VIP Dedaun Alam

Showing posts with label keledek. Show all posts
Showing posts with label keledek. Show all posts

Sunday, July 15, 2012

Kateh Ayam



Kateh ayam ini adalah makanan tradisional yang mengimbau nostalgia zaman kanak-kanak kerana ia adalah antara juadah minum petang kami sekeluarga. Kateh ayam yang tiada kena mengena dengan ayam ini dibuat daripada ubi keledek yang dipotong bentuk jejari empat segi memanjang seakan makanan ringan terkenal sekarang. Ia wujud lebih awal daripada restoran makanan segera pertama di Malaysia dan di dunia! Jejari ubi keledek ini dicelup dalam adunan tepung campuran (tepung ubi,  kelapa, telur dan lain-lain.) Kateh ayam adalah makanan tradisional rakyat Kelantan sejak lama dulu dan kini ia semakin dilupakan kerana terdapat pelbagai pilihan makanan(yang sihat dan tak sihat). Kateh ayam dalam foto dibuat oleh saya dengan kerjasama isteri tersayang sebagai makanan  minum petang dan untuk memperkenalkan makanan yang kurang dikenali ramai dan semakin dilupakan ini.

Nota : Kateh dalam dialek Kelantan bermaksud bahagian kaki dari paha hingga kaki. Contoh; kateh aye(ayam), kateh belale(belalang), kateh ci-rik(cengkerik) dan sebagainya.

Sunday, December 13, 2009

Ubi Keledek

Pokok ubi keledek


Nama botani : Ipomoea batatas
Famili : Convolulacea
Nama lain : ubi jalar, ubi jawa, ubi ketela, ubi setela(stello) dan ubi rambat

Pengenalan

Keledek adalah sejenis ubi yang banyak digunakan untuk membuat pelbagai jenis makanan dan kuih muih. Pokok jenis menjalar ini boleh dibiakkan melalui ubi dan keratan batang. Keseluruhan pokok ini mengandungi getah.

Kegunaan

Keledek juga ada nilai dalam perubatan tradisional. Ianya boleh mencerahkan mata dan mengubati penyakit bisul. Ubi keledek ada berbagai varieti. Ubi keledek manis rasanya, ia baik untuk penghadaman serta berkesan untuk mengatasi masalah rabun pada waktu malam, sekaligus mencerahkan mata. Pucuk keledek juga boleh dimasak lemak.

Ubi keledek kaya dengan karbohidrat, karotena, selulosa dan musin(sejenis protein). Ia boleh menguatkan limpa dan perut serta merangsangkan pengaliran tenaga. Daun keledek dapat digunakan untuk merawat penyakit bisul iaitu dengan menumbuk daun keledek hingga lumat sebelum ditampal ke mata bisul.