VIP Dedaun Alam

Tuesday, April 27, 2010

Chinese Gooseberry @ Kiwi

Buah kiwi yang segar

Pokok kiwi yang ditanam secara ladang


Kiwi merupakan tumbuhan jenis menjalar atau memanjat seperti anggur

Bunga kiwi

Buah kiwi yang kaya dengan pelbagai kandungan nutrisi dan vitamin

Nama Botani : Actinidia deliciosa
Famil : Actinidiaceae
Nama Lain : Chinese Gooseberry

Pokok kiwi sebenarnya berasal dari Yangtze, China. Ia di bawa masuk ke New Zealand pada awal kurun ke 20.
Kandungan nutrisi bagi 100g buah kiwi :
Air - 83.05g
Tenaga - 61kcal, 255kj
Protein - 0.99g
Lemak - 0.44g
Abu - 0.64g
Karbohidrat - 14.88g
Fiber - 3.4g
Calcium, Ca - 26mg
Iron, Fe - 0.41mg
Magnesium, Mg - 30mg
Phosphorus, P - 40mg
Potassium, K - 332mg
Sodium, Na - 5mg
Vitamin C (ascorbic acid) -75.0mg
Thiamin - 0.020mg
Riboflavin - 0.050mg
Niacin mg 0.500mg
Vitamin A, IU - 175
Vitamin A, RAE - 9mcg
Retinol - 0mcg
Kolesterol - 0mcg

Thursday, April 22, 2010

Bunga Betik Jantan

Bunga betik jantan yang bertangkai panjang dan tidak menghasilkan buah.
Bunga betik jantan dihasilkan daripada pokok betik jantan. Bunganya mempunyai tangkai yang agak panjang. Ia mempunyai nilai tinggi dalam perubatan. Bunga betik jantan ini biasanya dijadikan ulam. Untuk mengurangkan rasa pahitnya, ia dicelur sebelum dimakan sebagai ulaman. Bunga betik jantan juga dipercayai dapat merawat penyakit lemah jantung. Caranya, rebus beberapa tangkai bunga betik jantan bersama air dan sedikit gula. Kemudian minum air rebusan tersebut dua kali sehari (waktu pagi dan malam). Bunga betik jantan yang pahit itu juga mampu membuka selera makan. Ia juga boleh dijadikan kerabu.

E-Gift Daripada E-na (Lovely Kitchen)


Ok, ini e-gift / award pertama yang saya dapat. E-gift ini diberi oleh E-na dari negara matahari terbit. Terima kasih. Semoga persahabatan maya ini terus terjalin.

Wednesday, April 21, 2010

Pistachio

Pokok pistachio yang tumbuh liar di gurun

Pistachio yang ditanam secara ladang untuk tujuan komersial

Bunga pistchio yang cantik

Buah pistachio yang segar

Pistachio yang masih muda

Buah pistachio yang keluar secara bergugus pada tangkai

Pistachio yang sedia untuk dimakan



Pistachio merupakan tumbuhan yang hidup meliar di kawasan gurun Asia Barat. Ia dipercayai berasal dari Iran dan barat Afghanistan. Pokok pistachio adalah pokok jenis lasak kerana ia mampu bertahan dalam cuaca −10°C (pada musim sejuk) sehingga 40°C (musim panas). Ia juga dapat hidup di kawasan tanah yang kurang subur tetapi memerlukan cahaya matahari dan saliran yang baik. Pistachio terbahagi kepada dua jantina iaitu pokok jantan dan betina. Iran merupakan negara pengeluar dan pengeksport pistachio yang terbesar di dunia. Pistachio dibawa ke Eropah semasa empayar pemerintahan Rom. Pokok pistachio mampu mancapai ketinggian 10 meter. Buah pistachio mempunyai kulit yang sangat keras tetapi isinya lembut.

Semangkuk kecil pistachio menghasilkan 713 kalori, di mana 512 kalori adalah daripada monounsaturated fat. Ini bermakna pistachio merupakan makanan/snek yang menyihatkan. Ia juga membekalkan arginine, yang mana ia penting dalam proses metabolisma dalam tubuh kita.

