunaan dalam perubatan tradisional. Ia boleh dijadikan sebagai penawar pelbagai penyakit.  Akar lalang yang dicampurkan dengan kemenyan dan dibakar, kemudian dibancuhkan dengan sedikit air dan tampalkan pada bahagian bawah pusat dipercayai dapat mengecutkan rahim bagi ibu selepas bersalin. Air rebusan akar lalang yang dicampur bersama madu dan diminum boleh merawat asma.

Untuk melawaskan pembuangan air kecil, akar lalang bersama daun pokok dukung anak yang dikeringkan direbus dan kemudian diminum. Akar lalang yang dikeringkan, direbus dan diminum ketika panas sebanyak satu sudu dikatakan dapat meredakan demam. Secekak akar lalang direbus dalam 4 gelas air sehingga menjadi 2 gelas air, dicampurkan dengan gula batu atau madu dan diminum 3 kali sehari juga boleh digunakan untuk merawat demam. Daun lalang dibakar sehingga menjadi abu dan ditampal pada bahagian berkenaan dapat merawat sengal tulang, otot dan urat.

Untuk menurunkan tekanan darah tinggi, air rebusan akar lalang diminum tiga kali sehari. Akar lalang yang ditumbuk sehingga hancur dan di tampal pada luka dapat menyembuhkan luka tersebut. Air rebusan akar lalang yang dicampur dengan air (kira-kira satu baldi) dan digunakan untuk bilasan mandi dapat memberi kesegaran pada kita. Akar lalang juga dikatakan dapat meningkatkan tenaga batin dengan mencampurkannya bersama ramuan lain. Bahan campuran tersebut direbus dan diminum.

Friday, August 20, 2010

Nibung

Pokok nibung yang tumbuh secara berumpun.

Nama Botani : Oncosperma Tigillarium
Famili : Arecaceae

Pengenalan

Nibung merupakan tumbuhan jenis palma daripada keluarga arecaceae yang berasal dari di Asia Tenggara. Ia biasanya tumbuh liar di seluruh negara Asia Tenggara. Pokok nibung tumbuh secara berumpun seperti pokok buluh. Serumpun nibung biasanya terdiri diantara 5 hingga 50 batang pokok. Ketinggian pokok nibung mencapai sehingga 30 meter. Batang pokok nibung biasanya lurus, mempunyai duri-duri keras dan panjang yang tajam berwarna hitam. Daunnya juga berduri seperti ini. Nibung membiak melalui pecahan rumpun dan biji benih.

Kegunaan

Di Indonesia, pokok nibung dianggap sebagai simbol semangat persatuan dan persaudaraan masyarakat Riau. Batang nibung sangat keras dan tahan lasak terhadap kemasinan air laut. Ia biasanya dijadikan tiang jeti dan kelong. Kayu nibung juga digunakan sebagai paku/pasak untuk menyambung dua bahagian kayu dalam binaan bangunan pada masa dahulu. Kayu nibung yang dibelah digunakan sebagai lantai rumah atau bangsal. Batangnya juga boleh digunakan sebagai saluran air. Daun nibung digunakan untuk membuat atap atap rumah dan anyaman kraftangan. Umbut dan mayang nibung boleh dimakan. Manakala buahnya boleh menggantikan buah pinang untuk penggemar sirih pinang. Batang nibung boleh dibuat tongkat dan kraftangan.

Thursday, August 19, 2010

Ketapang

Pokok ketapang yang biasa tumbuh liar di tepian pantai berpasir.

Nama Botani : Terminalia Catappa L.
Famili : Combretaceae

Pengenalan

Pokok ketapang berasal dari Asia Tenggara dan biasanya ditemui hidup secara liar di tepi pantai berpasir. Pokok ini juga mampu untuk menyesuaikan diri dengan pelbagai keadaan tanah. Ia ditanam sebagai pokok hiasan kerana silaranya yang cantik dan memberi teduhan yang agak luas. Pokok ketapang boleh mencapai ketinggian sehingga 35 meter. Daunnya bersaiz lebar, berselang seli dan dahan bertingkat (rujuk foto) mengikut usia pokok. Bunganya sangat kecil dan keluar secara berjambak. Buah ketapang berbentuk bujur dan leper berwarna hijau ketika muda. Apabila masak, buahnya bertukar menjadi kuning atau merah mengikut jenis. Pokok ketapang membiak melalui biji benih yang mampu bertahan dalam jangka masa lama, terapung dan tahan kepada kemasinan air laut. Ia juga boleh dibiakkan melalui keratang batang atau ranting.

