VIP Dedaun Alam

Thursday, October 29, 2009

Misai Kucing

Pokok misai kucing

Bunga misai kucing dengan filamen yang panjang seakan misai kucing

Nama botani : Orthosiphon stamineus, Benth
Famili : Lamiaceae
Nama Lain :
Asal : Malaysia

Pengenalan

Pokok Misai Kucing ialah pokok herba renek tropika daripada keluarga Lamiaceae yang terdapat di Malaysia. Pokok Misai Kucing tumbuh sehingga mencapai ketinggian 1.5meter. Nama botani bagi pokok ini ialah Orthosiphon stamineus, Benth. Pokok misai kucing merupakan sejenis pokok berbunga dan sering ditanam sebagai pokok perhiasan. Bunga terdapat pada 'verticil' lebih kurang 16 cm panjang. Bunganya berwarna putih kebiru-biruan dengan filamen yang panjang, kelihatan seperti misai kucing. Daun Misai Kucing tersusun dalam pasangan yang bertentangan. Daunnya agak licin, berwarna hijau, berbentuk tirus di hujung dan tepi daun bergerigi. Tangkai daun pendek dan berwarna ungu-kemerahan. Batang pokok Misai Kucing berbentuk segi empat, berwarna kemerahan, tumbuh tegak dan bercabang-cabang.

Kegunaan

Herba Misai Kucing boleh ditanam sepanjang tahun dan ia boleh tumbuh setinggi 0.3 hingga 1 meter. Misai Kucing mempunyai bunga yang berwarna putih dan keseluruhan tumbuhan ini boleh digunakan sebagai ubat. Daun pokok Misai Kucing juga digunakan sebagai herba perubatan untuk merawat penyakit kencing manis. Herba Misai Kucing digunakan untuk memperbaiki saluran kencing dan buah pinggang dan bagi membantu mengelakkan penyakit batu karang. Mengikut kajian yang sudah dibuat, daun nya yang sudah dikeringkan adalah bersifat diuretik dan membantu menyingkirkan asid urik yang berlebihan dalam badan.

Tuesday, October 27, 2009

Pokok Tapak Gajah

Pokok tapak gajah yang mecapai ketinggian 15m. Pokok kecil di kanan gambar berusia lebih kurang 2 tahun

Bentuk daun dan bunga pokok tapak gajah.


Nama Botani : Tidak diperolehi

Nama lain : Tiada rekod

Pengenalan

Pokok ini biasanya tumbuh liar dan mampu mencapai ketinggian sehingga 20 meter. Tidak diketahui nama asal pokok ini. Daun pokok ini agak lebar dan buahnya dalam bentuk lenggai seperti buah gemunggai.

Kegunaan

Daunnya yang lebar digunakan untuk membungkus tapai pulut.

Cemumaq @ Cemumar

Pokok cemumar

Bunga cemumar yang menjadi pilihan penggemar ulaman

Nama Botani : Micromelum Pubescens
Famili : Rutaceae

Pengenalan


Cemumar biasanya tmubuh meliar dan ramai orang menanam di kawasan rumah kerana pucuk dan bunga cemumar boleh dijadikan ulam terutamanya di kawasan utara seperti Perlis dan Kedah. Pokok cemumar ini dikenali dengan nama 'cemumaq' (mengikut sebutan loghat orang utara). Daunnya seakan daun pokok kari tetapi lebih lebar sedikit dan mempunyai bau yang kuat.

Kegunaan


Sesetengah orang mempercayai baunya yang kuat boleh digunakan bau menghalau hantu tetapi belum ada kajian yang menyatakan hantu takut kepada bau. Pokok ini tergolong dalam keluarga yang sama dengan pokok kari iaitu Rutaceae. Daun ini panas dan biasa digunakan bagi memeram buah-buahan seperti nangka, cempedak dan pisang. Pucuk muda biasanya dijadikan ulam. Dan bahagian yang jadi pilihan penggemar ulaman ialah bunganya yang belum berkembang.

