VIP Dedaun Alam

Showing posts with label ubi kayu. Show all posts
Showing posts with label ubi kayu. Show all posts

Wednesday, January 9, 2013

Kuih Bungkus Manis


Siapa yang pernah lihat dan makan kuih bungkus manis? Kuih bungkus adalah kuih tradisional Kelantan yang makin sukar untuk dibeli sekarang. Kuih ni disebut sebagai 'kuih bukuh manih' oleh penduduk tempatan. Semasa zaman sekolah dulu, bonda saya biasa buat kuih bungkus manis untuk dijadikan hidangan minum petang kami sekeluarga. Proses membuatnya masih saya ingat dan sayalah tukang ambil daun pisang untuk membungkus kuih ni. Kuih bungkus manis ni dalam perancangan saya dan isteri untuk membuatnya. Ubi kayu dah ditanam dan bila ubinya dah ada, InsyaAllah kuih tradisional ini akan jadi hidangan kami.

Nota : Kuih dalam foto dibeli oleh adik ipar saya untuk sarapan pagi bersama nasi berlauk. Kuih bungkus manis sebenarnya bukan mudah untuk didapati kerana orang yang membuat dan menjualnya sekarang dah berkurangan.

Sunday, September 9, 2012

Kebun Kecil Tepi Pagar

Hobi bertanam memang sebati dalam diri. Tak kira apa jenis pokok termasuk pokok bunga, buah, sayur dan sebagainya saya tanam. Sebelum ini tiada tempat yang sesuai untuk bertanam sayuran dan kebun ini sebenarya dibuat/dibina oleh saya. Dengan menggunakan tulang empat kerat, tanah dipunggah dan ditambak setinggi sekaki daripada tanah asal. Tanah yang digunakan agak istimewa iaitu tanah batas sawah padi. Asalnya tanah ini dibeli untuk diisi dalam tapak lantai rumah. Daripada 40 lori tanah, ada baki lebih kurang 6 lori yang ditambun menjadi bukit di belakang tapak rumah. Dan tanah batas sawah ini terbiar begitu saja. Idea untuk membina kebun terhasil setelah tapak asal untuk kebun kecil kurang sesuai kerana tanah berbatu pasir. Dalam bulan Ramadhan lepas, kerja memunggah dijalankan. Dengan bantuan cangkul, cok betul, penyodok dan kereta sorong bukit tersebut diratakan dalam tempoh tiga minggu (dalam bulan puasa). Kerja memunggah tanah dibuat pada awal pagi dan lewat petang untuk mengelak kepenatan atau kekeringan. Di bawah ini antara pokok sayuran yang ditanam.


 Pokok Bendi Singa, benih F1, 1979. Baru nak membesar dan kudup bunga telah muncul pada bahagian pucuk.

Petola ular. Petola ular sayur lemak putih antara masakan kegemaran saya. Telah bertahun-tahun tak makan menu kegemaran kerana petola ular makin kurang di pasaran.

Rumput? Bukan..ia juga daripada famili yang sama dengan rumput iaitu Graminae. Ini anak pokok jagung manis Top Star baka F1 723 yang berusia seminggu.

Betik klon yang dihasilkan MARDI. Kurang pasti namanya kerana anak pokok betik diberi oleh ayah mertua untuk ditanam di sini.

Pokok ulam raja ditanam menggunakan pucuk yang dibeli di pasar sebagai ulaman. Tanam tiga pokok dan semuanya hidup dengan subur. Pokok ini akan dijadikan induk untuk dapatkan biji benih ulam raja.

Ubi kayu. Pucuknya sedap dibuat ulam dan kerabu. Ubinya boleh dibuat berbagai jenis masakan dan makanan.





Thursday, October 13, 2011

Kuih Isabella

Kuih Isabella??? Sejenis kuih dengan nama yang agak asing bagi saya. Tapi mahsuri kesayangan  saya bersungguh-sungguh mengatakan nama kuih ini adalah kuih Isabella. Kuih tradisional tapi namanya kedengaran agak moden. Kuih ini sememangnya dikenali dengan nama tersebut hampir di semua tempat di Malaysia. Tak percaya? Cuba buat carian di internet melalui google atau mana-mana enjin carian. Ia juga dikenali dengan nama kuih ketuk/getuk ubi kayu. Ada juga yang memanggilnya cekodok ubi kayu. Rasanya isitilah ini kurang tepat. Bahan utama untuk membuat kuih tradisional ini adalah ubi kayu dan kelapa parut. Ubi kayu yang direbus, dihancurkan(lenyek) dan digaul bersama kelapa matang parut. Tambah sedikit gula dan garam. Kemudian adunan tadi dibentuk seperti bebola. Bebola yang dibuat tadi dicelup ke dalam adunan tepung gandum+tepung beras(seperti tepung pisang goreng).

Gorengggg.... Hati-hati dengan minyak panas, jangan sesekali guna tangan untuk membalik-balik kuih ini semasa menggoreng..hehe..

