Thursday, October 22, 2009

Beluntas

Daun beluntas

Nama botani : Pluchea indica
Famili: Asteraceae

Pengenalan

Pokok beluntas merupakan sejenis tumbuhan renek yang biasanya tumbuh liar terutamanya di kawasan yang agak berpaya di Asia tenggara. Pokok beluntas mencapai ketinggian sekitar 0.5 - 2.5 meter. Beluntas juga penghias laman kerana fungsi daunnya yang boleh dijadikan ulam dan masak lemak. Daunnya berbentuk ringkas dan tersusun dalam bentuk berselang. Bunganya berwarna putih atau ungu dan mempunyai kelopak yang kecil. Beluntas biasanya dibiakkan melalui keratan batang.


Kegunaan

Beluntas merupakan sejenis ulaman yang juga mempunyai fungsi sebagai penawar dalam perubatan berasaskan herba. Di Indonesia jus beluntas digunakan untuk merawat disentri. Daunnya juga digunakan untuk merawat penyakit keputihan yang biasa dialami oleh kaum hawa. Daunnya yang ditumbuk bersama garam boleh digunakan untuk merawat nafas berbau dan menggalakkan perpeluhan. Di Malaysia pula serbuk yang dihasilkan oleh daun beluntas biasanya digunakan untuk meraway demam. Serbuk ini yang dicampur dengan sedikit air hingga menjadi pes digunakan untuk menyembuhkan ulser dan menghilangkan lembam dan bengkak. Bagi masyarakat Vietnam pula daun beluntas digunakan untuk merawat keradangan. Akarnya pula digunakan untuk merawat demam, melegakan sakit kepala, merawat rheumatik , lumbago dan penyakit tidak hadam. Daunnya yang diseduh dalam air panas diminum untuk melegakan selsema. Serbuk daunnya yang dicampurkan dengan minyak jarak digunakan untuk menyembuhkan tulang retak. Di Thailand, jus daun beluntas digunakan untuk merawat kencing manis dan pelawas kencing. Selain dari itu beluntas juga sedap dijadikan ulam dan masak lemak walaupun rasanya agak payau dan baunya yang agak kuat.

No comments:

Post a Comment