VIP Dedaun Alam

Sunday, February 27, 2011

Buah Apa?

Biji benih buah ini disebarkan oleh angin

Biji benih mempunyai kepak nipis yang membolehkan ia terbang atau melayang sejauh mungkin bila ditiup angin.

Pernahkah pembaca melihat biji benih seperti dalam foto di atas? Kenal atau tidak buah apa yang menghasilkan biji benih seperti ini? Mungkin ada yang mengenalinya tetapi pasti ada yang belum pernah melihatnya. Buah yang menghasilkan biji benih ini boleh dimakan tetapi tidak secara segar.

Klu :
1. Buah ini akan terpecah bila tiba masanya dan biji benih di dalamnya akan tersebar ke kawasan berhampiran dengan cara terbang atau melayang. Buahnya menghasilkan biji benih yang banyak dalam sebiji buah.
2. Selain daripada buahnya yang boleh dimakan, pucuknya juga boleh dijadikan ulaman. Buah ini mempunyai rasa yang sedikit pahit.

Nota : Tiada sebarang hadiah akan diberikan kerana ia sekadar untuk santai dan menguji pengetahuan pembaca sahaja. Terima kasih.

Jawapan : Untuk lihat buah segar yang menghasilkan biji benih unik ini, sila klik di sini.

Thursday, February 24, 2011

Kerabu Beronoq @ Beronok

Kerabu beronoq atau beronok yang menjadi hidangan eksotik penduduk Langkawi.

Kerabu beronoq adalah salah satu hidangan eksotik bagi penduduk Langkawi. Sesiapa yang pernah merasa atu makan kerabu beronoq ini pasti tahu rasanya. Ia memang sedap dan unik. Tekstur beronoq ini boleh disamakan dengan isi kelapa. Jika ia masih muda, isinya lembut dan beronoq yang tua tekstur isinya kenyal seperti isi kelapa tua. Untuk membuat kerabu, beronoq yang muda atau matangjadi pilihan kerana isi masih boleh dikunyah dengan mudah. Kaedah atau cara untuk membuat kerabu beronoq adalah sama dengan kerabu yang lain tetapi ia lebih sedap jika ditambah dengan pucuk gajus (ketereh) yang mayang dan bunga cemumar yang dihiris halus.

Wednesday, February 23, 2011

Beronoq @ Beronok

Semasa hidup bentuk badan beronoq atau beronok adalah bulat dan agak runcing pada kedua-dua bahagian hujungnya. Bentuk seakan bola ragbi. Apabila mati, kandungan air di dalam perutnya akan terkeluar menyebabkan ia menjadi seperti dalam foto ini.

Beronoq yang telah dibelah perut dan dibersihkan.

Beronoq (sebut : beqonoq) atau beronok ini adalah hidupan laut dari spesis gamat atau timun laut. Yang membezakan gamat dan beronoq ini ialah bentuk dan tekstur badannya. Gamat lebih kasar manakala beronoq mempunyai badan licin seperti sotong. Ia mendiami laut atau pantai yang berlumpur. Tidak diketahui diet utama beronoq ini kerana isi perutnya hanyalah cecair dan sedikit lumpur. Beronoq hanya diperolehi pada musim tertentu(biasanya sekali setahun) dan tidak akan ditemui sepanjang tahun. Beronoq dikutip menggunakan tangan di kawasan pantai yang cetek. Ia menjadi hidangan eksotik penduduk Langkawi samada dimakan mentah dan dijadikan kerabu. Hidangan kerabu beronoq ini juga dijadikan hidangan semasa kenduri jika tiba musimnya. Ia juga menjadi menu di kedai makan atau restoran sekitar pulau Langkawi ini. Tiada cara lain untuk memasak beronoq ini kerana sifatnya yang mencair jika didedahkan kepada haba atau kepanasan.

Tuesday, February 22, 2011

Merbah Kapur (Yellow Vented Bulbul)

Merbah kapur hinggap di dahan pokok rambutan sambil membawa makanan dengan paruh untuk anak-anak yang berada dalam sarang. Ia memastikan keadaan selamat sebelum terbang ke sarang anak-anaknya yang dibina pada pokok buluh Jepun berhampiran pokok ini.

