VIP Dedaun Alam

Showing posts with label betik. Show all posts
Showing posts with label betik. Show all posts

Saturday, September 14, 2013

Kebun Kecil Tepi Pagar - 'Betik Runtuh'

Biasa dengar istilah durian runtuh dan harga runtuh kan? Kali ini ada yang baru dari kebun kecil saya, betik runtuh. Durian runtuh memberi makna kita mendapat hasil yang lumayan/banyak dalam satu masa. Betik runtuh ni asalnya gugur dari pokoknya yang hampir tumbang. Pokok betik yang ditanam menggunakan biji benih betik MARDI berbuah dengan lebat. Semua orang yang melihat pokok dan buahnya pasti teruja dan kagum dengan buahnya. Pokok betik ini dah beberapa kali condong dan menyenget tapi tuan dia tongkat dengan dua batang kayu penyangga sebesar paha untuk mengelak daripada terus menyembah bumi. Semalam, selepas hujan lebat ianya tumbang ke arah yang tak disokong oleh kayu penyangga. Nasib baiklah ia tak terus menyembah bumi kerana tertampan/tersangkut pada pagar chainlink. Hentakan yang kuat menyebabkan buah-buahnya yang berat dan besar terlucut dan terputus dari tangkai. 1/3 buahnya gugur ke bumi. Tuan dia dapat betik runtuh..hehe..
Ini antara faktor yang menyebabkan pokoknya tumbang. Dalam satu tangka ada tiga biji buah yang besar. Tiga biji buah dalam setangkai ni dah hampir 10 kg.

Tuesday, May 21, 2013

Kebun Kecil Tepi Pagar - Betik Sekaki



Biji benih betik ini asalnya daripada betik klon MARDI. Sepokok betik jenis ini antara tanaman yang mula-mula ditanam dalam kebun kecil. Bila pokok telah membesar, ia mengambil ruang yang agak luas, banyak pokok yang berada di bawah naungannya terpaksa mengalah kerana kekurangan cahaya. Nak alih ke tempat lain pun tak boleh kerana pokok betik ini dah lebih tinggi dari orang yang menanamnya. Semasa entri ini ditulis, buah sulungnya belum lagi masak. Tak sabar nak tengok warna isinya dan bagaimana pula rasanya. Adakah betik klon MARDI sama dengan betik sekaki yang popular tu?

Sunday, September 9, 2012

Kebun Kecil Tepi Pagar

Hobi bertanam memang sebati dalam diri. Tak kira apa jenis pokok termasuk pokok bunga, buah, sayur dan sebagainya saya tanam. Sebelum ini tiada tempat yang sesuai untuk bertanam sayuran dan kebun ini sebenarya dibuat/dibina oleh saya. Dengan menggunakan tulang empat kerat, tanah dipunggah dan ditambak setinggi sekaki daripada tanah asal. Tanah yang digunakan agak istimewa iaitu tanah batas sawah padi. Asalnya tanah ini dibeli untuk diisi dalam tapak lantai rumah. Daripada 40 lori tanah, ada baki lebih kurang 6 lori yang ditambun menjadi bukit di belakang tapak rumah. Dan tanah batas sawah ini terbiar begitu saja. Idea untuk membina kebun terhasil setelah tapak asal untuk kebun kecil kurang sesuai kerana tanah berbatu pasir. Dalam bulan Ramadhan lepas, kerja memunggah dijalankan. Dengan bantuan cangkul, cok betul, penyodok dan kereta sorong bukit tersebut diratakan dalam tempoh tiga minggu (dalam bulan puasa). Kerja memunggah tanah dibuat pada awal pagi dan lewat petang untuk mengelak kepenatan atau kekeringan. Di bawah ini antara pokok sayuran yang ditanam.


 Pokok Bendi Singa, benih F1, 1979. Baru nak membesar dan kudup bunga telah muncul pada bahagian pucuk.

Petola ular. Petola ular sayur lemak putih antara masakan kegemaran saya. Telah bertahun-tahun tak makan menu kegemaran kerana petola ular makin kurang di pasaran.

Rumput? Bukan..ia juga daripada famili yang sama dengan rumput iaitu Graminae. Ini anak pokok jagung manis Top Star baka F1 723 yang berusia seminggu.

Betik klon yang dihasilkan MARDI. Kurang pasti namanya kerana anak pokok betik diberi oleh ayah mertua untuk ditanam di sini.

Pokok ulam raja ditanam menggunakan pucuk yang dibeli di pasar sebagai ulaman. Tanam tiga pokok dan semuanya hidup dengan subur. Pokok ini akan dijadikan induk untuk dapatkan biji benih ulam raja.

