VIP Dedaun Alam

Sunday, December 30, 2012

Kebun Kecil Tepi Pagar - Setelah 12 Hari (Ep. 3 : Surprise!)

Sebelum saya bercuti, buah petola ular ini hanya sepanjang kira 0.5 meter(1'6"). Bila balik dari bercuti 12 hari, terkejut bila lihat petola ni hampir mencecah tanah. Panjangnya lebih 1.6 meter. Saya belum ukur untuk dapatkan ukurang panjang yang tepat. saya akan buat entri khas untuk petola ular gergasi ini.

Dalam rumpai yang tinggi dan panjang, terselit buah tembikai kuning. Ianya sangat mengujakan saya kerana sebelum tinggalkan kebun kecil, hanya ada putik yang masih kecil dan bunganya belum mekar masa tu. Bukan sebiji tapi ada empat biji semuanya.

Friday, December 28, 2012

Kebun Kecil Tepi Pagar - Setelah 12 Hari (Ep. 2 : Sedih)

Pokok bendi singa baka F1 yang ikut resmi padi, makin berisi makin tunduk. Buah yang banyak pada bahagian pucuk pokok menyebabkan ia condong dan merunduk ke bumi. Bila bua-buah tak dituai, pokok bendi akan berhenti atau kurang berbuah kerana memberi nutrien dan zat pada buah yang masih ada pada pokok. Buah bendi emas tua di pokok. Dah tak sesuai untuk dimakan kerana keras dan bersabut.

Kacang panjang yang hampir musnah diserang kumbang ladybird dan aphid. Sebelum ni saya akan menyembur dengan semburan organik untuk mengawal serangan serangga. Buah-buah kacang panjang tua dan jadi benih pada pokok.

Buah petola segi tua di pokok. Ada 6 biji buah petola yang dah tak boleh dituai untuk dimakan. Daunnya juga agak teruk diserang oleh cucumber beetle.

Thursday, December 27, 2012

Kebun Kecil Tepi Pagar - Setelah 12 Hari (Ep. 1)

Setelah 12 hari kebun kecil ditinggalkan tanpa sebarang penjagaan, inilah yang berlaku. Rumpai tumbuh meliar sampai tak nampak rupa kebun. Biasanya tuan kebun merumput 3 hari sekali tapi kali ini tuan kebun bercuti selama 12 hari. Balik rumah terus jenguk kebun, tengok pokok bendi singa bengkok sebab tak larat nak bawa buahnya yang banyak dan berat.  Buah bendi emas tua di pokok.  Ada kisah yang membuatkan tuan kebun sedih dan ada juga yang menyenangkan hati. Kisah 12 hari ini akan bersambung ke episod seterusnya.

Sunday, December 23, 2012

Kebun Kecil Tepi Pagar - Akhirnya....Petolaku Ular Bukan Gamat


Setelah menanti beberapa lama, akhirnya ia muncul juga. Kali ini tidak lagi berbentuk gamat. Saya dah pun gantung sabut pada bahagian hujung buah untuk meluruskannya. Petua orang lama.

Friday, December 21, 2012

Kebun Kecil Tepi Pagar - Segar Dari Kebun 10/12/12


Tuaian pertama peria yang jadi tajuk entri blog sebelum ini. Ianya bukan peria katak tapi disahkan sebagai peria kampung oleh ayah mertua saya yang banyak ilmu dalam pertanian. Katanya, peria jenis ini makin payah nak jumpa sekarang ni. Peria jenis lama sebelum munculnya peria klon baru. Kacang botor juga adalah tuaian pertama.

Wednesday, December 19, 2012

Kebun Kecil Tepi Pagar - Matahariku

Daripada empat pokok yang ditanam, dua pokok yang berbunga. Dua lagi mati semasa sedang membesar angkara siput.

Mekar hampir sepenuhnya.

Setelah berapa hari mekar penuh, kelopaknya mula bergulung.

Nota : Bunga Matahari ini juga autopost, tuan kebun masih bercuti..