Ia merasakan keadaan kurang selamat kerana ada 'musuh dengan benda pelik(kamera)' asyik memerhatikan pergerakannya. Terbang menjauhkan diri ke dahan semambu. Terdapat seekor lagi burung merbah kapur yang berada di dahan pokok jambu. Kedua-dua ibubapa burung ini silih berganti memberi makanan untuk anak-anak mereka.

Setelah melihat keadaan selamat kerana tiada 'musuh' yang berhampiran, ia terbang dan hinggap di ranting pokok buluh Jepun. Sebenarnya 'musuh' sedang bersembunyi di tempat yang terlindung dari pandangannya semata-mata untuk mengambil gambar ini. Perhatikan serangga yang dibawa oleh burung mebah kapur ini untuk disuap kepada anak-anaknya.

Menoleh ke arah anak-anaknya yang berada di dalam sarang sebelum masuk.

Dua ekor anak burung merbah kapur ini telah selamat terbang dan hidup bebas di alam semulajadinya pada petang Sabtu (19 Februari 2011). Kira-kira tiga jam selepas foto ini di abadikan dan hanya tiga hari selepas entri pertama mengenai anak burung ini.


Merbah Kapur (Yellow Vented Bulbul)

Nama Saintifik : Pycononotus goiavier
Famili : Pyconontidae

Merbah kapur atau yellow vented bulbul merupakan burung yang hidup meliar di kawasan semak berhampiran pantai, hutan sekunder, kawasan ladang, kebun dan kampung di Semenanjung Malaysia. Burung ini menjadikan buah-buahan, serangga, nektar dan pucuk sebagai makanannya. Panjang badanya dari paruh ke hujung ekor ialah kira-kira 20cm. Bahagian kening burung merbah kapur berwarna putih tetapi bahaigan mata dan paruhnya berwarna gelap. Leher dan dadanya berwarna putih. Badan merbah kapur berwarna kecoklatan dan tongkengnya kekuningan.

Burung merbah kapur mengeluar bunyi 'chic..chic..chic..' dengan cepat dan 'chwich..chwich..' dengan nyaring dan jelas. Ia juga mengeluarkan bunyi 'tidloo..tidloo..tidloo..' dan tud-liu..tud-liu..tud-liu..'

Monday, February 21, 2011

Kuih Lopes Langkawi

Kuih lopes adalah sejenis makanan atau kuih muih tradisional masyarakat Melayu. Bahan utamanya untuk membuat kuih lopes ini ialah beras pulut. Cara untuk membuat kuih lopes ini tidak begitu sukar kerana hanya melibatkan proses mengukus sahaja. Kaedah tradisional membuat kuih lopes adalah membungkusnya dengan daun pisang dalam bentuk silinder dan dikukus menggunakan pengukus. Namun begitu, generasi sekarang mengambil langkah mudah iaitu tidak menggunakan daun pisang dan dikukus menggunakan periuk elektrik. Ada juga yang menggantikan daun pisang dengan foil aluminium. Hilang rasa aslinya tetapi sudah cukup untuk merasa kuih lopes ini. Bentuknya yang bulat juga telah diubahsuai menjadi segitiga.

Kuih lopes yang asli berbentuk silinder. Beras pulut direndam sehingga kembang dan dikukus. Kemudian beras pulut ini digaul dengan perwarna hijau(gunakan air daun pandan yang asli) dan dibungkus dalam bentuk silinder menggunakan daun pisang yang diikat pada kedua-dua bahagian hujungnya. Ia dikukus sekali lagi sehingga masak. Angkat dan sejukkan kuih lopes sebelum dipotong.

Kuih lopes secara tradisional dipotong menggunakan tali/benang untuk mengekalkan bentuknya. Potongan kuih lopes ini kemudian digaul menggunakan kelapa parut yang telah dicampur dengan sedikit garam. Untuk menikmatinya, tuang sedikit air gula merah/gula melaka ke atas kuih lopes ini.