Kegunaan

Pokok ketapang banyak ditanam sebagai penghias landskap atau pokok teduhan. Kayunya yang keras digunakan dalam pembuatan perabot, bahan binaan dan bahan bakar. Ramai yang tidak mengetahui sebenarnya buah ketapang ini boleh dimakan samada kulit luar atau bijinya. Bijinya perlu dipanggang terlebih dahulu sebelum dimakan. Minyak yang terhasil daripada biji buah ketapang ini boleh dijadikan minyak masak.

Daun, kulit pokok, buah dan akar pokok ketapang digunakan dalam proses mewarna dan menghasilkan dakwat hitam. Biji buahnya boleh dimakan untuk melawaskan pembuangan air besar tetapi jika dimakan dalam kuantiti yang banyak boleh menyebabkan cirit birit. Buah ketapang yang direbus dan diminum dapat merawat demam panas, cirit birit dan asma. Daunnya direbus dan diminum dipercayai dapat menghentikan cirit birit dan batuk berdarah. Daun ketapang dilayur di atas api dan ditampal pada sendi dikatakan boleh merawat reumatik. Kulit pokok dan akar ketapang direbus dan diminum untuk merawat demam panas, cirit birit, disenteri dan pendarahan rahim. Air rebusan tersebut disapu pada bahagian berkenaan untuk mengubati bisul dan mengurangkan sakit puting payudara bagi ibu yang menyusukan bayi.

Wednesday, August 18, 2010

Ketum

Pokok ketum yang mencetuskan kontroversi di Malaysia dan Thailand


Nama Botani : Mitragyna Speciosa Korth
Famili : Rubiacea

Pengenalan

Pokok ketum atau juga dikenali dengan nama pokok biak dari Asia Tenggara. Ia merupakan tumbuhan asli Malaysia dan Thailand. Pokok ini banyak tumbuh secara liar di negeri-negeri utara semenanjung dan pantai timur Malaysia. Ia tumbuh secara liar di kawasan-kawasan hutan dan persekitaran kampung dan hidup subur di kawasan bertanah lembab yang mempunyai kandungan humus yang tinggi. Pokok ketum mencapai ketinggian sehingga 50 meter.

Kegunaan

Daun ketum merupakan bahagian yang selalu digunakan dalam perubatan tradisional dan ianya telah digunakan secara meluas sejak sekian lama oleh masyarakat tempatan. Daun ketum samada dimakan segar atau direbus digunakan untuk merawat cirit birit, masalah kecacingan, sebagai penahan sakit, mengembalikan kecergasan bagi ibu selepas bersalin, mempercepatkan penyembuhan luka, meredakan demam, batuk, menambah tenaga untuk melakukan kerja berat dan jika dicampur dengan herba lain ia boleh dijadikan penawar kepada penyakit darah tinggi, lemah tenaga batin dan lelah.

Namun begitu di Malaysia dan Thailand, daun ketum telah disalahgunakan dan semakin menular terutamanya penagih dadah kerana ia mempunyai kesan penenang dan dikatakan berupaya menghilangkan kesan sindrom penarikan atau 'withdrawal syndrome' dalam jangka masa singkat.

Kesan seperti mengambil heroin dan morfin daripada daun ketum hanya bertahan kira-kira 4 jam menyebabkan penagih dadah terpaksa mengambil air rebusan daun ketum secara lebih kerap dan jumlah yang banyak. Ini yang menjadi punca penagih mula menagih daun ketum pula.

Kesan penyalahgunaan daun ketum adalah berat badan akan menurun, kesukaran untuk tidur, tiada selera makan, bibir menjadi kering, sukar untuk membuang air besar, kesan lebam dan terbakar pada muka.

