VIP Dedaun Alam

Showing posts with label makanan eksotik. Show all posts
Showing posts with label makanan eksotik. Show all posts

Monday, April 15, 2013

Siput Tenggiling



Kali ini Dedaun Alam perkenalkan sejenis hidupan laut yang kurang dikenali dan pastinya ramai di antara kita yang belum pernah lihat spesis moluska ini. Saya sendiri kali pertama jumpa dan lihat siput yang dikenali dengan nama siput tenggiling. Masa mula-mula terpandang dari atas jeti pada ketinggian kira-kira 5 meter, saya ingatkan anak penyu yang naik ke atas batu untuk berehat. Bila lensa kamera dihala dan dizoom, baru saya sedar ia bukan anak penyu dan buat kali pertama saya lihat hidupan laut yang unik ini. Mengikut kata orang yang berpengalaman mengenai hidupan marin iaitu ayah mertua saya, siput tenggiling ini boleh dimakan dan rasanya sedap. Siput mendapat nama tenggiling kerana ia akan menggulung badan seperti tenggiling untuk mengelak ancaman musuh. Siput tenggiling dalam foto ini bersaiz sebesar tapak tangan orang dewasa. 

Thursday, October 27, 2011

Kerabu & Gulai Siput Rodong

Seperti yang telah saya janjikan sebelum ini, menu masakan menggunakan siput rodong  akan dipaparkan di sini. Tak ramai yang mengenali, melihat dan merasa siput rodong ini. Dua jenis masakan yang boleh dibuat menggunakan siput rodong adalah kerabu dan gulai lemak. Untuk menyediakan masakan ini, isi siput rodong perlu dikeluarkan daripada cengkerangnya dahulu. Caranya, kita perlu mengetuk cengkerang menggunakan benda keras seperti tukul, belakang parang dan sebagainya. Isi yang diperolehi perlu dibersihkan kerana biasanya ia bercampur pasir atau selut. Kepingan berbentuk bulat (berfungsi sebagai injap) yang menutup isi dan cengkerang juga perlu dibuang.

Kerabu siput rodong bersama kacang botor (botor bukan botol). Isi siput rodong pejal seperti mana siput jenis lain dan ianya diakui sedap dan unik. 

Gulai lemak siput rodong bersama keledek. Pasangan terbaik untuk masakan jenis ini adalah betik matang.

Wednesday, October 19, 2011

Siput Rodong

Ini kali pertama saya lihat siput yang dikenali dengan nama siput rodong (sebut : ghodong dalam pelat utara).  Siput ini dikutip dari kawasan pantai yang berselut atau paya bakau. Biasanya siput jenis ini tidak dijual dipasar basah. Siput rodong ini dikutip oleh saudara sebelah isteri saya di kawasan pantai berdekatan.

Bentuk siput rodong agak runcing dan tajam. Saiznya sebesar dua jari orang dewasa dengan panjang kira-kira 8cm. Proses untuk memasak siput ini agak rumit. Bagaimana cara dan apa menu masakan untuk siput rodong ni akan disiar dalam entri yang akan datang.

Wednesday, February 23, 2011

Beronoq @ Beronok

Semasa hidup bentuk badan beronoq atau beronok adalah bulat dan agak runcing pada kedua-dua bahagian hujungnya. Bentuk seakan bola ragbi. Apabila mati, kandungan air di dalam perutnya akan terkeluar menyebabkan ia menjadi seperti dalam foto ini.

Beronoq yang telah dibelah perut dan dibersihkan.

Beronoq (sebut : beqonoq) atau beronok ini adalah hidupan laut dari spesis gamat atau timun laut. Yang membezakan gamat dan beronoq ini ialah bentuk dan tekstur badannya. Gamat lebih kasar manakala beronoq mempunyai badan licin seperti sotong. Ia mendiami laut atau pantai yang berlumpur. Tidak diketahui diet utama beronoq ini kerana isi perutnya hanyalah cecair dan sedikit lumpur. Beronoq hanya diperolehi pada musim tertentu(biasanya sekali setahun) dan tidak akan ditemui sepanjang tahun. Beronoq dikutip menggunakan tangan di kawasan pantai yang cetek. Ia menjadi hidangan eksotik penduduk Langkawi samada dimakan mentah dan dijadikan kerabu. Hidangan kerabu beronoq ini juga dijadikan hidangan semasa kenduri jika tiba musimnya. Ia juga menjadi menu di kedai makan atau restoran sekitar pulau Langkawi ini. Tiada cara lain untuk memasak beronoq ini kerana sifatnya yang mencair jika didedahkan kepada haba atau kepanasan.