VIP Dedaun Alam

Wednesday, June 30, 2010

Limau Kasturi

Kulit buah limau kasturi yang masih muda berwarna hijau tua.

Bunga limau kasturi berwarna putih dan berbau harum.


Nama Botani : Citrus microcarpa
Famili : Rutaceae

Pengenalan

Pokok limau kasturi merupakan sejenis tumbuhan renek yang berasal dari asia tenggara. Pokok ini dikategorikan sebagai pokok renek kerana ketinggian hanya mencapai 5 meter. Ia boleh dibiakkan melalui biji benih dan keratan batang (kaedah tut). Bunganya dari jenis hemafrodite. Pokok limau kasturi memerlukan pancaran matahari yang secukupnya untuk menggalakkan pembungaan dan menghasilkan buah yang lebat. Pemangkasan dahan atau ranting diperlukan bagi memastikan pokok mampu mengeluarkan buah secara optimum. Buahnya bersaiz kecil dengan ukuran diameter sekitar 8 hingga 9cm.

Kegunaan

Jus limau kasturi (setengah biji) yang dicampur bersama madu asli (satu sudu kecil) dan diminum dipercayai boleh mengurangkan asma. Untuk mengatasi masalah bau badan, amalkan memakan kulit limau kasturi secara mentah. Jusnya yang dicampur dengan madu juga boleh digunakan untuk merawat sakit tekak akibat lendir atau kahak. Limau kasturi boleh mencantikan rambut dan kulit muka. Guna perahan air limau kasturi dan lumurkan pada muka, rambut atau kulit kepala. Sebelum menggunakan kaedah ini, pastikan tiada sebarang luka pada tempat berkenaan. Limau kasturi juga dikatakan dapat menghilangkan sakit kepala. Caranya, hiriskan beberapa biji limau kasturi dan gosoklah ke seluruh kepala. Biarkan selama beberapa minit dan dicuci.

Tuesday, June 29, 2010

Limau Kiah

Pokok limau kiah atau limeberry ini telah berusia lebih dua dekad

Buah limau kiah yang telah masak.


Nama Botani : Triphasia trifolia
Famili : Rutaceae

Limau kiah atau dikenali dengan nama limeberry dan lemondichina ini merupakan pokok yang hampir pupus. Pasti ramai yang tidak mengenali limau jenis ini. Pokok limau kiah ini adalah tumbuhan jenis renek dan ketinggiannya mencapai 3 meter. Ia juga boleh dijadikan pokok bonsai. Daunnya berwarna hijau dengan 3 helai daun pada setiap tangkai. Pokok limau kiah ini mempunyai duri yang runcing dan tajam. Bunganya berwarna putih dan berbau harum. Buahnya berwarna hijau dan berbentuk lonjong ketika muda. Apabila masak, buahnya bertukar menjadi bulat sebesar guli kaca dan berwarna merah. Buah limau kiah biasanya mengandungi satu hingga tiga biji benih di dalamnya. Limau kiah ini biasanya digunakan untuk membuat sambal bagi masyarakat Melayu.

Monday, June 28, 2010

Melur

Pokok bunga melur mengeluarkan bunga sepanjang tahun

Bunga melur berwarna putih bersih


Bunga melur yang telah mekar mengeluarkan bau yang sangat harum. Kudup bunga ini biasanya akan mekar pada waktu senja.


Nama Botani : Jasminum Sambac
Famili: Oleaceae

Pengenalan
Pokok bunga melur atau jasmine mempunyai pelbagai varieti. Di Malaysia, terdapat tiga jenis bunga melur yang biasa dijumpai iaitu melur susun(duke of tuscany), maid of orlean (melur susun) dan star jasmin. Kelopak bunga melur jenis duke of tuscany mempunyai lapisan yang lebih banyak. Namun begitu baunya tidak sekuat maid of orlean dan bunga melur selapis yang biasa. Pokok melur memerlukan pancaran cahaya matahari yang secukupnya untuk tumbesaran dan pembungaan. Ia boleh dibiakkan melalui keratan batang. Bunga melur melur berwarna putih bersih dan baunya sangat harum. Ia mengeluarkan bunga sepanjang tahun.

Kegunaan

Bunga melur digunakan oleh masyarakat India dalam upacara keagamaan. Daun bunga melur yang digiling sehingga halus dan ditampal sekeliling payudara pada waktu pagi dipercayai dapat menambah air susu ibu. Untuk merawat sakit mata, segenggam daun melur ditumbuk halus dan ditampal pada dahi. Untuk merawat bengkak akibat gigitan lebah, ambil segenggam bunga melur, ramas sehingga hancur dan tampal pada bahagian yang terkena sengatan. Segenggam daun dan bunga melur yang diramas di dalam air dan airnya digunakan untuk membasahkan dahi dipercayai dapat meredakan demam dan sakit kepala.

