VIP Dedaun Alam

Wednesday, November 25, 2009

Pokok Kari

Pokok Kari yang masih kecil

Nama Botani : Murraya Koeniggi
Famili : Rutaceae

Pengenalan

Pokok kari merupakan sejenis pokok renek yang berasal dari India dan Sri Lanka. Ia mempunyai ketinggian sehingga 6m. Pokok ini biasa ditanam di kawasan rumah kerana ia berguna sebagai rempah dalam masakan terutama masakan jenis kari. Daun kari mempunyai bau yang kuat dan mempunyai rasa agak pahit. Pokok ini mempunyai banyak kegunaan dalam masakan kaum India dan ia digunakan dalam pelbagai jenis masakan. Pokok ini agak lasak. Bunganya kecil berwarna putih kekuningan. Buahnya kecil berwarna hijau ketika muda dan bertukar menjadi ungu setelah matang. Ia membiak melalui biji benih, keratan batang dan anak yang tumbuh dari akarnya.

Kegunaan

Kulit pokok, daun dan akar pokok daun kari digunakan sebagai tonik. Di samping itu, daunnya juga berkesan dalam mengatasi masalah haid dan gonorea, menghilangkan rasa loya dan ‘morning sickness’ bagi wanita mengandung. Daun kari dan akarnya juga baik untuk peredaran darah dan boleh bertindak sebagai sedatif.

Daun kari mempunyai khasiat perubatan yang tinggi dan digunakan dengan meluas dalam perubatan kaum India. Ia dijadikan tonik herba untuk menguatkan perut dan meningkatkan keupayaannya serta mengatasi masalah penghadaman. Ia juga boleh digunakan sebagai laksatif lemah untuk mengatasi masalah sembelit. Jus daunnya yang segar dicampur dengan jus limau nipis digunakan untuk mengatasi masalah loya dan pening. Jus daun kari yang dicampur dengan madu juga dapat menjadi penawar kepada cirit birit dan buasir. Air rebusan kulit pokok kari yang kering boleh merawat diabetes. Amalan memakan daunnya setiap hari selama 3 bulan dikatakan dapat mencegah kencing manis dan obesiti yang disebabkan oleh faktor genetik. Buahnya yang didihkan dengan minyak kelapa hingga kehitaman, kemudian dihancurkan digunakan untuk merawat gigitan serangga dan haiwan berbisa. Daun pokok kari yang dilumatkan dan dijadikan pes boleh digunakan untuk merawat lebam dan bengkak.

Mempelas

Pokok Mempelas

Daun mempelas yang banyak kegunaannya


Nama Botani : Tetracera Indica Merr. / Tetracera scadens (L) Merr.
Nama Lain : Akar empelas, empelas
Famili : Dilleniaceae

Pengenalan

Mempelas merupakan sejenis tumbuhan jenis memanjat dan mempunyai batang berkayu. Ia tumbuh meliar di kawasan kampung, kebun, ladang, belukar dan hutan di Asia Tenggara. Daun mempelas bersaiz sederhana, berbentuk ringkas, tersusun secara berselang dengan permukaan daun yang kesat (rujuk foto). Batangnya juga bertekstur kesat dan boleh menyebabkan luka jika tersagat pada kulit. Bunga mempelas berwarna putih dengan kelopak kecil berwarna merah jambu dan berbau sangat wangi. Buah mempelas berbentuk seakan beri dan rasanya masam. Ia berwarna hijau ketika muda dan apabila masak ia berubah menjadi merah.

Kegunaan

Daunnya yang kesat digunakan oleh masyarakat Melayu sebagai bahan untuk melicinkan ukiran atau hasil kraftangan sebelum kewujudan kertas pasir. Daun ini berfungsi seperti kertas pasir. Ada juga masyarakat zaman dahulu yang menggunakan daun ini untuk melicinkan kuku. Serbuk yang dihasilkan dari daun mempelas kering untuk boleh digunakan untuk merawat radang. Pokok ini juga boleh menghasilkan salap untuk meredakan selesema. Daunnya yang dilumatkan pula digunakan untuk merawat sengatan serangga berbisa. Air rebusan daripada daun mempelas yang matang/tua boleh merawat darah tinggi. Buah mempelas yang masam boleh dijadikan cuka untuk masakan. Batangnya yang panjang dan agak kuat juga boleh dijadikan tali. Pada era sebelum adanya dapur gas, kayu api dari dahan pokok getah yang kering sering diikat menggunakan tali daripada pokok mempelas ini kerana kekuatannya.

