VIP Dedaun Alam

Showing posts with label taman lagenda. Show all posts
Showing posts with label taman lagenda. Show all posts

Tuesday, March 20, 2012

Lagenda Dalam Taman - Part 3

Sambungan dari Lagenda Dalam Taman Part 1 & 2.

Pertarungan garuda dan jentayu.

Arca bahtera karam merujuk kepada kawasan Pantai Pasir Tengkorak, Tanjung Tulang dan Pantai Pasir Hitam.

Telaga Tujoh. Di sini dibina sebuah bukit yang menempatkan air terjun Telaga Tujoh yang mepunyai kisah lagenda tersendiri. 

Arca tangan yang menunjukkan pertarungan antara dua gergasi bernama Machinchang dan Mat Raya. Pertarungan sengit di antara mereka berdua telah diabadikan sebagai nama tempat di Langkawi seperti Kuah, Tanjung Cincin, Kisap, Ayer Hangat dan Belanga Pechah.

Simbolik berakhirnya sumpahan tujuh keturunan oleh Mahsuri setelah dihukum bunuh. Replika tombak menunjukkan hukuman bunuh yang dijatuhkan terhadap Mahsuri dan binaan di depannya sebagai tanda bebas daripada sumpahan. 


Lagenda dan Mitos Langkawi


Lagenda Pulau Dayang Bunting

Lagenda pada pulau ini penuh dengan misteri dan mitosnya sendiri. Air dari tasik pulau ini dipercayai dapat merawat kemandulan dengan meminum atau mandi dengannya. Terdapat banyak versi cerita rakyat tentang asal-usul tasik ini namun lagenda Putri Dayang Sari adalah cerita yang termasyur. 

Lagenda Putri Dayang Sari 

Tasik ini adalah salah satu tempat yang menjadi pilihan utama Putri Dayang Sari, seorang puteri dari kayangan, bermain dan mandi. Pada satu hari, seorang putera raja iaitu Putera Teja telah terserampak dengan Putri Dayang Sari yang ketika itu bermain dan mandi ditasik tersebut. Putera Teja terpegun dengan kecantikan yang dimiliki oleh puteri dari kayangan itu dan beliau terus jatuh cinta. Putera Teja cuba memikat Putri Dayang Sari dengan puisi serta lagu-lagu yang indah lagi merdu tetapi tidak berjaya. Oleh kerana usahanya tidak berjaya, beliau telah berjumpa dengan cerdik pandai untuk mendapat nasihat memenangi hati puteri tersebut. Beliau telah disuruh membasuh mukanya dengan airmata puteri duyung. Apabila beliau telah berbuat demikian Putri Dayang Sari telah jatuh cinta dengan kecantikan yang dimilik oleh Putera Teja. Selepas berkahwin, Putri Dayang Sari telah mengandung. Bayi yang dikandungnya itu telah mati ketika dilahirkan dan beliau merasakan parkahwinannya ini adalah merupakan satu tipu helah. Selepas mengkebumikan bayi tersebut didalam tasik ini, Puteri Dayang Sari yang mempunyai penawar kemandulan telah kembali kekayangan dan tidak kembali lagi.

Lagenda Pulau Dayang Bunting

Tasik Dayang Bunting merupakan tasik air tawar di Pulau Dayang Bunting iaitu pulau kedua terbesar di kepulauan Langkawi. Terdapat beberapa versi lagenda Dayang Bunting. Satu versi bahawa Dayang Bunting adalah penjaga semangat gergasi yang tersimpan di atas pulau-pulau. Dia membela singa dan menggunakan racun daripada akar pokok tuba untuk perlindungan dan keselamatannya. Dua buah pulau yang berhampiran Pulau Dayang Bunting dinamakan Pulau Singa Besar dan Pulau Tuba. Diceritakan ada satu kumpulan pedagang yang tidak membayar cukai untuk berdagang di pulau tempat tnggalnya. Akibat marah dengan tindakan pedagang tersebut, dia memanggil singa peliharaannya untuk mengusir penceroboh. Dia juga memuja semangat angin dan air. Terjadilah huru hara dan ribut kepada angkatan kapal, jong dan bahtera pedagang tersebut. Ribut taufan telah memusnahkan kapal, jong dan bahtera dan karam di Pulau Jong. Serpihan jong yang musnah tersadai di panta Pulau Jong. Ketika ribut melanda, kapal yang membawa kerbau hitam dan putih berlindung di Pulau Gubang Darat dan Pulau Gubang Laut. Manakala kapal yang membawa kerbau putih berlindung di Pulau Balar. Kapal yang sarat dengan muatan beras telah terkandas di Pulau Beras Basah. Dalam kisah yang lain pula, diceritakan seorang putera pernah makan nasi mentah semasa majlis kenduri. Dia mengalami sakit perut dan terkentut di dua tempat yang kini dikenali sebagai Pulau Kentut Besar Pulau Kentut dan Pulau Kentut Kecil.