Monday, December 17, 2012

Kebun Kecil Tepi Pagar - Bunga & Putik Kacang Botor

Bunga kacang botor.

Putik buah kacang botor. Hanya ada sepokok kacang botor dan ia berbuah pada setiap tangkai daun. Rezeki untuk tuan dia.

Nota : Ini adalah auto post. Tuan kebun bercuti, jadi komen kawan-kawan mungkin lambat dibalas.

Saturday, December 15, 2012

Kebun Kecil Tepi Pagar - Segar Dari Kebun 01/12/12


Tuaian segar dari kebun dibuat pada 1/12/2012. Petola segi adalah tuaian pertama. Selom, kacang panjang dan bendi dah banyak kali tuai. Semuanya segar.

Thursday, December 13, 2012

Kebun Kecil Tepi Pagar - Serangga, Kategori 18SX

Sepasang belalang askar yang sedang memperkembangkan zuriat. Lihat daun bendi yang dimakan oleh belalang ini.

Ladybird pemakan daun ini juga dalam perancangan untuk menambah bilangan ahli keluarga. Yang seekor lagi tu berlari-lari ke sana ke mari tanpa arah. Mungkin kecewa kekasih hatinya bermain kayu tiga dengannya.

Ini anak mentadak. Kekchong kata orang Kelantan. Mentadak adalah serangga karnivor dan akan menolong mengurangkan serangga perosak/pemakan daun.

Larva serangga ini tak memakan daun tapi bila dewasa ia akan menghisap cairan daripada dedaunan.

Monday, December 10, 2012

Bunga Part XXXII

Dedaun Alam kali ini menampilkan Bunga Part XXXII, siri bungaan ke 32. Bunga-bunga dalam siri kali adalah bunga yang biasa kita lihat iaitu bunga pokok hiasan, herba, buahan dan sayuran.

 Bunga setawar halia yang putih bersih. Rizom pokok ini digunakan sebagai ubatan herba.

Bunga cili hutan. Bentuk semua bunga cili hampir sama dan hanya ada sedikit perbezaan.

Bunga betina betik. Pokok betik yang mengeluarkan bunga betina memerlukan debunga dari pokok betik jantan atau betik hemafrodit untuk hasilkan buah.

Bunga yang saya lupa namanya. Banyak ditanam sebagai hiasan landskap kerana bunganya yang cantik.

Friday, December 7, 2012

Kebun Kecil Tepi Pagar - Kisah Magis Lagi.

Ini magis yang ketiga berlaku sepanjang saya berkebun dan menanam sayuran. Magis pertama, petola ular jadi petola gamat, yang kedua, kailan menjadi sawi putih. Kali ini, kisah magisnya sama dengan kailan. Bak kata pepatah, jangan menilai buku melalui kulit luarnya dan itulah yang berlaku pada saya. Kuilt luar bungkusan benih terpampang gambar peria yang besar dan panjang tu. Beli sebungkus benih peria yang dibungkus oleh pembekal benih yang terkenal dan menguasai pasaran di Malaysia. Jenama ini dijual di hampir semua pasaraya. Setelah disemai, emapt pokok peria berjaya meneruskan hidup dan membesar dengan sempurna. Selepas mengeluarkan bunga-bunga jantan, pokok peria ini mula mengeluarkan putik dengan bunga betina. Kenapa kecik je putik buah peria ni? Persoalan pertama yang bermain di minda. Biasa la...tu kan putiknya, lepas ni ia jadi besar. Hari demi hari berlalu...dan akhirnya... Lihat kat bawah ni.

Peria katak rupanya. Biji benih yang diletak gambar peria biasa adalah benih peria katak dan dilabel sebagai peria. Pengeluar benih ni ingat peria katak dan peria tu sama ke..? Tapi tak apa, ini juga rezeki untuk saya. Peria katak yang saya tanam berbuah lebat. Tak dapat makan peria goreng bersama telur pun tak kisah la, boleh makan ulam peria katak.

