Hobi bertanam memang sebati dalam diri. Tak kira apa jenis pokok termasuk pokok bunga, buah, sayur dan sebagainya saya tanam. Sebelum ini tiada tempat yang sesuai untuk bertanam sayuran dan kebun ini sebenarya dibuat/dibina oleh saya. Dengan menggunakan tulang empat kerat, tanah dipunggah dan ditambak setinggi sekaki daripada tanah asal. Tanah yang digunakan agak istimewa iaitu tanah batas sawah padi. Asalnya tanah ini dibeli untuk diisi dalam tapak lantai rumah. Daripada 40 lori tanah, ada baki lebih kurang 6 lori yang ditambun menjadi bukit di belakang tapak rumah. Dan tanah batas sawah ini terbiar begitu saja. Idea untuk membina kebun terhasil setelah tapak asal untuk kebun kecil kurang sesuai kerana tanah berbatu pasir. Dalam bulan Ramadhan lepas, kerja memunggah dijalankan. Dengan bantuan cangkul, cok betul, penyodok dan kereta sorong bukit tersebut diratakan dalam tempoh tiga minggu (dalam bulan puasa). Kerja memunggah tanah dibuat pada awal pagi dan lewat petang untuk mengelak kepenatan atau kekeringan. Di bawah ini antara pokok sayuran yang ditanam.

Pokok Bendi Singa, benih F1, 1979. Baru nak membesar dan kudup bunga telah muncul pada bahagian pucuk.
Petola ular. Petola ular sayur lemak putih antara masakan kegemaran saya. Telah bertahun-tahun tak makan menu kegemaran kerana petola ular makin kurang di pasaran.
Rumput? Bukan..ia juga daripada famili yang sama dengan rumput iaitu Graminae. Ini anak pokok jagung manis Top Star baka F1 723 yang berusia seminggu.
Betik klon yang dihasilkan MARDI. Kurang pasti namanya kerana anak pokok betik diberi oleh ayah mertua untuk ditanam di sini.
Pokok ulam raja ditanam menggunakan pucuk yang dibeli di pasar sebagai ulaman. Tanam tiga pokok dan semuanya hidup dengan subur. Pokok ini akan dijadikan induk untuk dapatkan biji benih ulam raja.
Ubi kayu. Pucuknya sedap dibuat ulam dan kerabu. Ubinya boleh dibuat berbagai jenis masakan dan makanan.