Pokok Kapal Terbang

Pokok Kapal Terbang

Nama Botani : Chromolaena odorata / Eupatorium odoratum L.
Nama Lain : Pokok Jepun, Pokok Busuk-busuk, Serunai, Seketam Bukit, Siam Weed, Christmas Bush, Bitter Bush, Aeroplane plant, Baby Tea.
Famili: Asteraceae, Compositae

Pengenalan

Pokok kapal terbang adalah sejenis tumbuhan yang berasal dari Amerika Tengah dan Amerika Selatan. Namanya agak unik dan tidak diketahui mengapa ia dinamakan sedemikian. Tetapi mengikut cerita orang-orang terdahulu, benih pokok ini tersebar dengan cara yang tidak disengajakan dari Benua Amerika. Biji benih pokok ini terlekat pada tayar kapal terbang British pada zaman penjajahan British di Tanah Melayu(Malaya ketika itu). Ia biasa tumbuh dikawasan yang terbuka dan tidak tumbuh di kawasan yang terlindung atau dinaungi oleh pokok-pokok lain. Tumbuhan ini berbatang lembut dengan bahagian dalam batangnya mengandungi gabus berwarna putih. Ia mampu tumbuh disemua jenis tanah. Keseluruhan pokok ini berbau agak busuk.

Kegunaan

Tumbuhan ini ialah sejenis tumbuhan beracun yang boleh menyebabkan kerosakan hati terutamanya kepada kanak-kanak. Daun kapal terbang yang dilumatkan dengan tapak tangan boleh dijadikan ubat luka dengan menampal di tempat luka. Ia mampu menghentikan pengaliran darah untuk luka kecil. Daun kapalterbang merupakan ubat yang mujarab untuk meredakan kembung perut dan cirit birit pada bayi. Daun kapal terbang dan kapur dikisar menggunakan tapak tangan sehingga lumat dan mengeluarkan buih. Buih ini disapu pada perut bayi dan dibarut.

Selepas menggunakan pokok ini, pastikan tangan anda dicuci untuk mengelakkan keracunan. Keracunan ini juga boleh dipindahkan oleh ibu yang mengandung kepada bayinya melalui uri. Simptom yang biasa di tunjukkan ialah sakit perut yang teramat sangat, muntah dan hepatomegali yang disebabkan oleh alkaloid pyrolizidin yang terdapat pada keseluruhan pokok tersebut. Biasanya simptom ini hanya dapat dikesan selepas beberapa hari dari masa kejadian. Jadi, berhati-hati bila menggunakan tumbuhan ini.

Monday, November 23, 2009

Kerkut

Buah kerkut

Nama Botani : Flacourtia Jagomas
Nama Lain : Kekut

Pengenalan

Buah yang seakan buah plum ini rasanya masam manis dan sedikit kelat. Buahnya sebesar guli kaca, berwarna hijau ketika muda. Sesiapa yang pernah makan buah ini sudah pasti tahu cara untuk membuatkan buah lebih manis dan kurang rasa kelatnya. Caranya, dengan menguli buah yang sudah masak dengan menggunakan kedua tapak tangan sehingga ia menjadi lembut. Buah yang jadi model dalam foto tu dah selamat dimakan. Sedap!

Thursday, November 19, 2009

Belimbing Bintang

Buah belimbing bintang

Belimbing bintang yang berbuah lebat tanpa musim

Nama Botani : Averrhoa carambola
Famili : Averrhoaceae
Pengenalan

Belimbing merupakan tumbuhan yang berasal dari Sri Lanka dan ditanam di seluruh Asia Tenggara. Warna buah adalah hijau ketika muda dan kuning keemasan apabila sudah masak. Rasa buah ni agak masam tetapi ada klon baru yang memberikan rasa sedikit masam manis. Apabila buah ini dipotong secara melintang ia akan membentuk seperti bintang.


