VIP Dedaun Alam

Sunday, March 24, 2013

LIMA 2013 - Jadual Acara Pertunjukan Udara & Maritim (Terkini)

Jadual acara Pertunjukan Udara. 29 dan 30 Mac dibuka untuk orang awam. Senarai negara dan pesawat yang ada di LIMA 2013 juga dipamerkan di sini.

Jadual acara Maritim dan senarai negara serta kapal/vessels yang mengambil bahagian pada LIMA tahun ini.

Anatara pesawat dan helikopter yang ada dan tiba pada pagi Sabtu(23 Mac 2013)

Pesawat Omega Tanker antara yang dipamerkan.

Pesawat yang akan membuat pertunjukan udara. Tahun 2013 ada 4 team yang akan mempersembahkan kehebatan iaitu Russian Knight, Jupiter Aerobatic Team, Smokey Bandits dan Krisakti. 


Foto yang diambil pada sebelah petang.  Pesawat kecil Aerobatic Team, Krisakti. Aksi udara daripada Team Krisakti adalah formasi bentuk 'love'(hati). Formasi ini paling mendapat perhatian dan tepukan gemuruh penonton.




Friday, March 22, 2013

Kebun Kecil Tepi Pagar - Terima Kasih

Ucapan terima kasih ini sebenarnya ditujukan kepada ejen penting dalam kebun kecil saya. Mereka memainkan peranan penting dalam pendebungaan. Tanpa kerja yang tak pernah tahu erti penat oleh mereka, tumbuhan biasanya tidak produktif. Terima kasih ejen debungaku.

Ejen yang paling saya suka iaitu kelulut. Satu spesis lebah yang jarang dapat dilihat tapi mereka sentiasa ada dalam kebun kecil, pagi dan petang.

Lebah tukang atau lebih dikenali sebagai kumbang antara ejen penting dalam pendebungaan.

Lebah kecil juga tak ketinggalan untuk menghisap madu dari bunga jantan peria kampung.

Ini bukan lalat rumah sebab ia mencari bunga untuk dapatkan madunya.

Tuesday, March 19, 2013

Kebun Kecil Tepi Pagar - Yang Terselindung...

Apa agaknya yang terselindung dan ada di bawah pasu ini? Kali ini saya ingin kongsi tip dan kaedah mudah serta ringkas untuk menyelamatkan anak-anak pokok yang baru dialihkan ke tempat baru dalam musim/cuaca panas. Biasanya bahang matahari akan menyebabkan anak-anak pokok menjadi layu. Pada waktu pagi, kita lihat pokok yang baru dialihkan masih segar tapi bila petang, ia akan layu. Paling merisaukan, anak pokok akan melecur, kekeringan dan mati dek kepanasan pada waktu siang. Untuk kebun berskala kecil, saya guna dua cara iaitu menggunakan jaring hijau sebagai peneduh. Kaedah ini berkesan tapi ianya agak cerewet kerana kita perlu memasang jaring menggunakan kerangka ringkas. Jaring ini akan melindungi seluruh kawasan yang ditanam dengan pokok baru. Cara atau kaedah kedua yang saya sering pratikkan untuk kebun kecil ni adalah menggunakan pasu kecil kitar semula. Pasu-pasu kecil ini biasanya kita dapat percuma apabila membeli anak-anak pokok daripada nurseri. Pasu kecil ada dua jenis iaitu yang dibuat menggunakan tanah liat dan plastik. Kedua jenis pasu sesuai digunakan sebagai peneduh ringkas dan mudah alih. Caranya mudah saja, bila anak pokok dah ditanam di tempat baru, siram dulu sebelum tutup dengan pasu kecil. Biarkan pasu kecil itu selama seminggu atau lebih. Siraman perlu dibuat melalui lubang dan bahagian tepi pasu tanpa mengangkatnya.

Anak pokok cili yang berada di bawah lindungan pasu kecil selama hampir dua minggu. Ini untuk pastikan akar barunya telah keluar dan dapat mencari air serta nutrien untuk pokok. Ia tak akan layu dek kepanasan dan paling penting, selamat daripada gangguan/serangan serangga atau haiwan perosak seperti siput, cengkerik dan lain-lain.