AMARAN
Di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952, mereka yang memiliki air dan daun ketum boleh dihukum mengikut Seksyen 30 (5) akta yang sama dengan denda tidak lebih RM10,000 atau tidak melebihi empat tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Sunday, August 15, 2010

Pecah Beling

Pokok pecah beling atau pecah kaca


Nama Botani : Strobilanthes Crispur Lour.
Famili : Acanthaceae

Pengenalan

Pecah beling atau juga dikenali dengan nama keji beling, pecah kaca, jin batu dan bayam karang merupakan tumbuhan yang berasal dari Madagascar. Mudah tumbuh di kawasan hutan, tebing sungai dan tanah terbiar pada ketinggian 50 hingga 1200 dari paras laut. Pokok ini boleh mencapai ketinggian sehingga 2 meter.

Kegunaan

Tumbuhan ini memiliki banyak mineral seperti kalium, kalsium dan natrium serta unsur mineral lainnya. Ia juga mengandungi asam silikat, tannin, dan glikosida. Daunnya mempunyai kandungan mineral yang sangat tinggi seperti kalium (51%), kalsium (24%), natrium (24%), ferum (1%), fosforus (1%) dan vitamin C, B1, B2 (menyumbang kepada jumlah antioksidan yang tinggi). Daunnya telah digunakan secara tradisional untuk merawat kanser, kencing manis serta batu karang dan juga sebagai agen diuretik.

Ekstrak air pecah beling mempunyai kompoun atau molekul yang mampu untuk merencatkan pertumbuhan retrovirus (AIDS) dan sel leukemia. Ia juga mampu merencatkan pertumbuhan sel kanser usus, kanser hati, kanser payudara, meningkatkan paras jumlah aktiviti antioksidan untuk melindungi badan daripada radikal bebas. Ia juga didapati berkesan sebagai anti-mikrob yang menyebabkan karies gigi.

Daun pokok pecah beling ini selain direbus untuk diminum airnya, ia juga boleh dimakan sebagai ulaman. Daun pecah beling boleh digunakan untuk mengatasi kegatalan akibat terkena ulat atau digigt semut. Untuk mengatasi kegatalan tersebut, sapukan daun pecah beling pada bahagian yang berkenaan.

Untuk mengatasi cirit birit, disentri dan batu karang, seluruh bahagian pokok ini direbus, kemudian air rebusan tersebut diminum. Memakan daun pecah beling sebagai ulaman secara teratur setiap hari dipercayai dapat merawat penyakit diabetis.

Friday, August 13, 2010

Bakawali

Pokok bakawali

Nama Botani : Epiphyllum Oxypetalum (DC) Haw.
Famili : Cactaceae

Pengenalan

Bakawali merupakan tumbuhan daripada keluarga kaktus yang berasal dari Mexico dan Amerika Selatan. Ia banyak ditanam sebagai pokok hiasan di seluruh dunia. Pokok bakawali boleh membesar sehingga ketinggian 2 meter. Ia agak unik kerana dahan dan rantingnya berbentuk leper seakan daun. Batang utama pokok bakawali berbentuk bulat dan keras. Bakawali sebenarnya mepunyai daun tetapi bersaiz kecil dan hampir tidak kelihatan. Ia boleh dibiakkan melalui keratan batang. Pokok bakawali mengeluarkan bunga yang berkembang pada waktu malam.


Kegunaan

Ramai yang mengaitkan pokok dan bunga bakawali dengan misteri tetapi sebenarnya bunga bakawali ini boleh dimakan.. Ia dijadikan bahan masakan jika dicampurkan bersama bahan-bahan lain. Batang dan ranting pokok bakawali yang dilumatkan dan ditampal pada bahagian berkenaan dipercayai dapat merawat bengkak, luka kecil dan bisul. Manakala air rebusannya pula boleh digunakan untuk merawat demam panas, lebam dan kecederaan ringan. Bunga bakawali yang direbus dan diminum dapat merawat batuk berdarah, pendarahan dalam rahim dan radang tekak.

Thursday, August 12, 2010

Temu Lawak

Pokok temu lawak ini ditanam oleh bonda penulis.