Sunday, February 20, 2011

Cermai Manis

Buah cermai manis mempunyai bentuk yang sama dengan cermai biasa tetapi saiznya lebih besar.

Cermai manis adalah hasil teknologi agro dari Thailand. Ciri pokok, bunga dan buahnya sama dengan cermai biasa ini. Yang membezakannya adalah rasa buah yang tidak masam seperti cermai biasa. Cermai klon baru ini rasanya tidaklah begitu manis seperti namanya tetapi ia tidak masam dan boleh dimakan tanpa perlu untuk menahan kerut di dahi dek kerana masam.

Friday, February 18, 2011

Gemunggal

Buah gemunggai yang matang.


Nama Botani : Moringa Oleifera

Pengenalan

Pokok gemunggal yang juga dikenali dengan nama kelor dipercayai berasal dari Himalaya, India dan kemudian disebarkan ke benua Afrika, Asia Tenggara dan Asia Barat. Di beberapa negara Afrika, ia dijadikan tanaman untuk program pemulihan tanah yang tidak subur, kering dan gersang. Pokok ini sangat lasak dan ia mampu tumbuh dan hidup di kawasan yang tandus. Di Malaysia, pokok gemunggal biasanya ditanam sebagai tiang pagar kerana ia mudah hidup. Pokok ini juga dikenali sebagai kacang kelo, kilo, munggai, murunggai dan gemunggai. Ketinggian pokok gemunggai mencapai sehingga 10 meter. Pokok ini mempunyai daun yang bersaiz kecil dan berbatang agak rapuhya rapuh. Bunganya keluar secara berjambak dan buahnya dalam bentuk lenggai yang berdiameter kira-kira 6cm dan panjangnya sehingga 60cm.

Kegunaan

Buah gemunggal atau kelor ini boleh dimakan dan ia digunakan dalam masakan. Daunnya juga boleh dijadikan bahan masakan seperti masak lemak atau digoreng bersama telor. Ia sebenarnya kaya dengan vitamin B, B1, B2, B3, C, D, E, antioksidan, fiber dan sumber klorofil yang tertinggi. Daunnya digunakan untuk merawat gusi berdarah, anemia , mengimbangkan dan memulihkan sistem fungsi badan. Akarnya yang pahit boleh ddigunakan untuk membantu sistem penghadaman, mengatasi masalah kecacingan, mengatasi sembelit, melegakan sistem saraf dan meningkatkan tenaga batin.

Pokok ini mengandungi kompaun yang dikenali sebagai cytokini. Ia mampu untuk mempercepatkan tumbesaran. Kajian saintifik telah membuktikan cytokini mengandungi unsur anti penunaan. Ini bermakna ia boleh dijadikan bahan awet muda. Daun, buah, batang dan akar pokok gemunggal diproses untuk menghasilkan teh, minyak, salad, syampu, sabun, jus dan kosmetik.

Ia juga mengandungi beta sitosterol yang berpotensi untuk menurunkan tekanan darah dan mempunyai nilai tinggi dalam bidang perubatan India (Ayurveda). Pokok ini bersifat bebas toksik.

Thursday, February 17, 2011

Burung Apa?

"Burung apa? Burung murai... Burung apa?? Burung murai.." Petikan daripada iklan Petronas beberapa tahun lepas yang membawa mesej mendalam kepada kita semua. Dalam foto di bawah, adakah ianya anak burung murai? Tidak. Burung murai biasanya bersarang di dalam lubang pokok atau celahan pelepah pokok palma (kelapa, kelapa sawit, pinang dan lain-lain). Pasti ada yang mengenali anak burung ini. Buung ini memilih pokok buluh jepun untuk membina sarangnya. Ketinggiannya lebih kurang 1.5 meter sahaja dan lebih menarik ini kali ketiga ia bersarang di sini. Pertanyaan, burung apa agaknya? Sesiapa yang kenal, sila beri jawapan dalam ruangan komen.