Lagenda Telaga Tujoh

Telaga Tujo adalah satu rangkaian tujuh telaga semulajadi yang airnya mengalir dari tujuh mata air. Dipercayai terdapat tujuh orang puteri dari kayangan yang sering mandi dan amat suka akan kesejukan air perigi ini. Terdapat seorang putera raja yang tinggal berhampiran perigi ini dan cuba untuk memikat serta mengahwini salah seorang puteri-puteri ini tetapi masih belum berjaya. Air ini juga dipercayai mempunyai kuasa yang boleh menyembuhkan beberapa penyakit. 

Lagenda Mat Chinchang Dan Mat Raya 

 Mat Chinchang dan Mat Raya adalah diantara keluarga gergasi yang tinggal di pulau utama Pulau Langkawi. Disebabkan oleh saiz yang besar serta kekuatan tenaga yang dimiliki oleh mereka, bentuk mukabumi Langkawi telah berubah dengan dramatik. Lagenda meraka bermula, apabila Mat Raya bercadang mengadakan kenduri sempena pertunangan anak perempuannya dengan anak lelaki Mat Chinchang. Pada hari majlis itu berlangsung didapati anak lelaki Mat Chinchang telah berlaku sumbang dengan seorang dara dan ini telah mencetuskan kemarahan Mat Raya. Akibatnya, persahabatan dua keluarga ini telah terputus dan wujud permusuhan yang hebat serta pertumpahan darah dan kehilangan nyawa. Pergaduhan dua keluarga ini telah mengubah kawasan dipulau utama ini dimana tempat cincin pertunangan itu jatuh selepas dicampak dinamakan Tanjung Cincin. Kawasan dimana peralatan memasak itu pecah dinamakan Kampung Belanga Pecah, kuah yang mengalir itu dinamakan Pekan Kuah dan tempat dimana kuah itu meresap ke tanah dinamakan Kisap serta kawasan Air Hangat yang mempunyai perigi air panas berasal dari bekas memasak air yang telah pecah bagi majlis tersebut. Mat Raya dan Mat Chinchang pula telah bertukar menjadi gunung batu yang dikenali sebagai Gunung Raya dan Gunung Chinchang. Mat Sawar yang cuba menjadi orang tengah bagi menyelesaikan masalah pertelingkahan ini telah bertukar menjadi sebuah bukit yang menjadi pemisah kepada dua gunung ini. Kampung Air Hangat Telaga Air Hangat juga wujud akibat pergaduhan dua gergasi yang sama. Diantara pinggan mangkuk serta periuk belanga yang pecah terdapat beberapa bekas yang digunakan untuk memasak air panas. Tempat dimana tumpahnya air panas tersebut menghasilkan telaga air panas yang wujud sekarang.

Pantai Pasir Tengkorak

Penduduk tempatan percaya bahawa ada 'hantu air' atau pusaran air gergasi yang akan menenggelamkan kapal yang melalui kawasannya(Selat Melaka, Lautan Hindi dan Laut Andaman). Hantu air atau pusaran air gergasi ini dikatakan telah menyebabkan banyak kapal yang karam. Tengkorak anak-anak kapal dan penumpang disimpan di Pantai Pasir Tengkorak. Serpihan tulang pelaut kuno yang ditemui di Tanjung Tulang, manakala bahagian-bahagian kapal bersemadi di Pantai Pasir Hitam. Akibatnya mineral tourmaline, ilmenit dan zirkon telah menyebabkan pasir di pantai tersebut menjadi hitam. Manakala Pantai Pasir Tengkorak dipenuhi dengan tengkorak dan tulang. 