Nama Botani : Curcuma xanthorhiza Roxb
Famili : Zingeberaceae

Pengenalan

Temu lawak merupakan tumbuhan tahunan yang hidup secara berumpun. Setiap pokok biasanya mempunyai 2-9 helai daun. Ketinggian pokok boleh mencapai 2.5 meter. Pokok temu lawak berbunga sepanjang masa, bunganya berwarna putih atau kuning tua dan pangkal bunga berwarna ungu. Rizom temulawak berwarna kuning tua dan ia mempunyai pelbagai khasiat dalam perubatan.

Kegunaan

Di kepulauan Jawa pokok temu lawak ini sangat terkenal dalam perubatan tradsional terutamanya jamu. Temu lawak biasanya dimakan mentah atau direbus bersama herba lain untuk mendapatkan khasiatnya. Temu lawak berkhasiat untuk mencegah dan mengatasi hepatitis, penyakit hati, membantu pencernaan, gangguan ginjal, menurunkan paras kolesterol dalam darah, anemia/kurang darah, melancarkan peredaran darah, malaria, demam, demam campak, reumatik, sakit pinggang, melancarkan perjalanan haid, keputihan, sembelit, menambah selera makan, batuk, asma, radang saluran nafas, radang kulit, jerawat, bintik hitam, meningkatkan stamina, batu karang, melambatkan proses penuaan dan menjaga bentuk badan agar sentiasa mantap dan ramping.

Tuesday, August 10, 2010

Bunga Part X

Bunga-bunga untuk bahagian ke 10 ini adalah bunga yang biasa ditanam sebagai penghias landskap rumah atau taman. Bungaan yang biasa kita lihat dan kenal.

Bunga orkid bersaiz besar.

Bunga lily berwarna merah jambu.
Bunga kenanga yang terkenal kerana baunya harum.

 
Bunga merah kecil ini tidak diketahui namanya.

Monday, August 9, 2010

Oregano

Pokok oregano

Nama Botani : Origanum Vulgare L.
Famili : Lamiaceae

Pengenalan

Oregano merupakan tumbuhan jenis renek yang berasal dari Mediterannean. Pokok ini sama famili dengan pudina dan ketinggiannya sekitar 1 meter sahaja. Oregano memiliki rasa yang agak unik, didefinisikan sebagai 'pedas' dan ia kaya dengan kandungan anti oksidan. Oregano boleh dibiakkan melalui biji benih, keratan batang dan pecahan anak.

Kegunaan

Bahagian yang paling banyak digunakan adalah daunnya samada dalam bentuk segar atau dikeringkan. Akar dan buahnya juga ada kegunaan terutama dalam perubatan herba. Daun segar oregano boleh dimakan sebagai pembuka selera. Ia juga digunakan dalam pembuatan kebab, perisa, penghias masakan dan perencah makanan. Daun oregano yang dikeringkan banyak digunakan sebagai perisa untuk biskut, lauk (daging dan ikan), salad, sup dan teh. Minyak daripada daun dan buahnya digunakan sebagai perisa untuk jeruk, daging, sos dan sosej. Akarnya boleh dimakan sebagai sayuran.

Daun oregano yang ditumbuk boleh merawat bengkak, lebam, luka kecil, terseliuh dan bisa gigitan serangga. Ia juga boleh ditampal pada payudara untuk menghentikan pengeluaran susu ibu. Estrak oregano didapati mampu untuk menyembuhkan infeksi telinga, meredakan demam, batu karang, memulihkan otot rahim, merangsang dan melancarkan haid, mernagsang pengeluaran susu ibu, merawat darah tinggi dan sakit perut, Daunnya mengandungi antiseptik, expectorant dan antipasmodik. Daunnya yang segar dikunyah untuk menghilangkan bau nafas yang kurang menyenangkan dan boleh menjaga kesihatan kulit.