Thursday, March 14, 2013

Kebun Kecil Tepi Pagar - Segar Dari Kebun 12/03/13


Tuaian segar dari kebun dibuat pada petang 12 Mac 2013 untuk sekali makan. Kacang panjang, kacang botor, peria dan bendi dimakan sebagai ulam. Tembikai kuning adalah buah yang kedua dan terakhir daripada pokok yang saya tanam. Biarpun buahnya hanya seberat 2.1 kg tapi saya puashati sebab boleh makan tembikai kuning yang betul-betul segar.

Tuesday, March 12, 2013

Cempaka Keling


Cempaka keling adalah tumbuhan hiasan renek dalam famili Magnoliaceae. Nama botaninya, Michelia  Figo/Magnolia Figo dan Magnolia Fuscata(kelopak bunga berwarna putih seperti dalam foto). Pokok cempaka keling telah lama ditanam sebagai hiasan laman kerana bunganya berbau sangat harum. Bunga ini antara bunga yang saya paling suka baunya. Bau bunganya seakan pisang masak dan seolah-olah ianya manis. Pokok bunga cempaka keling dikenali dengan nama banana shrub kerana baunya. Ia jenis pokok yang lambat membesar dan ketinggian sekitar 4-5 meter jika ditanam di atas tanah. Sekiranya pokok ini ditanam sebagai pokok pasuan, ketinggiannya hanya sehingga 2 meter sahaja.

Friday, March 8, 2013

Kacang Botor



Nama Botani : Psophocarpus tetragonolobus
Famili : Fabaceae/Leguminosae

Kacang botor atau juga dikenali dengan nama kacang botol merupakan tumbuhan jenis menjalar/memanjat yang dipercayai berasal dari Afrika Timur, Utara India dan Papua New Guinea. Kacang botor mempunyai daun jenis trifoliat dan berbunga pada ketiak daun dengan bilangan 2 hingga 10 kuntum bagi setangkai bunga. Bunganya berwarna biru, putih, merah dan kuning mengikut baka. Buah kacang botor panjang dan berbentuk empat dengan empat sayap pada setiap segi. Pokok kacang botor mula berbunga dan mengeluarkan setelah dua setengah hingga 5 bulan ditanam. Tempoh berbuah selepas ditanam adalah mengikut baka. Buahnya sesuai dipetik sebelum 20 hari selepas berbunga dan ia akan matang setelah berusia 65 hari.

Buah muda kacang botor mengandungi protein, mineral, kalsium dan Vitamin A. Daunnya mengandungi protein, mineral, Vitamin A dan Vitamin B. Biji buah yang masak mengandungi air, protein, karbohidrat, lemak dan fiber. Asid amino yang terdapat dalam kacang botor hampir sama dengan kacang soya.

Selain buah, daun dan bunganya juga dijadikan makanan. Ada baka kacang botor yang mempunyai ubi di dalam tanah dan ia juga boleh dimakan. Biji buah kacang botor boleh diproses sepertimana kacang soya. Daun kacang botor yang dikeringkan dan dijadikan sebagai teh digunakan untuk mencuci mata yang bengkak, bisul dan kudis. Untuk merawat bisul, daunnya yang ditumbuk lumat ditampal pada tempat berkenaan. Daun serta biji kacang botor yang dimasak dan dimakan dikatakan dapat merawat bisul dan ulser. Akar pokok ini direbus dan diminum airnya sebagai meredakan vertigo. Buah kacang botor mengadungi tokoferol yang bersifat anti penuaan dan antioksidan. Bagi penggemar kacang botor, ianya awet muda.

Tuesday, March 5, 2013

Teresek


Teresek merupakan salah satu masakan tradisional Kelantan. Teresek ada dua jenis yang biasa dimasak iaitu teresek kacang panjang dan teresek jantung pisang. Teresek dalam foto dimasak oleh bonda saya adalah gabungan keduanya. Bahan utamanya adalah hirisan jantung pisang, kacang panjang, cili hijau besar, isi ayam yang dicarik-carik, 'keropeh' ayam iaitu bahagian leher, kaki serta pedal. Teresek juga boleh dimasukan batang keladi setawi(spesis keladi yang semakin sukar untuk dijumpai sekarang). Masakan tradisional ini juga bukan mudah untuk didapati kerana biarpun cara memasaknya nampak ringkas tapi ia sebenar perlukan kemahiran untuk memberi rasa teresek yang sebenar. Jika tak kena cara, ia akan sekadar menjadi gulai/masakan kari yang biasa.

p/s : Siapa yang pernah makan teresek, sila angkat tangan..hehe..