Gua Cerita Dan Merong Mahawangsa 

Kisahnya mengenai Maharaja Rom dan China yang merancang untuk mengahwinkan anak-anak mereka. Rancangan ini telah ditentang oleh Garuda yang melihat penyatuan dua kuasa besar sebagai satu ancaman kepada kerajaan-kerajaan kecil yang lain. Garuda berhasrat untuk membatalkan rancangan ini, apa yang ia lakukan adalah untuk menculik puteri Cina dan bersembunyi di dalam gua yang dipercayai berada di Pulau Langkawi. Dia kemudiannya bertekad untuk menyerang dan memusnahkan armada Rom yang diperintahkan oleh Merong Mahawangsa yang membawa Putera Rom di atasnya. Merong Mahawangsa dikatakan berasal dari mitos, keturunan Indera dan Gergasi. Ketika di dalam pertempuran Merong Mahawangsa dibantu oleh Jentayu, burung mitos air. Dalam pertempuran tersebut, Garuda telah menang. Ketika di dalam pertempuran putera Rom jatuh ke dalam laut dan dihanyutkan ke pantai di pulau tempat puteri Cina tersembunyi. Putera Rom kemudiannya dijumpai oleh dayang puteri. Putera Rom dan Puteri Cina akhirnya bersatu dalam pertunangan. Sementara itu, Garuda yang menyangka dia menang dalam pertempuran tetapi mengetahui bahawa pasangan tersebut telah berkahwin. Dalam kehinaan Garuda menghilangkan diri daripada dunia. 

Gua Cerita Dan Gedembai (Kelembai) 

Pada zaman dahulu ada hidup makhluk aneh di Langkawi, yang dipanggil Gedembai, yang boleh menjadikan mana-mana manusia atau haiwan ke dalam apa-apa bentuk yang dia mahu hanya dengan menyebut perkataan. Gedembai sangat ditakuti dan dibenci oleh semua orang. Kuasa luar biasa yang dimiliki menjadikan dia sebagai ratu pulau. Kemahuannya akan dipenuhi tanpa bantahan kerana tiada siapa yang berani menderhaka kepadanya. Gedembai tinggal di rumah kayu yang indah yang dibina oleh penduduk kampung. Satu hari ketika dia sedang berjalan di sepanjang pantai Tanjung Rhu, dia ternampak sebuah gua dan teruja pada gua tersebut. Gua ini dipanggil Gua Cerita dan telah didiami oleh sebuah keluarga tetapi Gedembai menukarkan mereka menjadi batu. Batu berbentuk katil, meja, periuk, kuali, dan lain-lain barangan rumah, dan seorang lelaki, seorang wanita, dan tiga kanak-kanak ada dalam gua tersebut tetapi kebanyakan telah lenyap.

Sunday, March 18, 2012

Lagenda Dalam Taman - Part 2

Kisah Lagenda Dalam Taman Part 2 adalah kesinambungan daripada Lagenda Dalam Taman Part 1

Pulau Jong. Arca jong karam sebagai petunjuk kepada nama sebuah pulau di Langkawi.

Nama tiga buah pulau di sini berkisahkan lagenda dan mitos mengenai kerbau balar.

Duyung dan bola emas.

Pulau Kentut Besar dan Kentut Kecil adalah antara gugusan pulau di Langkawi.

Telana dan Telani.

Telani dan Telanai mengisahkan mengenai percintaan di antara seorang dayang istana bernama Telani dengan kekasihnya,Telanai, seorang pahlawan. Selepas mengalami malapetaka berturut-turut, Sultan yang mendapat tahu mengenai hubungan tersebut telah menyalahkan hubungan dayang istananya itu sebagai punca malapetaka tersebut. Sultan kemudiannya telah memerintahkan Telani dibuang daerah ke sebuah pulau yang sunyi iaitu Pulau Dayang Bunting. Di situ Telani telah melahirkan seorang anak lelaki. Tidak lama kemudian, Telanai pun belayar menuju ke pulau tersebut bagi mengubati rindunya terhadap Telani dan anaknya. Semasa pelayarannya, secara tiba-tiba, kilat sambar-menyambar bersertakan guruh-gemuruh. Anak Telani yang sedang nyenyak tidur di pinggir tasik terjaga ketakutan, lalu terjatuh ke dalam tasik itu. Setelah kabus hilang, Telanai telah bertukar rupa menjadi sebuah pulau yang kini dikenali sebagai Pulau Tajai, sementara Telani pula menjelma sebagai batu besar di tempat dia menangis. Menurut cerita, seekor buaya putih kerap cerita muncul berenang di antara Pualau Tajai dan batu besar itu. Dikatakan bahawa buaya itu adalah jelmaan anak pasangan kekasih tersebut.

