VIP Dedaun Alam

Showing posts with label ketitir. Show all posts
Showing posts with label ketitir. Show all posts

Monday, April 9, 2012

Zebra Dove @ Ketitir

Burung ketitir sering dilihat mencari makanan di kawasan terbuka.

Ketitir atau merbuk merupakan spesis burung merpati yang berasal dari Asia Tenggara(Selatan Thailand, Semenanjung Malaysia dan Singapura, Indonesia dan Filipina). Burung ini yang dipanggil Zebra Dove (Numenius Chinensis) menjadi pilihan penggemar burung dan memeliharanya dalam sangkar. Ia dibela kerana siulan suaranya yang merdu. Ketitir hidup bebas di dalam belukar, ladang, kebun dan kawasan terbuka di kawasan tanah rendah. Ia juga biasa dilihat di taman dan kawasan perumahan di desa atau bandar.  

Burung ketitir bersaiz sederhana, badan langsing dengan ekor yang panjang. Bahagian atas badan keperangan kelabu dengan jalur hitam dan putih. Bahagian bawah berwarna merah jambu dengan corak hitam di sisi leher, dada dan perut. Saiznya kira-kira 20 hingga 23cm panjang dan lebar sayap di antara 24-26cm. Di Thailand dan Kelantan, pertandingan suara burung ketitir/merbuk diadakan untuk mencari juara suara terbaik dan merdu. 

 Burung ketitir memakan rumput kecil, buah dan biji rumpai. Ia juga menjadikan serangga dan invertebrata kecil sebagai makanan. Tidak seperti spesis burung merpati yang lain, mereka hidup secara individu atau berpasangan. Musim pembiakan burung ini secara semulajadi adalah dari September hingga Jun. Burung jantan akan membuat aksi berjalan sambil menunduk kepala, ekor diangkat dan dikembangkan sebagai cara memikat pasangan. Sarang mereka berbentuk mangkuk yang dibina menggunakan daun dan rumput kering. Ia dibina di atas pokok dan ada sarang yang dibina di atas tanah. Burung betina akan bertelur satu atau dua biji telur berwarna putih. Telur tersebut akan dieram oleh pasangan secara bergilir selama 13 hingga 18 hari. Setelah menetas, anak burung akan meninggalkan sarang dalam tempoh dua minggu. Ia boleh terbang dengan baik selepas berusia tiga minggu.