VIP Dedaun Alam

Monday, January 31, 2011

Ketam Guri

Pokok ketam guri yang tumbuh liar di kawasan terbuka. Perhatikan pokoknya yang seakan dicantas. Pokok ini menjadi kegemaran lembu yang meragut daun, ranting dan bunganya.

Pokok ini disemai oleh penulis kerana ingin mengubahnya menjadi pokok bonsai.

Inilah bunga ketam guri yang sering dijadikan motif seni ukiran dan batik. Bunga ketam guri seakan bunga raya kerana mereka adalah dalam famili yang sama

Nama Botani : Sida rhombifolia sp.
Famili : Malvaceae

Pokok ketam guri merupakan tumbuhan yang biasa dijumpai tumbuh secara meliar di kawasan padang, tempat yang terbuka dan kawasan terbiar. Pokok ini juga dikenali dengan nama getang guri, segar guri dan jerun jantan. Bagi peminat atau orang yang terlibat dalam bidang seni ukiran dan batik, bunga ketam guri sememangnya cukup sinonim kerana ia adalah antara motif utama ukiran dan lukisan batik. Namun begitu, tidak ramai orang (termasuk mereka yang melibatkan diri dalam seni) yang mengenali pokok dan bunga ini.

Pokok ketam guri dikatakan boleh digunakan untuk merawat masalah diabetis. Ia juga mempunyai sifat anti bakteria dan anti fungus.

Friday, January 28, 2011

Pokok Tulang Ayam

Pokok tulang ayam

Pokok tulang ayam merupakan tumbuhan yang hidup meliar di dalam hutan. Pokok ini kurang dikenali dan tidak begitu terkenal dalam bidang perubatan tradisional kerana bukan mudah untuk mendapatkan pokok ini. Pokok tulang ayam mempunyai daun yang berbentuk bujur dan tirus, bergerigi pada bahagian tepi dan permukaan daunnya agak kesat.

Antara kegunaan pokok ini adalah untuk merawat masalah kecacingan. Secara tradisional, daun pokok tulang ayam direbus dan air rebusannya digunakan sebagai mandian. Ia dikatakan sangat berkesan untuk mengatasi masalah kecacingan pada kanak-kanak atau bayi. Kaedah mandian ini digunakan sejak sekian lama sehingga kewujudan ubat cacing yang menggunakan bahan kimia(yang boleh didapati di kedai ubat/farmasi/klinik/hospital). Kegunaannya semakin dilupakan oleh generasi sekarang.

Wednesday, January 26, 2011

Ayam Mutiara

Ayam mutiara mepunyai sifat setiakawan yang sangat utuh. Biasanya mereka hidup dalam kumpulan dan tidak suka terpisah antara satu sama lain.


Ayam mutiara juga dikenali sebagai ayam api-api(di Kelantan ia dikenali dengan nama ayam api) dan ayam burung (utara Semenanjung). Ramai yang terkeliru antara ayam mutiara dan ayam belanda. Ayam mutiara dan ayam belanda adalah spesis yang berbeza. Ayam belanda bersiaz lebih besar dan lebih dikenali dengan nama ayam turki atau ayam piru. Terdapat beberapa spesis yang ada di Malaysia dan ia dibezakan melalui corak dan warna bulu. Antara spesis ayam mutiara adalah helmeted guinea fowl, vulturine guinea fowl, crested guinea fowl dan pied guinea fowl. Harga ayam mutiara di pasaran semasa agak tinggi iaitu RM60 hingga RM80 seekor (dewasa).

Tuesday, January 25, 2011

Burung Melilin

Burung melilin biasanya hinggap atau berada di pokok besar dan tinggi. Lokasi : Kuah, Langkawi

Dan jika boleh, tempat yang paling tinggi seperti ini.
Singgah sebentar di dahan pokok sebelum melayang ke pokok lain. Burung ini tidak terbang seprti kebanyakan burung-burung lain, ia sekadar membuka sayap untuk meluncur dan sekali sekali mengepakkan sayapnya jika jarak yang agak jauh.

Pasangan burung ini mencari makan pada batang pokok mempelam di Ulu Melaka.

Burung melilin merupakan salah satu spesis burung enggang atau kenyalang (hornbill). Biasanya burung melilin bersaiz lebih kecil berbanding kenyalang atau enggang. Terdapat 57 spesis burung enggang di seluruh dunia dan ia tergolong dalam kumpulan bucerotidae. Burung daripada spesis ini mempunyai paruh berbentuk seperti tanduk lembu yang berwarna terang dan garang. Burung ini memakan buah-buahan, serangga dan haiwan kecil.

Burung melilin masih banyak dan hidup bebas di Langkawi. Ia adalah burung yang dilindungi sepenuhnya kerana semakin diancam kepupusan. Burung melilin ini boleh dilihat dihampir semua tempat di Langkawi. Jika melalui Jalan Persiaran Putera (Di Hadapan Bangunan LADA dan Billion), anda boleh melihat burung ini terbang bebas dan mencari makan tanpa rasa takut. Malah penulis pernah melihat burung ini makan buah pinang hiasan di tepi jalan menuju ke Jetty Point. Ia boleh dilihat dihampir keseluruhan pulau Langkawi dan pulau-pulau sekitarnya. Kehadiran burung ini mudah untuk dikesan kerana ia mengeluarkan bunyi yang sangat kuat dan terbang dalam kumpulan kecil.