Sarang burung ini berbentuk mangkuk. Pastinya ia bukan burung tempua atau burung layang-layang (walet)

Anak burung berusia lebih kurang seminggu. Matanya belum celik dan masih lagi berbulu pahat.
Anak-anak burung ini tidak mengeluarkan bunyi bising ketika lapar. Ia juga sopan(senyap) semasa ibu atau bapanya menyuap makanan.

Wednesday, February 16, 2011

Rama-rama

Rama-rama ini menghisap madu bunga lantana camara. Agak sukar untuk mengambil fotonya kerana ia terbang dari bunga ke bunga yang lain.

Rama-rama ini mungkin baru keluar dari kepompongnya. Ia masih lemah untuk terbang.

Rama-rama yang sama dalam foto di atas. Warnanya lebih menarik.

Berehat sebentar di besi pagar 'chainlink'. Mungkin kepenatan kerana terbang ke sana ke mari mencari madu.

Tuesday, February 15, 2011

Serangga

Dedaun Alam kali ini memperkenalkan serangga yang terdapat di sekeliling kita. Ia mungkin biasa kita lihat tetapi pasti ada yang tidak pernah melihat serangga-serangga ini.

Spesis pepatung yang jarang ditemui. Pepatung sebenar telah wujud sejak zaman dinosaur lagi. Saiznya ketika itu jauh lebih daripada apa yang kita lihat sekarang.

Semua spesis pepatung mempunyai dua pasang sayap lutsinar.

Pepatung yang bersaiz kecil dan terbang dengan kelajuan yang sederhana.

Anak belalang. Belalang ini dikenali dengan nama 'belalang perroh' oleh penduduk Kelantan. Ianya bersaiz besar apabila dewasa. Ketika terbang ia mengeluarkan bunyi yang terhasil daripada kepaknya.

Belalang daun. Sayapnya menyamai daun dan sangat berguna untuk penyamaran daripada serangan musuh.

Friday, February 11, 2011

Bunga Part XVI

Koleksi foto dalam Bunga Part XVI ini adalah bunga-bunga yang ada di sekitar kita dan pastinya ada yang jarang dilihat seperti bunga jeruju.

Bunga kantan yang mula mekar. Ia masih boleh digunakan untuk masakan jika mekar seperti ini.

Bunga kantan yang mekar hampir sepenuhnya. Ia biasanya tidak dipilih untuk dijadikan bahan masakan kerana rasa dan baunya yang semakin menurun. Ada sesetengah spesis kantan akan menghasilkan buah yang boleh dimakan. Rasanya masam-masam manis.

Ini bunga jeruju. Ia biasanya tumbuh di kawasan yang berhampiran dengan air. Untuk mengenali dan mengetahui info pokok ini, anda boleh klik label 'jeruju' dalam blog ini.


Bunga canna atau bunga tasbih yang biasa ditanam sebagai pokok hiasan kerana bunganya yang cantik. Terdapat beberapa varieti bunga ini yang dibezakan melalui warna bunga dan daunnya.

Thursday, February 10, 2011

Paku Tunjuk Langit Dan Kisah Misterinya.

Pokok paku tunjuk langit 'misteri' yang disemai oleh penulis. Pokok tersebut telah menghasilkan pokok baru yang lebih subur dan segar.

