VIP Dedaun Alam

Showing posts with label nona. Show all posts
Showing posts with label nona. Show all posts

Wednesday, November 23, 2011

Buah Nona

Nona yang telah masak.

Buah nona yang dah masak dipetik dari pokok ini. Ia dipetik semasa hampir masak untuk mengelakkan daripada dimakan oleh haiwan yang berminat dengan kesedapannya. Diperam selama sehari dan apabila masak, kulit buah nona yang ketika muda berwarna hijau gelap berubah menjadi hijau kemerahan. Rasa buah nona ini jauh lebih manis berbanding durian belanda dan nona serikaya(sekaya). Tekstur isinya lebih kurang sama dengan saudara terdekatnya tetapi rasanya manis bersari.

Tuesday, October 11, 2011

Nona Vs. Nona Serikaya@Sekaya

Entri ini khas untuk pembaca Dedaun Alam mengenali dan mengetahui perbezaan antara nona dan nona serikaya. Terdapat percanggahan pendapat kerana ada yang mengatakan kedua-dua buah ini adalah dari jenis yang sama. Memang benar buah ini daripada famili yang sama iaitu annonaceae tapi ianya spesis yang berbeza. Jadi, jika ada yang berpendapat nona dan nona serikaya adalah buah yang sama, fikirkan kembali dengan fakta dan foto yang dipaparkan di sini.

Nona atau annona reticulata L. perhatikan daunnya yang lebih runcing dan berwarna hijau gelap berbanding daun nona serikaya (foto di bawah)

Annona squamosa atau nona serikaya. Ia juga dikenali dengan nama nona srikaya dan buah sekaya.

Buah nona serikaya (kiri) dan buah nona (kanan). Perbezaan yang paling ketara antara dua spesis buah  ini.





Sunday, October 9, 2011

Nona

Buah nona yang masih muda. Ini buah nona yang sebenar/asli. Nona biasanya menimbulkan percanggahan pendapat ramai kerana terkeliru dengan saudara rapatnya, nona serikaya atau buah sekaya.


Nama Botani : Annona Reticulata L
Famili : Annonaceae

Pokok nona berasal dari Amerika Tengah. Ia kini banyak ditanam di Malaysia dan Indonesia. Ketinggian pokok nona adalah sederahana iaitu sekitar 3 hingga 7 meter. Seluruh bahagian pokok nona mempunyai aroma yang kuat jika terluka. Buahnya berbentuk seakan sfera tetapi sedikit bujur seperti gasing dan berdiameter diantara 5-12 cm. Buahnya hampir sama dengan saudara rapatnya iaitu nona serikaya atau buah sekaya . Pokok nona dibiakkan melalui biji benih dan keratan batang. Anak pokok dari benih menghasilkan buah yang lebih berkualiti berbanding anak daripada keratan batang. 

Sedikit kulit pokok nona dimasak dengan air sehinggalah air itu tinggal separuh. Air rebusan tersebut diminum sebanyak tiga kali sebagai astrigen untuk menyembuhkan cirit- birit dan disentri. Air rebusan ini juga boleh digunakan untuk meredakan demam dengan menyapu ke badan. Ia juga diminum untuk melawaskan pembuangan air kecil. Daun pokok nona dalam foto ini sangat berjasa kepada tuannya kerana sering digunakan untuk mengurangkan kepanasan badan akibat demam. Ambil daun segar nona, ramas bersama air. Air tersebut digunakan untuk menjaram kepala dan badan. Gunakan tuala kecil yang bersih yang dicelup dalam air ramasan daun nona dan diperah. Letak tuala tersebut pada bahagian dahi. Cara ini akan menurunkan kepanasan akibat demam. Daunnya juga digunakan untuk merawat bisul. Akar pokok nona mempunyai toksik dan ia boleh menyebabkan kematian kepada manusia.