VIP Dedaun Alam

Friday, March 5, 2010

Ciku

Buah ciku yang masih muda.
Nama Botani : Achras sapota L
Famili : Sapotaceae
Nama Lain : Sawa nila (sebut : sawo nilo di Kelantan), Sawa (Kedah), Sapodilla (US dan UK), Sapote (India), Chico atau Chico Sapote (Mexico), Naspero (Venezuela)

Pengenalan

Pokok ciku merupakan pokok buahan tempatan yang biasa ditanam di kawasan sekitar rumah, kebun, ladang dan dusun. Pokok ciku boleh mencapai ketinggian sehingga 30 meter. Pokok ciku berbuah sepanjang tahun.tetapi penghasilan adalah tidak seragam. Buah ciku berbentuk bujur iaitu seakan telur ayam. Di Malaysia, varieti ciku yang boleh didapati ialah Jantung, Betawi, Pasir dan Subang. Ciku varieti Jantung dan Pasir berbentuk bujur telur dan mempunyai berat dalam lingkungan antara 90 ke 100g. Varieti Subang pula berbentuk bujur lonjong dan mempunyai berat dalam lingkungan 50 hingga 60g. Manakala varieti Betawi berbentuk bulat dan beratnya adalah dalam lingkungan 70 ke 80g.
Selain boleh dimakan segar, ciku juga boleh dijadikan jem, jus, kepingan ciku kering dan ditinkan dalam bentuk kepingan untuk membuat sherbet dan candy. Bukan itu sahaja, ciku juga boleh digunakan sebagai bahan mentah dalam industri pengeluaran pektin, glukosa dan jeli.

Kandungan Zat Dan Vitamin

Buah ciku kaya dengan gula bebas, vitamin C dan mineral terutama kalsium. Bagi tiap-tiap 100g bahagian yang boleh dimakan, ciku mengandungi 82kcal tenaga, 2.3mg zat besi, 79.1g air,21mg kalsium, 0.4g protein, 31mg kalium, 0.8g lemak,130ug karoten, 18.4g karbohidrat, 22ug retinol, 0.9g fiber, 0.01mg vitamin B1, 0.4g abu, 0.06mg vitamin B2, 16mg kalsium, 2.8mg niasin, 4mg fosforus, 6.5mg vitamin C.

No comments:

Post a Comment