Sunday, October 25, 2009

Bonglai

Pokok bonglai

Nama botani : Oroxylum indicum
Famili : Bignoniaceae

Pengenalan

Pokok bonglai juga dikenali sebagai pokok bolai, bongloi, boli, bikir, kulai, merlai, beka, beko dan lain-lain lagi. Pucuk bonglai yang masih muda dan buahnya yang muda boleh dimakan sebagai ulam dan dijadikan kerabu. Pucuk bonglai biasanya dicelur dahulu sebelum dimakan untuk mengurangkan rasa pahit. Buah bonglai yang muda yang juga agak pahit rasanya tetapi sedap dimakan. Buah ini perlu dibakar sehingga kulit luarnya melecur. Ia boleh dimakan begitu sahaja sebagai ulam atau dijadikan kerabu. Bunga bonglai dimakan oleh kebanyakan orang Jawa.

Kegunaan

Daun bonglai yang direbus boleh diminum sebagai ubat sakit perut, peransang selera, sengal-sengal tulang dan demam panas atau luka. Manakala air rebusan bonglai juga boleh digunakan sebagai ubat untuk demam panas, penyakit taun, lepas bersalin dan sakit sendi. Daun yang ditumbuk lumat ditampal pada kulit untuk meredakan sakit kepala dan sakit gigi.

Kulit bonglai juga digunakan dalam ubatan tradisional bersama tumbuhan herba lain sebagai ubat sakit pinggang, membuang angin, buasir, lemah jantung, menguruskan badan, tonik, sakit lutut, kesuburan rambut, pening kepala dan jerawat. Ramuan yang bercampur dengan akar bonglai boleh digunakan sebagai ubat untuk batu karang, sembelit angin, kayap dan panas badan.

Orang India menggunakan akar bonglai sebagai ubat sakit perut, cirit birit dan disenteri. Orang Cina menggunakan biji bonglai sebagai ubat sakit perut dan hati, sakit kerongkong, bronkitis, batuk kokol dan untuk kudis. Kulit pokok bonglai boleh digunakan sebagai ubat hepatitis.

Kantan

Rupa pokok kantan dan bunganya


Nama botani : Phaeomeria speciosa
Famili : Zingiberaceae
Asal : Malaysia

Pengenalan
Kantan merupakan sejenis tanaman ulaman tradisional orang Melayu dan ia tumbuh meliar di kawasan tanah yang agak lembab. Kantan sesuai ditanam di berbagai-bagai jenis tanah tetapi elakkan menanam pokok ini di kawasan yang menakung air. Pokok kantan ialah pokok herba yang tumbuh membiak dan merimbun secara berkelompok-kelompok. Pokok yang matang boleh mencapai ketinggian 4 - 6 meter. Bahagian utama pokok kantan yang digunakan sebagai ulaman dan perasa di dalam masakan adalah bunganya. Pokok kantan boleh ditanam dengan menggunakan rizom atau biji benih. Penanaman menggunakan rizom adalah lebih popular, kerana ia boleh mengeluarkan hasil dengan lebih cepat berbanding dengan penggunaan biji benih.

Kegunaan
Bunga kantan adalah antara bahan utama dalam penyediaan kuah laksa asam, masak asam pedas dan sebagai ulam nasi kerabu. Bunga kantan yang dicelur boleh sebagai ulaman. Batang pokok kantan boleh digunakan untuk mengubati penyakit bengkak-bengkak. Buah kantan yang rasanya masam manis boleh dimakan untuk menambah selera makan.Rizom muda digunakan sebagai perisa dalam masakan laksa utara. Biji buah kantan boleh mengubati sakit telinga.

