VIP Dedaun Alam

Showing posts with label pisang. Show all posts
Showing posts with label pisang. Show all posts

Friday, April 11, 2014

Curi Pisang

Keadaan pisang berangan yang jadi mangsa peminat pisang yang tak berhati perut.

Kisah ini berlaku hujung tahun lepas. Ianya bermula waktu pagi apabila saya terima panggilan daripada isteri tersayang yang bertanya mengenai pisang ini. Adakah saya dah ambil atau potong buahnya. Saya bagitahu belum lagi sebab nak habiskan stok pisang raja yang ada, pisang berangan ni nak tebang lepas tu. Dia kata pisang tu ada orang potong tandannya. Terkejut juga sebab pisang pun jadi mangsa. Nak tergelak pun ada sebab orang yang potong pisang ni hanya sempat potong lima sikat di bawah, yang dua kat atas tu tertinggal. Atau mungkinkah pencuri ni Robin Hood? Tinggal sikit untuk tuan pokok. Teori saya, dia tak sempat potong semua sebab tandan pisang ni terlalu besar dan berat. Kawasan saya tanam pisang dan pokok buahan berpagar sebenarnya. 

Apa tujuan sebenar pencuri pisang ni agaknya? Nak jual untuk dapatkan wang? Berapa ringgit yang dia dapat? Atau nak makan yang percuma sebab pisang jenis mahal hargaya. Buat pencuri pisang atau peminat pisang yang tak berhati perut ni, ketahuilah apa yang kamu buat ni adalah salah dari segi hukum dan undang-undang.

Wednesday, July 3, 2013

Pisang Nangka & Pisang Berangan

Pisang nangka yang matang dan boleh dituai dalam bulan Ramadhan nanti. Pisang nangka sedap dimasak sebagai pengat/serawa, sira dan digoreng. Pisang nangka jarang dimakan segar kerana rasanya sedikit masam.
Pisang nangka ini ditanam oleh saya di luar kebun kecil saya dan pernah diceritakan dalam entri sebelum ini.

Pisang berangan antara pisang paling mendapat permintaan tinggi di pasaran dan ianya pisang kegemaran saya. Pisang berangan segar dari ladang/kebun sendiri lebih memberi kepuasan kepada penanamnya. Pisang berangan ini adalah jenis kampung yang mempunyai bintik-bintik hitam pada kulitnya. Pakar kesihatan sepakat mengatakan pisang berangan jenis ini lebih baik berbanding berangan klon/varieti baru.


Friday, October 12, 2012

Kebun Kecil Tepi Pagar - Bunga Selom & Pokok Buahan

Bunga selom daripada pokok yang ditanam menggunakan keratan batang yang dibeli dari pasar sebagai ulaman.

Salah satu daripada dua pokok mulberi yang disemai menggunakan keratan batang. Pokok mulberi mengambil masa yang agak lama untuk bertunas dan berpucuk.

Nangka madu yang disemai menggunakan biji benih daripada buah yang dibeli. Pokok yang disemai menggunakan biji biasanya tidak menghasilkan buah seperti induknya. Anak pokok ini akan di'kahwin apollo' dengan klon asli nangka madu.

Pokok markisa dah melilit pagar. 

Pokok pisang tanduk. Yang ni ditanam di luar kebun kecil.

Pisang nangka.  Antara koleksi pisang yang saya tanam setakat ini ialah pisang berangan kampung, berangan cavendish, abu, nipah, kapal dan mantan.





Wednesday, June 6, 2012

Pisang Kapas


Pisang kapas banyak ditanam di kawasan kampung sejak lama dulu dan sehingga sekarang ia masih bertahan. Pisang kapas sebenarnya ada banyak kegunaannya. Dari batang sehingga daun boleh digunakan untuk pelbagai tujuan. Buah yang muda, boleh dimasak gulai bersama ikan kering dan dijadikan kerepek. Buah pisang kapas yang masak boleh dimakan segar. Bau isinya sangat harum. Ia juga dijadikan bahan penting untuk kuih cucur kodok atau cekodok atau jemput-jemput pisang, kek dan pelbagai jenis kuih muih tradisional. Daun pisang kapas digunakan sebagai pembungkus mesra alam. Batang pokok pisang yang telah ditebang dicincang dan dijadikan makanan ternakan. Jantung pisang kapas sedap dicelur untuk dimakan sebagai ulam atau dibuat kerabu. Ia juga boleh dimasukkan dalam masakan tradisional Kelantan iaitu teresek. Getah pisang digunakan untuk merawat luka kecil.