Sunday, August 8, 2010

Nenas Kerang

Pokok nenas kerang

Nama Botani : Rheo Spathacea
Famili : Commelinaceae

Pengenalan

Pokok nenas kerang yang juga dikenali dengan nama daun kepah dan pandan ungu ini berasal dari Mexico. Ia banyak ditanam sebagai pokok hiasan. Sebenarnya pokok nenas kerang ini mempunyai khasiat dalam perubatan herba. Daun pokok ini lebar dan panjang seperti nenas biasa tetapi lebih kecil dan tidak berduri. Daunnya berwarna hijau pada bahagian atas dan ungu pada bahagian bawahnya. Ia mengeluarkan bunga berwarna putih bersaiz kecil dan berbentuk seperti kerang. Tinggi pokok ini mencapai sehingga 60cm sahaja. Ia boleh dibiakkan melalui pecahan anak.

Kegunaan

Seluruh bahagiuan pokok nenas kerang ini mengandungi karbohidrat, fiber, mineral, saponin dan tanin. Daunnya yang direbus dan diminum boleh merawat batuk, bronkitis, disenteri, hindung berdarah dan melawaskan pembuangan air kecil. Bunga nenas kerang samada yang segar atau kering direbus dan diminum dipercayai boleh merawat batuk, disenteri, kekurangan darah, dan pendarahan dalam usus. Daunnya yang ditumbuk dan ditampal pada bahagian berkenaan dipercayai dapat meredakan bengkak dan merawat luka kecil. Daunnya juga jika dilayur di atas api dan diikat menggunakan kain pada bahagian berkenaan dapat digunakan untuk merawat reumatisme.

Friday, August 6, 2010

Terung Susu Kambing

Pokok terung susu kambing yang sama dengan terung biasa

Buah terung susu kambing. Bentuk buahnya yang memberi nama unik kepada terung ini

Nama Botani : Solanum Mammosum.
Famili : Solanaceae.

Pengenalan

Terung susu kambing juga dikenali dengan nama terung tetek kambing berasal dari Mexico dan Amerika Selatan. Terung susu kambing satu famili dengan terung biasa. Ia mepunyai ketinggian sehingga 1.5 meter. Bunganya berwarna ungu atau putih mengikut jenis. Buahnya berwarna hijau ketika muda dan bertukar kuning terang apabila masak. Pokok terung susu kambing membiak melalui biji benih.

Kegunaan

Buah terung susu kambing boleh dicelur dan dimakan sebagai ulam. Air rebusan buah terung susu kambing yang diminum boleh merawat sakit darah tinggi, kencing manis, buasir, selesema, asma, gout dan barah payu dara. Buahnya yang dikisar dan dijadikan jus, kemudian diminum boleh merawat sakit jantung. Bijinya boleh digunakan untuk merawat selesema. Bunga terung susu kambing yang direbus dipercayai dapat meredakan batuk kokol. Daunnya yang direbus dan diminum boleh melegakan masalah ginjal dan pundi kencing. Buah terung susu kambing yang dijadikan serbuk digunakan untuk membunuh serangga perosak seperti lipas.

Hempedu Bumi

Pokok hempedu bumi atau juga dikenali sebagai akar cerita


Nama Botani : Andrographis Paniculata (Bum. f.) wall.ex Nees
Famili : Acanthaceae

Pengenalan

Pokok hempedu bumi merupakan tumbuhan renek semusim yang biasa dijumpai tumbuh di China, India, Thailand, Malaysia dan Indonesia. Pokok hempedu bumi tumbuh menegak dengan ketinggian 1m. Daunnya berbentuk bujur, runcing berwarna hijau tua di bahagian atas dan hijau muda di bahagian bawah. Pokok ini membiak melalui biji benih dan keratan batang.

Kegunaan

Daun hempedu bumi boleh digunakan merawat penyakit darah tinggi. Ia juga boleh merawat kencing manis, antiradang, antibakteria, antivirus, melegakan demam, mencairkan kahak, melawaskan pembuangan air besar, mengatasi masalah kecacingan mempercepatkan pembekuan darah.

Daun hempedu bumi yang dibersihkan dan direndam dalam air panas dan diminum setelah air rendaman tersebut menjadi suam dipercayai dapat merawat penyakit darah tinggi dan demam. Daunnya yang ditumbuk lumat dan tampal pada bahagian berkenaan boleh digunakan untuk merawat luka dan bisa gigitan serangga.

Thursday, August 5, 2010

Pantai Pasir Hitam

Pantai Pasir Hitam pada waktu petang. Matahari terbenam tepat ke arah ini. Indah.