Dah siap pun kuih Isabella ni. Sedap dimakan sewaktu kita lapar dan ketika kuih ini masih suam.

Thursday, December 9, 2010

Poli Ubi Kayu

Poli ubi kayu

Poli ubi kayu termasuk dalam kategori makanan tradisional orang Melayu di Kelantan. Kuih tradisional ini mungkin kurang dikenali atau langsung tidak dikenali oleh generasi sekarang. Kuih ini merupakan resepi warisan bonda penulis. Semasa zaman kanak-kanak, bonda penulis biasa membuat kuih ini sebagai hidangan petang kami sekeluarga. Untuk meneruskan warisan ini, penulis telah meminta resepinya daripada bonda. Dengan kerjasama isteri penulis, poli ubi kayu ini menjadi kenyataan. Penulis sendiri telah hampir dua dekad tidak merasa kesedapan kuih ini. Untuk mengetahui resepi dan cara membuat kuih poli ubi kayu ini, sila rujuk foto dan artikel di bawah.

Ubi kayu yang dikupas kulit, diparut (atau boleh menggunakan mesin kelapa). Ubi kayu yang digunakan adalah ubi kayu kuning (klon baru). Untuk lebih autentik, gunakan ubi kayu putih.

Parutan ubi kayu tadi dibungkus menggunakan daun pisang dengan saiz kira-kira 7cm X12cmX2cm. Ia kemudian dikukus atau direbus sehingga masak. Poli ubi kayu dalam foto di atas dimasak dengan cara mengukusnya. Ia lebih pejal dan sedap.

Setelah masak, sejukkan dan potong dalam bentuk dadu. Kemudian potongan tersebut digaul bersama kelapa parut (kelapa matang=kelapa yang tidak tua dan tidak muda) yang dicampur dengan sedikit garam. 

 Gula melaka yang dicairkan (masak bersama air) dituang ke atas poli ubi kayu. Poli ubi telah sedia untuk dimakan.

Wednesday, July 28, 2010

Ubi Kayu

Pokok ubi kayu yang mempunyai pelbagai manfaat untuk kita.


Nama Botani: Manihot Esculenta
Famili : Euphorbiaceae

Pengenalan

Pokok ubi kayu berasal dari Amerika Selatan. Pokok ubi kayu merupakan tumbuhan berbatang rapuh dan mudah patah. Batangnya berbentuk bulat dan bergerigi yang disebabkan bekas pangkal tangkai daun. Bahagian tengah batangnya mempunyai gabus. Pokok ubi kayu biasanya mencapai ketinggian sehingga 4 meter. Ia mudah ditanam dan penjagaannya juga tidak sukar. Pokok ini boleh ditanam menggunakan keratan batang. Ia tumbuh subur di kawasan yang berketinggian 1200 meter dari aras laut. Daun pokok ubi kayu memiliki tangkai panjang dan setiap tangkai mempunyai daun sekitar 3-8 helai. Kulit batang ubi kayu mengandung tanin, enzim peroksida, glikosida dan kalsium oksalat.

Kegunaan

Pada zaman pemerintahan Jepun di Tanah Melayu, ubi kayu menjadi makanan pilihan setelah bekalan beras sukar diperolehi. Ia juga mnejadi makanan pilihan semasa musim tengkujuh. Ubi kayu boleh direbus, dibakar, digoreng, dijadikan kerepek dan kuih muih tradisional.

Selain ubi yang boleh dimakan, daun dan bahagian pokok ubi kayu juga ada gunanya untuk kita. Untuk merawat reumatik, 5 helai daun ubi kayu dan satu sudu besar kapur sirih ditumbuk sehingga lumat dan ditampal pada tempat berkenaan. Sepotong batang ubi kayu direbus bersama 3 gelas air sehingga mendidih, kemudian ditapis dan diminum dua kali sehari(waktu pagi dan petang) dipercayai dapat meredakan demam. Manakala daunnya yang dilumatkan dan ditampal pada bahagian kepala dapat mengatasi sakit kepala. Air rebusan daun ubi kayu juga dikatakan dapat merawat cirit birit. Pucuk ubi kayu yang dicelur dan dimakan sebagai ulam dapat menambah selera makan. Tangkai daun yang muda ditumbuk halus atau buah ubi kayu yang diparut boleh digunakan untuk luka bernanah.

Kandungan nutrisi bagi ubi dan daun ubi kayu ( per 100 gram ):

Ubi kayu

Kalori 146 kal
Protein 1.2 gram
Lemak 0.3 gram
Kalsium, 33.0 mg
Fosforus, 40.0 mg
Zat besi, 0.7 mg

Daun ubi kayu

Vitamin A, 11000 IU
Vitamin, C 275 mg
Vitamin, B1 0.12 mg
Kalsium, 165 mg
Kalori, 73 kal
Fosforus, 54 mg
Protein, 6.8 gram
Lemak, 1.2 gram
Zat besi, 2 mg