VIP Dedaun Alam

Thursday, December 31, 2009

Lobak Merah

Pokok lobak merah



Nama Botani : Daucus carota

Pengenalan

Lobak merah atau karot(carrot) adalah sayuran yang sangat popular menjadi pilihan di negara kita. Lobak merah dipercayai berasal dari Jerman dan digunakan sebagai bahan makanan dan perubatan.

Kegunaan

Tumbuhan ini dikatakan mempunyai minyak dan vitamin lengkap seperti A, B,dan C, garam, potasium dan karotin. Karotin menghalang pertumbuhan dan pembiakan kanser. Ia adalah baik untuk menguatkan sistem pertahanan badan untuk melawan penyakit. Ia juga meningkatkan pertumbuhan sel-sel- baru dan membuang toksik dalam badan.

Tumbuhan ini juga berupaya mengurangkan kandungan gula dalam badan, mencegah kanser, mengubat kencing manis, gout, penyakit jantung, penghadaman dan penglihatan. Lobak merah berupaya untuk memecah angin, menyembuh luka, meningkatkan kekerapan kencing dan memecahkan batu karang. Sekiranya daun dihancurkan dengan madu boleh menyembuh luka dan kanser.


Lobak merah mengandungi banyak vitamin A yang sangat diperlukan oleh tisu badan untuk pelbagai fungsi seperti membina pigmen bagi penglihatan yang baik pada waktu malam. Kekurangan vitamin A akan merosakan penglihatan anda.


Jus lobak merah boleh dijadikan sebagai minuman dan ia juga digunakan untuk baiki keadaan kulit kita. Lobak merah sangat berguna untuk mengurangkan masalah sakit jantung, diarrhea dan juga mengatasi selsema. Ia membentuk antibodi dalam badan.

Stevia

Pokok Stevia atau herba manis

Nama botani : Stevia robaudiana
Famili: Chrysanthemum
Pengenalan

Stevia atau herba manis mempunyai khasiat dihasilkan oleh daunnya yang boleh menggantikan gula. Ia biasa dijumpai tumbuh secara liar di Amerika Selatan terutamanya di Paraguay dan Brazil. Kini ia semakin popular dan ditanam di Malaysia.
Kegunaan

Kandungan glycosides di dalam daunnya dan termasuk sehingga 10% Stevioside menjadikan ianya sangat manis. Daun Stevia mempunyai kemanisan 15 hingga 20 kali manis daripada gula. Ekstrak Stevia yang dipanggil Steviosides (85-95%) didapati 200-300 kali manis dari gula biasa.Walaubagaimanapun, Stevia ada sedikit rasa pahit. Stevia didapati mengandungi hampir 100% phytonutrients dan minyak mudah meruap ( volatile oil ), termasuk Rutin dan B-Sitosterol. Bahan aktif yang bertanggungjawabke atas rasa manis pada daun stevia dikenali sebagai Steviol Glycosides yang mengandungi Stevioside dan Rebaudioside.

Stevia digunakan sebagai pemanis semulajadi dan ia sesuai bagi menggantikan gula untuk pesakit diabetis. Ia mampu menurunkan kadar gula dalam darah. Stevia juga boleh digunakan untuk melawaskan kencing dan menurunkan tekanan darah. Ia mampu membunuh bacteria, kulat dan virus. Untuk mengurangkan keradangan, stevia juga boleh digunakan.

Pudina

Pokok pudina

Pudina Australia

Nama Botani : Mentha arvensis
Famili : Labiatae

Pengenalan

Pudina merupakan tumbuhan yang biasa digunakan dalam masakan melayu dan barat. Ia digunakan dalam pelbagai jenis masakan kerana baunya. Tumbuhan ini sejenis herba dan senang ditemui di tempat lembap. Pokok pudina membiak melalui keratan batang dan anak yang tumbuh dari akarnya. Pudina mempunyai bau yang kuat.

Kegunaan

Pudina telah lama digunakan sebagai penawar untuk batuk. Ia juga digunakan sebagai teh. Ia biasanya digunakan untuk merawat demam selesema. Ia juga digunakan untuk membuang angin dalam badan dan mengubat penyakit seperti ruam kulit. Daun pudina boleh dimakan sebagai ulam. Minyak yang diperolehi daripada daunnya dikenali sebagai peppermint. Ia sangat berkesan untuk merawat sakit kerongkong dan sebagai perasa dalam masakan atau gula-gula.

