VIP Dedaun Alam

Showing posts with label kuih tradisional. Show all posts
Showing posts with label kuih tradisional. Show all posts

Wednesday, January 9, 2013

Kuih Bungkus Manis


Siapa yang pernah lihat dan makan kuih bungkus manis? Kuih bungkus adalah kuih tradisional Kelantan yang makin sukar untuk dibeli sekarang. Kuih ni disebut sebagai 'kuih bukuh manih' oleh penduduk tempatan. Semasa zaman sekolah dulu, bonda saya biasa buat kuih bungkus manis untuk dijadikan hidangan minum petang kami sekeluarga. Proses membuatnya masih saya ingat dan sayalah tukang ambil daun pisang untuk membungkus kuih ni. Kuih bungkus manis ni dalam perancangan saya dan isteri untuk membuatnya. Ubi kayu dah ditanam dan bila ubinya dah ada, InsyaAllah kuih tradisional ini akan jadi hidangan kami.

Nota : Kuih dalam foto dibeli oleh adik ipar saya untuk sarapan pagi bersama nasi berlauk. Kuih bungkus manis sebenarnya bukan mudah untuk didapati kerana orang yang membuat dan menjualnya sekarang dah berkurangan.

Wednesday, July 4, 2012

Cek Mek Molek

Kuih cek mek molek

Sambil mata memandang skrin tv menonton perlawanan bolasepak Liga Super antara Negeri Sembilan vs. Kelantan, tangan sibuk menguli adunan cek mek molek. Cek mek molek dalam foto adalah hasil tangan saya sendiri. Ubi keledek atau nama manjanya bagi orang Kelantan, ubi stello dibeli segar dari ladang. Tuan kebun baru gali terus beli dengan harga jauh lebih murah berbanding di pasar. Saya menggunakan dua ketul ubi keledek yang bersaiz besar. Ubi keledek direbus sehingga masak(empuk). Sejukkan dan lecek/lenyek sehingga lumat. Masukkan tepung gandum sedikit, uli adunan. Tambah tepung gandum sedkit demi sedikit sehingga adunan menjadi doh. Bentukkan bulat sebesar bola golf, tekan pada bahagian tengah untuk masukkan gula mengikut citarasa. Kemudian bentukkan seperti bola ragbi dan digoreng. Cek mek molek yang tak berapa nak molek hasil tangan yang  pertama dah sedia untuk dimakan.

Nota : Kelantan menang 3-2 ke atas Negeri Sembilan, cek mek molek jadi sarapan pagi tadi.

Monday, June 25, 2012

Kuih Buah Tanjung

Kuih buah tanjung

Ramadhan semakin dekat dan bila tiba bulan puasa, kuih buah tanjung menjadi satu kemestian dan kuih yang mesti ada ketika itu. Kuih buah tanjung merupakan kuih tradisional yang berasal dari Kelantan. Biasanya kuih ini hanya dijual dengan banyak dalam bulan Ramadhan sebagai juadah berbuka puasa. Kuih ini tidak dimakan sebagai juadah atau kudapan tapi sebagai pencuci mulut kerana rasanya yang sangat manis. Kuih tradisional ini dibuat dengan bahan-bahan yang mudah namun cara untuk membuatnya memerlukan sentuhan seni dan kesabaran. Acuan tidak digunakan untuk membentuk seperti buah tanjung, hanya sentuhan tiga jari menjadikan bentuk dan saiz kuih ini. Bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat kuih buah tanjung ialah tepung beras, tepung pulut, kuning telur itik, gula, daun pandan, air dan bunga cengkih. Tepung pulut, tepung beras yang digoreng tanpa minyak dan kuning telur itik(dipukul hingga kembang) diadun dan diuli hingga menjadi doh yang lembut. Guna tiga jari untuk membuat bentuk dan saiz seakan buah tanjung. Kerja membentuk perlukan kesabaran kerana ia perlu dibuat satu demi satu sehingga doh habis. Setelah siap dibentuk, kuih ini dimasak dalam air yang dicampur gula, bunga cengkih dan daun pandan sehingga masak.

Wednesday, June 20, 2012

Puding Diraja

Puding Diraja atau Royal Pudding

Makanan tradisional yang berasal dari Pahang dan biasanya hanya terdapat di daerah Pekan iaitu bandar diraja Pahang. Puding Diraja merupakan sajian diraja suatu masa dahulu dan sekarang ia telah dikomersilkan. Bahan utama Puding Diraja adalah pisang lemak manis, jala mas, prune kering, ceri, gajus dan kuah. Pisang yang digunakan daripada jenis lemak manis sahaja. Jala mas dibuat menggunakan kuning telur itik. Kuah untuk puding ini adalah campuran susu cair, gula dan esen vanila yang dimasak di atas api perlahan. Bahan ini dikacau rata supaya tidak berketul dan dimasak sehingga mendidih. Setelah pekat, ia disejukkan. Untuk menikmati kesedapan puding diraja ini, kuah dituang ke atas bahan-bahan puding.  Kali pertama saya merasa puding diraja ini dan ternyata ianya sangat sedap. Sesuai untuk dijadikan sajian pencuci mulut (dessert). Untuk melihat susun atur puding diraja yang lebih sempurna atau ingin merasai kesedapan puding ini, boleh jenguk ke tempat asal dan pembuat puding diraja ini, myroyalpudding.

Tuesday, June 12, 2012

Kuih Tahi Itik

Kuih tahi itik antara kuih tradisional yang mempunyai nama unik.

Pernah dengar nama kuih tahi itik? Kalau biasa dengar namanya, pernah tak lihat bagaimana rupa dan merasa kuih tradisional ini? Kuih tradisonal negeri Kelantan ini dibuat menggunakan putih telur itik, santan kelapa, gula, tepung pulut dan tepung beras. Semua bahan ini diadun dan dimasak. Setelah masak, ia dibentuk mengikut citarasa masing-masing. Kuih tahi itik tiada bentuk yang spesifik. Kuih ini popular ketika bulan Ramadhan namun tidak banyak tempat/orang yang membuat dan menjualnya.

Thursday, October 13, 2011

Kuih Isabella

Kuih Isabella??? Sejenis kuih dengan nama yang agak asing bagi saya. Tapi mahsuri kesayangan  saya bersungguh-sungguh mengatakan nama kuih ini adalah kuih Isabella. Kuih tradisional tapi namanya kedengaran agak moden. Kuih ini sememangnya dikenali dengan nama tersebut hampir di semua tempat di Malaysia. Tak percaya? Cuba buat carian di internet melalui google atau mana-mana enjin carian. Ia juga dikenali dengan nama kuih ketuk/getuk ubi kayu. Ada juga yang memanggilnya cekodok ubi kayu. Rasanya isitilah ini kurang tepat. Bahan utama untuk membuat kuih tradisional ini adalah ubi kayu dan kelapa parut. Ubi kayu yang direbus, dihancurkan(lenyek) dan digaul bersama kelapa matang parut. Tambah sedikit gula dan garam. Kemudian adunan tadi dibentuk seperti bebola. Bebola yang dibuat tadi dicelup ke dalam adunan tepung gandum+tepung beras(seperti tepung pisang goreng).

Gorengggg.... Hati-hati dengan minyak panas, jangan sesekali guna tangan untuk membalik-balik kuih ini semasa menggoreng..hehe..

Dah siap pun kuih Isabella ni. Sedap dimakan sewaktu kita lapar dan ketika kuih ini masih suam.