VIP Dedaun Alam

Tuesday, December 28, 2010

Dieffenbachia sp



Nama Botani : Dieffenbachia sp.
Famili : Araceae

Pokok dieffenbachia sp. dipercayai berasal dari Amerika Selatan. Di Malaysia, ia dikenali dengan nama pisang tanah dan pokok birah. Namanya dalam bahasa Inggeris adalah dumb cane. Terdapat lebih kurang 30 spesis dieffenbachia. Anatar spesis pokok yang jadi pilihan untuk hiasan adalah dieffenbachia amoena, Dieffenbachia candida, Dieffenbachia picta exotica, Dieffenbachia bowmannii Carr, Dieffenbachia picta, Dieffenbachia maculata dan Dieffenbachia sequine. Pokok ini mempunyai batang lembut dan tidak bercabang bewarna hijau dengan daun bertompok kuning, putih dan hijau mengikut spesis. Ketinggian pokok ini boleh mencapai sehingga 3 meter. Ia bersifat sangat lasak dan sering ditanam sebagai pokok hiasan di mana sahaja. Pokok ini boleh dilihat ditanam di sekitar rumah, pejabat, sekolah dan lain-lain. Ramai yang tidak menyedari pokok ini sebenarnya bertoksik.

Spesis daripada dieffenbachia ini boleh menyebabkan keradangan di bahagian mulut, kulit dan mata jika terkena getahnya. Ia menyebabkan kesakitan serta bengkak pada tempat yang terkena getah daripada pokok ini. Kesan daripada toksik yang ada pada pokok ini juga boleh menyebabkan kesukaran untuk bernafas. Ada juga yang mengatakan toksik yang terhasil daripada pokok ini boleh mengakibatkan kanak-kanak menghadapi kesukaran untuk bercakap. Jadi, elakkan anak-anak kecil menyentuh pokok dieffenbachia sp ini.

Jika anda menyentuh pokok ini pastikan bahagian badan dibasuh dengan sebaiknya dan sekiranya terkena getah pokok ini, bersihkan dengan air dan sabun. Jika tertelan, minum air atau susu kerana ia dapat melarutkan toksik dalam pokok ini. Pastikan anda mendapat rawatan perubatan dengan segera.

Kegunaan

Walaupun pokok ini bertoksik ia juga mempunyai kegunaan kepada manusia. Selain ditanam sebagai pokok hiasan, spesis ini digunakan oleh kaum asli di Brazil dan penduduk Caribean untuk meningkatkan kesuburan. Ia juga dikatakan boleh digunakan untuk merawat gout. Ia juga digunakan sebagai racun anak panah.

Wednesday, December 22, 2010

Bunga Part XIII

Bunga dalam siri XIII ini adalah antara bunga yang biasa dilihat, jarang atau tidak pernah dilihat oleh pembaca Dedaun Alam.

Bunga kecil tetapi cantik daripada pokok jenis memanjat yang tumbuh meliar.

Bunga balung ayam.

Bunga garlic vine yang biasa ditanam sebagai hiasan di pergola.

Bunga yang kurang dikenali iaitu bunga belongan.

Bunga anggerik hutan.

Tuesday, December 21, 2010

Bird Nest Fern

Pokok paku sarang burung yang dijadikan hiasan landskap.

Spora yang terdapat pada bahagian bawah daun paku sarang burung.


Pucuk muda pokok paku sarang burung
Nama Botani : Asplenium nidus
Famili : Aspleniceae

Bird nest fern atau paku sarang burung merupakan tumbuhan paku pakis jenis epifit. Ia hidup dengan menumpang pada pokok, dinding, bumbung dan lain-lain. Pokok ini jenis lasak tetapi lebih menggemari suasana redup. Ia juga mampu hidup di bawah pancaran  matahari tetapi pokok tidak bagitu dengan embesaran yang sedikit terbantut. Pokok ini juga dikenali dengan nama paku langsuyar/langsuir dan paku sakak burung. Ia mmpunyai daun berwarna hijau yang lebar dan panjangnya boleh mencapai sehingga 1.5 meter. Paku sarang burung ini tumbuh secara meliar dan paling mudah didapati di ladang kelapa sawit. Ini kerana suasana yang redup dan senang membiak dicelah bekas pelepah pada batang kelapa sawit. Pokok ini membiak melalui spora yang terdapat pada bahagian bawah daunnya(rujuk foto). Pokok paku ini yang dahulunya terbiar tetapi sekarang ia mempunyai nilai yang tinggi dalam pasaran kerana permintaan untuk hiasan landskap. Di beberapa negara luar, tunas atau pucuk muda pokok paku ini dijadikan sebagai makanan.