Wednesday, December 30, 2009

Rosemary

Pokok Rosemary(Stesen MARDI Cameron Highland)

Nama Botani : Rosemarinus officinalis
Famili: Labiatae

Pengenalan

Rosemary merupakan tumbuhan renek dengan daunnya yang berbentuk runcing dan panjang. Bunga rosemary berwarna ungu kebiruan dan akan berbunga sepanjang musim bunga dan musim panas. Ketinggian pokok rosemary boleh mencapai 1.5m. Ia dibiakkan melalui keratan batang.

Kegunaan

Berdasarkan kajian saintifik, bau rosemary boleh membantu menguatkan memori atau ingatan kita. Rosemary juga digunakan untuk merawat masalah penghadaman dan masalah haid yang tidak teratur dengan minum secawan kecil teh rosemary setiap pagi. Sekiranya teh rosemary ini diminum bersama madu ia boleh digunakan untuk merawat batuk. Rosemary juga digunakan sebagai tonik untuk menyuburkan kulit kepala, mencantikkan kulit dan menghilangkan kedutan pada kulit.

Pulasan

Buah pulasan
Nama botani : Nephelium mutabile
Famili : Sapindaceae

Pokok pulasan hampir menyamai pokok rambutan dengan buahnya berbulu keras dan lebih pendek daripada rambutan. Kulit buah pulasan agak tebal dan isinya lebih pejal berbanding rambutan. Rasanya seakan buah rambutan. Ianya biasa dijumpai tumbuh liar di hutan tetapi sekarang telah ditanam di kawasan rumah atau dusun.

Merkang

Buah merkang atau lebih dikenali dengan nama tampoi
Nama botani : Baccaurea macrocarpa
Famili : Phyllanthaceae
Nama Lain : Tampoi
Spesis buah nadir ini semakin jarang dijumpai dan mungkin ada antara kita yang tidak mengenali buah tampoi. Merkang atau disebut 'moke, 'ngeke' adalah nama panggilan bagi orang Kelantan. Pokok ini berbuah di batang dan dahan seperti rambai. Buahnya sebesar bola tenis dengan isi berwarna putih. Rasanya masam manis dan ada jeins yang masam. Kulit buah ini akan terpecah kepada tiga bahagian apabila ditekan. Buah tampoi atau merkang dalam foto dibeli di Hentian R&R Sungai Perak.

Tuesday, December 29, 2009

Pisang Kaki @ Persimmon

Buah pisang kaki. Buah ini dibeli dari Cameron Highland(RM10=7 biji). Terdapat ladang pisang kaki di sini.



Yang ini pula buah pisang kaki Amerika

Buah pisang kaki Jepun

Inilah rupa pokok pisang kaki (tiada persamaan langsung dengan pokok pisang) daripada spesis diospyros virginiana

Nama botani : Diospyros kaki Linn.
Famili : Ebenacea

Pengenalan

Pisang kaki atau persimmon bukannya tumbuhan tropika. Walaupun diberi nama pisang kaki, pokok atau buah ini tidak sama dengan pisang yang biasa kita lihat. Tidak pasti kenapa pokok ini diberi nama sedemikian. Sungguhpun buah ini disebut pisang dan berwarna kuning tetapi bentuk serta isinya tidak menyerupai buah pisang. Buah pisang kaki berbentuk bulat seakan tomato, berisi rangup dan berbiji ini berasal dari keluarga Ebenacea. Ia ditanam di negara beriklim sejuk seperti Jepun, Amerika dan Eropah.


Kegunaan

Pisang kaki mengandungi vitamin C, glukos, sukros, fruktos dan iodin. Ianya bernilai tinggi dari segi perubatan kerana amat berkhasiat dalam menurunkan tekanan darah tinggi, meningkat pengaliran darah dalam pembuluh darah koronori, mengatasi masalah sembelit dan meredakan sedu. Serbuk putih yang terdapat pada permukaan buah pisang kaki yang kering juga manis rasanya dan mengandungi manitol, glukos dan vitamin C amat baik untuk paru-paru dan jantung.

Sunday, December 27, 2009

Anggur Cameron Highland

Buah anggur segar.
Jika anda berkunjung ke Cameron Highland, pasti tahu di mana anggur ini ditanam. Ia ditanam sebagai tanaman teduhan di laluan pejalan kaki di Taman Agrotourism Big Red Strawberry Farm, Brinchang. Di MARDI juga ditanam dengan anggur. Jadi, kepada sesiapa yang belum pernah lihat pokok dan buah anggur segar, rancanglah percutian ke Cameron Highland. Cuti-cuti Malaysia.

Pir MARDI Cameron Highland

Buah pir yang masih kecil.
Selain daripada epal, pihak MARDI juga menanam pokok pir tapi aku tak ingat daripada varieti mana. Sesiapa yang teringin untuk mengenali pokok dan buah pir dari dekat silalah berkunjung ke MARDI Cameron Highland. Pokok pir ini ditanam bersekali dengan epal di kawasan terbuka. Pengunjung dibenarkan masuk ke kawasan ini.