Friday, March 16, 2012

Lagenda Dalam Taman - Part 1

Lagenda dalam taman adalah konsep dan tema Taman Lagenda Langkawi. Dalam taman ini dibina arca  atau binaan yang mewakili lagenda dan mitos Pulau Langkawi. Hampir semua mitos dan lagenda ini merupakan nama tempat atau daerah di Langkawi. Lagenda dan mitosnya akan saya update kemudian..

Arca cincin. Tanjung Cincin.

Ayer Hangat.

Dulunya air mengalir keluar dari mulut kendi ini sebagai simbol air hangat tertumpah. Sayang pula ia terbiar tanpa penjagaan betul oleh pihak berkenaan. Air hangat yang mengalir dari sini akan mengalir ke bahagian bawah dan di situ wujud sebuah telaga air panas yang kini dikenali dengan nama Ayer Hangat.

Kuah yang tertumpah dari belanga pecah. Belanga Pechah dan Kuah nama tempat di Langkawi.

Belanga Pecah.

Wednesday, February 22, 2012

Wakaf @ Gazebo Taman Lagenda

Wakaf atau dalam bahasa modennya, gazebo adalah senibina yang didirikan sebagai tempat teduhan dan rehat. Dalam Taman Lagenda dibina beberapa buah wakaf sebagai tempat berehat atau melepaskan lelah setelah penat berjalan. Atau berlindung dari hujan dan kepanasan.


Gazebo yang menempatkan arca gong untuk lagenda Padang Gaong.
Wakaf yang dibina dalam bahagian lagenda Padang Gaong.

Wakaf terbesar dalam taman ini.

Wednesday, February 15, 2012

Gerbang Berukiran Taman Lagenda

Gerbang berukiran pertama yang akan kita jumpa setelah masuk ke Taman Lagenda. 

Gerbang berukiran ke bahagian lagenda Tasik Dayang Bunting.

Ke bahagian pertarungan Garuda Dan Jentayu.

Gerbang berukiran ke bahagian Telaga Tujoh. Ukiran dibuat oleh tukang ukir Melayu yang mahir. Ukiran seperti ini biasanya dibuat menggunakan kayu cengal.

Sebuah gerbang berukiran yang sangat menarik dan indah seni ukirannya.

Friday, February 10, 2012

Pantai Taman Lagenda

Pantai berpasir putih tiada nama khusus tetapi lokasinya dalam Taman Lagenda. Pantai ini juga terhasil daripada tanah tebusguna dan tempat saya berdiri untuk abadikan foto ini adalah tengah laut sebelum ditambak dengan tanah dan pasir. Pemandangan ini menghala ke arah Dataran Lang.

Pandangan ke sebelah kanan iaitu Jeti Pelancongan. Kawasan tersebut juga adalah tanah tebusguna.

Pemandangan dari pantai ini.


Wednesday, February 8, 2012

Taman Lagenda @ Lagenda Park, Langkawi

Tuan puteri bergambar di laluan masuk utama ke Taman Lagenda. Taman Lagenda dibuka kepada umum pada tahun 1996. Ketika itu, bayaran masuk dikenakan tetapi sekarang masuk adalah percuma. Taman ini dibina di atas tanah tebusguna seluas 50 ekar. Di tempat tuan puteri saya berdiri ini dahulunya adalah pantai dan lautan. Taman Lagenda terletak kira-kira 400 meter dari Jetty Point iaitu selepas Dataran Lang.

Taman Lagenda dibina atas idea dan ilham daripada mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Taman ini dibina dengan arca dan binaan yang menunjukkan lagenda dan mitos Pulau Langkawi.

Laluan yang dipayungi oleh pokok pukul lima dan diapit oleh terusan di sebelah kiri dan tasik(kanan).

Posing di laluan yang menjadi trek untuk joging.

Tasik yang tenang. Mendamaikan jiwa dan perasaan.

Penat berjalan. Rehat sebentar di atas 'ular'. Itu yang si kecil ini bayangkan mengenai dengan binaan ini. Di hadapan tempat rehat ini terdapat arca belanga pecah, kuah dan kisap. Ketiga-tiganya merupakan nama tempat di Langkawi yang berkaitan dengan mitos dan lagendanya tersendiri.

Tasik yang dipenuhi dengan pokok telipok. Tasik ini mewakili tempat yang diberi nama Pulau 
Gubang.