Wednesday, December 15, 2010

Kerang

Kerang jenis liar yang lebih segar dan bersih berbanding kerang peliharaan.

Kerang boleh dimasak dengan pelbagai cara seperti masakan di atas, direbus, dibakar dan lain-lain.

Kerang atau nama saintifiknya anadara granosa daripada keluarga moluska bercenkerang ini mengandungi kandungan nutrisi dan zat yang berguna bagi kita. Kandungan yang terdapat di dalam kerang merupakan salah satu sumber mineral yang diperlukan oleh badan kita seperti ferum, fosforus, iodium, kalsium, Kalium, zink, selenium dan lain – lain. Kandungan mineral tersebut lebih mudah diserap tubuh berbanding dengan mineral yang dihasilkan oleh kekacang. Dengan memakan kerang secara teratur, badan kita mendapat kalsium yang memadai dan ia dapat menghindarkan osteoporosis.

Walaupun kerang mengandungi kolesterol yang tinggi tetapi kandungan lemaknya adalah rendah. Kerang juga mengandugi Omega 3 yang tinggi. Ia juga merupakan sumber vitamin A, D, E, K, B-1, B-2, B-6 (piridoxin), B-12 dan Niasin. Amalan memakan kerang juga dikatakan dapat melindungi daripada risiko kanser usus.
Kerang juga merupakan sumber protein yang mudah dihadam oleh badan kita kerana kadar asid amino essentialnya yang tinggi iaitu 85% – 95%. Biarpun kerang mempunyai pelbagai khasiat tetapi pengidap penyakit gout tidak digalakkan memakan kerang kerana kerang mengandungi bahan yang boleh meningkatkan keasidan pada urat. Untuk mendapat nutrisi yang terbaik, kerang liar (rujuk foto) adalah sumber yang lebih terjamin dibandingkan dengan kerang peliharaan dalam sangkar.

Kandungan nutrisi bagi setiap 100g kerang

Air, 74.56 g
Tenaga, 105 kcal atau 439 kj
Protein, 17.1 g
Lemak, 0.76 g
Karbohidrat, 6.01 g
Fiber, 0 g

Mineral

Kalsium, 31 mg
Besi, 3.19 mg
Magnesium, 48 mg
Fosporus, 190 mg
Potassium, 250 mg
Sodium, 301 mg
Mangan, 0.04 mg
Selenium, 44.8 mg

Vitamin

Vitamin C, 2 mg
Thiamin, 0.19 mg
Riboflavin, 0.1 mg
Niacin, 1.5 mg
Asid Pantothenic, 3 mg
Vitamin B-6, 0.15 mg
Folate, 5 mcg
Vitamin B-12, 0.73 mcg
Vitamin A, 5 IU
Vitamin A, RE, 2 mcg_RE
Vitamin E, 4 mg_ATE

Sunday, December 12, 2010

Belanga Tembaga

Belanga tembaga

Belanga tembaga ini adalah buatan tangan sepenuhnya.

Belanga tembaga merupakan perkakasan memasak yang penting suatu masa dahulu sebelum terciptanya periuk keluli tahan karat (stainless steel) dan perkakasan memasak yang dijana oleh elektrik. Terdapat dua jenis belanga yang sering digunakan untuk memasak iaitu belanga tembaga dan belanga tanah liat. Belanga tembaga ini diperbuat daripada tembaga keseluruhannya dan ianya buatan tangan tanpa sebarang penggunaan mesin. Belanga tembaga dalam foto di atas sebenarnya adalah milik moyang penulis dan kini ia dalam simpanan bonda penulis.

Saturday, December 11, 2010

Pisang Nipah

Pisang nipah yang telah masak

Perbandingan antara pisang nipah(sebelah kiri foto) dan pisang awak (atas) dan pisang mantan.

