VIP Dedaun Alam

Showing posts with label kebun kecil. Show all posts
Showing posts with label kebun kecil. Show all posts

Monday, April 14, 2014

Ubi Itik Segar Dari Kebun


Percubaan pertama saya tanam ubi itik membuahkan hasil yang agak memuaskan hati. Ini tuaian pertama daripada sepokok ubi itik. Tuaian yang sedikit terlambat kerana ubi sudah mula rosak. Ubi itik biasanya direbus sebelum dimakan dan jika ada kerajinan, ianya boleh dijadikan pengat.

Saturday, September 14, 2013

Kebun Kecil Tepi Pagar - 'Betik Runtuh'

Biasa dengar istilah durian runtuh dan harga runtuh kan? Kali ini ada yang baru dari kebun kecil saya, betik runtuh. Durian runtuh memberi makna kita mendapat hasil yang lumayan/banyak dalam satu masa. Betik runtuh ni asalnya gugur dari pokoknya yang hampir tumbang. Pokok betik yang ditanam menggunakan biji benih betik MARDI berbuah dengan lebat. Semua orang yang melihat pokok dan buahnya pasti teruja dan kagum dengan buahnya. Pokok betik ini dah beberapa kali condong dan menyenget tapi tuan dia tongkat dengan dua batang kayu penyangga sebesar paha untuk mengelak daripada terus menyembah bumi. Semalam, selepas hujan lebat ianya tumbang ke arah yang tak disokong oleh kayu penyangga. Nasib baiklah ia tak terus menyembah bumi kerana tertampan/tersangkut pada pagar chainlink. Hentakan yang kuat menyebabkan buah-buahnya yang berat dan besar terlucut dan terputus dari tangkai. 1/3 buahnya gugur ke bumi. Tuan dia dapat betik runtuh..hehe..
Ini antara faktor yang menyebabkan pokoknya tumbang. Dalam satu tangka ada tiga biji buah yang besar. Tiga biji buah dalam setangkai ni dah hampir 10 kg.

Tuesday, September 3, 2013

Kebun Kecil Tepi Pagar - Keladi Johor


Keladi Johor yang ditanam beberapa bulan yang lalu membesar dan membiak dengan banyak. Bila tiba musim hujan ia membiak dengan cepat dan banyak dan tiba masanya untuk dituai. Hanya anak-anak keladi dan sulurnya dituai, pokok induk dibiarkan. Keladi Johor yang dituai ini telah pun selamat dimasak asam pedas. 

Monday, July 29, 2013

Kebun Kecil Tepi Pagar - Kerja Menuai Yang Perlu Rilek Brader!

Sejak ada kebun kecil dengan tanaman yang pelbagai dalam satu, inilah tuaian yang perlukan kesabaran dan tumpuan penuh. Bak kata Art Fadzil dan Imuda kena Rilek Brader... Nak tuai cili kecil kita kena tengok dan pilih yang betul-betul masak di antara ratusan buahnya. Cili ini tak boleh dituai dengan menarik buahnya begitu saja, kita kena pegang ranting pada pangkal tangkainya. Jika sentap begitu saja, bukan buahnya yang kita dapat tapi dengan rantingnya sekali. Maka, kedua-dua belah mesti bekerja pada masa yang sama. Sebelah pegang buah, sebelah lagi pegang rantingnya. tak boleh main-main, kena serius..hehe..
  
Buah cili masak perlu dipilih kerana ada di antaranya busuk/rosak. Yang elok, masuk dalam bekas, yang rosak, buang. Bukan itu saja, kita perlu belek-belek di sebalik rimbun dedaunannya kerana pasti ada buah cili masak yang terselit. Untuk menghabiskan kerja menuai cili kecil ini, kaki terasa lenguh, belakang pun sakit tapi puashati sebab dapat hasil yang segar hasil penat lelah sendiri.

Cili besar seperti ini mudah untuk dituai. Kita cuma perlu tarik pada bahagian hujung buah ke atas dan tangkainya akan patah dengan sendiri. Cili yang mudah dituai adalah cili solok, cili kulai, cili panjang merah dan hampir semua cili bersaiz besar.


Thursday, July 18, 2013

Kebun Kecil Tepi Pagar - Terung Panjang Ungu Gergasi


Inilah tuaian terung panjang ungu yang terbesar dan terpanjang dalam sejarah hidup saya. Hasil daripada pokok terung yang ditanam dalam kebun kecil sangat memuaskan hati tapi buah yang dituai pagi tadi agak luarbiasa saiznya bagi saya. Mungkin orang lain dah biasa tengok terung sebesar dan sepanjang ini. Buah terung ini sepanjang 39.5cm(15.5 inci) dengan diameternya 23cm.