Friday, October 23, 2009

Cermai

Pokok cermai yang berusia puluhan tahun


Buah cermai yang bergugus di dahan

Nama Botani : Phyllanthus acidus
Famili: Phyllanthaceae Euphorbiaceae

Pengenalan

Pokok cermai merupakan tumbuhan yang  berasal dari Madagascar dan ia adalah satu-satunya tumbuhan dari  famili phyllanthaceae yang berbuah dan boleh dimakan. Ia merupakan tumbuhan dalam kategori pokok kecil yang ketinggiannya boleh mencapai sehingga 15 meter tinggi. Daun cermai berbentuk runcing dan tersusun secara berselang pada tangkai daun. Bunga cermai keluar pada dahan dan bersaiz sangat kecil. Buahnya bergugus di dahan, berwarna hijau muda dan ia boleh dimakan namun rasanya agak masam dan biasanya ia dijadikan jeruk atau dicicah dengan pencicah. Cermai boleh dibiakkan melalui biji benih, tut dan keratan batang.

Patawali

Pokok Patawali

Nama botani : Tinospora Crispa Miers
Famili : Menispermaceae
Nama Lain : Akar seruntun

Pengenalan

Antara tumbuhan yang memang diketahui khasiatnya ialah pokok Patawali atau juga dikenali sebagai akar seruntun di sesetengah tempat Nama sainsnya Tinospora Crispa Miers dan berasal dari keluarga Menispermaceae. Patawali mudah dikenali melalui batangnya yang berkerutu, daunnya yang lebar dan hidup menjalar di atas pagar atau pokok.

Kegunaan

Rasanya pahit bukan kepalang tetapi nilai khasiatnya amatlah tinggi dari segi perubatan. Batang Patawali digunakan untuk merawat sakit perut, demam, tekanan darah tinngi, kencing manis dan juga penyakit kelamin dikenali sebagai gonorea. Tumbuhan ini mujarab bagi mengatasi masalah cacing dikalangan kanak-kanak dengan cara merebus batangnya, ditapis dan diminum segelas sehari. Air rebusan juga boleh digunakan untuk membersihkan darah, dan mujarab untuk membunuh kuman dan menyembuhkan luka. Kajian saintifik yang dijalankan ke atas Patawali menunjukkan tumbuhan itu mengandungi sejenis bahan yang dipanggil jattrorrhizine yang dikatakan mujarab untuk menjauhkan penyakit demam malaria.

Selasih

Pokok Selasih


Nama Botani : Ocimum Sanctum
Nama Lain : Kemangi, holy basil, sweet basil, thulasi, ruku-ruku

Pengenalan

Antara ulam yang menjadi pilihan dan juga sering ditanam dikawasan rumah ialah pokok selasih. Pokok selasih bukan hanya berguna sebagai ulam tetapi juga sebagai bahan penyedap masakan, bahkan dalam bidang perubatan. Herba ini sesuai untuk merawat beberapa jenis penyakit dan nilai perubatannya begitu tinggi bagi kaedah perubatan ayurveda. Pucuk selasih juga boleh dijadikan ulam dan ianya mempunyai nilai perubatan yang tinggi. Cara pembiakan pokok selasih adalah melalui keratan batang dan biji benih. Pokok selasih senang tumbuh dan agak lasak.

Kegunaan

Antara penyakit yang boleh dirawat dengan cara memakan daun atau pucuk selasih secara mentah adalah masalah usus atau lebih biasa di panggil gastrik.Ia juga sesuai untuk merawat penyakit kulit, sakit kepala, sakit telinga dan juga meredakan demam.
Ia dilakukan dengan merendamkan beberapa helai daun selasih yang segar di dalam air panas dan setelah suam, minumlah air rendamannya tadi.Malah air rendamannya itu boleh juga digunakan secara luaran bagi mengubati sakit sendi dan menambah pengeluaran susu bagi wanita yang menyusukan anak. Biji selasih juga digunakan sebagai bahan campuran dalam minuman yang berfungsi untuk menyejukkan badan.