Di Malaysia terdapat beberapa jenis pisang nipah. Pisang nipah seperti dalam foto di atas bersaiz besar dan mempunyai kulit tebal seakan buah nipah. Pisang nipah biasanya tidak dimakan segar kerana ia lebih sedap jika digoreng atau dijadikan kuih/masakan seperti pengat, cucur pisang dan lain-lain.

Thursday, December 9, 2010

Poli Ubi Kayu

Poli ubi kayu

Poli ubi kayu termasuk dalam kategori makanan tradisional orang Melayu di Kelantan. Kuih tradisional ini mungkin kurang dikenali atau langsung tidak dikenali oleh generasi sekarang. Kuih ini merupakan resepi warisan bonda penulis. Semasa zaman kanak-kanak, bonda penulis biasa membuat kuih ini sebagai hidangan petang kami sekeluarga. Untuk meneruskan warisan ini, penulis telah meminta resepinya daripada bonda. Dengan kerjasama isteri penulis, poli ubi kayu ini menjadi kenyataan. Penulis sendiri telah hampir dua dekad tidak merasa kesedapan kuih ini. Untuk mengetahui resepi dan cara membuat kuih poli ubi kayu ini, sila rujuk foto dan artikel di bawah.

Ubi kayu yang dikupas kulit, diparut (atau boleh menggunakan mesin kelapa). Ubi kayu yang digunakan adalah ubi kayu kuning (klon baru). Untuk lebih autentik, gunakan ubi kayu putih.

Parutan ubi kayu tadi dibungkus menggunakan daun pisang dengan saiz kira-kira 7cm X12cmX2cm. Ia kemudian dikukus atau direbus sehingga masak. Poli ubi kayu dalam foto di atas dimasak dengan cara mengukusnya. Ia lebih pejal dan sedap.

Setelah masak, sejukkan dan potong dalam bentuk dadu. Kemudian potongan tersebut digaul bersama kelapa parut (kelapa matang=kelapa yang tidak tua dan tidak muda) yang dicampur dengan sedikit garam. 

 Gula melaka yang dicairkan (masak bersama air) dituang ke atas poli ubi kayu. Poli ubi telah sedia untuk dimakan.

Wednesday, December 8, 2010

Keladi Lambuk

Pokok keladi lambuk yang masih kecil

Nama Botani : Caladium sp.
Famili : Araceae

Keladi lambuk juga dikenali dengan nama keladi kemumu merupakan tumbuhan dalam keluarga araceae yang biasanya tumbuh secara meliar. Ia juga ditanam kerana kegunaannya sebagai makanan. Keladi lambuk tidak seperti keladi jenis lain kerana batangnya tidak menyebakan kegatalan dan ia boleh dimakan mentah sebagai ulam. Sebelum dimakan, batang keladi perlu disiat kulitnya dan direndam seketika dalam air garam. Ia sedap dicicah mengikut selera masing-masing(budu, sambal belacan, sambal kelapa dan lain-lain). Batang keladi lambuk juga boleh dijadikan bahan masakan seperti masak lemak.

Tuesday, December 7, 2010

Bleeding Heart

Bunga bleeding heart


Nama Botani : Clerodendrum thomsoniae
Famili : Verbenaceae

Terdapat lebih daripada 400 spesis pokok bunga bleeding heart di seluruh dunia. Ini termasuklah jenis memanjat (rujuk foto), pokok renek, herba dan pokok saka. Pokok bunga bleeding heart seperti dalam foto merupakan pokok hiasan jenis lama dan ia kurang dikenali oleh generasi muda sekarang. Pokok jenis memanjat ini mengluarkan bunga berwarna putih dengan empat atau lima kelopak dan berjambak. Bunga ini akan menghasilkan buah pada bahagian tengah bunga dan apabila masak buahnya akan merekah. Bahagian dalam buahnya berwarna merah akan kelihatan dan ini menyebabkan ia dikenali dengan nama bleeding heart atau hati yang berdarah(terluka).

Wednesday, December 1, 2010

Maman

Pokok maman


Di Malaysia terdapat dua jenis pokok maman yang boleh dijadikan sebagai makanan iaitu maman sayur (rujuk foto) dan maman hantu. Untuk mengetahui info mengenai pokok maman sila baca di sini. Maman sayur paling sedap jika dijadikan sebagai jeruk.