Epal MARDI Cameron Highland

Buah epal yang segar tapi hanya boleh dipandang, tidak boleh disentuh

Pokok epal yang telah menghasilkan buah

Bunga epal yang berbau harum


Epal MARDI Cameron Highland

Kunjungan ke tanah tinggi Cameron, Pahang tidak lengkap rasanya jika tidak ke MARDI. Aku tahu mengenai pokok epal yang ditanam di MARDI Cameron Highland daripada e-mel seorang kawan. Dia yang menyarankan aku agar ke sana jika ingin melihat pokok epal yang berjaya ditanam oleh MARDI. Jadi kunjungan ke CH kali ini, aku tidak lepaslan peluang untuk melihat pokok epal dari dekat. Dengan bayaran masuk hanya RM3.00 bagi orang dewasa, anda tidak perlu bersusah-payah ke luar negara untuk melihat pokok epal.


Pokok epal ini dijaga rapi oleh pihak MARDI. Pengunjung hanya dibenarkan melihat pokok epal dari luar pagar sahaja. Pengunjung dibenarkan masuk ke dalam satu lagi kawasan tanaman epal dan pir yang ditanam secara terbuka. Pokok epal di situ masih kecil dan belum berbuah.

Saturday, December 26, 2009

Jambu Golok

Pokok Jambu Golok

Buah Jambu Golok

Nama Tempatan : Jambu Golok (Kelantan)
Nama Botani : Tidak diperolehi
Nama Lain : Jambu Keling (Utara Malaysia)

Pengenalan

Jambu ini boleh dikategorikan sebagai buah tempatan yang hampir pupus. Tidak ramai yang mengenali pokok dan buah jambu dari spesis ini. Daunnya lebar dan pucuknya berwarna kemerahan semasa muda dan berubah menjadi hijau, rasanya masam dan boleh dimakan. Buah jambu ini masam dan biasanya dimakan dengan pencicah atau 'colek'. Bijinya agak besar dengan isi buah agak nipis.

Bidara

Pokok dan buah bidara



Nama Botani : Ziziphus mauritiana

Pengenalan

Bidara ialah tumbuhan hutan yang kini ditanam secara komersil. Pokok bidara mampu mencapai ketinggian 4.6m. Ia mempunyai pelbagai kegunaan dari segi perubatan oleh masyarakat kampung.

Kegunaan

Rebusan kulit dan biji buah bidara diminum untuk menghentikan cirit-birit. Bidara mengeluarkan buah yang rasanya manis dan sedap untuk dimakan. Buah bidara juga boleh menguatkan kecerdasan otak, melicinkan perjalanan usus, menghilangkan penyakit kuning, mencantikkan kulit, membuka selera makan dan menghilangkan kahak.

Sunday, December 13, 2009

Peria Katak (ver. Langkawi)

Peria katak versi Langkawi


Nama asal : Tidak diketahui
Nama botani : Tidak diperolehi

Pengenalan

Pokok ini tumbuh meliar dan tidak ditanam. Mempunyai bunga berwarna putih bersih. Ia akan berkembangan pada waktu pagi dan layu menjelang tengahari. Buahnya agak kecil, kira-kira 3.5cm panjang, lebar 2cm. Berwarna hijau ketika muda dan bertukar merah apabila masak(rujuk foto)

Kegunaan

Buahnya boleh dimakan sebagai ulam dan mempunyai khasiat perubatannya tersendiri.

Mata Itek

Buah mata itik yang masih muda


Nama botani : Ardisia elliptica
Famili : Myrsinaceae

Pengenalan

Pokok mata itek ini satu keluarga dengan pokok mata ayam, mata pelanduk dan beberas. Ketinggiannya boleh mencapai 3 meter. Ia biasanya tumbuh meliar dan yang ditanam sebagai tumbuhan herba. Buahnya berwarna hijau ketika muda bertukar merah apabila masak dan boleh dimakan.

Kegunaan

Pucuk pokok mata itek boleh dibuat ulam dan buahnya juga boleh dimakan. Akarnya boleh digunakan untuk merawat darah tinggi.

