VIP Dedaun Alam

Monday, November 29, 2010

Serai Samak

Pucuk serai samak


Pokok jenis tumbuh liar ini dikenali dengan nama serai samak atau serai daun di kalangan penduduk Kelantan. Pokok ini mampu tumbuh sehingga 15 meter dan ia menggemari kawasan yang berdekatan dengan kawasan berair seperti sungai, sawah padi, paya. Ia juga boleh hidup subur di kawasan tanah tinggi. Pokok ini mengeluarkan bunga dalam bentuk jambak dan  berbau sangat harum. Buahnya berbentuk beri kecil berwarna hijau ketika muda dan merah gelap setelah masak. Buahnya yang masak boleh dimakan. Rasanya manis dan sedikit kelat. Kegunaan utama pokok ini adalah pucuk mudanya. Bagi penduduk Kelantan terutama penggemar nasi kerabu dan laksam, pucuk serai samak menjadi pilihan utama untuk dijadikan ulaman. Puicuk serai samak dipotong halus dan digunakan sebagai bahan ulaman utama dalam nasi kerabu atau laksam. Terdapat dua jenis pokok serai samak yang menjadi pilihan iaitu pokok yang mengeluarkan pucuk merah (rujuk foto) dan satu lagi mengeluarkan pucuk hijau.

Sunday, November 28, 2010

Salak Nangka

Pokok salak yang berasal dari hutan tetapi ditanam di kawasan rumah.

Buah salak nangka yang mempunyai tandan panjang.


Salak nangka merupakan spesis salak yang tumbuh secara meliar di hutan Malaysia. Tidak seperti klon salak baru, salak jenis ini tiada dalam pasaran. Untuk merasai kesedapan buah salak ini, kita perlu ke hutan untuk mendapatkannya. Buahnya agak sukar untuk kita perolehi kerana biasanya haiwan liar yang lebih dahulu menjumpainya. Satu cara untuk pastikan kita memperolehi buah ini setelah masak adalah menanam tandan buah salak di dalam tanah. Sebelum itu, pastikan rumpun salak nangka ini telah kita tahu lokasinya. Salak nangka mendapat nama kerana apabila masak, buahnya akan berbau seakan nangka masak walaupun dari jarak yang agak jauh.

Pisang Jari Buaya

Pisang jari buaya

Pisang jari buaya merupakan pisang jenis lama dan ia kurang dikenali. Ia tidak popular seperti mana pisang kapas, rastali, awak dan lain-lain. Pisang jari buaya mendapat nama daripada bentuk buahnya yang kelihatan seperti jari buaya. Pisang ini mempunyai rasa manis dan sedikit masam. Ia sedap jika digoreng, direbus atau dijadikan kuih tradisional seperti cucur pisang. Buahnya juga boleh dimakan segar dan bau isinya wangi.

Friday, November 26, 2010

Pisang Tanduk

Buah pisang tanduk yang bersaiz besar

Pisang tanduk adalah antara beberapa jenis pisang yang terdapat di Malaysia. Pokok pisang merupakan tumbuhan dalam famili Musaceae. Pisang tanduk agak unik kerana ianya tidak mengeluarkan jantung seperti pisang jenis lain dan buahnya yang paling banyak adalah sebanyak tiga sikat. Buah pisang tanduk bersaiz besar dan panjang. Ia berbentuk seakan tanduk dengan panjang buahnya boleh mencapai 30cm. Pisang tanduk biasanya tidak dimakan segar. Ia lebih sedap jika digoreng atau dibuat pengat, sira dan kerepek.

Thursday, November 25, 2010

Belongan

Buah belongan.

Pokok belongan merupakan tumbuhan renek yang sering dijumpai tumbuh secara meliar di kawasan berhampiran sungai atau pantai. Pokok belongan mempunyai duri tajam pada bahagian batang, dahan dan ranting. Bunganya berbentuk corong dan berwarna kekuningan. Buah belongan digunakan secara tradisional untuk melegakan batuk. Buah belongan disapukan pada leher untuk merawat batuk. Walaupun buah belongan ini kelihatan seperti buah bidara tetapi ianya tidak boleh dimakan.

Buah Pupur

Buah hutan yang dikenali dengan nama pupur ini mempunyai bentuk seakan buah duku.

Kulit buah pupur akan terpecah kepada beberapa bahagian apabila ditekan. Isinya lebih manis daripada langsat dan lebih masam berbanding duku.

Buah pupur dikategorikan sebagai buah nadir. Buah ini jarang dijumpai dan tidak ramai yang mengenali buah yang sekeluarga dengan langsat, duku dan dokong ini. Pokok pupur biasanya tumbuh meliar di dalam hutan dan ada juga yang ditanam di kawasan rumah. Buah pupur bersaiz sebesar bola ping pong. Bentuknya seakan sama dengan duku atau dokong. Kuilt buah pupur agak tebal dan mempunyai beberapa segmen yang akan terpecah jika ditekan. Rasa buah ini masam manis. Ia lebih manis berbanding langsat tetapi sedikit masam berbanding duku dan dokong.

Friday, November 5, 2010

Kisah Tragis Si Belimbing Bintang

Pokok belimbing ini sudah berusia hampir satu abad. Kisah mengenai buahnya anda boleh baca di sini. Dan ini adalah bunganya yang terakhir.


Batang pokok belimbing yang mempunyai bentuk yang menarik. Ia menunjukkan pokok ini telah tua. Pokok akar minyak menumpang kasih bersama pokok ini. Begitu juga dengan pokok patawali yang mengambil bahagian atas.


Batu yang telah lama bersemadi di dalam bahagian batang pokok belimbing ini. Tidak diketahui siapa yang meletakkannya di situ dan apa tujuannya. Yang pasti ia mengalami kesakitan yang bukan kepalang. Lihat cecair yang keluar di bahagian bawah batu.




Dan akhirnya si belimbing bintang ini rebah menyembah bumi atas nama pembangunan. Tamatlah baktinya untuk pokok akar minyak yang rebah bersama-samanya, sebahagian kecil pokok patawali dipindah ke pokok lain untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Tuesday, November 2, 2010

Buah Beko

Buah beko atau bonglai. Bunga pokok ini mekar pada waktu malam dan akan gugur keesokan pagi.


Buah beko atau juga dikenali dengan nama bonglai ini mungkin kurang dikenali. Dan pastinya ada di kalangan kita yang belum pernah melihat atau mengetahui tentang pokok dan buah ini.  Buah beko dalam foto adalah dari pokok dalam entri ini. Buah beko berbentuk leper dan panjangnya kira-kira 50 cm. Ia biasanya dijadikan kerabu dan ulam. Buah beko yang belum matang dipilih untuk dijadikan kerabu atau ulaman kerana apabila matang ia akan menjadi keras.  
Buah beko perlu dibakar di atas bara sebelum boleh dijadikan kerabu atau ulaman. Proses membakar ini untuk memudahkan kerja membuang kulit dan mengurangkan rasa pahitnya.