Kegunaan

Kajian saintifik telah menunjukkan buah belimbing mempunyai khasiat perubatan selain kaya dengan vitamin dan ada kajian yang membuktikan bahawa buah belimbing mampu untuk mengurangkan tekanan darah.

Ada kemungkinan buah belimbing, jika kerap dimakan, boleh membantu mereka yang menghidap hipertensi. Buah ini dapat membantu melawan kesan pemakanan makanan terproses yang menyumbangkan kepada kenaikan tekanan darah tinggi. Jus belimbing mempunyai sifat-sifat antibakteria seperti staphylococcus penyebab beberapa penyakit seperti indigesi dan masalah kulit. Buah belimbing juga mempunyai Vitamin A yang tinggi di antara buah-buahan tempatan Malaysia. Setiap 100g mempunyai 155 mcg Vitamin A. Ia juga mengandungi Vitamin B (thiamine, riboflavin), dan mineral kalsium dan besi. Protein, lemak dan karbohirat juga ada dalam bilangan yang kecil.

Ketumpangan Air

Pokok ketumpangan air yang biasa tumbuh menumpang pasu bunga

Nama Botani: Peperomia Pellucida
Nama Lain: Tumpang angin, rangu-rangu, shiny bush, pepper elder
Famili: Piperaceae

Penerangan

Tumbuhan tropika semusim ini mudah dijumpai di kawasan-kawasan yang agak lembab dan agak terlindung dari cahaya matahari. Jika terdedah kepada cahaya matahari pokok ini sukar untuk membesar dan hidup subur. Ia mudah dijumpai dan tumbuh meliar tetapi tidak ramai orang yang mengetahui khasiatnya. Ketinggian pokok boleh mencapai sehingga 30 cm. Batangnya dari jenis berair dan senang patah berwarna hijau muda. Daunnya berbentuk seperti daun sirih dan baunya juga hampir sama. Buahnya mempunyai minyak sari apabila dimasak. Walaupun ia tidak mendapat perhatian di Malaysia namun di negara luar, tumbuhan ini dan benihnya dijual secara komersial. Ia boleh dijadikan sayur dan salad.

Kegunaan

Jus pokok ini diminum untuk mengelakkan jangkitan pada mata, cirit-birit, batuk, selesema, jangkitan pundi kencing dan untuk menurunkan tekanan darah tinggi. Daunnya mengandungi bahan antibakteria yang boleh merawat penyakit kulit seperti bisul, jerawat dan kulit melecur. Ia juga boleh digunakan untuk merawat athritis dan rheumatik. Ia juga boleh menjadi penawar kepada sakit sendi dan sakit perut. Keseluruhan pokok yang dilumatkan boleh mengurangkan sakit kepala dan panas badan akibat demam.

Tuesday, November 17, 2009

Jambu Batu

Buah jambu batu


Nama Botani : Psidium guajava
Famili : Myrtaceae


Pengenalan


Jambu batu atau Psidium guajava merupakan sejenis tumbuhan perdu yang banyak cabang. Tingginya mampu mencapai sehingga 12m. Daunnya berbentuk bulat telur dan agak kasar. Ianya juga mempunyai bunga yang berwarna putih dan buahnya berisi serta banyak biji. Tumbuhan ini biasanya tumbuh meliar di kawasan kampung dan ada yang ditanam secara komersial di ladang.


Kegunaan


Tumbuhan ini mengandungi tanin pada daun, kulit batang dan buahnya. Ia juga mengandungi banyak lemak, damar, minyak menguap dan garam-garam mineral. Jambu batu juga mengandungi avikularin dan guaijaverin yang berkhasiat sebagai antibakteria.