Jeliti

Pokok jeliti

Bentuk daun dan bunga jeliti

Nama Botani : Wrightia Religiosa

Pengenalan

Pokok jeliti adalah tumbuhan hiasan yang paling diminati oleh peminat bonsai kerana batang dan rantingnya yang mudah untuk dibentuk. Bunga jeliti keluar dalam bentuk berjambak, bunga kecil berwarna putih dan harum baunya. Terdapat pelbagai jenis pokok jeliti yang ada di Malaysia dan ianya boleh dibezakan oleh bentuk serta saiz bunga dan daunnya. Ia membiak melalui biji benih, keratan batang dan anak-anak yang tumbuh daripada akarnya.

Kegunaan

Akarnya digunakan dalam perubatan sebagai penawar untuk penyakit kulit namun pokok jeliti lebih popular sebagai tumbuhan hiasan (bonsai).

Ubi Keledek

Pokok ubi keledek


Nama botani : Ipomoea batatas
Famili : Convolulacea
Nama lain : ubi jalar, ubi jawa, ubi ketela, ubi setela(stello) dan ubi rambat

Pengenalan

Keledek adalah sejenis ubi yang banyak digunakan untuk membuat pelbagai jenis makanan dan kuih muih. Pokok jenis menjalar ini boleh dibiakkan melalui ubi dan keratan batang. Keseluruhan pokok ini mengandungi getah.

Kegunaan

Keledek juga ada nilai dalam perubatan tradisional. Ianya boleh mencerahkan mata dan mengubati penyakit bisul. Ubi keledek ada berbagai varieti. Ubi keledek manis rasanya, ia baik untuk penghadaman serta berkesan untuk mengatasi masalah rabun pada waktu malam, sekaligus mencerahkan mata. Pucuk keledek juga boleh dimasak lemak.

Ubi keledek kaya dengan karbohidrat, karotena, selulosa dan musin(sejenis protein). Ia boleh menguatkan limpa dan perut serta merangsangkan pengaliran tenaga. Daun keledek dapat digunakan untuk merawat penyakit bisul iaitu dengan menumbuk daun keledek hingga lumat sebelum ditampal ke mata bisul.

Ubi Larut

Pokok ubi larut

Nama botani : Tidak diperolehi

Pokok ini bukan daripada spesis ubi tetapi di Utara ianya dikenali dengan nama ubi larut. 'Ubi' atau yang sebenarnya rizom pokok boleh dikisar dan airnya diminum untuk menyejukkan badan.

Ubi Pujut

Ubi pujut

Nama tempatan : Ubi pujut
Nama Botani : Tidak diperolehi
Pengenalan

Nama ubi pujut ini adalah panggilan di kalangan masyarakat utara Semenanjung (Kedah). Tidak diketahui nama sebenar ubi ini. Ia jenis tumbuhan bermusim, iaitu ia boleh tumbuh bila tiba kitaran hidupnya dan akan mati setelah sampai tempoh(biasanya setelah berisi). Pokok ubi tumbuh liar dan ubi boleh dimakan.

Friday, December 11, 2009

Pokok Halau Iblis??

Pokok Halau Iblis
Nama botani : Tidak diperolehi
Pengenalan
Pokok daripada keluarga halia ini tidak diketahui nama sebenarnya. Nama panggilan pokok ini adalah di kalangan masyarakat pantai timur. Pokok ini dibawa dari Kelantan.
Kegunaan
Rizom pokok ini adalah bahan penting dalam perubatan tradisional yang melibatkan perkara mistik. Ianya dicampur dengan beras kunyit yang ditabur untuk menghalau jin, iblis dan kaum kerabatnya daripada mengganggu manusia.
Nota:
Jika ada sesiapa yang tahu mengenai pokok ini, sila beri komen. TQ.

Thursday, December 10, 2009

Ubi Badak

Bentuk daun ubi badak putih

Daun ubi badak purple/ungu

Ubi badak putih


Nama botani : Dioscorea alata L
Nama lain : Ubi besar, greater yam

Pengenalan

Ubi badak popular di kalangan masyarakat Melayu di Pantai Timur Malaysia terutama di Kelantan. Ubi ini di tanam kerana permintaan terhadap ubi badak ini tinggi apabila tiba musim tengkujuh, iaitu antara November hingga Disember. Ubi badak tidak ditemui di luar daripada negeri Kelantan dan Terengganu. Tidak ramai yang mengenali rupa ubi badak ini apatah lagi hendak merasa kesedapan isi ubi badak.
Kegunaan

Terdapat dua jenis ubi badak yang menjadi pilihan iaitu ubi badak putih dan ubi badak ungu. Ubi badak putih dan ungu biasanya direbus dan dimakan begitu sahaja kerana isinya agak manis. Ubi ini juga boleh dibuat pengat dan beberapa jenis kuih tradisional Kelantan seperti 'koleh'. Kuih seakan tepung talam. Ubi badak ungu boleh dijadikan kerepek.