Pistachio juga kaya dengan monounsaturated fat (lemak mono tak tepu). Monounsaturated fat ini tidak akan menjadi tepu dalam tubuh kita dan ia tidak tersimpan di bahagian dalam dinding arteri. Amalan memakan pistachio juga dapat mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular. Ia dapat merendahkan jumlah kolesterol dalam darah. Dengan memakan 85g pistachio setiap hari akan dapat mengurangkan risiko untuk mendapat penyakit kardiovaskular.

Pistachio juga dipercayai dapat meredakan tekanan. Ia kaya dengan protein dan anti oksida. Anti oksida yang terdapat pada pistachio dapat menghalang kerosakan sel badan dan mengurangkan risiko untuk mendapat kanser. Anti oksida pada pistachio didapati dalam vitamin A, vitamin E and Lutein.

Pistachios juga membekalkan mineral yang penting untuk tubuh kita seperti kalsium, iron, dan magnesium.

Tuesday, April 20, 2010

Almond @ Badam

Pokok badam

Bunga badam yang sedang mekar. Bunganya cantik.

Buah badam yang matang

Badam yang berkhasiat untuk kita

Badam merupakan salah satu jenis kekacang yang paling berkhasiat. Badam penting untuk kesihatan kerana ia mepunyai pelbagai khasiat. Ia boleh dimakan mentah, dikukus atau dicampur dalam masakan/makanan seperti biskut, kek dan sebagainya. Badam rendah lemak tepu dan mengandungi 20 kali lebih banyak protein jika dibandingkan dengan bijirin lain. Hasil kajian yang dijalankan oleh pakar, sesiapa yang mengambil kekacang termasuk badam lima kali seminggu boleh mengurangkan risiko serangan jantung sebanyak 50% dan memberikan kesan kepada kadar kolestrol di dalam darah. 20-25 biji badam mengandungi kalsium lebih kurang 1/4 cawan susu.

Ia baik untuk menguatkan tulang dan mencegah osteoporosis. Vitamin E dan sebatian fotokimia (alpha-tocopherol) dapat membantu mencegah kanser. Kandungan vitamin B dalam badam mengatasi kandungan vitamin B dalam telur dan kandungan niasinnya juga melebihi gandum.

Kandungan lemak dan karbohidratnya tinggi, oleh itu ia mengandungi gula yamg tinggi berbanding dengan buah-buahan yang lain. Kandungan fosforusnya mengatasi kandungan fosforus dalam keju. Kanak-kanak amat sesuai memakan badam kerana khasiatnya dapat membantu pembesaran mereka, selain membina tulang dan gigi. Sementara kepada orang dewasa pula ia dapat membantu menyihatkan jantung mereka. Bagi ibu-ibu mengandung, badam merupakan sumber terbaik asid folik yang diperlukan.

Kandugan nutrisi berdasarkan 100g badam/almond :
- 20 g karbohidrat
- 5 g gula
- 12 g fiber/serat
- 51 g lemak
- 22 g protein
- 0.24 mg Vitamin B1
- 0.8 mg Vitamin B2
- 0.3 mg Vitamin B5
- 0.13 mg Vitamin B6
- 248 mg Kalsium
- 4 mg zat besi
- 275 mg magnesium
- 474 mg fosforus
- 3 mg zink
- 728 mg potasium

Wednesday, April 14, 2010

Tembaga Suasa

Pokok tembaga suasa

Nama Botani : Crinum asiaticum
Nama Lain : Melong, malong, tembaga sasoh

Pengenalan

Tembaga suasa biasanya tumbuh meliar di kawasan pinggir hutan dan tepian pantai. Pokok ini juga ditanam sebagai pokok hiasan kerana bunganya yang cantik dan wangi. Ia juga ditanam kerana nilainya dalam perubatan tradisional. Daun pokok tembaga suasa agak lebar dan panjangnya mencapai sehingga 2m.

Kegunaan

Bahagian utama yang digunakan dalam perubatan/rawatan pada pokok ini ialah daunnya. Daun pokok tembaga suasa ini dapat merawat terseliuh, tersalah urat dan bengkak. Untuk merawat bahagian yang terseliuh, daun tembaga suasa ditumbuk sehingga lumat dan ditampalkan kepada bahagian. Kemudian dibalut menggunakan daun tembaga suasa yang dilayurkan di atas api.

Untuk merawat bengkak atau tersalah urat, daun tembaga suasa disapukan minyak kelapa (nota:bukan minyak kelapa sawit) dan disalai menggunakan api. Setelah daun tembaga suasa tersebut kelihatan berminyak, ianya dibalut pada tempat yang berkenaan sehingga rasa sakit itu hilang.

