VIP Dedaun Alam

Showing posts with label buah hutan. Show all posts
Showing posts with label buah hutan. Show all posts

Friday, June 21, 2013

Buah Kantan


Siapa yang pernah atau biasa lihat buah kantan? Pasti ada antara kita jawab ya dan tidak kerana tidak semua spesis kantan yang menghasilkan buah. Ada spesis kantan hanya berbunga tapi bunganya tak menjadi buah. Untuk info, spesis atau jenis kantan boleh dibezakan melalui bentuk dan warna bunganya.

Buah kantan sebenarnya boleh digunakan sebagai bahan masakan sepertimana bunganya juga. Namun penggunaan buah kantan kurang popular berbanding bunganya. Selain digunakan untuk masakan, buah kantan yang masak boleh dimakan segar. Isi buah kantan yang berupa biji-biji kecil mepunyai rasa masam manis dan sedikit pedar. Di sesetangah negeri di Malaysia, isi buah kantan dimakan bersama pencicah/colek.

Buah kantan juga boleh digunakan untuk merawat sakit telinga. Rebus buah kantan dan gunakan air rebusannya sebagai ubat titis ke bahagian dalam telinga untuk mengatasi sakit telinga. Air rebusan buah kantan juga boleh digunakan sebagai pencuci luka kecil.

Friday, November 23, 2012

Berangan


Berangan yang ini bukannya berangan-angan(berimaginasi) atau pisang berangan tapi ianya buah berangan. Siapa yang pernah makan atau biasa lihat buah berangan? Pernah makan tapi itu cerita lama dulu. Berangan ni mengingatkan saya kepada zaman kanak-kanak(sekolah rendah) dulu. Bila tiba musim berangan berbuah dan gugur, kami(adik beradik dan kawan-kawan) akan pergi mengutip buah berangan untuk digoreng. Berangan digoren dalam kuali tanpa minyak bersama batu-batu kecil. Buah berangan perlu digoreng sehingga isi dibahagian dalamnya masak. Inilah rupa buah berangan yang dah siap digoreng. Berangan ini saya beli dengan harga RM30.00 sekilogram. Zaman kecil dulu, ianya percuma dan kita boleh kutip sebanyak mana yang diingini. Sekarang harganya melambung. Dan dah berpuluh tahun saya tak melihat pokok berangan dan buah berangan segar yang gugur di bawah pokok.

Berangan ini juga mengingatkan saya kepada lagu dialek Kelantan yang popular suatu masa dulu. Ianya dinyanyikan untuk permainan kanak-kanak yang menggunakan jari dengan meletakkan tapak tangan. Saya pun dah lupa bagaimana permainan tersebut dimainkan. Nostalgia yang tak mungkin berulang pada zaman kini.

Antara lirik lagu tersebut:

Cak Klepik Klepuk Klepar

Cak klepik klepuk klepar,
Buoh berange lokoh kulit,
Akat cerano takdok temaka,
Mari Same kito kelik,

Lik lik gung,
Pok Talib keno sigung,
Naik pokok nyor,
Turun kot pelepoh,

......(lirik seterusnya saya dah tak ingat)

p/s : Ada sesiapa yang ingat lirik lagu ni, bolehlah kongsikan ka sini. Terima kasih.
Terjemahan ke BM akan saya buat selepas ini.

Thursday, July 21, 2011

Buah Jentik

Buah jentik atau ada di sesetengah tempat yang memanggilnya buah jentik-jentik. Pokok jentik satu famili dengan rambai. Nama botaninya, baccaurea sp daripada famili eurphorbiacea. Ia mempunyai ciri pokok dan buah yang hampir sama dengan rambai. Buah jentik ini termasuk dalam kategori buah nadir kerana ia berasal dari hutan dan ada yang ditanam di kawasan kampung tetapi sekarang ia semakin sukar untuk dijumpai.

Berbeza dengan buah rambai, kulit buah jentik akan terpecah kepada tiga bahagian jika dipicit atau dijentik. Untuk memakannya kita hanya perlu menjentik kulit buah yang telah masak dan ia akan terbuka dengan sendirinya. kerana itulah ia dikenali dengan nama buah jentik.

Isi buah jentik berwarna merah, biasanya setiap biji buah mengandungi tiga isi yang rasanya masam-masam manis.

