VIP Dedaun Alam

Friday, September 28, 2012

Tridax Procumbens

Tridax procumbens yang berasal dari USA. Setakat ini belum ada nama dalam Bahasa Malaysia, mungkin ia boleh dipanggil dengan nama daisi tridax atau rumput butang kot.

Tridax Procumbens merupakan spesies tumbuhan berbunga dalam keluarga daisy. Tumbuhan ini lebih dikenali sebagai rumpai perosak. Ia berasal dari kawasan tropika Amerika dan telah disebarkan ke kawasan tropika, subtropika dan kawasan sederhana di seluruh dunia. Ia disenaraikan sebagai rumpai berbahaya di Amerika Syarikat. Tridax procumbens juga dikenali dengan nama coat button dan tridax daisy. Rumpai ini membiak melalui biji benih yang disebarkan oleh angin. Rumpai ini biasa dilihat tumbuh meliar di kawasan terbuka, padang rumput, tepi longkang tanah pertanian, kawasan terbiar dan tepi jalan. Ia bersifat lasak kerana mampu bertahan di kawasan yang kurang subur. 

Biarpun ia dikategorikan sebagai rumpai perosak, Tridax procumbens juga berguna sebagai herba tradisional dan bersifat antivirus, anti oksidan dan antibiotik. Ia juga dikatakan berguna sebagai rawatan untuk luka kecil dan gigitan serangga. Di India, jus daripada daun tridax procumbens dicampurkan dengan beberapa bahan lain digunakan sebagai tonik untuk menghitamkan rambut. Daunnya digunakan untuk menyembuhkan luka dan menghentikan pendarahan. 

Tridax procumbens masih disenaraikan di Amerika Syarikat sebagai Rumpai Berbahaya dan diuruskan di bawah Federal Noxious Weed Act.

Wednesday, September 26, 2012

Kebun Kecil Tepi Pagar - Bunga Petola Ular & Bendi Singa

Bunga petola yang sudah lama tidak saya lihat. Kali terakhir lihat bunga petola ular ialah semasa sekolah rendah. Waktu itu, petola ular ditanam oleh bonda saya di kawasan tepi rumah. Saya sendiri dah lupa bentuk bunga petola  ular ni. Bunga ini mekar pagi tadi dan ia adalah bunga yang pertama daripada pokok yang saya tanam..

Bunga bendi singa. Bendi merupakan tumbuhan yang sama famili dengan bunga raya iaitu malvaceae. Selain bunga raya, ia juga berkongsi famili dengan roselle, kapas hantu, asam paya dan jerun. 

Friday, September 21, 2012

Kebun Kecil Tepi Pagar - 11 Hari Berlalu...

Anak kacang panjang galaxy.

Lalat sedang berehat di atas daun anak timun jepun.

Tembikai kuning. Tanam sebagai percubaan kerana kata orang tanah di sini tak sesuai untuk tembikai kuning.

Bendi singa yang membesar dengan sihat dan subur. Tanpa sebarang baja dan racun, ia tumbuh subur kerana tanah masih kaya dengan nutrien. Ada serangga perosak yang menghisap cecair bahagian bawah daun. Saya tenyeh dengan jari je..hehe..

Kudup bunga yang bakal menghasil buah bendi singa. Tangkai daun berwarna merah seperti disapu cat.

Anak pokok markisa yang disemai daripada bahagian pucuk pokok markisa yang terputus. Disemai dengan doa dan harapan agar ia hidup dan membesar. Alhamdulillah..ia memberi perkembangan positif. Lihat, tangan si anak memaut badan emaknya.


Anak pokok tumbuh dengan sendiri. Bila besar ia akan menghasilkan buah yang boleh dimakan. Pokok apa ni ye..?

Pokok selom yang disemai menggunakan batang selom dari pasar. Bahagian lembut dimakan sebagai ulam, yang tua dan liat boleh disemai untuk dimakan suatu hari nanti.

