VIP Dedaun Alam

Friday, April 27, 2012

Apa Ni Ye?


Pernah lihat atau jumpa objek seperti dalam gambar kat atas tu? Rasanya tak ramai yang kenal atau pernah melihatnya. Apakah ianya sejenis kek? Kuih? Kerepek? Cendawan? Kulat? Piring terbang/UFO? Tempurung nyoq(kelapa)? Ada siapa yang kenal, boleh cuba nasib di ruangan komen.

Wednesday, April 25, 2012

Wodyetia Bifurcata @ Pinang Ekor Musang

Wodyetia Bifurcata atau Pinang Ekor Musang adalah palma yang paling mendapat tempat untuk ditanam sebagai pokok hiasan. Paling mudah dilihat ditanam di jalanraya atau lebuhraya sebagai pokok teduhan. Saiz pokok yang tidak terlalu besar, bersifat lasak, mudah dijaga dan cantik merupakan faktor ia menjadi pilihan.


Wodyetia bifurcata atau dikenali dengan nama Foxtail Palm (Pinang Ekor Musang) adalah tumbuhan jenis palma yang cantik dengan daun sehingga 10 pelepah pada satu-satu pokok. Daun-daun yang keluar dari semua arah pada pelepah mewujudkan penampilan seperti ekor musang. Pokok palma ini berbatang kecil di bahagian pangkal dan sedikit besar pada bahagian tengah tengah batang. Ketinggian pinang ekor musang adalah sekitar 10 meter. Bunga pinang ekor musang keluar secara berjambak sepertimana kebanyakan sesis palma lain. Buah berbentuk bujur berwarna hijau ketika muda dan bertukar oren kemerahan setelah masak. Pokok ini membiak melalui biji benih. 

Palma ini hanya ditemui pada tahun 1978 setelah diperkenalkan oleh kaum peribumi di Australia kepada ahli botani. Wodyetia bifurcata dinamakan sempena nama orang asli yang bernama Wodyeti. Pada tahun 1984, petani Australia menemui palma ini. 

Wodyetia bifurcata atau Foxtail Palm ini merupakan tumbuhan asli Australia dan tumbuh di puncak bukit yang berkerikil di Cape Melville, utara Queensland. Sehingga kini, Kerajaan Queensland masih menyenaraikan palma ini dalam spesies terancam, walaupun ia telah disebarkan ke serata dunia sebagai pokok hiasan. Sebelum tahun 1995, biji benih palma ini diseludup keluar secara haram dari Australia kepada penanam di Florida serta bahagian-bahagian lain di dunia.Selepas 1995, benih dan pokok telah dibenarkan untuk dieksport.

Sunday, April 22, 2012

Kelulut & Bunga Jambu Air

Seekor kelulut menghisap madu daripada kuntuman bunga jambu air.

Sedang memilih bunga yang masih dipenuhi dengan madu.

Thursday, April 19, 2012

Dypsis Decaryi @ Triangle Palm

Dypsis decaryi atau triangle palm ditanam sebagai pokok hiasan taman tetapi ia kurang popular berbanding spesis palma lain.


Dypsis decaryi yang merupakan tumbuhan asli bahagian tenggara Madagascar adalah palma yang  menarik. Pelepahnya keluar dari batang dalam bentuk susunan segi tiga. Pelepah berukuran kira-kira 2.5 meter, daunnya berwarna kelabu kehijauan dan dalam bentuk pinat. 

Dypsis decaryi yang dipanggil Triangle Palm(Palma Segitiga) lebih sesuai ditanam di kawasan terbuka tanpa sebarang naungan. Walaupun spesis palma ini banyak ditanam di seluruh dunia sebagai pokok hiasan, di habitat asalnya terdapat kurang daripada 1,000 pokok yang tinggal. Di Madagascar, palma ini terancam oleh kebakaran dan penuaian benih untuk eksport. 

Dypsis decaryi boleh hidup dalam cuaca sejuk sehingga -2 °C. Ia sesuai ditanam di kawasan tropika, sub-tropika dan temperat.