 
'Jeti purba'. Ini sebenarnya jeti baru tetapi dibina berasaskan ciri-ciri zaman lampau iaitu menggunakan batang kelapa bukannya kayu atau konkrit.
Pemandangan indah dari tebing Pantai Pasir Hitam.

Pantai Pasir Hitam - Lagenda dan Fakta

Pantai Pasir Hitam terletak kira-kira 19km dari Kuah. Pantai unik ini merupakan pantai dalam mukim Ayer Hangat. Mengapa pantai pasir hitam tidak berpasir putih seperti pantai-pantai lain? Mengikut lagenda, pasir di pantai ini dahulunya putih tetapi bertukar menjadi hitam setelah terkena sumpahan duyung yang marahkan seorang nelayan tempatan. Nelayan ini telah memungkiri perjanjian yang dibuat dengannya. Satu lagi lagenda yang menceritakan pantai pasir hitam ini terjadi akibat pertempuran sengit di antara Garuda dan Jentayu. Tengkorak dan tulang mereka yang terkorban akibat pertempuran ini terdampar di Pantai Pasir Tengkorak dan Tanjung Tulang.

Fakta

Warna pasir di pantai ini terhasil daripada kandungan mineral, granit, tourmalin, ilmenit dan zirkon. Pasir di pantai ini juga dicuri dan diseludup keluar dari Pulau Langkawi.

Aktiviti yang biasa dibuat di pantai lain tetapi tidak pernah dibuat di Pantai Pasir Hitam adalah:

1) Berkelah bersama-sama keluarga atau kawan-kawan.
2) Membina istana pasir.
3) Mandi-manda
4) Berkhemah.
5) Berjemur panas (suntan).

Bunga Part IX

Bunga-bunga dalam Bunga Part IX (9) ini merupakan bungaan daripada entri sebelum ini dan bunga yang jarang kita lihat. Dedaun Alam akan terus memperkenalkan bungaan yang mungkin kita terlepas pandang tentang kecantikannya.


Pokok yang berbunga cantik berwarna merah jambu ini tumbuh liar di tepi-tepi jalan atau kawasan terbiar. Ia jarang diperhatikan atau terlepas pandang oleh kita tetapi lihatlah betapa cantiknya bunga ini. Inilah bunga pokok pulut-pulut

Ini adalah bunga pokok yang paling pemalu di dunia iaitu pokok semalu

Bunga ceri cina. Pokok ceri cina ini kurang dikenali.

Bunga limau kerat lintang

Bunga inai. Bunga inai yang belum mekar boleh dimakan sebagai ulam. Klik khasiat inai untuk mengetahui lebih lanjut.

Wednesday, August 4, 2010

Sambung Nyawa

Pokok sambung nyawa

Nama Botani : Gynura procumbens Lour.
Famili : Asteraceae

Pengenalan

Pokok sambung nyawa adalah tumbuhan yang berasal dari Myanmar dan China. Pokok sambung nyawa ini juga dikenali dengan nama akar sebiak, kelemai merah dan daun dewa. Ia mempunyai perubatan yang sangat tinggi dan banyak digunakan di Malaysia, Indonesia dan Thailand. Pokok ini mampu tumbuh sehingga 6 meter sekiranya mendapat sokongan atau memanjat pokok lain. Tanpa sokongan atau memanjat pokok lain, pokok sambung nyawa akan menjalar di atas tanah. Terdapat dua jenis sambung nyawa iaitu sambung nyawa hijau (rujuk foto) dan sambung nyawa ungu (dikenali sebagai daun dewa). Ia menyukai kawasan yang redup dan berkelembapan sederhana. Pokok ini boleh dibiakkan melalui keratan batang. Bunga sambung nyawa berwarna jingga kekuningan tetapi ia sangat jarang berbunga.

Kegunaan

Daun sambung nyawa mengandungi flavonoid, glikosida kuersetin, fenoleat asid, triterpenoid, alkaloid, saponin dan tannin. Sambung nyawa bersifat sejuk dan neutral. Ia boleh digunakan untuk menurunkan panas badan, merawat sakit limpa, sakit ginjal, sakit kulit, menurunkan tekanan darah, menurunkan kandungan gula dalam darah, antimicrobial, antikarsinogenik, sitotoksik terhadap sel kanser, hipertensi, strok, penyakit jantung, kolesterol tinggi, diabetes, radang pita suara, radang tengkuk, batuk dan sinusitis.