Friday, June 25, 2010

Bunga Part V

Koleksi Bunga Part V yang Dedaun Alam tampilkan kali ini adalah daripada spesis ros atau mawar. Semua gambar bunga di bawah ini diambil di Cactus Point dan Mardi Agrotek, Cameron Highland.

Merah tanda cinta

Kudup bunga yang akan mekar

Yang ini cantik dan harum baunya

Kelopak bunga yang mempunyai gabungan dua warna

Mawar yang mekar segar, cantik dan wangi.

Thursday, June 24, 2010

Petai

Pokok petai yang tumbuh subur dan berbuah lebat ini di Kg. Renok, Gua Musang. Perhatikan bentuk bunga petai yang unik (penjuru atas sebelah kanan foto)
Nama botani : Parkia speciosa
Famili : Leguminaceae

Pengenalan

Petai merupakan tumbuhan yang hidup secara meliar di dalam hutan dan ada yang ditanam di kebun, dusun atau ladang. Pokok petai yang terdapat di negara adalah 4 spesies iaitu petai kerayung (parkia javanica), petai meranti (parkia ingsularis), petai biasa (parkia speciosa) dan petai nering (parkia sumatrana). Pokok petai boleh mencapai ketinggian sehingga 30m dengan diameter batang menjangkau 5m.

Kegunaan

Petai merupakan antara ulaman yang paling diminati di Malaysia kerana khasiat yang terdapat di dalamnya. Namun begitu ada juga mereka yang tidak menggemari petai kerana baunya yang enak. Petai boleh dimakan mentah, dicelur, dijeruk atau dimasak sambal tumis(bersama udang, kerang, ikan bilis dan sotong).
Mengikut kajian, amalan memakan petai setiap hari berupaya menurunkan risiko kematian akibat strok sebanyak 40 peratus. Vitamin B6, B12, kalium dan magnesium yang terdapat di dalam petai dikatakan berupaya membantu tubuh sembuh cepat daripada ketagihan nikotin. Ini boleh membantu perokok untuk berhenti merokok.

Kandungan zat besi yang tinggi, petai berupaya menstimulasi pembentukan sel darah merah dan ini membantu mengurangkan derita pesakit anemia. Petai memiliki kandungan fiber yang tinggi dan ia memudahkan proses pencernaan. Ia boleh mengatasi masalah sembelit. Amalan memakan petai sebagai ulaman juga berupaya mengatasi masalah obesiti. Ia juga dipercayai dapat mengurangkan tekanan perasaan. Trytophan yang terdapat dalam buah petai berupaya merubah mood seseorang menjadi tenang dan tidak tertekan. Buah petai dipercayai boleh mengubati penyakit darah tinggi dan kencing manis. Petai umumnya menyumbang kearah kesihatan seseorang melalui pelbagai vitamin, galian dan unsur-unsur lain.

Kandungan khasiat dalam buah petai berbeza mengikut umur dan tahap kesegaran bijinya. Petai yang kecut dan yang tidak bulat bijinya mempunyai kandungan khasiat yang rendah. Selain mengubat penyakit darah tinggi dan kencing manis, masyarakat Melayu juga percaya bahawa buah petai juga berkesan untuk merawat penyakit hati, buah pinggang dan untuk mengubat kanak-kanak yang kecacingan.

Kandungan nutrisi bagi 100 gram buah petai:

tenaga 120.0 kalori
air 70 g,
protein 10 g,
lemak 1.8 g,
fiber 1.5 g,
karbohidrat 16.9 g,
kalsium 126mg,
fosforus 3 mg,
ferum 3.4 mg,
natrium 11 mg,
kalium 376 mg,
vitamin B1 0.15 mg,
vitamin B 2 0.2 mg,
niasin 0.5 mg,
vitamin C 32.7 mg

Bunga Part IV

Salam kepada semua pembaca dan pengunjung blog Dedaun Alam. Sudah lebih seminggu penulis tidak memasukkan entri baru kerana bercuti (balik kampung dan makan angin), kini pembaca dihidangkan dengan foto bunga raya yang pelbagai bentuk dan warna. Bunga raya ini hidup subur di kawasan tanah tinggi dan bersuhu sederhana.

Kombinasi dua warna pada bunga ini begitu mepersonakan

Bunga raya ini tidak mempunyai ranggi yang menarik tetapi gabungan dua warna menyerlahkan keindahannya.

Warna merah jambu yang cantik dan lembut

Ranggi bunga ini mempunyai bentuk yang menarik dan warnanya juga menawan hati siapa yang memandangnya.