Tuesday, May 22, 2012

Pisang Mentalun

Pisang mentalun. Pisang jenis ini kurang dikenali dan agak sukar untuk diperolehi. Ia adalah pisang lama iaitu seangkatan dengan pisang rastali, lemak manis, perak, kapas dan lain-lain.

Perbandingan saiz pisang mntalun dengan pisang lain. Mentalun ditengah, sebelah kanannya ialah pisang awak(kelat lego) dan di kirinya, pisang kapas. Tak ramai yang pernah makan pisang mentalun ni kan? Rasanya bagaimana? Pada saya, rasanya ada persamaan dengan pisang berangan atau bunga, ada rasa sedikit masam berbanding kedua-dua pisang terkenal tu. Sebiji pisang mentalun bersamaan tiga pisang berangan!

Wednesday, November 30, 2011

Pisang Rebus

Pisang nipah rebus


Pisang rebus antara makanan tradisonal yang semakin dilupai oleh generasi kini. Malah ada yang tidak pernah tahu kewujudannya sebagai makanan. Ia sangat popular pada zaman dahulu terutama ketika penjajahan Jepun di Tanah Melayu (kini Malaysia). Semasa penjajahan Jepun, pisang dan ubi rebus menjadi salah satu makanan utama kerana ketiadaan stok beras. Pisang yang direbus biasanya daripada jenis masam dan berkulit tebal seperti pisang nangka, pisang abu, pisang nipah, pisang awak dan pisang jari buaya. Pisang rebus dimasak dengan cara yang agak mudah. Pisang mengkal atau masak dipotong pada bahagian tangkai dan hujung buah, bersihkan dan masukkan ke dalam periuk. Tambah air sehingga pisang hampir tenggelam, bubuh sedikit garam kasar dan direbus sehingga masak(empuk). angkat, toskan dan boleh dimakan ketika masih panas. Ia juga sedap dimakan ketika sejuk. Jika pisang rebus darpada buah pisang mengkal, ia boleh dicacah bersama kelapa parut yang dicampur sedikit garam dan gula.

Sunday, August 14, 2011

Pisang Mantan

Pisang mantan yang telah matang.

Pisang mantan yang juga dikenali dengan nama pisang 40 hari adalah antara pisang tempatan yang kurang dikenali. Pisang mantan bersaiz sebesar pisang emas dan ia mengambil masa yang agak singkat untuk masak dari mula-mula keluar jantung iaitu kira-kira 40 hari. Pisang ini sedap dimakan segar. Jika buah pisang ranum, sedikit sukar untuk mengupasnya kerana kulit pisang ini seperti melekat pada isi buah.

Tuesday, July 5, 2011

Khasiat Pisang

Pisang berangan yang diambil dari pokok ini dan diperam secara semulajadi.

Kebaikan dan Khasiat Pisang

Pisang mengandungi 3 jenis gula semulajadi sukrosa, fruktosa dan glukosa yang digabungkan dengan gentian. Pisang memberikan tenaga kepada manusia dengan kadar segera dan berterusan. Kajian yang telah dibuat menunjukkan bahawa 2 biji pisang mempunyai cukup tenaga untuk senaman selama 90 minit. Tidak hairanlah pisang dijadikan buah utama kepada atlit terkenal dunia. Bukan itu saja, malah pisang juga amat sesuai untuk mencegah dan merawat beberapa jenis penyakit, menjadikannya amat sesuai dalam pemakanan kita seharian.

Tekanan

Merujuk kepada tinjauan terbaru yang dijalankan oleh MIND terhadap pesakit-pesakit tekanan jiwa, kebanyakan daripada mereka kembali pulih selepas makan pisang. Ini kerana pisang mengandungi tryptophan, iaitu sejenis protein yang bertukar kepada serotonin dalam tubuh manusia, yang menyebabkan kita tenang, mengembalikan mood dan secara amnya membuatkan kita berasa gembira.