Burung betina daripada spesis ini biasanya bertelur sehingga 6 biji. Ia bertelur di dalam sarang yang dibina dalam lubang pokok yang tinggi. Lubang ini akan ditutup dengan menggunakan tanah liat, selut, najis dan cebisan buah-buahan. Semasa mengeram, burung betina akan tinggal di dalam sarang yang mempunyai satu bukaan kecil (sekadar muat untuk mengeluarkan paruh). Melalui lubang kecil inilah burung jantan memberi makan kepada pasangan dan anak-anaknya. Apa yang menarik, burung ini adalah pasangan sehidup semati. Burung betina akan terus berada bersama anak-anaknya di dalam lubang sehingga anak-anaknya membesar dan mampu unuk terbang.

Sunday, January 23, 2011

Rebahnya Setiar Satu Abad

Pokok setiar yang berusia lebih satu abad. Hampir setiap tahun ia mengeluarkan buah yang banyak. Pernah berlaku,  dahan sebesar satu pemeluk patah dan jatuh bersama buah yang sedang masak.

Bandingkan saiz si kecil yang berusia 2 tahun 10 bulan dengan pokok setiar gergasi. Foto ini dirakam sehari sebelum ia rebah ke bumi.

Rebahnya pokok setiar satu abad ini dengan hanya kudrat dua orang bersama mesinnya.

Inilah penamat khidmat dan sumbangannya kepada manusia, kerengga(berpuluh-puluh sarang kerengga musnah), tupai yang kehilangan mahligai dipuncak dan beburung yang bersarang/singgah berehat pada dahan pokok tua ini.

Thursday, January 20, 2011

Bunga Balung Ayam

Pokok bunga balung ayam


Nama Botani : Celosia arargentea var cristata
Famili : Amaranthaceae

Pokok bunga balung ayam merupakan tumbuhan hiasan jenis berbunga yang berasal dari Brazil. Terdapat berbagai varieti pokok bunga balung yang boleh dibezakan melalui saiz pokok dan warna bunga. Pokok ini berketinggian sehingga 1.2 meter. Pokok bunga balung ayam berbatang yang licin dan mempunyai beberapa cabang. Daunnya berbentuk bujur dan tersusun bertentangan pada batangnya. Biji benih bunga ini terletak di bahagian bawah atau pangkal bunga dan ia berwarna coklat atau hitam.

Selain ditanam sebagai pokok hiasan, pokok bunga balung ayam juga mepunyai khasiat dalam perubatan tradisional. Ranting atau dahan pokok balung ayam yang ditumbuk lumat boleh digunakan untuk merawat bisul, bengkak dan luka dengan menampalnya pada tempat berkenaan. Air rebusan ranting dan bunga yang dikeringkan boleh diminum sebagai rawatan batuk berdarah, keputihan, batuk dan buasir. Untuk merawat jangkitan saluran kencing, disenteri, batuk dan darah haid yang berlebihan, seluruhy bahagian pokok direbus dan diminum airnya.

Ada juga yang mengatakan pokok balung ayam dapat melawaskan pembuangan air besar dan air kecil. Ia juga dikatakan baik untuk tenaga batin tetapi tiada sebarang kajian dibuat mengenainya.

Tuesday, January 18, 2011

Pepatung

Pepatung bersaiz kecil ini terbang agak perlahan.

Salah satu spesis pepatung bersaiz sederhana.

Sepasang pepatung yang romantik sedang mengawan.

Januari 2011, musim untuk pepatung ini membiak. Tiga pasang pepatung tidak sedar aksi mereka dirakam oleh lensa kamera penulis.

Pepatung yang juga dikenali dengan nama tuyut (Kelantan), pelatung (Kedah), sibur-sibur (Perak) merupakan sejenis serangga terbang yang unik. Ia mempunyai mata bulat yang besar, dua pasang sayap lutsinar yang kuat dan abdomen yang panjang. Pepatung mempunyai tiga pasang kaki seperti serangga lain tetapi ia tidak boleh berjalan. Pepatung juga merupakan hidupan atau serangga yang paling laju bergerak di dunia. Ia mampu terbang dengan kelajuan melebihi 200kmj dan mampu untuk berhenti secara pegun diudara walaupun dengan kelajuan tinggi. Ini bermakna ia mampu untuk berhenti serta merta pada kelajuan melebihi 200kmj. Kemampuan dan kelebihan ini terletak pada dua pasang sayapnya yang boleh mengawal pergerakannya. Ia mampu terbang ke depan, kiri, kanan, mengundur dan terbang setempat (Rekaan helikopter ditiru daripada kehebatan pepatung ini). Pepatung juga dapat memusingkan kepalanya dalam pusingan hampir 360 darjah tanpa menggerakkan badan. Terdapat lebih daripada 2000 spesis pepatung di dunia. Ia boleh dibezakan melalui saiz, bentuk dan warna badannya. Pepatung menjadikan serangga lain (termasuk pepatung lain) sebagai makanannya.

Walaupun pepatung ini serangga terbang tetapi ia bertelur dan membiak di dalam air. Kita sering melihat pepatung yang terbang di permukaan air sambil menyentuh bahagian hujung abdomennya. Inilah salah satu cara ia bertelur. Ia juga bertelur di atas tumbuhan akuatik dan ada spesis pepatung yang mampu untuk menyelam ke dasar untuk bertelur. Telur tersebut akan menetas dan menjadi nimfa. Nimfa ini mengambil masa kira-kira 2 bulan sehingga lima tahun di dalam air(mengikut spesis pepatung). Ia memakan berudu, anak-anak ikan, udang dan lain-lain. Ia bernafas melalui insang.

Apabila larva telah bersedia untuk proses metamorfosis, ia akan memanjat tumbuhan akuatik. Setelah berada di luar air, ia mula bernafas. Kepompong akan terbuka pada bahagian belakang kepala dan pepatung dewasa akan keluar dan terbang untuk meneruskan hidupnya sebagai serangga terbang yang hebat. Usia pepatung tidak panjang iaitu kira-kira empat bulan.