Thursday, October 22, 2009

Semambu

Rupa pokok semambu atau neem

Daun semambu yang bergerigi

Nama botani : Azadirachta indica
Nama lain : Neem, laksamana

Pengenalan

Pohon semambu dikenali dengan panggilan neem( dalam bahasa inggeris), Laksamana atau nama saintifiknya Azadirachta indica merupakan pohon yang kaya dengan unsur-unsur semula jadi yang digunakan dalam perubatan Ayurveda sejak lebih 2,000 tahun lamanya. Rupanya unik dengan tepi daunnya bergerigi jelas dan agak tajam. Di bahagian atas daun kelihatan jalinan uratnya yang lebih jelas dengan berwarna sedikit kekuningan. Ia juga mempunyai buah serta bunga yang berbau harum dan boleh ditemui di tepi-tepi jalan.

Kegunaan

Bagaimanapun, di India pokok ajaib ini ditanam dan dikomersialkan serta dibuat penyelidikan bagi mengekalkan keasliannya. Bermula daripada akar, ranting, daun, bunga, buah dan bijinya mempunyai khasiat dan keistimewaan yang pelbagai. Ia telah digunakan secara tradisional untuk merawat keradangan, jangkitan, demam, penyakit kulit dan masalah gigi sejak dahulu lagi. Malah, daun mambu yang bersifat antiserangga juga boleh digunakan untuk mengelak serangan serangga pada tanaman.

Beluntas

Daun beluntas

Nama botani : Pluchea indica
Famili: Asteraceae

Pengenalan

Pokok beluntas merupakan sejenis tumbuhan renek yang biasanya tumbuh liar terutamanya di kawasan yang agak berpaya di Asia tenggara. Pokok beluntas mencapai ketinggian sekitar 0.5 - 2.5 meter. Beluntas juga penghias laman kerana fungsi daunnya yang boleh dijadikan ulam dan masak lemak. Daunnya berbentuk ringkas dan tersusun dalam bentuk berselang. Bunganya berwarna putih atau ungu dan mempunyai kelopak yang kecil. Beluntas biasanya dibiakkan melalui keratan batang.


Kegunaan

Beluntas merupakan sejenis ulaman yang juga mempunyai fungsi sebagai penawar dalam perubatan berasaskan herba. Di Indonesia jus beluntas digunakan untuk merawat disentri. Daunnya juga digunakan untuk merawat penyakit keputihan yang biasa dialami oleh kaum hawa. Daunnya yang ditumbuk bersama garam boleh digunakan untuk merawat nafas berbau dan menggalakkan perpeluhan. Di Malaysia pula serbuk yang dihasilkan oleh daun beluntas biasanya digunakan untuk meraway demam. Serbuk ini yang dicampur dengan sedikit air hingga menjadi pes digunakan untuk menyembuhkan ulser dan menghilangkan lembam dan bengkak. Bagi masyarakat Vietnam pula daun beluntas digunakan untuk merawat keradangan. Akarnya pula digunakan untuk merawat demam, melegakan sakit kepala, merawat rheumatik , lumbago dan penyakit tidak hadam. Daunnya yang diseduh dalam air panas diminum untuk melegakan selsema. Serbuk daunnya yang dicampurkan dengan minyak jarak digunakan untuk menyembuhkan tulang retak. Di Thailand, jus daun beluntas digunakan untuk merawat kencing manis dan pelawas kencing. Selain dari itu beluntas juga sedap dijadikan ulam dan masak lemak walaupun rasanya agak payau dan baunya yang agak kuat.

Inai

Pokok inai

 Bunga dan daun inai

Nama Botani: Lawsonia Inermis
Famili: Lythraceae

Pengenalan

Pokok inai merupakan sejenis tumbuhan renek dari spesies lawsonia. Daunnya yang matang berwarna hijau gelap dengan bintik-bintik kehitaman. Tumbuhan ini sukakan kelembapan yang agak tinggi dan bersaliran yang baik, namun ia adalah tumbuhan yang agak lasak dan boleh bertahan dalam keadaan kering yang tidak terlalu lama. Pokok inai boleh dibiakkan melalui keratan batang atau biji benih.