Tuesday, April 17, 2012

Taman Tugu Keris


Taman Tugu Keris dibina untuk memperingati Mahsuri yang dijatuhi hukuman bunuh di lokasi ini pada tahun 1235H bersamaan 1819 Masihi. Mahsuri dikatakan diikat pada sebatang pokok dan dihukum bunuh walaupun beliau mengatakan tidak bersalah. Rayuan yang dibuat oleh kedua orang tua Mahsuri juga tidak diiendahkan. Hukuman tetap dilaksanakan tanpa belas simpati. Diceritakan, senjata yang digunakan semasa hukuman dijalankan tidak dapat menembusi tubuh Mahsuri walaupun ditikam berkali-kali. Oleh kerana Patih Kerma Wijaya bersungguh-sungguh untuk laksanakan hukuman tersebut, Mahsuri menyuruh orang mengambil senjata dirumah iaitu sundang milik keluarganya. Dengan senjata tersebut, hukuman dilakukan. Dan sebelum kematiannya, Mahsuri telah bersumpah bahawa Pulau Langkawi tidak akan aman selama tujuh keturunan kerana ketidakadilan ke atas dirinya.

Taman ini terletak di pekan Padang Mat Sirat, iaitu di sebelah kanan sebelum lampu isyarat dalam pekan jika memandu dari arah Lapangan Terbang atau jika memandu dari arah Ulu Melaka, ia terletak di sebelah kiri jalan betl-betul di simpang tiga lampu isyarat tersebut.

Nota : Sehingga kini, terdapat hanya sebuah sahaja lampu isyarat dalam pekan Padang Mat Sirat. Agak mudah untuk jumpa taman ini.

Sunday, April 15, 2012

Pesta Air Nasional Langkawi 2012

Pesta Air Nasional Langkawi 2012 diadakan di Pantai Chenang. Ia bermula pada 13, 14 dan berakhir pada 15 April, 2012.

Tiada acara melibatkan air sewaktu saya sampai. Pertandingan nyanyian berlangsung di pentas sebelah kiri foto ketika ini.

Lokasi acara panjat tiang licin dan tinju bantal.

Tidak begitu ramai pengunjung. Promosi Pesta Pantai tidak dibuat secara giat. Yang ada hanya kain rentang.  Saya buat carian di internet untuk acara pesta pantai tetapi hampa.

Sewaktu tiba di kawasan pantai, baru dapat baca info mengenai acara Pesta Pantai. Ia telah berakhir petang ini.

Friday, April 13, 2012

Mawar Putih @ Dedaun Alam Jr.

Dulunya si kecil ini tak suka gambar diambil tapi sekarang dah beri kerjasama. Posing dalam Taman Lagenda.

Tajuk entri mawar putih tapi foto bukan bunga mawar atau ros? Yang sebenarnya budak kecik inilah mawar putih. Namanya dalam bahasa Arab membawa maksud mawar putih. Tuan puteri kecik ni buah hati tuan blog. Sejak dari kecik lagi selalu ikut abahnya gi snap gambar sampai sekarang ni. Masa kecik dulu, adakalanya dia meragam/merajuk sebab penat berjalan-jalan. Kena la tuan blog ni dukung dia sambil sebelah tangan snap gambar. Banyak juga foto dalam blog sebelum ni diambil dengan menggunakan sebelah tangan sahaja. Kini dia dah besar(dah jadi kakak pun), tau abahnya nak ambik gambar. Dia akan ikut dengan setia tanpa merungut dah. 

Wednesday, April 11, 2012

Dypsis Lutescens @ Pinang Kuning

Pokok pinang kuning adalah spesis palma hiasan yang telah lama di bawa masuk ke Malaysia untuk ditanam sebagai pokok hiasan.

Pokok palma dypsis lutescens yang lebih dikenali dengan nama pinang kuning di Malaysia merupakan tumbuhan asli daripada Madagscar. Ia tumbuh meliar di dalam hutan hujan terutama di pinggir sungai. Walaupun  telah tersebar di serata dunia tetapi di habitat asalnya, ia diancam kepupusan. Palma ini tumbuh secara rumpun sehingga lebih 12 batang pokok. Pokok palma jenis ini boleh membesar sehingga ketinggian 8 meter. Ia boleh dibiakkan melalui pecahan rumpun dan biji benih.

Dypsis lutescens mampu menyesuaikan diri dengan iklim yang berbeza. Ia lebih sesuai ditanam di tanah bersaliran baik, sinaran matahari penuh. Pokok palma ini juga boleh ditanam sebagai pokok pasuan. Ia tumbuh dengan baik di kawasan tropika, iklim sub-tropika temperat dan mampu bertahan dalam suhu - 3 ° C untuk jangka masa  pendek.

