VIP Dedaun Alam

Sunday, May 29, 2011

Musa Ornata

Pokok pisang daripada spesis musa ornata.

Musa ornata adalah tumbuhan daripada famili musaceae. Pokok pisang ini tidak ditanam untuk buahnya tetapi sebagai pokok hiasan. Terdapat beberapa varieti dalam musa ornata ini. Jenis pisang yang biasa ditanam sebagai penghias landskap adalah Abyssinian, Siam Yellow Banana, African Red, Milky Way, Mannii, Becarrii, Macro, Royal Purple , Royal Ruby, Royal Pink, Sumatrana (Zebrina), Bronze Banana dan Musa Velutina.

Pokok pisang jenis ini mempunyai ketinggian sekitar 0.5 meter. Pelepah dan daun pisang ini lebih kecil. Ia juga mengeluarkan jantung dan berbunga tetapi kebanyakannya tidak menghasilkan buah. Hampir semua jantung pisang musa ornata keluar secara tegak, tidak seperti pisang biasa. Ada juga jenis pisang ini yang berbuah tetapi buahnya tidak boleh dimakan.

Tuesday, May 24, 2011

Palas

Pokok palas mengambil masa yang sangat lama untuk membesar dan tinggi seperti ini.

Anak pokok palas. Pokok palas membiak melalui pecahan rumpun dan biji benih. Masa diambil untuk membesar seperti induknya dalam foto di atas ialah lebih daripada 30 tahun.


Nama Botani : Licualia spinosa
Famili : Palmae

Pokok palas merupakan tumbuhan daripada famili palma. Ia adalah tumbuhan asli hutan di Malaysia. Pokok palas biasanya tumbuh meliar di kawasan tanah pamah yang berhampiran dengan sumber air seperti paya. Ia juga mampu hidup di kawasan berbukit tetapi pembesarannya lebih lambat dan tidak subur. Pokok palas banyak ditemui tumbuh di ladang getah kerana ia dibiarkan hidup oleh pemilik ladang atau kebun getah. Ini disebabkan pokok palas ada kegunaannya. Pucuk palas sangat sinonim dengan kuih tradisional hariraya iaitu ketupat. Tanpa daun palas, ketupat tidak akan bermakna. Apabila hariraya semakin hampir, daun palas pasti mendapat permintaan tinggi. Selain daripada kegunaan pucuknya, pokok palas juga mempunyai teras yang sangat keras dan digunakan sebagai tongkat dalam seni silat tongkat. Teras palas dipilih kerana ia lebih padu dan tidak mudah untuk patah serta tahan lama. Biasanya pokok palas yang tua(berusia lebih 30 tahun) dipilih kerana terasnya berkualiti tinggi dan baik.

Sunday, May 22, 2011

Bunga Part XXII

Himpunan bunga-bunga dalam siri kali adalah daripada pokok bunga hiasan yang biasa ditanam sebagai penghias landskap rumah. Siri yg ke XXII ini dibuat atas permintaan egieazira yang ingin melihat bungaan hiasan dipapar di sini.

Bunga keembung putih. Putih suci warna kelopak bunganya. Cantik.

Pokok bunga keembung dikenali dengan nama inai pacar oleh penduduk Kelantan. Ia membiak melalui biji benih. Buahnya berbentuk bujur akan 'meletup' untuk menyebarkan biji benih yang terkandung di dalamnya.

Bunga kembang pukul emapt. Seperti namanya, bunga ini akan berkembang pada atau selepas pukul empat petang.

Bunga ini tidak pasti namanya.

Friday, May 20, 2011

Dua Ekor Ikan Yang Berkawan Baik

Dua ekor ikan yang sedang mencari makan berhampiran jeti. Gambar kelabu disebabkan biasan cahaya matahari dan zoom dari jauh. Mereka berdua daripada spesis dan jenis yang berlainan tapi boleh berenang bersama-sama untuk mencari makan. Ada tak pembaca yang mengenali nama ikan ni? Yang kecil tu bersaiz kira-kira 20cm. Yang panjang tu tak pasti pula. Ikan kecil tu biasanya bermain di tepi jeti kerana ia lebih gemar mencari makan di kawasan tersebut. Dan ikan yang panjang tu pula bukan ikan todak(seperti yang serang Singapura pada masa dahulu-dalam dongeng). Kedua-dua jenis ikan ni boleh dimakan. Yang macam ikan todak tu memang sedap rasanya. Ada tak sesiapa yang kenal ikan-ikan ni?