Thursday, December 6, 2012

Kebun Kecil Tepi Pagar - Padi MR219


Padi varieti MR219 ini tidak ditanam dalam kebun kecil saya, ia tumbuh sendiri. Benih padi ini berasal dari tanah yang saya gunakan untuk membina kebun kecil. Setelah tanah diratakan dan menerima hujan, anak-anak padi tumbuh dengan banyak. Yang lain semuanya saya cabut dan tinggalkan sepokok untuk melihat perkembangannya. Dari anak pokok, ia membesar dengan baik walaupun tanpa air dan saya tak pernah membuat siraman. Anak pokok padi MR219 membiak dan menjadi rumpun yang subur. Satu-satunya penjagaan yang saya buat untuk padi ini ialah membuang rumput/rumpai di bahagian pangkal pokok. Apabila sampai tempohnya, ia mula mengeluarkan tangkai. Tangkai ini bukan buah padi dan ianya masih kosong. Yang ada hanya kulit buah padi dan bunganya yang kecil. Padi varieti MR219 dihasilkan untuk tidak membiak dengan banyak kerana ia ditanam secara tabur. Padi yang ditanam secara taburan akan tumbuh rapat, setiap rumpun padi tak akan tumbuh dengan banyak.


Pernah lihat bunga padi? Inilah bunga padi. Kecil dan keluar melalui kulit yang bakal menjadi buah padi. Ketika ini ia masih kosong dan selepas bunganya mekar, kulit padi yang kosong akan terisi dengan susu. Susu dalam istilah petani ialah beras yang dalam bentuk cecair seakan susu. Susu ini akan berukar menjadi buah padi dan diproses menjadi beras, makanan ruji penduduk Malaysia. Tak sabar rasanya nak tengok padi in masak dan menguning. Nak menuai padi pula lepas ni..hehe..

Monday, December 3, 2012

Kebun Kecil Tepi Pagar - Petola, Dari Bunga Ke Buah

Bunga jantan petola segi akan keluar lebih awal berbanding bunga betina dan ia mekar pada waktu petang (pukul 6 petang hingga malam). Bunga petola berbau sangat harum.

Putik dan bunga betina petola segi hanya muncul selepas lebih 2 minggu bunga-bunga jantan mekar.
.
Putik dah menjadi buah.

Makin membesar.

Petola segi dah pun sedia untuk dituai. Semua sayuran yang saya tanam dalam kebun kecil bebas racun serangga dan racun rumpai.

Friday, November 30, 2012

Kebun Kecil Tepi Pagar - Segar Dari Kebun 27/11/12



Segar dari kebun untuk tuaian kali ini adalah sawi fair lady extra dwarf. Yang ini saya tanam pada batch kedua. Sekali tuai untuk dua kali makan. Betul kata kawan-kawan yang biasa makan sawi jenis ini, ianya manis dan sedikit pahit. Sedap...saya boleh makan mentah.

Thursday, November 29, 2012

Kebun Kecil Tepi Pagar - Ulam Raja, Misi Sukses

Salah satu daripada pokok ulam raja yang ditanam menggunakan pucuk seperti paparan dalam posting terdahulu. Ianya hidup subur dan pucuknya begitu menggoda tuan kebun untuk dipetik sebagai ulam tapi misi untuk membiakkan pokok ulam raja menggunakan biji benih perlu diteruskan. Ia dibiarkan berbunga dan menghasilkan biji benih.

Inilah buah ulam raja yang dah boleh disemai. Biji benih ulam mudah hidup, saya tabur terus ke tanah.

Anak-anak pokok ulam raja dah muncul dan kali ini ia dalam jumlah yang banyak. Lepas ni tuan kebun boleh makan ulam raja segar dari kebun. Misi untuk cambahkan anak pokok ulam raja daripada keratan pucuk yang dibeli di pasar dah sukses.

Monday, November 26, 2012

Kebun Kecil Tepi Pagar - Kailan??


