VIP Dedaun Alam

Showing posts with label kantan. Show all posts
Showing posts with label kantan. Show all posts

Friday, June 21, 2013

Buah Kantan


Siapa yang pernah atau biasa lihat buah kantan? Pasti ada antara kita jawab ya dan tidak kerana tidak semua spesis kantan yang menghasilkan buah. Ada spesis kantan hanya berbunga tapi bunganya tak menjadi buah. Untuk info, spesis atau jenis kantan boleh dibezakan melalui bentuk dan warna bunganya.

Buah kantan sebenarnya boleh digunakan sebagai bahan masakan sepertimana bunganya juga. Namun penggunaan buah kantan kurang popular berbanding bunganya. Selain digunakan untuk masakan, buah kantan yang masak boleh dimakan segar. Isi buah kantan yang berupa biji-biji kecil mepunyai rasa masam manis dan sedikit pedar. Di sesetangah negeri di Malaysia, isi buah kantan dimakan bersama pencicah/colek.

Buah kantan juga boleh digunakan untuk merawat sakit telinga. Rebus buah kantan dan gunakan air rebusannya sebagai ubat titis ke bahagian dalam telinga untuk mengatasi sakit telinga. Air rebusan buah kantan juga boleh digunakan sebagai pencuci luka kecil.

Sunday, October 25, 2009

Kantan

Rupa pokok kantan dan bunganya


Nama botani : Phaeomeria speciosa
Famili : Zingiberaceae
Asal : Malaysia

Pengenalan
Kantan merupakan sejenis tanaman ulaman tradisional orang Melayu dan ia tumbuh meliar di kawasan tanah yang agak lembab. Kantan sesuai ditanam di berbagai-bagai jenis tanah tetapi elakkan menanam pokok ini di kawasan yang menakung air. Pokok kantan ialah pokok herba yang tumbuh membiak dan merimbun secara berkelompok-kelompok. Pokok yang matang boleh mencapai ketinggian 4 - 6 meter. Bahagian utama pokok kantan yang digunakan sebagai ulaman dan perasa di dalam masakan adalah bunganya. Pokok kantan boleh ditanam dengan menggunakan rizom atau biji benih. Penanaman menggunakan rizom adalah lebih popular, kerana ia boleh mengeluarkan hasil dengan lebih cepat berbanding dengan penggunaan biji benih.

Kegunaan
Bunga kantan adalah antara bahan utama dalam penyediaan kuah laksa asam, masak asam pedas dan sebagai ulam nasi kerabu. Bunga kantan yang dicelur boleh sebagai ulaman. Batang pokok kantan boleh digunakan untuk mengubati penyakit bengkak-bengkak. Buah kantan yang rasanya masam manis boleh dimakan untuk menambah selera makan.Rizom muda digunakan sebagai perisa dalam masakan laksa utara. Biji buah kantan boleh mengubati sakit telinga.