Monday, April 9, 2012

Zebra Dove @ Ketitir

Burung ketitir sering dilihat mencari makanan di kawasan terbuka.

Ketitir atau merbuk merupakan spesis burung merpati yang berasal dari Asia Tenggara(Selatan Thailand, Semenanjung Malaysia dan Singapura, Indonesia dan Filipina). Burung ini yang dipanggil Zebra Dove (Numenius Chinensis) menjadi pilihan penggemar burung dan memeliharanya dalam sangkar. Ia dibela kerana siulan suaranya yang merdu. Ketitir hidup bebas di dalam belukar, ladang, kebun dan kawasan terbuka di kawasan tanah rendah. Ia juga biasa dilihat di taman dan kawasan perumahan di desa atau bandar.  

Burung ketitir bersaiz sederhana, badan langsing dengan ekor yang panjang. Bahagian atas badan keperangan kelabu dengan jalur hitam dan putih. Bahagian bawah berwarna merah jambu dengan corak hitam di sisi leher, dada dan perut. Saiznya kira-kira 20 hingga 23cm panjang dan lebar sayap di antara 24-26cm. Di Thailand dan Kelantan, pertandingan suara burung ketitir/merbuk diadakan untuk mencari juara suara terbaik dan merdu. 

 Burung ketitir memakan rumput kecil, buah dan biji rumpai. Ia juga menjadikan serangga dan invertebrata kecil sebagai makanan. Tidak seperti spesis burung merpati yang lain, mereka hidup secara individu atau berpasangan. Musim pembiakan burung ini secara semulajadi adalah dari September hingga Jun. Burung jantan akan membuat aksi berjalan sambil menunduk kepala, ekor diangkat dan dikembangkan sebagai cara memikat pasangan. Sarang mereka berbentuk mangkuk yang dibina menggunakan daun dan rumput kering. Ia dibina di atas pokok dan ada sarang yang dibina di atas tanah. Burung betina akan bertelur satu atau dua biji telur berwarna putih. Telur tersebut akan dieram oleh pasangan secara bergilir selama 13 hingga 18 hari. Setelah menetas, anak burung akan meninggalkan sarang dalam tempoh dua minggu. Ia boleh terbang dengan baik selepas berusia tiga minggu.

Thursday, April 5, 2012

Song Of India

Song Of India ditanam sebagai pokok hiasan.

Dracaena reflexa atau dikenali dengan nama Pleomele atau Song of India merupakan spesies Dracaena yang berasal daripada Madagascar, Mauritius dan kepulauan berdekatan Lautan Hindi. Ia banyak ditanam sebagai pokok hiasan kerana kecantikan warna daun yang pelbagai dan mudah dijaga. Ia mampu mencapai ketinggian 4-5 meter dan menjangkau ketinggian 6 meter jika tumbuh ditempat yang sesuai dengannya. Pokok ini lebih mwnyukai tempat yang terdedah terus kepada cahaya matahari. Ia juga boleh hidup ditempat yang terlindung daripada sinaran matahari dan tanpa pendedahan cahaya matahari seperti dalam bangunan. Pokok ini boleh dibiakkan melalui keratan batang. 

Secara tradisional, Dracaena reflexa dikatakan mampu untuk merawat malaria, keracunan, disentri, cirit-birit, senggugut, dan berguna sebagai antipiretik dan ejen hemostatic. Daun dan kulit pokok ini dicampur dengan bahagian beberapa tumbuhan herba lain dan dijadikan teh. Namun begitu tiada sebarang kajian saintifik yang mengesahkan keberkesanannya dan hanya digunakan secara tradisi.

Tuesday, April 3, 2012

Bambusa Vulgaris Vittata @ Painted Bamboo

Buluh spesis ini sering mendapat tempat untuk ditanam oleh peminat landskap.

Jalur-jalur gelap secara menegak pada batang adalah ciri utama buluh ini.

Bambusa vulgaris vittata yang dikenali dengan nama Painted Bamboo antara spesis buluh yang menjadi pilihan untuk ditanam sebagai pokok hiasan. Pokok buluh ini berbatang agak besar dengan ketinggian maksimum sehingga 15 meter (50 kaki). Batangnya berwarna kuning keemasan dan terdapat jalur-jalur gelap secara menegak. Ia bersifat lasak kerana ampu hidup dalam cuaca panas tropika dan suhu sejuk sehingga bawah paras beku (-1 darjah Celcius).