Tuesday, April 13, 2010

Asam Paya

Pokok asam paya. Ciri pokok dan bentuk daunnya hampir sama dengan roselle dan kenaf.
Pokok asam paya merupakan tumbuhan daripada keluarga hibiscus iaitu sama dengan bunga raya, roselle dan kenaf. Asam paya adalah nama panggilan pokok ini bagi masyarakat di utara semenanjung Malaysia. Asam paya biasanya tumbuh meliar di sekitar rumah dan kawasan terbiar. Pokok ini sering menjadi pertikaian kerana bentuk dan cirinya sama dengan roselle. Bagi mereka yang tidak begitu mengenali pokok ini pasti akan mengatakan ia adalah pokok roselle. Roselle dan asam paya merupakan tumbuhan yang berlainan. Perbezaan ketara yang dapat dilihat ialah warna batang dan bunganya. Bunga roselle berwarna merah dan boleh dibuat jus. Bunga pokok asam paya tidak boleh diproses untuk dijadikan sebagai jus. Pucuk muda pokok asam paya digunakan dalam masakan dan ianya dijual di pasar.

Wednesday, April 7, 2010

Kuini

Buah kuini yang telah masak
Kuini atau naman botaninya, Mangifera odorata Griffith adalah tumbuhan yang sekeluarga dengan bacang. Kuini dikenali dengan nama krini di Kelantan dan konen di utara Semenanjung Malaysia. Ciri-ciri yang terdapat pada pokok kuini menyamai pokok bacang tetapi pokoknya lebih rendah. Buah kuini bersaiz kecil, lebih harum baunya ketika masak dan tekstur isi lebih lembut berbanding dengan buah bacang. Isinya juga lebih padat serta seratnya lebih halus daripada bacang. Rasa isinya lebih manis dan sedap jika dibandingkan dengan saudara terdekatnya iaitu bacang. Buah kuini dimakan segar setelah masak dan ia juga boleh dijadikan sambal belacan. Buah kuini yang muda biasanya dibuat kerabu atau dimakan bersama pencicah.

Friday, April 2, 2010

Dara Singgah

Pokok dara singgah

Kuntum bunga dara singgah yang muda tapi berbau sangat harum

Bentuk daun pokok dara singgah. Bunganya keluar pada bahagian hujung dahan
Pokok dara singgah merupakan tumbuhan yang tumbuh meliar di hutan tetapi ada yang ditanam di kawasan rumah kerana bunganya yang berbau harum. Pasti ramai pembaca yang tidak pernah tahu tentang kewujudan pokok bunga istimewa dan unik namanya ini. Bunganya keluar pada bahagian hujung dahan atau ranting dan berbentuk seakan bunga kenanga. Biarpun bunganya masih muda, bau harumnya telah boleh dihidu. Kenapa pokok ini diberi nama dara singgah dan sehebat mana keharuman bau bunganya? Ok, biar saya jelaskan kenapa ia diberi nama sedemikian. Suatu masa dahulu sesiapa yang menanam pokok ini di kawasan sekitar rumah dan pokoknya sudah mula berbunga, orang yang melalui kawasan rumah tersebut pasti akan singgah untuk mencari dari mana datangnya bau harum yang mereka hidu. Dek kerana terpesona dengan keharuman bunga ini tidak kira siapa akan singgah termasuk anak-anak dara. Keharumannya pula bagaimana? Cerita itu sudah cukup untuk menggambarkan betapa harumnya kuntuman bunga dara singgah ini.

Thursday, April 1, 2010

Setiar

Buah setiar yang masih muda

Kali ini Dedaun Alam memperkenalkan buah setiar, saudara terdekat sentul. Ramai di antara kita menyangka setiar dan sentul adalah buah yang sama. Sebenarnya terdapat perbezaan antara dua buah bersaudara ini. Perbezaan yang paling ketara ialah rasanya. Buah setiar yang masak rasanya lebih manis berbanding sentul. Perbezaan kedua, buah setiar terdapat bulu-bulu halus pada kulitnya. Manakala perbezaan yang paling mudah dilihat ialah warna daun. Daun pokok setiar lebih cerah jika dibandingkan dengan daun sentul.