Warna kuning lembut dan merah di bahagian tengah bunga memukau mata.

Bunga ini pasti jadi tarikan kepada peminat warna pink

Bunga mempunyai tona warna yang lembut

Thursday, June 10, 2010

Setawar

Pokok Setawar


Nama Botani : Kalanchoe pinnata (Lam.) Pers.
Famili : Crassulaceae

Pokok setawar merupakan tumbuhan renek yang biasa dijumpai ditanam sebagai pokok hiasan. Mengikut kajian, daun setawar mengandungi saponin, flavonoid dan tanin. Setawar membiak melalui tiga kaedah iaitu anak yang bercambah melalui bahagian tepi daun yang matang, biji benih dan keratan batang. Pokok setawar sangat lasak dalam keadaan cuaca kering kerana daunnya mengandungi banyak air.

Daun setawar boleh digunakan untuk meredakan kepanasan badan akibat demam panas. Daunnya diramas di dalam air, gunakan air tersebut untuk membasahkan kepala. Setawar juga mempunyai ciri anti bakteria. Ia boleh digunakan untuk mengelak dan mencegah keradangan kulit.

Wednesday, June 9, 2010

Cekur Hitam

Pokok cekur hitam

Bunga cekur hitam yang sedang mekar.


Nama Botani : Kaemferia pulchra
Famili : Zingiberaceae

Pengenalan
Cekur hitam merupakan tumbuhan herba yang sama keluarga dengan saudara terdekatnya iaitu cekur biasa. Perbezaan yang paling ketara ialah warna daunnya. Cekur hitam mempunyai daun berwarna hitam yang menarik. Ciri pokok juga sama dengan cekur biasa. Cekur hitam mengeluarkan bunga yang besar dan cantik berwarna ungu muda. Rizomnya bercabang-cabang berwarna oren.

Kegunaan

Rizom cekur hitam yang dicampurkan bersama lada hitam, kayu manis dan madu boleh digunakan untuk merawat selesema. Cekur juga dipercayai boleh merawat sakit mata, sakit tekak, bengkak, demam, sakit dan sengal tulang. Air rebusan akar cekur digunakan untuk merawat sakit perut akibat masalah penghadaman, mengatasi masalah kelemumur dan menghilangkan rasa gatal.

Monday, June 7, 2010

Naga Buana

Pokok naga buana



Nama Botani : Phyllantus pulcher
Famili : Euphorbiaceae
Nama Lain : Naga jumat, pokok kayu putih, semelit.

Pengenalan

Pokok naga buana atau juga dikenali dengan nama naga jumat hampir menyamai bentuk pokok dukung anak tetapi pokok ini lebih besar dan tinggi. Ketinggian pokok hanya mencapai sehingga 0.7m. Daun pokok naga buana akan menguncup pada waktu malam. Bunga berwarna merah putih yang bersaiz kecil keluar di sepanjang tangkai daun.

Kegunaan

Daun naga buana yang dilumatkan dan dicampur dengan ubi zebra boleh dijadikan sebagai ubat pupuk, terutamanya untuk mempercepatkan penyembuhan sakit bisul. Daunnya yang dilumatkan boleh digunakan untuk merawat luka-luka kecil dan gatal-gatal. Getahnya boleh dijadikan ubat sakit gigi dengan menitiskan pada lubang gigi yang sakit.

Air rebusan daunnya yang ditapis dengan kain bersih dan disejukkan boleh digunakan untuk mencuci mata. Air rebusan yang suam digunakan untuk menuam bengkak-bengkak, ulser hidung dan bayi yang kembung perut. Air rebusan akarnya dipercayai boleh melegakan tekanan darah tinggi.

Sunday, June 6, 2010

Kemunting

Pokok kemunting biasanya tumbuh liar di kawasan terbuka.

Bunga kemunting berwarna merah jambu.

Buah kemunting yang telah masak dan boleh dimakan.


Nama Botani : Rhodamyrtus tomentosa
Famili : Myrtaceace

Pngenalan
Pokok kemunting merupakan tumbuhan yang hidup meliar di kawasan belukar dan tanah lapang terbiar. Pokok kemunting mencapai ketinggian hanya 2m di kawasan terlindung dengan pokok-pokok besar dan sekitar 1m di kawasan terbuka. Pokok kemunting berbunga dan mengeluarkan buah sepanjang tahun. Bunga kemunting mekar cantik dan berwarna merah jambu(rujuk foto). Buah kemunting yang masak boleh dimakan.

Kegunaan

Pucuk dan daun kemunting yang direbus dan diminum air rebusannya dipercayai dapat melegakan sakit perut. Pucuk pokok kemunting juga boleh digunakan untuk rawatan selepas bersalin. Pucuk kemunting direbus bersama-sama daun inai, daun ati-ati dan daun jambu batu dan airnya diminum untuk mengecutkan rahim. Akar dan daun pokok kemunting yang direbus dan diminum boleh digunakan untuk merawat keputihan pada wanita.