Saturday, July 6, 2013

Kebun Kecil Tepi Pagar - Segar Dari Kebun 03/07/13


Tuaian kali ini sebahagian besarnya untuk diberikan kepada kawan-kawan, tuan kebun ambil sikit untuk sekali makan. Terung panjang ungu adalah hasil daripada sepokok saja. Pokoknya sekarang dah melepasi ketinggian 2 meter dan sentiasa tumbang/senget biarpun ditongkat dek kerana berat daun serta buahnya. Labu botol dibungkus dengan plastik untuk mengelak serangan lalat buah yang cukup berminat dengan buah labu comel ini. Labu botol mesti dibungkus sebaik saja bunganya kering, jika terlepas pandang pasti lalat buah akan menyuntik telurnya.  Buah labu botol perlu dibungkus keseluruhannya dan sekiranya bahagian atas buah terdedah, lalat buah tetap akan menyerang. Paling teruk, buah yang dah dituai pun diserangnya juga sekiranya kita biarkan terdedah. Sebarang jenis racun adalah dilarang sama sekali dalam kebun kecil saya. Yang mana dapat kat kita, Alhamdulillah.. Yang dapat kat penyerang tu biarlah itu rezeki mereka, kira sedekah kepada penghuni alam

Tuesday, June 4, 2013

Kebun Kecil Tepi Pagar - Varieti Cili Yang Ditanam


Ini adalah antara varieti cili yang saya tanam dalam kebun kecil. Cili yang paling atas adalah cili kulai king. Cili kulai king menghasilkan buah yang banyak dan tempoh berbuah yang agak panjang. Cili kedua adalah cili panjang hijau. Cili ini disemai oleh isteri saya menggunakan biji benih daripada cili yang dibeli di pasar basah untuk masakan. Cili yang ketiga adalah cili solok siam. Cili ini masih terus mengeluarkan hasil tapi tak begitu lebat seperti sebelumnya. Di bawah cili solok siam adalah cili panjang merah. Biji benihnya juga disemai oleh isteri saya menggunakan biji daripada cili dari pasar. Belum sempat masak saya dah tuai cili ini untuk mengelak serangan lalat buah. Cili kecil yang dibawah sekali dalah cili hutan. Cili hutan berbuah dengan lebat, rasanya agak pedas tapi saiznya kecil. Benih asal cili ini sememangnya dibawa balik dari hutan.

Thursday, May 30, 2013

Kebun Kecil Tepi Pagar - Segar Dari Kebun 30/05/13

Dalam bekas ini ada lapan jenis tuaian segar dari kebun kecil. Dapat tak bezakan lapan jenis tuaian tersebut? Salah satunya, tak kelihatan dalam foto kerana bersaiz kecil dan terperosok di bahagian bawah bekas iaitu cili hutan.

Tuaian segar dari kebun kecil dibuat pagi tadi. Hanya ada tiga jenis sayuran baru dalam tuaian kali ini iaitu terung panjang ungu(dah dituai sebelum ini tapi tak diambil fotonya), labu botol(atau labu air?) dan cili hijau/merah panjang. Labu botol merupakan tuaian pertama. Cili Kulai King berterusan memberi hasil yang sangat memuaskan. Cili solok masih berbuah biarpun tak begitu lebat. Terung panjang hijau adalah hasil daripada pokok nan sebatang tapi ia sudah memadai buat penanamnya.

Tuesday, May 21, 2013

Kebun Kecil Tepi Pagar - Betik Sekaki



Biji benih betik ini asalnya daripada betik klon MARDI. Sepokok betik jenis ini antara tanaman yang mula-mula ditanam dalam kebun kecil. Bila pokok telah membesar, ia mengambil ruang yang agak luas, banyak pokok yang berada di bawah naungannya terpaksa mengalah kerana kekurangan cahaya. Nak alih ke tempat lain pun tak boleh kerana pokok betik ini dah lebih tinggi dari orang yang menanamnya. Semasa entri ini ditulis, buah sulungnya belum lagi masak. Tak sabar nak tengok warna isinya dan bagaimana pula rasanya. Adakah betik klon MARDI sama dengan betik sekaki yang popular tu?

Sunday, May 12, 2013

Kebun Kecil Tepi Pagar - Cambahan Semulajadi


Semaian biji benih adalah antara salah satu cabaran besar buat penanam/pekebun sayuran berskala kecil iaitu sebagai pengisi masa lapang serta kawasan lapang dan tak lapang di laman rumah seperti saya dan kawan-kawan sekbun maya lain.

Ada biji benih yang perlu direndam dulu, ada yang perlu ditoreh dan ada yang perlukan tempat gelap untuk bercambah. Biji benih petola segi yang beli ditoreh pada bahagian kulit berdekatan mata tunas untuk memastikan ia bercambah. Ini kerana biji benih yang disemai terus, akan rosak(menjadi seakan jus dalam kulit) kerana mata tunas gagal memecahkan kulit keras.