Kegunaan

Daun pokok inai mempunyai nilai perubatan yang tinggi. Ia boleh digunakan untuk menyembuhkan luka dan kudis di sekeliling kuku. Daun inai ditumbuk dan disapukan pada tempat yang sakit. Air rebusan daun inai bersama dua gelas air. Setelah mendidih, airnya ditapis dan diminum dipercayai dapat merawat sakit perut.

Serbuk daun inai digunakan untuk menyembuhkan luka-luka semasa berkhatan, bisul, penyakit-penyakit kulit dan sengal-sengal tulang. Air daun inai adalah bahan astringen yang boleh mengecutkan tisu-tisu organik dan dapat mengurangkan atau mengawasi pendarahan yang berlebihan. Air daun inai juga dapat menyembuhkan sakit tekak. Daun inai yang disapu pada kulit untuk mengubati penyakit kulit, bisul dan melepuh.

Di samping penggunaan untuk tujuan perubatan, daun inai adalah bahan penting dalam proses mewarnakan tapak tangan, kuku dan kaki. Ia biasanya dicampurkan dengan pewarna asli yang lain untuk memberi warna yang baik. Inai juga boleh digunakan untuk mewarnakan rambut atau bahan tekstil.

Nota : Bunga inai yang belum berkembang boleh dijadikan ulam dengan dimakan mentah.

Wednesday, October 21, 2009

Teja

Pokok teja

Bentuk daun teja

Nama Botani: Cinnamomum culilawan Bl
Famili: Lauraceae

Pengenalan

Teja merupakan sejenis tumbuhan yang senang didapati di kawasan kampung. Ia biasanya tumbuh liar di kawasan tanah rata. Daun teja bersama daun medang turus yang direbus boleh digunakan sebagai air mandian untuk menghilangkan lenguh badan. Tumbuhan saka ini adalah tumbuhan dari famili yang sama dengan kayu manis dan bentuk fizikal dari bentuk daun dan bunganya juga hampir sama. Keseluruhan bahagian pokok ini terutama kulit batangnya mempunyai aroma yang kuat.Bahan aktif yang terdapat didalamnya ialah minyak volatile.

Kegunaan

Walaupun teja mempunyai banyak khasiat perubatan namun ia jarang digunakan kerana pendedahan yang tidak meluas mengenai khasiatnya. Antara Khasiat teja ialah untuk mengembalikan kecergasan badan dan mengilangkan lenguh-lenguh dengan cara mencampurkan daunnya bersama air suam dan dijadikan air mandian. Ia sesuai digunakan oleh ibu yang baru bersalin.

Tongkat Ali


Nama Botani: Eurycoma longifolia Jack
Nama lain: Penawar pahit, bedara pahit, bedara putih, bedara merah, hempedu pahit, payung Ali, tongkat baginda, muntah bumi, petala bumi, akar jangat semang, tongkat rasul, setunjang bumi dan pasak bumi.
Famili: Simaroubaceae

Pengenalan

Tongkat ali adalah dari keluarga Simaroubaceae didapati tumbuh di hutan malar hijau di Asia Tenggara. Di Malaysia tongkat ali digunakan secara meluas dalam penyediaan ubatan tradisional dan dijual dalam bentuk kapsul, tablet serta tonik. Lebih kurang 30 produk ubatan tradisional di negara ini mengandungi tongkat ali sama ada secara tulen atau campuran dengan herba yang lain. Tongkat Ali merupakan tanaman jenis saka yang tumbuh menegak tanpa cabang. Dalam keadaan semula jadinya di hutan, ia tumbuh dengan kadar yang perlahan, boleh mencapai ketinggian sehingga 15 m dengan garis pusat batang berukuran 20 cm. Daunnya berbentuk bujur (2–3 cm lebar, 8–10 cm panjang) tersusun secara berpasangan pada satu tangkai (panjang hingga 100 cm). Terdapat 20–30 pasang anak daun bagi setiap tangkai daun. Tangkai daun tersusun secara “spiral”, sama ada mengikut pusingan jam atau melawan pusingan pada paksi batang.