Update (22 May 2011):
Ikan yang kecil tu adalah ikan sumpit-sumpit. Ikan bersaiz sederhana ini mempunyai kemahiran yang sangat unik dan hebat iaitu boleh menyumpit makanannya(biasanya serangga seperti lipas, belalang atau pepatung). Ia biasa mencari makan di kawasan jeti.
Ikan yang seperti todak ialah ikan banang. Ikan banang adalah adik beradik ikan todak. Ikan banang boleh membesar sehingga 2 meter panjang.

Thursday, May 19, 2011

Sentul

Pokok sentul jenis klon baru yang sedang berputik.

Pokok sentul yang sedang berbuah dengan lebat ini adalah daripada jenis sentul klon. Biasanya sentul akan masak dan boleh dipetik pada awal bulan Jun. Sentul juga tergolong dalam kumpulan buahan nadir di Malaysia.  Kisah dan rupa buah sentul klon yang masak boleh lihat di sini.

Tuesday, May 17, 2011

Ketereh

Buah ketereh atau gajus kuning dirakam pada 14 Mei, 2011 di Pulau Tuba, Langkawi.

Buah ketereh atau nama tempatannya, gajus merupakan buahan yang tergolong dalam kumpulan buah nadir Malaysia. Terdapat dua jenis gajus yang biasa ditemui ditanam atau hidup di Malaysia iaitu, gajus kuning dan merah. Ia juga dikenali dengan nama janggus oleh penduduk di bahagian utara Semenanjung Malaysia (janggus disebut jangguih), jambu golok (Pahang) dan jambu monyet (Indonesia). Info mengenai ketereh atau gajus ini anda boleh baca di sini.

Persoalan atau pertanyaan kepada pembaca,
1. Pernah lihat dan kenal buah gajus ni? (Untuk generasi muda)
2. Jika kenal, sudah berapa lama tidak lihat buah ini?
3. Bila kali terakhir anda makan buah gajus ni?
4. Ada kisah mengenai buah ini untuk dikongsikan di sini?

Monday, May 16, 2011

Keladi Ayam

Pokok keladi ayam yang tumbuh di sebatang anak sungai.

Pokok keladi merupakan tumbuhan yang hidup secara meliar di kawasan lembab dan berair sperti parit, anak sungai dan paya. Pokok keladi ayam mempunyai batang berwarna kehitaman. Keladi ayam tidak dimakan kerana ia mengandungi toksin yang menyebabkan kegataln kepada manusia. Secara tradisional, pokok keladi ayam digunakan untuk merawat ayam yang mengalami kepatahan tulang. Batang keladi ini dibalut pada bahagian tulang yang patah sehingga sembuh. Ia berkesan untuk ayam sahaja dan manusia atau haiwan lain tidak digalakkan untuk mencubanya. Namanya pun dah keladi ayam, sememangnya khas untuk merawat ayam patah tulang.

Sunday, May 15, 2011

Bemban Bukit

Pokok bemban bukit yang mempunyai ciri hampir sama dengan bemban paya atau sungai. Saiznya lebih kecil dan rendah berbanding bemban paya. Warna daun dan batangnya juga berbeza. Bemban paya berwarna lebih gelap.

Pokok bemban bukit atau nama botaninya donax sp. merupakan tumbuhan daripada famili marantaceae. Terdapat dua jenis pokok yang biasa ditemui hidup secara meliar di Malaysia iaitu bemban paya dan bemban bukit. Bemban paya hidup di kawasan yang berhampiran dengan air seperti sungai dan paya. Manakala bemban bukit lebih bersifat lasak kerana ia hidup di kawasan kering dan berbukit. Pokok bemban bukit mempunyai ketinggian yang sederhana iaitu sekitar 1 meter berbanding bemban paya yang mampu mencapai ketinggian sehingga 5 meter.  Air yang terdapa dalam pucuk pokok bemban secara tradisionalnya digunakan untuk merawat sakit mata. Pucuk muda daun bemban direbus dan diminum untuk meredakan demam panas.