Buah petola segi yang tua melebihi keperluan untuk semaian semula, jadi saya biarkan beberapa biji dalam kebun kecil. Letak atas tanah dan biarkan ia behujan panas beberapa ketika. Setelah lama terdedah kepada kitaran hidup secara semulajadi, akhirnya biji benih dalam buah petola ini bercambah dengan sendirinya. Sekarang, petola segi merupakan antara sayuran terbanyak dalam kebun kecil kerana ia bercambah dan membesar dengan sendiri. Ia lebih berdikari dan mampu menangani masalah dengan persekitaran dengan mudah.

Thursday, May 9, 2013

Kebun Kecil Tepi Pagar - Markisa


Setelah lebih enam bulan ditanam, pokok markisa yang dibiarkan melilit dan melingkari pagar akhirnya berbunga dengan lebat. Dalam tempoh hampir dua bulan semua bunga yang mekar tidak menjadi buahnya. Dan selepas itu, kelihatan putik-putik buah bergantungan tapi kebanyakannya disengat oleh serangga perosak (lalat buah) yang menyebabkan buah rosak dan ada yang gugur.

Tuesday, May 7, 2013

Kebun Kecil Tepi Pagar - Keladi Johor


Keladi Johor antara tanaman sayuran tradisional yang saya tanam dalam kebun kecil tepi pagar. Sayuran jenis keladi agak sukar untuk didapati dalam pasaran di sini, jadi saya tanam untuk stok sayuran kegunaan sendiri. Untuk makluman rakan-rakan sekebun maya dan pembaca, keladi Johor adalah sayuran keladi yang agak baru berbanding keladi pinang. Keladi pinang telah lama ditanam dan banyak dijual di Malaysia. Keladi Johor paling sedap dimasak asam pedas sepertimana kebanyakan spesis keladi yang boleh dimakan.

Wednesday, May 1, 2013

Kebun Kecil Tepi Pagar - Ubi Itik

Anak pokok ubi itik yang berusia dua minggu.

Memandangkan ramai rakan sekebun maya yang menanam sayuran jenis klon baru dengan nama yang pelik-pelik, saya pula ambil langkah lebih tradisional iaitu menanam pokok ubi itik dalam kebun kecil. Saya percaya tidak ramai antara kita yang mengenali, melihat dan pernah makan ubi itik ini. Bagaimana rupa ubi itik? Inilah dia rupa ubi itik dan pokok yang dah memanjat.

Sunday, April 7, 2013

Kebun Kecil Tepi Pagar - Terung Panjang Hijau

Inilah satu-satunya pokok terung panjang hijau yang ada dalam kebun kecil saya. Tanam 5 pokok tapi yang lain hanya sempat melihat dunia untuk sementara saja. Serangan serangga perosak semasa anak pokok masih kecil menyebabkan mereka musnah. Tinggal sepokok untuk meneruskan kelangsungan hidup dan berbakti kepada penanamnya.

Bunga terung panjang hijau yang mekar dan akan menghasilkan buah.

Tuaian segar dari kebun yang pertama terung panjang hijau bersama hasil tanaman yang lain. Sekali tuai daripada sepokok yang ada, dapat tiga biji. Cukup untuk sekali masak/makan.

Friday, March 22, 2013

Kebun Kecil Tepi Pagar - Terima Kasih

Ucapan terima kasih ini sebenarnya ditujukan kepada ejen penting dalam kebun kecil saya. Mereka memainkan peranan penting dalam pendebungaan. Tanpa kerja yang tak pernah tahu erti penat oleh mereka, tumbuhan biasanya tidak produktif. Terima kasih ejen debungaku.

Ejen yang paling saya suka iaitu kelulut. Satu spesis lebah yang jarang dapat dilihat tapi mereka sentiasa ada dalam kebun kecil, pagi dan petang.

Lebah tukang atau lebih dikenali sebagai kumbang antara ejen penting dalam pendebungaan.

Lebah kecil juga tak ketinggalan untuk menghisap madu dari bunga jantan peria kampung.

Ini bukan lalat rumah sebab ia mencari bunga untuk dapatkan madunya.

Tuesday, March 19, 2013

Kebun Kecil Tepi Pagar - Yang Terselindung...