Khasiat dan Kegunaan

Tongkat ali terkenal kerana mempunyai kesan penggalak seks (‘aphrodisiac’). Secara tradisi ia digunakan untuk merawat beberapa jenis penyakit dan meningkatkan kesihatan. Antaranya, termasuk pening kepala, luka-luka, kurap, disentri, bengkak, kelenjar, antileukemik, antitumor, antiviral, antifidan, insektisidal, antiamebik, antimalaria dan antiradang.Kandungan kimia tongkat ali yang penting dalam industri ialah; eurikomanone, eurikomalaktone dan eurikomanol (quassinoids) yang banyak terdapat dalam akar. Maklumat lebih terperinci mengenai hal ini sedang diselidiki. Penyelidikan menunjukkan bahawa bahan kimia (fitokimia) yang terdapat dalam tongkat ali boleh meningkatkan paras testosterone (hormon yang diperlukan untuk fungsi kelelakian).

Tuesday, October 20, 2009

Kaduk

Pokok kaduk yang hampir sama dengan sirih


Nama Botani : Piper sarmentosum
Famili : Piperaceae

Pengenalan

Kaduk atau Piper sarmentosum merupakan tumbuhan yang banyak terdapat di Asia Tenggara. Daunnya menyerupai daun sirih tetapi berbeza sedikit, ia tidak memanjat seperti pokok sirih tetapi tumbuh di atas tanah.

Kegunaan

Air yang direbus dengan akar pokok ini dapat melawaskan kencing. Daunnya mujarab untuk merawat demam malaria dengan minum air rebusannya. Air rebusan ini juga berkhasiat bagi melegakan batuk-batuk, selsema ,sakit pinggang, sakit gigi dan sengal-sengal tulang. Pucuk muda kaduk boleh dimakan sebagai ulam dan daunnya juga dijadikan bahan masakan.

Limau Purut

Buah dan daun limau purut.

Nama Botani: Citrus hystrix DC.
Nama Lain: Limau purut (Melayu), Jeruk Purut (Indonesia), Bai makrut (Thailand), Keiffer lime; Kaffir lime (Inggeris)
Famili: Rutaceae

Pengenalan

Tanaman saka ini berasal dari Asia dan telah ditanam di Malaysia, Indonesia dan Thailand. Habitatnya ialah di kawasan subur yang bersaliran baik dan banyak ditanam disekitar rumah sahaja. Kulit buah limau purut adalah berkedut, tebal, dan isinya tidak berapa berair. Tumbesaran pokok adalah perlahan berbanding dengan spesies limau lain. Ketinggiannya boleh mencapai sehingga 30 m. Daunnya yang bersayap memberi gambaran dua helai daun yang dicantumkan hujung ke hujung.

Khasiat dan Kegunaan

Daun limau purut banyak digunakan dalam masakan seperti tom yam kerana bau dan rasanya yang unik. Ia juga digunakan sebagai ramuan ubatan dan juga bahan untuk mandi wap. Selain berkesan sebagai penggalak antitumor atau pencegah kanser, limau purut juga boleh digunakan untuk mencuci rambut dan mulut serta boleh membunuh pacat. Ekstrak minyak patinya boleh digunakan sebagai aromatherapi, nutraseutikal dan produk penjagaan diri. Limau purut juga berupaya merawat luka, lebam dan gigitan serangga berbisa serta merangsang perjalanan darah.

Monday, October 19, 2009

Temu Kunci

Bentuk pokok dan rizom temu kunci

Pokok Temu Kunci

Nama Botani : Kaempferia pandurata
Famili : Zingerberaceae

Pengenalan


Temu kunci atau biasa dipanggil kunci merupakan tumbuhan yang tumbuh liar dikawasan belukar atau hutan yang tidak terlalu tebal. Ia biasanya tumbuh dikawasan yang agak lembab seperti di dalam kebun getah. Rizomnya yang berbentuk panjang berbau wangi menyebabkan ia juga dijadikan rempah dalam masakan.