Jambu batu mempunyai pelbagai kegunaan, di antaranya ialah akar, kulit dan batang serta daunnya direbus dalam air yang mendidih, kemudiannya airnya itu sangat sesuai diminum bagi mengubati sakit perut dan cirit birit. Air rebusan itu juga boleh digunakan untuk membersihkan selaput lendir proses usus yang terdapat pada bayi (prolapsysani). Luka-luka boleh diubati dengan menggunakan daun jambu batu jika daun tersebut ditumbuk dan ditampal pada tempat luka tersebut.

Monday, November 16, 2009

Celagi @ Asam Jawa

Buah asam jawa yang matang
Nama Botani : Tamarindus inidica
Nama lain : Celagi (Pantai Timur Malaysia), Asam (Utara Semenanjung)

Pengenalan

Asam jawa juga dikenali sebagai celagi di kalangan penduduk Pantai Timur Malaysia. Nama botaninya, Tamarindus inidica. Nama dalam bahasa Inggerisnya, tamarind adalah berasal daripada nama Arab dan Parsi iaitu tamar yang bermakna kurma India. Asam jawa tumbuh liar di kawasan barat India dan di benua Afrika iaitu sebahagian selatan padang pasir sahara. Pokok asam jawa tumbuh paling baik dalam keadaan cuaca yang mengalami musim kemarau yang nyata tetapi sederhana. Ketinggian pokok asam jawa boleh mencapai sehingga 26m.Daun pokok asam jawa adalah malar hujan dan banyak anak daun yang halus. Ia berwarna hijau muda dan menjadi hijau tua apabila matang. Buah asam jawa tergolong dalam jenis kekacang(rujuk foto). Isinya berketul-ketul dan berwarna keperangan. Isi buah ketika muda berwarna hijau dan apabila masak, ia bertukar menjadi coklat. kulitnya akan jadi rapuh dan mudah untuk mengasingkan isinya.
Kegunaan

Pokok asam jawa terbahagi kepada dua jenis iaitu yang masam dan yang manis sedikit. Asam jawa banyak digunakan dalam perubatan tradisional. Di India, kulit pokok asam dikunyah bersama-sama dengan daun sirih atau dimakan begitu saja bagi menjaga kesihatan badan, terutamanya bagi wanita yang mengandung. Di Malaysia, asam jawa dan akar pokoknya digunakan bagi menyejukkan badan dan sebagai pelawas. Kayu terasnya pula sebagai pelawas buang air besar dan air kecil, ubat penyakit hati dan penawar kurang selera makan. Kulit buah dan kulit kayu asam jawa boleh dijadikan ubat cirit-birit kerana ia mengandungi banyak tanin manakala isinya banyak asid tartar. Kulit kayu juga dijadikan losyen untuk mengubati pelbagai penyakit kulit seperti bisul, bengkak, ulser dan gatal kerana terkena gigitan serangga. Air rebusan daun diminum sebagai penawar demam panas dan dapat melegakan lelah. Daun asam jawa muda ditumbuk lumat dan di tampal untuk mengubati penyakit reumatisme, luka dan bisul. Jus daun muda boleh mengubati mata merah dengan cara dipanaskan sedikit dan ditapis lalu dititiskan pada mata berkenaan.
Air rebusan asam jawa yang dicampur dengan gula boleh digunakan sebagai ubat cacing dalam perut dan penawar penyakit disenteri berdarah. Air rebusan asam jawa diguna untuk mengubati selesma dan air rebusan daunnya pula diminum untuk mengubati penyakit kencing manis dan batuk kerana gatal kerongkong. Ia juga dijadikan sebagai penawar demam campak dan dibuat air mandian penawar demam panas dan sakit otot. Air rebusan akar asam jawa juga boleh digunakan untuk mengubati jaundis dan pendarahan.

Ketereh @ Gajus

Daun gajus yang sentiasa menghijau. Pucuknya menjadi pilihan penggemar ulaman

Nama Botani : Anacardium occidentale
Famili : Anacardiaceae
Nama Lain : Keterah, Janggus, Jambu golok, Jambu monyet.