Paku tunjuk langit merupakan tumbuhan dalam famili paku pakis dan entri mengenainya boleh dibaca di sini. Ramai yang terkeliru antara pokok paku tunjuk dan pokok buah tunjuk langit. Sebenarnya kedua-dua pokok ini sangat berbeza tetapi ada persamaan namanya. Pokok paku tunjuk dalam foto di atas penulis gali dari bawah pokok belimbing ini. Tempat tersebut akan ditambak dengan tanah dan ketika sedang membersihkan kawasan tersebut, tiba-tiba terpandang pokok paku tunjuk langit ini. Hari sebelumnya, tak kelihatan pokok tersebut di situ. Entah dari mana ia datang kerana ia adalah satu-satunya pokok paku tunjuk langit yang tumbuh di situ. Mungkin juga sporanya terbang atau dibawa jauh dari tempat asal induknya. Teringatkan pesan seorang kawan baik penulis, 'kalau kita jumpa pokok ubat (herba), jangan bertangguh untuk ambil kerana ia mungkin hilang begitu saja'. Pernah berlaku semasa masih remaja, penulis terjumpa pokok senduduk yang berbunga putih. Hanya sepokok itu sahaja  berbunga warna putih sedangkan yang lain mengeluarkan bunga yang berwarna seperti biasa. Penulis menganggap pokok senduduk tersebut albino kerana bunganya berwarna putih. Selepas itu, penulis menceritakan penemuan senduduk albino tersebut kepada arwah bapa. Baru penulis tahu, pokok senduduk itu sebenarnya pokok senduduk putih yang memang sukar untuk ditemui. Apabila penulis pergi semula ke tempat pokok senduduk putih tersebut, ia telah tiada pada tempat berkenaan. Puas penulis mencari tetapi tidak menjumpainya. Memang agak pelik tetapi ia terjadi kepada penulis. Kerana inilah bila penulis terjumpa pokok paku tunjuk langit ini, terus gali dan semai dalam polibeg sebelum ia lenyap dari pandangan mata. Sekarang pokok induk paku tunjuk langit itu telah membiakkan pokok baru.

Tuesday, February 8, 2011

Jambu Air

Buah jambu air yang masak

Nama Botani : Syzygium aguem sp.
Famili : Myrtaceae

Pokok jambu air merupakan tumbuhan yang berasal dari Asia Tenggara. Terdapat beberapa spesis jambu air yang boleh dibezakan melalui bentuk serta saiz, warna dan rasa buahnya. Hampir semua spesis jambu air mempunyai daun yang lebar dan berwarna hijau. Pokok jambu air biasanya mempunyai banyak cabang atau dahan dan berkayu keras. Pokok jambu berbuah mengikut musim tetapi ada juga spesis yang mengeluarkan buah sepanjang tahun.

Buah jambu air kaya dengan vitamin C, kandungan air dan serat yang tinggi. Sifat buahnya yang sejuk dikatakan dapat meredakan ketegangan apabila memakan buahnya. Kandungan serat yang tinggi dalam buah jambu  juga membantu sisem percernaan dan ia apat mencegah serangan kanser usus. Dengan memakan buah jambu air juga boleh mencantikkan kulit dan membuat kulit kita lebih berseri. Buah jambu air boleh membantu untuk melawaskan pembuangan air kecil dan air besar.

Tuesday, February 1, 2011

Jerun Betina

Pokok jerun betina yang tumbuh meliar di kawasan terbuka atau kawasan  lapang yang terbiar.

Bunga jerun betina yang mempunyai ciri hampir sama dengan bunga jerun jantan atau ketam guri. Perbezaan paling ketara adalah bentuk kelopak bunga dan saiz bunga yang lebih kecil.


Nama Botani : Sida rhombifolia sp.
Famili : Malvaceae

Pokok jerun betina yang dipanggil sebagai arrowleaf sida dalam Inggeris merupakan tumbuhan dalam famili yang sama dengan ketam guri atau jerun jantan. Jerun betina mepunyai daun yang berbentuk runcing seakan mata tombak atau anak panah dan bergerigi pada bahagian tepi daun. Ciri daun dan bentuk pokoknya berbeza dengan pokok jerun jantan. Ia juga berbunga seperti bunga jerun jantan atau ketam guri tetapi saiznya lebih kecil dengan bentuk kelopak yang sedikit berlainan.

Kegunaannya dalam perubatan tradisional hampir sama dengan jerun jantan. Kelebihan pokok ini berbanding jerun jantan ialah daunnya boleh digunakan untuk membalut batu tungku ketika proses bertungku semasa dalam pantang. Ranting pokok bersama daunnya dipotong untuk membalut batu tungku sebelum dibungkus menggunakan kain. Kegunaan lain pokok jerun betina yang biasa penulis lihat adalah untuk dibuat penyapu sawang (sarang labah-labah). Beberapa pokok jerun betina dipotong pada bahagian pangkal dan daunnya dibuang dengan cara membanting ke tempat keras. Batang bersama ranting diikat pada kayu atau buluh panjang dan siaplah penyapu sawang mesra alam.