Daun sambung syawa berkhasiat untuk mengurangkan kadar kolestrol dan menurunkan tekanan darah tinggi. Ia juga digunakan untuk merawat sembelit, kencing manis, kanser dan masalah buah pinggang. Ia biasanya dimakan mentah sebagai ulam kerana dipercayai dapat mengurangkan risiko mendapat serangan sakit jantung. Namun begitu, pengambilan secara berlebihan daun segar atau jus segar herba ini boleh menyebabkan rasa loya, mual dan muntah kerana cecair daun ini bertindak menurunkan kandungan gula dalam darah. Bagi mereka yang mempunyai tekanan darah rendah tidak digalakkan mengamalkannya sebagai perubatan herba. Daun yang dikeringkan dihancurkan dan dicampur dengan minyak untuk digunakan sebagai minyak salap merawat ruam.

Ia juga digunakan dalam rawatan untuk penyakit ginjal, disentri, radang kerongkong, menghentikan perdarahan, resdung, mengatasi masalah haid yang tidak teratur, melancarkan fungsi ginjal dan gigitan binatang berbisa. Umbi pokok ini digunakan untuk merawat bengkak, patah tulang dan darah beku yang disebabkan oleh lebam.

Tuesday, August 3, 2010

Pantai Pasir Tengkorak

Dedaun Alam kali ini mempersembahkan keindahan alam di Langkawi. Langkawi sememangnya dikelilingi oleh laut dan pantai yang indah. Pantai Pasir Tengkorak merupakan sebuah pantai yang terletak di Datai. Ia kurang dikenali oleh pelancong kerana lokasinya agak jauh dari tempat tumpuan tetapi sebenarnya pantai ini menjadi pilihan penduduk tempatan untuk berehat sambil mandi manda.

Pulau Tarutao (Thailand) terletak kira-kira 5km dari pantai ini.

Pantai yang berpasir putih dengan air jernih kristal dan persekitarannya bersih. Dua orang gadis comel ini terpesona dengan keindahan Pantai Pasir Tengkorak.

Selain pasir, pantai ini juga diserikan dengan kawasan berbatu.


Lagenda Pantai Pasir Tengkorak

Mengapa pantai ini diberi nama yang agak menakutkan dan menyeramkan? Mengikut lagenda tempatan, suatu masa dulu terdapat raksasa laut atau air pusar yang menenggelamkan banyak kapal dan kemudian mencampakkan tengorak mangsanya di pantai ini.

Mengikut satu lagi lagenda, satu pertempuran hebat di antara Jentayu dengan Garuda berlaku di pulau berdekatan.yang mengakibatkan banyak nyawa terkorban. Jasad para pahlawan yang terkorban banyak ditemui di pantai ini.

Ada pula yang menceritakan suatu masa dulu terdapat penjara di Pulau Tarutao. Walaupun ramai banduan yang cuba melarikan dari penjara, ia sukar dilakukan kerana pada masa lampau terdapat banyak jerung berkeliaran di kawasan ini. Banduan yang meloloskan diri biasanya akan lemas atau dibaham jerung. Jasad mereka terdampar di sini.





Batu syal dan batu pasir yang berusia ratusan juta tahun.





Fakta Pantai Pasir Tengkorak

Pantai Pasir Tengkorak merupakan sebuah poket pantai berpasir putih halus di antara pantai-pantai berbatu dengan batu pasir dan syal. Batu pasir dan syal berkemiringan landai dan bergelombang ini adalah batuan formasi Machinchang yang berusia kira-kira 550 juta tahun. Batu pasir mengandungi perlapisan silang dan kesan riak yang baik (rujuk foto batu di atas). Manakala selanglapis batu pasir-syal menghasilkan struktur asalan beban yang menarik seperti kesan beban, struktur nyalaan, lapisan konvolut, fitur perlepasan bendalir dan kekanta pasir terpancung. Fitur unik yang lain adalah struktur asalan penghabluran garam berbentuk seperti sarang lebah yang dikenali sebagai tafoni, khususnya pada syal yang terdedah di permukaan. Jasad timbul tafoni membayangkan kemtangan proses pembentukannya, manakala bentuk-bentuk tafoni biasanya dipengaruhi oleh corak kekar dan arah percikan air laut.