Pengenalan

POKOK gajus berasal dari Brazil dan diperkenalkan oleh orang Portugis ke Melaka melalui Goa. Kini pokok gajus ditanam di sekitar negara tropika, terutama India. Tingginya mencapai kira-kira 10m hingga 12m dan silaranya rendang terbuka dengan daunnya yang sentiasa menghijau. Ketika muda daunnya berwarna merah keunguan. Bunganya banyak, kecil dan berwarna putih kemerahan

Buah gajus tergantung pada pedisel yang membesar seperti buah jambu, berwarna hijau bertukar menjadi kuning atau merah apabila masak, berjus dan rasanya kelat-kelat manis. Pedisel yang membesar seperti buah Jambu ini sering dianggap sebagai buah. Sebenarnya ia tidak berfungsi sebagai buah. Pokok gajus mudah dibiakkan dengan cara menyemai biji benih. Percambahan mengambil masa yang lama. Bagi mendapatkan klon terpilih, cantuman mata tunas boleh dilakukan. Penanamannya memerlukan tanah berpasir dan iklim panas bagi merangsang pengeluaran bunga dan buah.

Kegunaan

Biji gajus yang diproses adalah makanan kudapan popular. Selain itu, biji gajus penyedap rasa dalam pelbagai resipi masakan tradisional seperti nasi minyak, beriani dan dalca.

Biji gajus mengandungi khasiat makan yang tinggi. Dalam tiap-tiap 100 gram (g) bahagian yang boleh dimakan mengandungi: air 4.9 g, protein 21.2 g, lemak 0.2 g, karbohidrat 4.5 g, serat 6.4 g, kalsium 43 miligram (mg), fosforus 35 mg, ferum 7.7 mg, natrium 20 mg, kalium 410 mg, vitamin A 51 ug, vitamin B1 0.67 mg, vitamin B2 0.1 mg, niasin 2.5 mg vitamin C 60 mg.

Buahnya pula, dalam tiap-tiap 100 g bahagian yang boleh dimakan mengandungi: air 88.6 g, protein 0.6 g, lemak 0.2 mg, karbohidrat 9.5 g, serat 0.8 g, kalsium 3 mg, fosforus 15 mg, ferum 0.3 mg, natrium 9 mg, karotena 35 ug vitamin A 5 ug, vitamin B1 0.02 mg vitamin B2 0.03 mg. niasin 2.5 mg vitamin C 140 mg

Pucuk mudanya mengandungi: air 89.0g, protein 3.8 g, lemak 0.2 mg, karbohidrat 4.5 g, serat 1.5 g, kalsium 53 mg, fosforus 29 mg, ferum 3.7 mg, natrium 7 mg, karotena 2076 ug vitamin A 326 ug, vitamin B1 0.0 mg vitamin B2 1.19 mg. niasin 0.5 mg vitamin C 91 mg

Sunday, November 15, 2009

Orkid Merpati

Bahagian ini yang digunakan untuk merawat sakit telinga

Nama Botani : Dendrobium Crumenatum
Nama Lain : Anggerik desa, anggerik merpati, sepulih anggerik, sakat harum, tokmaisi, orkid desa, pigeon orchid, white dove orchid, daun seputih tulang, anggerik bawang, bunga angin.


Pengenalan

Orkid merpati merupakan orkid liar yang mudah dijumpai di Malaysia. Ia tumbuh meliar dengan menumpang pokok lain. Ia merupakan sejenis tumbuhan epifit kerana ia mampu membuat makanan sendiri tanpa menyerap makanan daripada pokok yang ditumpanginya. Pokok ini mendapat nama daripada bentuk bunganya yang belum berkembang kelihatan seakan seekor burung merpati. Kelebihan orkid ini ialah bunganya yang berwarna putih bersih dengan bau yang sangat harum tetapi orkid ini hanya berkembang dalam masa satu hari sahaja, hari kedua bunganya mulai layu. Ia akan mengeluarkan bunga yang banyak selalunya selepas hujan lebat yang turun selepas cuaca panas yang berpanjangan.


Kegunaan

Orkid merpati merupakan antara tumbuhan yang mempunyai nilai perubatan. Air dalam bahagian batang yang meyimpan air (rujuk fofo) boleh digunakan untuk mengubati sakit telinga. Caranya dengan memicit bahagian batang tersebut dan menitiskan air terus ke dalam telinga yang sakit.