Ubi kayu. Pucuknya sedap dibuat ulam dan kerabu. Ubinya boleh dibuat berbagai jenis masakan dan makanan.





Monday, August 13, 2012

Ditelan Pahit Dibuang Sayang

Biarpun bunga betik jantan pahit rasanya tapi madu bunganya tetap manis. Tebuan hitam ini menghisap madu kuntuman bunga betik jantan dan ia bertindak sebagai ejen pendebungaan.

Bunga betik jantan yang rasanya pahit tapi sayang jika dibiar atau gugur begitu saja. Ditelan pahit, nak dibuang terasa sayang, jadi kutip bunga betik jantan untuk dicelur dan dimakan sebagai ulam. Memang masih terasa pahitnya tapi boleh ditelan tanpa masalah. Atau dijadikan kerabu. Celur dulu, toskan dan gaulkan bersama bahan-bahan biasa untuk buat kerabu(kerisik, garam, dan lain-lain tu). Kerabu bunga betik memang unik rasanya, pahitnya berkurangan.

Wednesday, November 16, 2011

Patah Tumbuh Hilang Berganti


Kata orang, yang patah tumbuh, hilang berganti. Maksudnya, akan ada pengganti bila kehilangan sesuatu. Yang patah, akan tumbuh tunas baru. Yang hilang akan ada pengganti walaupun tak sama dan serupa. Dan mungkin juga yang hilang tak akan berganti dan yang patah tidak tumbuh tunas baru. Pokok betik dalam foto ini patah kerana beban buahnya yang lebat dan ketinggiannya lebih 10 meter. Apabila angin bertiup agak kencang, batangnya sudah tidak mampu menanggung berat buahnya yang banyak dan besar. Tunas yang bercambah sebenar telah ada beberapa bulan sebelum pokok ini patah seolah-olah tahu kejadian malang bakal menimpanya. Buah betik masak daripada pokok ini biasanya menjadi habuan sang burung kerana buahnya terlalu tinggi untuk dikait. Burung gembala kerbau, merbah kapur dan burung melilin kini telah hilang sumber rezeki alam untuk sementara waktu.... Menanti yang tumbuh itu membesar dan berbuah.

Thursday, April 22, 2010

Bunga Betik Jantan

Bunga betik jantan yang bertangkai panjang dan tidak menghasilkan buah.
Bunga betik jantan dihasilkan daripada pokok betik jantan. Bunganya mempunyai tangkai yang agak panjang. Ia mempunyai nilai tinggi dalam perubatan. Bunga betik jantan ini biasanya dijadikan ulam. Untuk mengurangkan rasa pahitnya, ia dicelur sebelum dimakan sebagai ulaman. Bunga betik jantan juga dipercayai dapat merawat penyakit lemah jantung. Caranya, rebus beberapa tangkai bunga betik jantan bersama air dan sedikit gula. Kemudian minum air rebusan tersebut dua kali sehari (waktu pagi dan malam). Bunga betik jantan yang pahit itu juga mampu membuka selera makan. Ia juga boleh dijadikan kerabu.

Monday, March 29, 2010

Betik

Pokok betik yang mempunyai cabang
Nama Botani : Carica Papaya
Famili : Caricaceae

Pengenalan

Pokok betik biasanya ditanam di sekitar rumah dan ladang. Pokok betik tumbuh secara menegak dengan batang tunggal tetapi ada juga yang mempunyai beberapa cabang. Daun betik berbentuk pelepah iaitu mempunyai satu daun pada setiap pelepah. Pokok betik mengeluarkan bunga dan berbuah sepanjang masa. Pokok ini mengeluarkan buah yang lebat pada batangnya. Buahnya berwarna hijau sebelum masak, manakala apabila masak berwarna kuning kemerahan.

Kegunaan

Daun betik boleh digunakan untuk membersihkan lumut pada kulit kerang. Daun betik yang muda ditumbuk bersama sedikit temu hitam dan garam sehingga lumat dan dicampur sedikit air, kemudian diminum air campuran tadi untuk merawat demam panas. Bagi mengubati ketuat, getah disapu pada ketuat itu dua kali sehari selama satu minggu.

Buah betik masak dapat membantu penghadaman protein, lemak dan karbohidrat. Buah betik juga dapat mengurangkan asid di dalam perut, merawat ulser dan dapat merawat masalah kulit seperti luka akan menjadi cepat sembuh. Buah betik kaya dengan vitamin C. Ia juga baik untuk merawat hemoroid dan sembelit. Pucuk betik boleh mengubati darah tinggi. Getah daripada buah betik muda boleh digunakan untuk mengatasi tumit yang pecah-pecah dengan menyapu getah pada bahagian tersebut.