Friday, June 4, 2010

Paku Tunjuk Langit

Pokok paku tunjuk langit

Nama Botani : Helminthostachys zeylanica
Famili: Ophioglossaceace

Pengenalan

Paku tunjuk langit merupakan tumbuhan jenis paku pakis daripada famili ophioglossaceace. Ia biasanya tumbuh di kawasan tanah rendah yang terbuka, redup dan bertanah liat atau laterit seperti di kebun getah. Bahagian paling atas yang merupakan sporangium yang terbuka dan sentiasa menegak ke arah langit. Sporangium ini akan tetap menunjuk ke arah langit walaupun pokoknya telah tumbang dan kerana sifat inilah pokok ini mendapat nama. Setelah matang sporangium akan pecah dan membebaskan spora untuk pembiakan.

Kegunaan

Akar, rizom dan keseluruhan bahagian pokok yang berada di atas permukaan tanah digunakan sebagai bahan dalam perubatan herba. Rizomnya yang ditumbuk sehingga halus dan dikunyah bersama pinang dipercayai boleh dijadikan sebagai penawar demam dan merawat batuk. Untuk merawat disentri, akar pokok ini ditumbuk halus dan direbus. Air rebusan ditapis, disejukkan dan diminum. Tunjuk langit juga amat terkenal sebagai penawar sakit lemah syahwat iaitu dengan cara meminum air rebusan keseluruhan tanaman tersebut. Ia juga dipercayai mampu untuk dijadikan penawar sakit atau lenguh pinggang. Caranya, ambil sedikit akar pokok ini, dibasuh bersih dan kunyah.

Thursday, June 3, 2010

Bunga Part III

Dedaun Alam terus mempersembahkan bunga dan flora Malaysia. Bunga dalam siri ini merupakan bunga yang mungkin biasa dilihat oleh kita tetapi ada juga yang tidak mengenalinya. Kali ini, tiada nama bunga diberikan kerana ingin menguji pengetahuan pembaca mengenai bunga dan flora yang terdapat di Malaysia.

Bunga ini adalah dari pokok hiasan landskap yang sering menjadi pilihan kerana ia lasak.

Bunga yang mekar cantik ini merupakan tumbuhan yang hidup liar di kawasan terbuka dan padang. Buahnya boleh dimakan.

Pokok yang mengeluarkan bunga ini mempunyai khasiat yang tinggi dalam perubatan herba.

Bunga bersaiz kecil ini pula daripada pokok yang pucuknya boleh dimakan.

Inilah antara bunga yang terkecil tetapi menghasil buah bersaiz besar. Bandingkan saiz bunga dengan semut yang berada di pangkal tangkai bunga.

Cekur

Pokok cekur

Nama Botani : Kaempferia galanga
Famili : Zingiberaceae


Pengenalan

Cekur merupakan tumbuhan dalam famili halia iaitu zingiberaceae. Pokok cekur terdiri daripada dua hingga lima helai daun yang tebal berbentuk bujur telur dan bunganya berwarna putih keunguan. Cekur membiak melalui rizomnya. Tempoh matang rizom cekur adalah diantara 8 hingga 10 bulan selepas ditanam.

Kegunaan

Rizom cekur mempunyai aroma yang lembut. Rizom cekur mengandungi sebatian minyak pati seperti sineol, borneol, kamphere, asid sinamik dan beberapa sebatian pati minyak yang lain. Daun cekur digunakan sebagai ulam dan ramuan dalam penyediaan nasi ulam. Rizomnya boleh digunakan untuk menyembuhkan pelbagai jenis penyakit seperti kembung perut, batuk, perut memulas, bengkak, muntah, sakit urat saraf dan lain-lain. Untuk tujuan tersebut biasanya bahagian rizom dimakan secara segar. Rizom cekur juga digunakan dalam ramuan ubatan herba dan jamu yang terdapat dipasaran.

Orang Melayu zaman dahulu menggunakan rizom cekur, jerangau dan rempah-rempah lain untuk mengubati demam malaria. Rizom cekur, cekur jerangau dan akar bunga susun kelapa juga dijadikan ubat penyakit resdung. Di Indonesia, cekur digunakan oleh wanita selepas bersalin untuk memanaskan bahagian perut, bengkak dan kebas otot. Di Filipina rizom cekur digunakan untuk menyembuhkan penyakit selesema dengan cara menghidu rizomnya. Air rizom cekur juga digunakan untuk menyembuhkan luka dalam perut dan sebagai ramuan dalam tonik.