Friday, November 13, 2009

Cekur Manis

Pokok cekur manis


Nama botani : Sauropus androgynus
Nama lain : Asin-asin(Utara Semenanjung), mani cai (Cina), rau ngót (Vietnam)

Pengenalan

Pokok cekur manis atau nama saintifiknya Sauropus androgynus merupakan tumbuhan yang banyak terdapat di Asia Tenggara. Terdapat bahagian pokok cekur manis yang boleh dijadikan makanan. Pucuk cekur manis biasa digunakan dalam masakan masyarakat Melayu. Daun cekur manis boleh diperam atau dijeruk dan dijadikan bahan masakan yang sungguh menyelerakan. Ia juga dikenali sebagai mani cai (Cina), dan bahasa Vietnam sebagai rau ngót. Pokok cekur manis terdiri daripada beberapa batang menegak yang mampu mencecah ketinggian 2.5 m dan mempunyai daun bujur gelap sepanjang 5–6 cm. Pokok cekur boleh dibiakkan dengan menggunakn keratan batang atau biji benih. Pokok ini mudah untuk hidup dan lasak dengan keadaan persekitaran.

Kegunaan

Ia merupakan salah satu sayuran daun yang popular di Asia Selatan dan terkenal kerana cekur manis mudah didapati dan rasanya sedap. Pucuknya juga boleh dimakan sebagai ulaman. Di Vietnam, ia dimasak sebagai sup bersama ketam, atau udang kering. Cekur manis merupakan salah satu daripada tumbuhan yang mengandungi vitamin K. Cekur manis bukan hanya boleh dijadikan ulaman, di Malaysia ia biasa dijadikan sayur dalam masakan seperti masak lemak dan sebagainya. Daun cekur manis mengandungi banyak provitamin A karetenoid terutama pada daun yang baru dipetik dan masih segar. Malah cekur manis juga mengandungi vitamin B, C, protein dan juga mineral. Kandungan nutrien dalam daun cekur manis semakin tinggi jika daunnya semakin tua.

Dalam perubatan tradisional, cekur manis sering disarankan kepada ibu-ibu mengandung khususnya untuk memperbanyakkan susu selepas melahirkan anak. Caranya ialah dengan melumatkan daunnya kemudian ditampal pada payudara si ibu. Cekur manis yang dijadikan jus juga paling mujarab untuk mengubati sakit mata dan meredakan demam dan panas badan.

Thursday, November 12, 2009

Mengkudu

Pokok Mengkudu

Nama Botani : Morinda citrifolia

Pengenalan

Pokok mengkudu mempunyai daun yang berbentuk bujur, berkilat. Buahnya mengerutu dan mempunyai banyak biji. Warnanya hijau kekuning-kuningan dan berbau yang kurang menyenangkan. Pokok mencapai ketinggian sehingga 7m di kawasan terbuka. Tumbuh meliar di sekitar kawasan rumah. Terdapat beberapa bahagian pokok mengkudu yang berkhasiat untuk ubatan. Pokok, daun, buah, kulit dan akarnya boleh digunakan untuk merawat pelbagai jenis penyakit. Pokok mengkudu ini mempunyai kandungan kimia seperti metil asetil ester, asam kapril, morindadiol, soranyidiol, morindin dan morindon.

Kegunaan

Di malaysia, daun mengkudu yang dilayur diletakkan pada dada dan abdomen untuk rawatan batuk, mual, pembesaran limpa dan kolik(memulas perut). Masyarakat Filipina menggunakan cairan daripada mengkudu dalam rawatan penyakit radang sendi. Daun mengkudu digunakan juga dalam rawatan disenteri di kalangan masyarakat tempatan Solomon dan Taiwan. Buah pokok mengkudu juga dapat mengubat pelbagai penyakit. Buahnya yang sudah masak diperah dan dicampur dengan lempoyang untuk mengubat penyakit ginjal dan hati yang membesar, membantu pencernaan dan membantu melawaskan kencing.
Rebusan kulit pokok mengkudu merupakan astrigen (bahan yang boleh mengecutkan tisu dan saluran darah) dan digunakan bagi merawat malaria. Rebusan kulit merupakan astrigen terhadap masalah usus. Campuran kulit, akar dan buah boleh digunakan unutk membersihkan luka. Masyarakat New Guinea menggunakan campuran kulit akar yang mengandungi pigmen kuning sebagai antiseptik. Masyarakat Melayu di Malaysia menggunakan daun mengkudu sebagai alas batu atau besi tungku semasa bertungku dalam waktu pantang.