Monday, November 29, 2010

Serai Samak

Pucuk serai samak


Pokok jenis tumbuh liar ini dikenali dengan nama serai samak atau serai daun di kalangan penduduk Kelantan. Pokok ini mampu tumbuh sehingga 15 meter dan ia menggemari kawasan yang berdekatan dengan kawasan berair seperti sungai, sawah padi, paya. Ia juga boleh hidup subur di kawasan tanah tinggi. Pokok ini mengeluarkan bunga dalam bentuk jambak dan  berbau sangat harum. Buahnya berbentuk beri kecil berwarna hijau ketika muda dan merah gelap setelah masak. Buahnya yang masak boleh dimakan. Rasanya manis dan sedikit kelat. Kegunaan utama pokok ini adalah pucuk mudanya. Bagi penduduk Kelantan terutama penggemar nasi kerabu dan laksam, pucuk serai samak menjadi pilihan utama untuk dijadikan ulaman. Puicuk serai samak dipotong halus dan digunakan sebagai bahan ulaman utama dalam nasi kerabu atau laksam. Terdapat dua jenis pokok serai samak yang menjadi pilihan iaitu pokok yang mengeluarkan pucuk merah (rujuk foto) dan satu lagi mengeluarkan pucuk hijau.

Sunday, November 28, 2010

Salak Nangka

Pokok salak yang berasal dari hutan tetapi ditanam di kawasan rumah.

Buah salak nangka yang mempunyai tandan panjang.


Salak nangka merupakan spesis salak yang tumbuh secara meliar di hutan Malaysia. Tidak seperti klon salak baru, salak jenis ini tiada dalam pasaran. Untuk merasai kesedapan buah salak ini, kita perlu ke hutan untuk mendapatkannya. Buahnya agak sukar untuk kita perolehi kerana biasanya haiwan liar yang lebih dahulu menjumpainya. Satu cara untuk pastikan kita memperolehi buah ini setelah masak adalah menanam tandan buah salak di dalam tanah. Sebelum itu, pastikan rumpun salak nangka ini telah kita tahu lokasinya. Salak nangka mendapat nama kerana apabila masak, buahnya akan berbau seakan nangka masak walaupun dari jarak yang agak jauh.

Thursday, November 25, 2010

Buah Pupur

Buah hutan yang dikenali dengan nama pupur ini mempunyai bentuk seakan buah duku.

Kulit buah pupur akan terpecah kepada beberapa bahagian apabila ditekan. Isinya lebih manis daripada langsat dan lebih masam berbanding duku.

Buah pupur dikategorikan sebagai buah nadir. Buah ini jarang dijumpai dan tidak ramai yang mengenali buah yang sekeluarga dengan langsat, duku dan dokong ini. Pokok pupur biasanya tumbuh meliar di dalam hutan dan ada juga yang ditanam di kawasan rumah. Buah pupur bersaiz sebesar bola ping pong. Bentuknya seakan sama dengan duku atau dokong. Kuilt buah pupur agak tebal dan mempunyai beberapa segmen yang akan terpecah jika ditekan. Rasa buah ini masam manis. Ia lebih manis berbanding langsat tetapi sedikit masam berbanding duku dan dokong.

Thursday, October 15, 2009

Buah Keranji


Inilah rupa buah keranji
Sorong papan tarik papan,
Buah keranji dalam perahu,
Suruh makan saya makan,
Suruh mengaji saya tak tahu.


Dalam pantun di atas, ada menyebut buah keranji tapi tidak ramai antara kita yang mengenali buah keranji kan. Buah keranji tersebut aku beli di Pasar Besar di negeriku tercinta masa balik cuti hari raya lepas. Harganya pun dah melambung 100%. Mungkin pokok ini dah semakin kurang dalam hutan kita. Apa yang aku tahu(mengikut cerita orang-orang tua), buah keranji diperolehi semasa kerja-kerja membalak/menebang di dalam hutan rimba. Tak tahu pula kalau ada orang tanam pokok ni untuk dikomersialkan.

Tuesday, October 13, 2009

Durian Spesis Apa Ni???

Durian ini berbuah pada batangnya.

Wow! Lebatnya buah durian ni!

Agak aneh kerana buahnya di pangkal dan batang pokok tidak seperti durian biasa.
Gambar pokok durian yang berbuah di pangkal dan batang ini saya dapat daripada inbox e-mel. Pada mulanya saya ingat gambar buah durian ini menggunakan teknik komputer tapi memang ada durian yang macam ni. Tak pasti dari spesis apa. Sedap ke tidak rasa buahnya tak tahulah.