PMS

Lupakan pil-pil hospital makan sahaja pisang. Vitamin B6 yang terkandung mampu meneutralkan paras glukosa dalam darah, yang boleh mengembalikan mud anda.

Anemia

Dengan kandungan zat besi yang tinggi, pisang mampu mengawal pertumbuhan hemoglobin dalam darah, yang secara tak langsung membantu dalam kes-kes anemia.

Tekanan Darah Tinggi

Buah pisang mengandungi kadar potassium yang tinggi dan garam rendah, menjadikannya sempurna untuk menstabilkan tekanan darah.

Kuasa Minda

Kajian dibuat terhadap 200 pelajar di sebuah sekolah di mana semasa peperiksaan dijalankan, mereka diberi makan pisang untuk sarapan, rehat, dan makan tengahari. Keputusannya, buah pisang yang mengandungi kadar potassium yang tinggi dapat membantu pembelajaran dengan menjadikan pelajar-pelajar itu lebih cekap.

Penghadaman

Gentian tinggi, jadikan pisang sebagai diet seharian anda pasti membantu menstabilkan tindakan usus kecil dan besar.

Keletihan

Salah satu cara terbaik untuk mengurangkan keletihan ialah dengan membuat minuman pisang susu campur madu. Pisang bertindak menyejukkan perut dan dengan bantuan madu dapat membina semula kandungan gula dalam darah yang berkurangan akibat keletihan, manakala susu pula memperbetulkan sistem hidrasi semula anda.

Panas Jantung

Pisang mempunyai kesan anti-asid semulajadi dalam badan. Oleh itu, jika anda menghadapi rasa panas di jantung, cuba makan pisang untuk pemulihan yang baik.

Demam Pagi

Jadikan pisang sebagai snek setiap hari untuk membantu memelihara kadar gula dalam darah untuk mengelakkan demam pagi.

Gigitan Nyamuk

Sebelum menggunakan krim gigitan serangga, cuba sapukan kawasan bekas gigitan nyamuk dengan lapisan dalam kulit pisang. Ramai yang telah berjaya mengatasi kegatalan akibat gigitan nyamuk dengan cara ini.

Saraf

Pisang mengandungi kadar vitamin B yang tinggi yang dapat membantu menenangkan sistem saraf anda.

Obesiti dan Tekanan Kerja

Kajian di Institut Psikologi di Austria mendapati tekanan kerja menjadi pemangkin kepada pengambilan makanan seperti coklat dan kerepek. Berdasarkan 5,000 pesakit hospital, kajian mendapati kebanyakan pesakit obes membuat kerja-kerja tekanan tinggi. Laporan juga menyatakan, untuk mengatasi masalah ini, kita perlu mengawal kadar gula dalam darah dengan mengambil makanan karbohidrat tinggi setiap 2 jam untuk mengekalkan kadar yang stabil. Makanlah pisang.

Ulser

Pisang amat baik dalam pencegahan ulser kerana ia bersifat lembut dan tidak mencederakan organ dalaman kita. Ia juga bertindak sebagai peneutral lebihan asid serta mengurangkan kepedihan dengan bertindak menyaluti lapisan dinding perut kita.

Kawalan Suhu

Ramai yang percaya bahawa dengan memakan pisang, ia dapat menurunkan suhu kedua-dua fizikal dan emosi kepada ibu-ibu mengandung. Di Thailand sebagai contoh, ibu mengandung mengambil pisang untuk memastikan bayi yang dilahirkan itu menjadi seorang yang penyabar.

Seasonal Affective Disorder (SAD)

Penyakit ini merupakan simptom yang terjadi akibat daripada kurangnya pendedahan kepada cahaya matahari. Pisang dapat membantu pesakit ini kerana ia mengandungi tryptophan semulajadi yang membaikpulih mud kita..

Ketagihan Rokok Dan Tembakau

Pisang dapat membantu perokok yang ingin berhenti merokok. Vitamin B6, B12, potassium dan magnesium yang terdapat dalam pisang, ia dapat membantu tubuh kita dalam membaikpulih kesan nikotin terhadap tubuh.