Peria Pantai

Pokok Peria Pantai

Bentuk daun, bunga dan buah peria pantai. Daunnya bersinar dan berkilat di bawah sinaran matahari


Nama Botani : Colubrina asiatica
Nama Lain : Peria laut, Lather bush
Famili : Rhamnaceae

Keterangan

Peria pantai merupakan sejenis tumbuhan renek yang biasa dijumpai di kawasan pantai di Malaysia. Ketinggian pokok ini hanya mencapai sekitar 3m. Rantingnya agak unik kerana pucuk yang baru kelihatan seperti pokok menjalar dan berubah menjadi ranting yang keras apabila matang. Daunnya mudah dikenali kerana permukaannya yang bersinar seolah-olah ada satu lapisan plastik yang melitupi permukaannya.Bunganya kecil dan berwarna putih kehijauan. Buahnya pula berbentuk seakan buah berangan atau bongor tapi bersaiz kecil(rujuk foto). Buah peria pantai berwarna hijau ketika muda dan apabila matang ia akan menjadi coklat tua.

Kegunaan

Pokok peria pantai ini mengandungi saponin. Ia biasanya dijadikan ulam oleh masyarakat Melayu. Ia juga boleh dijadikan sayuran untuk masakan. Pokok ini dipercayai dapat menstabilkan tekanan darah dan membantu mengawal diabetes. Daun pokok peria pantai juga boleh digunakan sebagai sabun. Daunnya akan menghasilkan buih jika diramas dalam air.

Wednesday, November 11, 2009

Pegaga

Pokok Pegaga

Nama botani : Centella asiatica
Famili : Apiaceae
Nama Lain : Pennywort (Inggeris), Pegagan (Filipina), Buabok (Thailand), Ching Chow Sui (Cina), Mandookaoarni (Sanskrit), Gotu cola (India)

Pengenalan
Pegaga berasal dari Asia dan Afrika Timur. Pegaga biasanya tumbuh liar di kawasan lembab seperti tepi sungai atau taliair. Kebanyakan spesis pegaga mampu tumbuh di kawasan terbuka tetapi ada juga yang memerlukan teduhan sederhana. Pegaga biasanya tumbuh menjalar di atas tanah dan setiap ruas batang akan mengeluarkan akar. Daunnya berbentuk seperti ginjal dengan bahagian tepi licin atau bergerigi mengikut spesis pegaga tersebut.
Kegunaan
Seluruh bahagian pegaga iaitu daun, tangkai, batang, bunga, buah dan akar mempunyai banyak kegunaan dan khasiat tinggi. Pegaga dimakan untuk beroleh umur yang panjang dan awet muda apabila mengamalkan pengambilan pegaga dalam gizi harian mereka. Pegaga mengandungi banyak sebatian kimia dan bioaktiviti yang terbukti mengandungi ciri-ciri anti bakteria, antispasma, antiintinflamasi, hipotensif dan insektisid.

Pegaga juga digunakan sebagai agen antialergi, antikanser, antidiarea, antidisenteri, perangsang pembuangan urin, hipotensif, stimulan, tonik menyejukkan badan, mengeluarkan batu karang, penawar kencing berdarah, kusta, gonorea, luka, kudis dan sakit kerongkong.

