Nama Botani: Eurycoma longifolia Jack
Nama lain: Penawar pahit, bedara pahit, bedara putih, bedara merah, hempedu pahit, payung Ali, tongkat baginda, muntah bumi, petala bumi, akar jangat semang, tongkat rasul, setunjang bumi dan pasak bumi.
Famili: Simaroubaceae
Pengenalan
Tongkat ali adalah dari keluarga Simaroubaceae didapati tumbuh di hutan malar hijau di Asia Tenggara. Di Malaysia tongkat ali digunakan secara meluas dalam penyediaan ubatan tradisional dan dijual dalam bentuk kapsul, tablet serta tonik. Lebih kurang 30 produk ubatan tradisional di negara ini mengandungi tongkat ali sama ada secara tulen atau campuran dengan herba yang lain. Tongkat Ali merupakan tanaman jenis saka yang tumbuh menegak tanpa cabang. Dalam keadaan semula jadinya di hutan, ia tumbuh dengan kadar yang perlahan, boleh mencapai ketinggian sehingga 15 m dengan garis pusat batang berukuran 20 cm. Daunnya berbentuk bujur (2–3 cm lebar, 8–10 cm panjang) tersusun secara berpasangan pada satu tangkai (panjang hingga 100 cm). Terdapat 20–30 pasang anak daun bagi setiap tangkai daun. Tangkai daun tersusun secara “spiral”, sama ada mengikut pusingan jam atau melawan pusingan pada paksi batang.
Khasiat dan Kegunaan
Tongkat ali terkenal kerana mempunyai kesan penggalak seks (‘aphrodisiac’). Secara tradisi ia digunakan untuk merawat beberapa jenis penyakit dan meningkatkan kesihatan. Antaranya, termasuk pening kepala, luka-luka, kurap, disentri, bengkak, kelenjar, antileukemik, antitumor, antiviral, antifidan, insektisidal, antiamebik, antimalaria dan antiradang.Kandungan kimia tongkat ali yang penting dalam industri ialah; eurikomanone, eurikomalaktone dan eurikomanol (quassinoids) yang banyak terdapat dalam akar. Maklumat lebih terperinci mengenai hal ini sedang diselidiki. Penyelidikan menunjukkan bahawa bahan kimia (fitokimia) yang terdapat dalam tongkat ali boleh meningkatkan paras testosterone (hormon yang diperlukan untuk fungsi kelelakian).
No comments:
Post a Comment