VIP Dedaun Alam

Showing posts with label segar guri. Show all posts
Showing posts with label segar guri. Show all posts

Tuesday, February 1, 2011

Jerun Betina

Pokok jerun betina yang tumbuh meliar di kawasan terbuka atau kawasan  lapang yang terbiar.

Bunga jerun betina yang mempunyai ciri hampir sama dengan bunga jerun jantan atau ketam guri. Perbezaan paling ketara adalah bentuk kelopak bunga dan saiz bunga yang lebih kecil.


Nama Botani : Sida rhombifolia sp.
Famili : Malvaceae

Pokok jerun betina yang dipanggil sebagai arrowleaf sida dalam Inggeris merupakan tumbuhan dalam famili yang sama dengan ketam guri atau jerun jantan. Jerun betina mepunyai daun yang berbentuk runcing seakan mata tombak atau anak panah dan bergerigi pada bahagian tepi daun. Ciri daun dan bentuk pokoknya berbeza dengan pokok jerun jantan. Ia juga berbunga seperti bunga jerun jantan atau ketam guri tetapi saiznya lebih kecil dengan bentuk kelopak yang sedikit berlainan.

Kegunaannya dalam perubatan tradisional hampir sama dengan jerun jantan. Kelebihan pokok ini berbanding jerun jantan ialah daunnya boleh digunakan untuk membalut batu tungku ketika proses bertungku semasa dalam pantang. Ranting pokok bersama daunnya dipotong untuk membalut batu tungku sebelum dibungkus menggunakan kain. Kegunaan lain pokok jerun betina yang biasa penulis lihat adalah untuk dibuat penyapu sawang (sarang labah-labah). Beberapa pokok jerun betina dipotong pada bahagian pangkal dan daunnya dibuang dengan cara membanting ke tempat keras. Batang bersama ranting diikat pada kayu atau buluh panjang dan siaplah penyapu sawang mesra alam.

Monday, January 31, 2011

Ketam Guri

Pokok ketam guri yang tumbuh liar di kawasan terbuka. Perhatikan pokoknya yang seakan dicantas. Pokok ini menjadi kegemaran lembu yang meragut daun, ranting dan bunganya.

Pokok ini disemai oleh penulis kerana ingin mengubahnya menjadi pokok bonsai.

Inilah bunga ketam guri yang sering dijadikan motif seni ukiran dan batik. Bunga ketam guri seakan bunga raya kerana mereka adalah dalam famili yang sama

Nama Botani : Sida rhombifolia sp.
Famili : Malvaceae

Pokok ketam guri merupakan tumbuhan yang biasa dijumpai tumbuh secara meliar di kawasan padang, tempat yang terbuka dan kawasan terbiar. Pokok ini juga dikenali dengan nama getang guri, segar guri dan jerun jantan. Bagi peminat atau orang yang terlibat dalam bidang seni ukiran dan batik, bunga ketam guri sememangnya cukup sinonim kerana ia adalah antara motif utama ukiran dan lukisan batik. Namun begitu, tidak ramai orang (termasuk mereka yang melibatkan diri dalam seni) yang mengenali pokok dan bunga ini.

Pokok ketam guri dikatakan boleh digunakan untuk merawat masalah diabetis. Ia juga mempunyai sifat anti bakteria dan anti fungus.