Apa agaknya yang terselindung dan ada di bawah pasu ini? Kali ini saya ingin kongsi tip dan kaedah mudah serta ringkas untuk menyelamatkan anak-anak pokok yang baru dialihkan ke tempat baru dalam musim/cuaca panas. Biasanya bahang matahari akan menyebabkan anak-anak pokok menjadi layu. Pada waktu pagi, kita lihat pokok yang baru dialihkan masih segar tapi bila petang, ia akan layu. Paling merisaukan, anak pokok akan melecur, kekeringan dan mati dek kepanasan pada waktu siang. Untuk kebun berskala kecil, saya guna dua cara iaitu menggunakan jaring hijau sebagai peneduh. Kaedah ini berkesan tapi ianya agak cerewet kerana kita perlu memasang jaring menggunakan kerangka ringkas. Jaring ini akan melindungi seluruh kawasan yang ditanam dengan pokok baru. Cara atau kaedah kedua yang saya sering pratikkan untuk kebun kecil ni adalah menggunakan pasu kecil kitar semula. Pasu-pasu kecil ini biasanya kita dapat percuma apabila membeli anak-anak pokok daripada nurseri. Pasu kecil ada dua jenis iaitu yang dibuat menggunakan tanah liat dan plastik. Kedua jenis pasu sesuai digunakan sebagai peneduh ringkas dan mudah alih. Caranya mudah saja, bila anak pokok dah ditanam di tempat baru, siram dulu sebelum tutup dengan pasu kecil. Biarkan pasu kecil itu selama seminggu atau lebih. Siraman perlu dibuat melalui lubang dan bahagian tepi pasu tanpa mengangkatnya.

Anak pokok cili yang berada di bawah lindungan pasu kecil selama hampir dua minggu. Ini untuk pastikan akar barunya telah keluar dan dapat mencari air serta nutrien untuk pokok. Ia tak akan layu dek kepanasan dan paling penting, selamat daripada gangguan/serangan serangga atau haiwan perosak seperti siput, cengkerik dan lain-lain.

Thursday, March 14, 2013

Kebun Kecil Tepi Pagar - Segar Dari Kebun 12/03/13


Tuaian segar dari kebun dibuat pada petang 12 Mac 2013 untuk sekali makan. Kacang panjang, kacang botor, peria dan bendi dimakan sebagai ulam. Tembikai kuning adalah buah yang kedua dan terakhir daripada pokok yang saya tanam. Biarpun buahnya hanya seberat 2.1 kg tapi saya puashati sebab boleh makan tembikai kuning yang betul-betul segar.

Wednesday, February 27, 2013

Kebun Kecil Tepi Pagar - Segar Dari Kebun 27/02/13

Ini hasil pertama cili kulai king yang terpaksa dituai lebih awal daripada sepatutnya. Dua pokok cili kulai king yang berbuah lebat rebah ke tanah setelah dilanda hujan lebat dan angin kencang. Ada buah yang gugur daripada pokok, saya kutip sebab ianya masih elok. Pokok yang rebah dibangunkan semula dan diberi pancang supaya tidak lagi condong dan tergolek atas tanah. Buah cili kulai king baru sepanjang lebih kurang sejengkal (6" @ 15cm). Sekali pandang ia kelihatan seperti cili/lada burung yang besar.

Sebahagian daripada tuaian bendi singa dan bendi emas ini terpaksa dijadikan baja organik kerana buah yang tua di pokok.

Friday, February 22, 2013

Kebun Kecil Tepi Pagar - Multi Purpose Gardening Tool

Kali ini saya perkenalkan alat berkebun serbaguna yang sesuai digunakan oleh pekebun kecil/penanam sayur kecil-kecilan. Ianya praktikal dan mudah dibawa. Tak perlu lagi nak usung berbagai alatan semasa berkebun.

Boleh diubah menjadi sudip/skup tanah. Berguna sebagai penggembur, merumput dan membaja. Nak tebang pokok balak pun boleh, itu pun kalau larat..hehe.. Bila rasa haus, boleh buka penutup botol dan minum air.

Bahagian ini sangat berguna untuk kerja mengalihkan anak-anak pokok dari tempat semaian ke tempat baru. Ia juga digunakan sebagai alat untuk membuat lubang pada tanah.

Bertukar menjadi cangkul kecil.

Transformasi yang penuh daripada alat berkebun serbaguna ini.




Wednesday, February 20, 2013

Kebun Kecil Tepi Pagar - Segar Dari Kebun 17/02/13


Tuaian segar dari kebun kali ini adalah kategori sayuran hujung ranting, pokok hujung nyawa dan pokok tumbuh sendiri. Kacang panjang dituai daripada sepokok kacong panjang yang tumbuh sendiri. Tempat ia tumbuh tak mengganggu laluan, saya biarkan ia membesar dan ia membalas budi dengan memberi buah yang sihat serta segar. Buah peria kampung semakin kecil saiznya tapi pokoknya terus berbuah, ada sebiji yang besar daripada yang lain-lain. Bendi singa dan bendi emas dah makin kecil saiz buahnya. Pokok bendi singa dah hampir ke hujung nyawanya tapi masih terus berbudi pada tuannya. Bendi emas lebih cepat jangka hayatnya berbanding bendi singa. Petola segi juga semakin mengecil, bandingkan saiz asal yang di bawah(simpan untuk biji benih).