Monday, September 17, 2012

Keladi Senduk

Pokok Keladi Senduk


Pokok keladi senduk adalah tumbuhan akuatik yang berasal dari Asia Tenggara. Tumbuhan akuatik ini juga dikenali dengan nama keladi merawan, paku rawan, keloyok, lagung (Iban), centongan (Jawa), sesenduk, kelor (Sabah), selimpat, kemelin (Perak), kelayau, keladi itik, keladi layar, genjer (Indonesia), kelayar (Negeri Sembilan), samsir (Sarawak), kelayo dan yellow burrhead leaf. Biarpun namanya dikenali dengan keladi atau paku tetapi ia bukan daripada famili keladi atau paku pakis. Keladi senduk atau nama botaninya, Limnocharis flava merupakan tumbuhan akuatik daripada famili Limnocharitaceae. 

Pokok ini tumbuh di kawasan berair cetek seperti parit, taliair dan sawah padi. Ia juga mampu hidup di kawasan lembab berdekatan dengan air. Ia dianggap musuh bagi penanam padi kerana bila ia tumbuh dalam petak sawah, ia akan menguasai kawasan tersebut. 

Keladi senduk atau paku rawan ini boleh dimakan. Pucuknya dimakan sebagai ulam atau dijadikan masakan. Bunganya yang belum mekar juga dijadikan makanan. Ia sedap dimasak dengan beberapa jenis masakan tradisional. Di sesetengah tempat, bunga tumbuhan ini dijual di pasaran.

Pembaca blog ini yang ada pengalaman dengan pokok ini boleh kongsi di sini. Mungkin pernah makan atau pernah lihat tapi tak tahu ianya boleh dimakan. Atau mungkin juga tak kenal dan tahu tentang kewujudan tumbuhan akuatik ini.

Sunday, September 9, 2012

Kebun Kecil Tepi Pagar

Hobi bertanam memang sebati dalam diri. Tak kira apa jenis pokok termasuk pokok bunga, buah, sayur dan sebagainya saya tanam. Sebelum ini tiada tempat yang sesuai untuk bertanam sayuran dan kebun ini sebenarya dibuat/dibina oleh saya. Dengan menggunakan tulang empat kerat, tanah dipunggah dan ditambak setinggi sekaki daripada tanah asal. Tanah yang digunakan agak istimewa iaitu tanah batas sawah padi. Asalnya tanah ini dibeli untuk diisi dalam tapak lantai rumah. Daripada 40 lori tanah, ada baki lebih kurang 6 lori yang ditambun menjadi bukit di belakang tapak rumah. Dan tanah batas sawah ini terbiar begitu saja. Idea untuk membina kebun terhasil setelah tapak asal untuk kebun kecil kurang sesuai kerana tanah berbatu pasir. Dalam bulan Ramadhan lepas, kerja memunggah dijalankan. Dengan bantuan cangkul, cok betul, penyodok dan kereta sorong bukit tersebut diratakan dalam tempoh tiga minggu (dalam bulan puasa). Kerja memunggah tanah dibuat pada awal pagi dan lewat petang untuk mengelak kepenatan atau kekeringan. Di bawah ini antara pokok sayuran yang ditanam.


 Pokok Bendi Singa, benih F1, 1979. Baru nak membesar dan kudup bunga telah muncul pada bahagian pucuk.

Petola ular. Petola ular sayur lemak putih antara masakan kegemaran saya. Telah bertahun-tahun tak makan menu kegemaran kerana petola ular makin kurang di pasaran.

Rumput? Bukan..ia juga daripada famili yang sama dengan rumput iaitu Graminae. Ini anak pokok jagung manis Top Star baka F1 723 yang berusia seminggu.

Betik klon yang dihasilkan MARDI. Kurang pasti namanya kerana anak pokok betik diberi oleh ayah mertua untuk ditanam di sini.

Pokok ulam raja ditanam menggunakan pucuk yang dibeli di pasar sebagai ulaman. Tanam tiga pokok dan semuanya hidup dengan subur. Pokok ini akan dijadikan induk untuk dapatkan biji benih ulam raja.

Ubi kayu. Pucuknya sedap dibuat ulam dan kerabu. Ubinya boleh dibuat berbagai jenis masakan dan makanan.





Wednesday, September 5, 2012

Greater Rocket-Tailed Drongo

Sepasang burung Cecawi Anting-anting atau Greater Rocker-tailed Drongo (Dicrurus Paradiseus). Jarang untuk dapat peluang untuk ambil gambar burung lindungan ini secara berpasangan. Gambar kelabu kerana bateri kamera hampir kehabisan. Kuasa fokus berkurangan.