Monday, May 9, 2011

Kumbang Nostalgia

Kumbang penyengat yang mahir mengorek lubang pada kayu.

Pernah lihat serangga ini? Mungkin ada yang biasa melihat serangga ini dan sudah pasti ada yang tidak tahu akan kewujudannya. Ia dipanggil kumbang biarpun ia sebenarnya bukan spesis kumbang. Kumbang ini adalah sama famili dengan tebuan. Ia tidak hidup secara koloni sepertimana saudara terdekatnya. Kumbang ini tinggal dan membiak di dalam lubang yang dikorek pada kayu mati samada kayu binaan rumah atau pokok. Ia akan mengorek lubang berbentuk terowong dan hidup bersama pasangannya untuk membiak. Kumbang ini memakan madu dan nektar bunga. Kenapa ia dianggap nostalgia? Kumbang ini semakin sukar untuk ditemui sekarang kerana faktor rekabentuk rumah yang semakin moden dan tidak menggunakan kayu. Dahulu, kumbang ini gemar untuk membuat 'rumah' pada kayu penyambut lantai rumah. Aktiviti kumbang ini tidak disukai oleh tuan rumah kerana ia akan merosakkan struktur kayu dan boleh menyebabkan penyambut lantai akan patah jika bilangan terowong dikorek dalam jumlah yang banyak. Jadi, apa yang dilakukan oleh tuan rumah dan kanak-kanak pada masa itu untuk mengatasi masalah ini? Sesiapa yang ada nostalgia atau kenangan boleh kongsi dalam ruangan komen.

Friday, May 6, 2011

Bunga Part XXI

As salam kepada semua pembaca Dedaun Alam. Bunga dalam paparan ke 21 ini saya pasti ramai tidak mengenalinya dan mungkin ini kali pertama anda melihat bunga-bunga ini.

Sekali pandang ia seperti kuntuman bunga anggerik. Ini adalah bunga lengkuas geting. Pokok lengkuas geting jarang ditanam kerana rizomnya tidak boleh dijadikan bahan masakan seperti mana lengkuas biasa. Pokok lengkuas geting mempunyai ciri yang sama dengan lengkuas biasa tetapi ia bersaiz kecil. Umbutnya boleh dimakan sebagai ulam dan lebih sedap berbanding lengkuas biasa..

Bunga nona. Pokok nona atau buahnya termasuk dalam kumpulan buahan nadir di Malaysia.

Bunga kapal terbang. Daun sangat berguna untuk merawat luka. Untuk info, klik kapal terbang
Bunga meriam batu. Nak kenal pokok meriam batu dan kegunaannya anda baca di sini


Bunga remilang. Info mengenainya sila lihat di sini

Tuesday, May 3, 2011

Telipok

Pokok telipok atau telepok. Bunganya mekar pada waktu pagi dan layu pada sebelah petang.

Nama Botani : Nymphae sp.
Famili : Nymphaeaceae

Telipok atau telepok merupakan tumbuhan akuatik dalam famili nymphaeaceae. Terdapat banyak spesis telipok yang boleh dibezakan melalui warna dan bentuk bunga atau daunnya. Ramai antara kita keliru antara telipok dan teratai. Sebenarnya telipok dan teratai adalah berlainan spesis dan famili. Teratai berada dalam famili nelumbonaceae. Perbezaan yang paling mudah dilihat antara dua jenis tumbuhan akuatik ini adalah teratai mempunyai daun berwarna hijau terang, daunnya bertangkai panjang dan berada jauh dari permukaan air. Manakala telipok berdaun hijau gelap dan bergerigi pada bahagian tepi. Daun pokok telipok sentiasa berada dipermukaan air (sila rujuk foto di atas). Di Malaysia, telipok dengan bunga berwarna ungu paling mudah ditemui. Ia juga mengeluarkn bunga berwarna pink(merah jambu), biru, peach, kuning dan putih.