Pada bungkusannya tertera nama dan gambar kailan, saya beli sebungkus kerana teruja untuk makan kailan segar yang ditanam sendiri. Tiga kali buat semaian baru berjaya bercambah dan hidup. Dua semaian sebelumnya, tak berjaya kerana biji benih dimakan semut. Bila anak cambahan mula membesar, ia dipindahkan ke batas. Di tempat baru yang berkongsi dengan petola segi sebagai pokok peneduh, anak-anak pokok ini membesar. Tapi kenapa ia tak sama seperti kailan? Mungkin masih muda, pujuk hati sendiri. Namun kailan yang dinanti tak nampak rupa, semua yang ditanam bertukar menjadi sawi putih atau sawi pak choy. Magis betul...

Friday, November 23, 2012

Berangan


Berangan yang ini bukannya berangan-angan(berimaginasi) atau pisang berangan tapi ianya buah berangan. Siapa yang pernah makan atau biasa lihat buah berangan? Pernah makan tapi itu cerita lama dulu. Berangan ni mengingatkan saya kepada zaman kanak-kanak(sekolah rendah) dulu. Bila tiba musim berangan berbuah dan gugur, kami(adik beradik dan kawan-kawan) akan pergi mengutip buah berangan untuk digoreng. Berangan digoren dalam kuali tanpa minyak bersama batu-batu kecil. Buah berangan perlu digoreng sehingga isi dibahagian dalamnya masak. Inilah rupa buah berangan yang dah siap digoreng. Berangan ini saya beli dengan harga RM30.00 sekilogram. Zaman kecil dulu, ianya percuma dan kita boleh kutip sebanyak mana yang diingini. Sekarang harganya melambung. Dan dah berpuluh tahun saya tak melihat pokok berangan dan buah berangan segar yang gugur di bawah pokok.

Berangan ini juga mengingatkan saya kepada lagu dialek Kelantan yang popular suatu masa dulu. Ianya dinyanyikan untuk permainan kanak-kanak yang menggunakan jari dengan meletakkan tapak tangan. Saya pun dah lupa bagaimana permainan tersebut dimainkan. Nostalgia yang tak mungkin berulang pada zaman kini.

Antara lirik lagu tersebut:

Cak Klepik Klepuk Klepar

Cak klepik klepuk klepar,
Buoh berange lokoh kulit,
Akat cerano takdok temaka,
Mari Same kito kelik,

Lik lik gung,
Pok Talib keno sigung,
Naik pokok nyor,
Turun kot pelepoh,

......(lirik seterusnya saya dah tak ingat)

p/s : Ada sesiapa yang ingat lirik lagu ni, bolehlah kongsikan ka sini. Terima kasih.
Terjemahan ke BM akan saya buat selepas ini.

Thursday, November 22, 2012

Kebun Kecil Tepi Pagar - Bunga Peria

Kudup bunga peria jantan. Seperti kebanyakan pokok sayuran jenis menjalar/memanjat lain, bunga-bunga jantan peria akan muncul dan mekar dulu sebelum keluar putik buah berserta bunga betina.

Bunga jantan peria yang sedang mekar. Jika beberapa pokok peria ditanam dan bila bunga-bunganya mekar, kita akan dapat menghidu keharuman yang sangat mengujakan dari pagi hingga ke petang. Biarpun buah peria rasanya pahit namun bunganya sangat harum dan dapat dihidu dari jauh. Selepas seminggu bunga-bunga jantan muncul dan mekar, putik-putik buah serta bunga betina akan keluar. InsyaAllah, dapat tuai buah peria segar dari kebun pula lepas ni.

Wednesday, November 21, 2012

Ulaman Bahagian 5

Pucuk melur hutan. Dimakan segar atau mentah dan ianya baik untuk ibu lepas bersalin. Pucuk melur hutan tidak dijual di pasaran dan ianya agak sukar untuk diperolehi.