Belimbing Buluh

Pokok Belimbing Buluh

Nama Botani : Averrhoa bilimbi
Nama Lain : Belimbing asam
Famili : Oxalidaceae
Asal : Malaysia dan Indonesia

Pengenalan

Pokok belimbing buluh biasanya ditsnam di kawasan kampung dan di sekitar perumahan. Pokok ini mudah ditanam dan tidak memerlukan penjagaan yang rapi. Rupa pokok belimbing buluh hampir sama dengan pokok cermai. Bagi mereka yang tidak begitu mengenali tumbuhan, mungkin keliru dengan sekali pandang. Buahnya boleh digunakan untuk berbagai-bagai tujuan. Daun pokok belimbing buluh mempunyai dua jalur anak daun yang kecil dan tersusun rapi di kedua-dua belah urat. Anak-anak daun ini mudah gugur daripada tangkainya. Bunga belimbing ini berwarna merah dan pada kebiasaannya terdapat di bahagian batang pokok dan juga pada dahan-dahan yang matang.

Kegunaan

Buah belimbing buluh digunakan dalam perubatan tradisional untuk melembutkan kulit muka dan menghilangkan jerawat. Caranya ialah dengan memarut buah belimbing muda, sedikit air dicampurkan dan disapukan pada muka. Buahnya yang amat masam digunakan dalam masakan jenis kari untuk menggantikan cuka. Selain daripada itu, ia juga digunakan untuk menghilangkan kotoran pada pakaian.

Jus belimbing buluh muda digunakan untuk menurunkan tekanan darah tinggi, kencing manis dan untuk menggelakkan pitam. Bunganya digunakan oleh sesetengah masyarakat untuk melegakan sakit gigi. Daun, bunga dan buah belimbing buluh yang direbus sehingga mendidih dalam kuantiti yang sama banyak dan diminum setiap pagi boleh menyembuhkan batuk.

Walau bagaimanapun, kajian saintifik menunjukkan bahawa buah belimbing buluh mengandungi kandungan oksalat yang tinggi. Kandungan oksalat yang terlalu tinggi di dalam badan boleh menyebabkan penyakit karang pada saluran kencing.
Ekstrak metanol daun pokok ini mempunyai sifat antibakteria terhadap Pseudomonas aeruginosa dan Staphylococcus aureus serta sedikit kesan terhadap Bacillus subtilis . Bagaimanapun, ekstrak itu langsung tidak berkesan terhadap bakteria lain seperti Staphylococcus aureus, Bacillus subtilis, Escherichia coli, Pseudomonas aeruginosa dan Klebsiella pneumonia. Sebaliknya, pokok ini peka terhadap bakteria-bakteria ini.

Mertajam

Pokok mertajam

Nama botani : Erioglossum rubiginosum
Famili : Sapindaceae
Pengenalan

Kita semua tahu ada tempat di Pulau Pinang yang dinamakan Bukit Mertajam tapi tidak semua yang mengenali rupa pokok mertajam ini. Pokok mertajam boleh mencapai ketinggian sehingga 12m. Bunga mertajam berwarna putih, berbentuk bulat dan berpetal. Buahnya kecil, berwarna kuning semasa muda dan bertukar kepada merah dan kundang gelap bila telah matang. Pokok mertajam biasanya tumbuh meliar di sekitar kawasan kampung.
Kegunaan
Pokok mertajam mempunyai pelbagai kegunaan. Ia digunakan untuk merawat kudis. Pucuk dan daun dikunyah, campur sedikit air dan sembur di tempat kudis. Cara ini perlu diulangi 2 hingga 3 kali sehari selepas mandi.

Daun mertajam bersama daun jering dilumatkan di tapak tangan hingga hancur. Sapu hancuran itu di sendi yang terasa sengal. Ia akan mengurangkan sakit sendi.

Sunday, November 1, 2009

Markisa Medan

Bentuk dan rasa buah markisa Medan ini tidak sama seperti markisa yang terdapat di Malaysia.

Biji dan cecair buah ini sahaja yang boleh dimakan. Biasanya dibuat jus.


Buah markisa ini diperolehi dapat daripada kawan sepejabat yang baru balik bercuti di Medan. Rasanya tak lah sedap mana tapi dah lama penulis mencari markisa untuk ditanam. Bijinya seperti dalam gambar di atas tu dah disemai. Sekarang tunggu masa untuk bercambah dan tumbuh. Bila pokoknya dah tumbuh, gambarnya akan diambil untuk dipost dalam blog ni.