Kegunaan

Temu kunci merupakan antara bahan popular yang digunakan sebagai jamu lepas bersalin. Ia mempunyai fungsi untuk melancarkan perjalanan darah dan mengembalikan kecergasan badan. Untuk membuat jamu yang mudah, 500g temu lawak dan 500 g temu kunci ditumbuk atau kisar bersama-sama. airnya kemudiannya diminum segelas setiap hari semasa pantang terutamanya pada minggu pertama kelahiran.

Thursday, October 15, 2009

Buah Keranji


Inilah rupa buah keranji
Sorong papan tarik papan,
Buah keranji dalam perahu,
Suruh makan saya makan,
Suruh mengaji saya tak tahu.


Dalam pantun di atas, ada menyebut buah keranji tapi tidak ramai antara kita yang mengenali buah keranji kan. Buah keranji tersebut aku beli di Pasar Besar di negeriku tercinta masa balik cuti hari raya lepas. Harganya pun dah melambung 100%. Mungkin pokok ini dah semakin kurang dalam hutan kita. Apa yang aku tahu(mengikut cerita orang-orang tua), buah keranji diperolehi semasa kerja-kerja membalak/menebang di dalam hutan rimba. Tak tahu pula kalau ada orang tanam pokok ni untuk dikomersialkan.

Terung Pipit@Manggo

Rupa buah terung pipit
Pokok terung pipit biasanya tumbuh meliar.

Terung pipit


Terung pipit merupakan tumbuhan liar di Malaysia. terung pipit biasanya dimakan mentah atau dicelur untuk dibuat ulam. Berdasarkan kajian terung pipit mengandungi 2% protein, 0.1% lemak, 7.9% karbohidrat dan mengandungi banyak fosforus, sedikit zat besi, banyak vitamin A dan C serta sedikit vitamin BI.
Terung pipit juga dikatakan mengandungi alkoloid jenis steroid yang dikenali sebagai solasodin sebanyak 0.84%. Steroid ini penting untuk menghasilkan pil perancang keluarga. Terung pipit juga digunakan untuk mengubati retak kulit pada kaki, mencuci darah dengan meminum air rebusannya, melegakan kesakitan, penawar racun ular dan serangga serta menjadi ubat yang berkesan untuk meredakan sakit perut.
Pokok terung pipit juga berfungsi untuk membersihkan kawasan tercemar dengan menyerap logam berat dari tanah. Pokok yang ditanam untuk kegunaan ini tidak digalakkan untuk kita makan buahnya kerana boleh menyebabkan keracunan.
Kegunaan lain buah terung pipit ini selain dibuat ulam dan bahan masakan adalah ia digunakan sebagai peluru senapang mainan(yang diperbuat kayu) untuk budak-budak zaman dulu. Sekarang permainan tersebut dah pupus

Wednesday, October 14, 2009

Buah Nadir Malaysia


Buah ni aku pernah makan masa aku kanak-kanak dulu tapi tak pasti apa nama sebenar buah ini. Yang aku ingat orang panggil buah konikoma, seakan sebutan dalam bahasa jepun.

Tuesday, October 13, 2009

Durian Spesis Apa Ni???

Durian ini berbuah pada batangnya.

Wow! Lebatnya buah durian ni!

Agak aneh kerana buahnya di pangkal dan batang pokok tidak seperti durian biasa.
Gambar pokok durian yang berbuah di pangkal dan batang ini saya dapat daripada inbox e-mel. Pada mulanya saya ingat gambar buah durian ini menggunakan teknik komputer tapi memang ada durian yang macam ni. Tak pasti dari spesis apa. Sedap ke tidak rasa buahnya tak tahulah.