Pucuk dan buah putat. Pucuk putat dimakan segar ulaman dan buahnya dihiris nipis-nipis untuk dijadikan ulaman. Selain dijadikan ulaman, pucuk putat merah(putat nasi) boleh digunakan sebagai syampu organik.

Selom. Dimakan sebagai ulaman atau dijadikan kerabu.

Bendi. Dimakan segar atau dicelur .

Kacang panjang juga sedap dijadikan ulaman.




Thursday, November 15, 2012

Kebun Kecil Tepi Pagar - Kacang Panjang Galaxy

Pokok kacang panjang galaxy. Daripada 10 biji benih, 6 pokok yang berjaya meneruskan hidup dan berbuah. Yang lain-lain, gagal untuk melihat dunia. Kacang panjang jenis ini cepat berbuah dan lebat. ia juga tahan penyakit tapi tidak dapat menahan serangan ladybird. Kesan gigitan pada daun adalah hasil kerja kreatif oleh ladybird dan anak-anaknya.

Buah kacang panjang galaxy bersama bendi singa(dan benih bendi singa yang kedua). Ianya memberi keriangan berganda kepada tuan kebun kerana setiap tangkai ada dua kacang.

Thursday, November 8, 2012

Kebun Kecil Tepi Pagar - Sawi Fair Lady Extra Dwarf


Benih sawi fair lady extra dwarf ini saya dapat percuma daripada en Iskandar(www.tanamsendiri.com). Ianya diberi sebagai benih kongsi dalam pesanan biji benih. Waktu dilalihkan, ianya agak mengecewakan saya kerana serangan serangga yang teruk terhadap anak pokok sawi sehingga ada antaranya hanya tinggal tulang daun. Jadi, saya biarkan ia survival dengan sendirinya kerana tak pernah jumpa serangga yang memakan daunnya. Sesuai dengan namanya, sawi fair lady extra dwarf, sawi ini bersaiz kecil dan comel. Akhirnya, ia membesar tanpa sebarang serangan serangga perosak setelah terdapat sayuran lain yang ditanam terutamanya kacang panjang yang cukup digemari oleh serangga perosak seperti lady bird 12 spot dan larvanya. Sawi yang saya tanam ni dah berbunga. Saya tak tuai sawi batch pertama ni. Batch kedua sawi fair lady extra dwarf dah ditanam dan akan dituai bila ia membesar seperti ini.

Tuesday, November 6, 2012

Kebun Kecil Tepi Pagar - Petola Ular Atau Petola Gamat?



Buah petola ular ini ditanam dalam kebun kecil pagar tapi bentuknya sangat berbeza dengan petola ular yang biasa saya lihat sebelum ini. petola ular mempunyai bentuk seakan ular, panjang dan mempunyai jalur hijau-putih. Petola ular yang saya tanam ini bersaiz sebesar betis kanak-kanak(lebih kurang saiz petola sarang) dan jauh lebih pendek daripada petola ular biasa. Adakah ianya klon atau varieti baru petola ular? Bau buahnya memang sah baka petola ular. Dek kerana bentuk buahnya yang pendek dan bulat seperti gamat, saya memanggilnya petola gamat..hehe..

Mungkin ada antara kita yang biasa lihat petola ular yang berbentuk seperti ini, bolehlah kongsi ilmu dan pengalaman di sini.

Thursday, November 1, 2012

Kebun Kecil Tepi Pagar - Ejen Yang Comot

Dalam kebun kecil tepi pagar saya terdapat berbagai jenis serangga yang menjadi ejen pendebungaan. Semut hitam kecil ini adalah antara peminat madu bunga bendi. Dek kerana terpikat dengan manisnya madu, habis badan semut kecil ni comot dengan nektar bunga. Ia sedang berusaha untuk membuang nektar yang melekat pada seluruh badannya.
"Adoyaii...nak berjalan pun payah ni..huhu...", kata semut hitam. Kesian pulak tengok ejen saya yang comot ni berjalan atas kelopak bunga bendi.