Tebing pantai yang berbatu merah berusia lebih 500 juta tahun.

Terdapat 'sungai' kecil mengalir dari bukit berhampiran ke laut. Airnya sangat jernih tetapi anda tidak digalakkan untuk mandi-mandi di sungai ini kerana kedalaman airnya hanya beberapa sentimeter sahaja.


Jika tadi dikatakan pantai ini mendapat nama daripada lagendanya tetapi yang sebenarnya mungkin namanya diberi sempena bentuk batuan di pantai ini. Perhatian bentuk batuan di bawah ini.

Batuan yang berbentuk seakan lapisan tengkorak manusia.

Ratusan 'tengkorak manusia' terdampar di sini.

Bunga, Madu & Serangga

Entri ini untuk tatapan semua pembaca dan pengunjung Dedaun Alam terutama pembaca setia blog ini, Kak Rosa dan Kak Anis. Keindahan bunga sering dikaitkan dengan manisnya madu. Ia akan jadi tarikan kepada serangga yang memakan (menghisap) madu.

Sang kumbang penyengat ini tertarik dengan madu pada bunga cantik ini.

Semut merah kecil ini tidak lepaskan peluang untuk menikmati kemanisan madu bunga peria pantai.

Semut-semut berusaha untuk masuk mencari madu di dalam kuntuman bunga jambu mawar. Jambu mawar merupakan spesis jambu yang hampir pupus.

Sunday, August 1, 2010

Kembang Semangkuk

Pokok kembang semangkuk yang berbatang lurus dan berdaun lebar. Gambar pokok kembang semangkuk  kurang jelas kerana sudut untuk fotografi sangat terhad dan terlindung oleh pokok besar yang lain.


Nama Botani : Scapium sp.
Famili : Sterculiaceae

Pengenalan

Pokok kembang semangkuk merupakan tumbuhan jenis balak yang tumbuh di hutan Malaysia, Thailand, Kemboja, Myanmar, Singapura, Brunei dan Indonesia. Terdapat beberapa spesis pokok kembang semangkuk iaitu scapium beneonsis (Kepulauan Borneo), scapium longipetiolatum (Kepulauan Borneo), scapium linearcarpum (Malaysia dan Singapura), scapium longiflorum (Semenanjung Malaysia), scapium macropodum (Malaysia, Thailand, Indonesia, Kemboja dan Singapura), scapium scahigerum (Myanmar, Kemboja, Thailand dan Malaysia). Kayu daripada pokok ini bukan jenis keras dan berkualiti tinggi. Kayunya jenis ringan dan biasanya digunakan untuk menghasilkan kotak, perabot dan batang mancis. Daun dalam spesis scapium ini bersaiz besar besar dan tersusun dalam bentuk spiral. Biji buahnya berdiameter 1.5 hingga 3 cm dan ia menghasilkan sejenis bahan lembut dan kenyal jika direndam di dalam air.

Kegunaan

Buah kembang semangkuk paling popular dijadikan bahan dalam minuman lai chi kang dan airbatu campur. Scaphium macropodum dan scaphium lychnophorum menghasilkan jeli yang terbaik dalam spesis scapium. Buah kembang semangkuk yang direndam di dalam air dan diminum serta dimakan buahnya dipercayai boleh menurunkan panas badan(ketika demam). Air rendaman buah kembang semangkuk ini juga dapat digunakan untuk merawat asma, pendarahan hidung, melawaskan pembuangan air besar, masalah kulit, sakit mata, sakit gigi, kecacingan di kalangan kanak-kanak dan cirit birit.

Kulit pokok kembang semangkuk bersama herba yang lain direbus dan diminum boleh merawat disenteri dan pendarahan rahim. Meminum air rebusan ini juga boleh menolong melawaskan pembuangan air kecil.