Showing posts with label peribahasa. Show all posts
Showing posts with label peribahasa. Show all posts

Friday, August 3, 2012

Jikalau Tidak Berada-ada, Masakan Tempua Bersarang Rendah


Peribahasa Melayu kebanyakan bersumberkan alam semulajadi. Memerhatikan apa yang berlaku dan ada di persekitaran memberi ilham untuk mencipta peribahasa atau perumpamaan sejak lama dulu. Peribahasa yang berbunyi, jikalau tidak berada-ada, masakan tempua bersarang rendah membawa maksud pasti ada sebab-sebabnya (sesuatu yang tersembunyi), maka sesuatu itu terjadi demikian.

Monday, July 23, 2012

Ikut Resmi Padi, Makin Berisi Makin Tunduk

Padi yang semakin tunduk berisi dan menguning ini hampir masak. Sedang dituai sekarang. Lokasi, bendang padi Ulu Melaka Langkawi.

Peribahasa Melayu, ikut resmi padi makin berisi makin tunduk membawa maksud semakin tinggi ilmu dan darjat seseorang, dia tetap merendah diri serta tidak menyombong diri. 

Sunday, January 22, 2012

Sekilas Ikan Di Air, Sudah Tahu Jantan Betinanya


Sekilas ikan di air, sudah tahu jantan betinanya bermaksud dengan hanya melihat luaran telah diketahui keadaan atau situasi sebenarnya. Itu pepatah atau peribahasa tapi secara logiknya dapatkah kita kenal jantina ikan dengan hanya sekali imbas sahaja? Apakah jantina ikan dalam foto di atas? Rasanya tak perlu bertanyakan jantina kerana mereka nampak sama saja. Soalan mudah, apa agaknya nama ikan kat atas tu?

Wednesday, January 4, 2012

Patah Tumbuh Hilang Berganti - Episod 2

Kisah patah tumbuh hilang berganti episod 2 adalah sambungan entri ini. Yang tumbuh makin besar dan keluar satu lagi tunas untuk bersiap sedia hadapi sebarang kemungkinan.


Jawapan kepada soalan en. zul permatang badak dalam komen entri tersebut, betul...biarlah burung makan.....rezeki dia...dia berdoa untuk kita dimurahkan rezeki...... tapi yg tumbuh tu.....ada riak2 nak berbuah ke?...... Tanam je benih baru..... 

Kira-kira sebulan lebih, pokok yang tumbuh berganti ini sudah mula berbuah. Dah ada 3 biji buah walaupun batang pokok gantian masih kecil.

Tuesday, December 20, 2011

Bagai Sirih Pulang Ke Gagang


Bagai sirih pulang ke gagang membawa maksud, sesuatu yang kena atau sesuai pada tempatnya. Tangkai daun sirih yang diputuskan daripada pokoknya jika diletakkan semula pada bahagian asal, tidak akan nampak cacat celanya. Gagang merupakan tempat bekas tangkai daun sirih.

Monday, November 21, 2011

Bagai Kaduk Naik Junjung


Bagai kaduk naik junjung dalam peribahasa Melayu membawa maksud orang hina yang dimuliakan atau mendapat keistimewaan sehingga dia lupa diri dan asal usulnya. Sebenarnya peribahasa ini tercipta daripada permerhatian orang lama tentang alam dan kehidupan. Pokok kaduk dibandingkan dengan sirih yang mempunyai ciri dan bentuk pokok yang serupa. Sirih jenis pokok memanjat manakala kaduk tumbuh melata di atas tanah. Pokok sirih yang ditanam biasanya dipasang kayu pancang (dikenali sebagai junjung) untuk membolehkan pokok sirih memanjat dan mencengkam kayu pancang. Pokok kaduk lebih kecil tetapi sifatnya berdikari kerana ia tidak memerlukan kayu pancang sebagai sokongan untuk berdiri tetapi apabila ada junjung disebelahnya, ia akan menggunakan junjung tersebut. Kaduk akan membesar bersama junjung dan terlupa seandainya junjung patah atau rebah, ia turut sama rebah kerana batang pokok kaduk sudah tidak dapat menanggung berat yang selama ini disokong oleh junjung. Selagi ada junjung, kaduk terus lupa diri... Dalam kehidupan kita, ada yang bersifat seperti kaduk naik junjung ini.

Tuesday, September 27, 2011

Bagai Embun Di Hujung Rumput

Titisan embun di hujung daun rumput.

Peribahasa Melayu, bagai embun di hujung rumput membawa maksud kasih sayang yang tidak berpanjangan atau berkekalan. Kasih embun pada rumput hanya seketika kerana apabila mentari muncul, keringlah ia dek kepanasan sang mentari. Namun begitu, embun akan hadir lagi keesokan harinya biarpun kasihnya tidak berpanjangan. Ia tetap setia.

Friday, September 9, 2011

Malu-malu Kucing


Malu-malu kucing bermaksud malu tapi mahu atau berpura-pura malu. Jika kucing yang malu-malu, ia nampak comel tapi kalau kita yang malu-malu kucing??

Thursday, August 11, 2011

Melentur Buluh Biarlah Dari Rebungnya

Model : Rebung buluh madu. rebung buluh klon baru ini paling laris di pasaran.

Melentur buluh biarlah dari rebung bermaksud mendidik anak-anak biarlah sejak kecil lagi kerana apabila besar, majoriti yang sudah tidak mampu 'dilentur' lagi. Ketika anak-anak masih 'rebung', ia masih 'lembut' dan mudah dilentur dan dibentuk tetapi perlu berhati-hati kerana kerja-kerja melentur kena ada cara dan etikanya. Kalau tidak 'rebung' yang rapuh boleh patah. Dan apabila sudah menjadi buluh (dewasa), kerja melentur adalah suatu yang mustahil kerana kekuatan buluh sebenarnya mengatasi besi. Jika dilentur ia akan kembali ke sifat asalnya.

Monday, June 20, 2011

Bagai Mencurah Air Ke Daun Keladi


Peribahasa Melayu ada berkata, bagai mencurah air ke daun keladi yang membawa maksud perbuatan yang sia-sia atau merugikan / orang yang tidak mendengar nasihat. Ini kerana air yang dicurahkan tidak lekat pada daun keladi. Itu perumpamaan tetapi di dunia alam semulajadi, curahan air (hujan) ke daun keladi boleh memberi gambaran segar. Air yang terkumpul pada daun keladi akan menitis ke tanah dan menyirami tumbuhan yang berada di bawahnya termasuklah pokoknya sendiri.