Stress

Potassium merupakan bahan mineral vital, yang membantu menormalkan degupan jantung, menghantar oksigen kepada otak dan mengimbangi kandungan air dalam tubuh. Bila kita stres, kadar metabolisma kita naik, menyebabkan kadar potassium menurun. Keadaan ini dapat diimbangi semula dengan bantuan snek pisang yang tinggi potassium.

Strok

Mengikut kajian dalam buku The New England Journal of Medicine, mengambil pisang sebagai diet harian mampu mengurangkan risiko kematian akibat strok sebanyak 40%!

Penyakit Kulit

Pengamal perubatan semulajadi (alternatif) berpendapat, untuk menghilangkan pelbagai masalah kulit, termasuk jerawat, kudis, parut, kurap, dan sebagainya, ambil sekeping kulit pisang, tampalkan sebelah dalam kulit pisang itu pada tempat yang ingin dirawat dengan menggunakan plaster luka biasa atau pun plaster bedah.

Pisang memang merupakan ubat semulajadi kepada banyak penyakit. Jika dibandingkan dengan epal, pisang mempunyai 4 kali ganda kandungan protin, 2 kali karbohidrat, 3 kali fosforus, 5 kali vitamin A dan zat besi, dan 2 kali vitamin dan mineral lain. Ia juga kaya dengan potassium dan merupakan salah satu makanan terbaik yang mudah didapati…

Jadi mungkin inilah masa untuk berubah kepada kata yang biasa disebut-sebut, Sebiji pisang sehari dapat menjauhkan doktor!

PS : Kesimpulannya, pisanglah adalah penyebab utama kenapa monyet-monyet di hutan selalu sihat dan bahagia setiap masa dan ketika! Satu lagi; ingin kilatkan kasut?? Ambil bahagian dalam kulit pisang, sapukan secara terus kepada kasut anda, kemudian kilatkan dengan kain kering. Menakjubkan!

Sumber Asal : Berita Harian

Sunday, May 29, 2011

Musa Ornata

Pokok pisang daripada spesis musa ornata.

Musa ornata adalah tumbuhan daripada famili musaceae. Pokok pisang ini tidak ditanam untuk buahnya tetapi sebagai pokok hiasan. Terdapat beberapa varieti dalam musa ornata ini. Jenis pisang yang biasa ditanam sebagai penghias landskap adalah Abyssinian, Siam Yellow Banana, African Red, Milky Way, Mannii, Becarrii, Macro, Royal Purple , Royal Ruby, Royal Pink, Sumatrana (Zebrina), Bronze Banana dan Musa Velutina.

Pokok pisang jenis ini mempunyai ketinggian sekitar 0.5 meter. Pelepah dan daun pisang ini lebih kecil. Ia juga mengeluarkan jantung dan berbunga tetapi kebanyakannya tidak menghasilkan buah. Hampir semua jantung pisang musa ornata keluar secara tegak, tidak seperti pisang biasa. Ada juga jenis pisang ini yang berbuah tetapi buahnya tidak boleh dimakan.

Thursday, April 21, 2011

Pisang Berangan

Setandan pisang berangan yang matang. Boleh dituai dalam tempoh sebulan atau lebih.

Pisang berangan merupakan varieti pisang tempatan yang paling terkenal dan mempunyai pasaran yang meluas di seluruh dunia. Pisang jenis ini menjadi pilihan utama untuk ditanam secara ladang kerana permintaan yang tinggi dalam pasaran tempatan.

Tuesday, April 19, 2011

Pisang Kapal

Buah pisang kapal yang masih muda.

Pisang kapal adalah antara pisang tempatan yang semakin sukar temui ditanam sekarang. Buah pisang kapal tidak mempunyai nilai komersil yang menyebabkan ia tidak menjadi pilihan peladang untuk menanamnya secara ladang. Pisang kapal juga dikenali sebagai dwarf banana (pisang kerdil) kerana ketinggiannya yang sederhana iaitu sekitar 1 hingga 1.5 meter sahaja.

Sunday, April 17, 2011

Pisang Nangka

Pisang nangka yang belum masak. Baru diambil semalam kerana pokoknya patah akibat beban buah yang berat walaupun telah ditongkat dengan kayu sebesar paha! Ada 6 sikat semuanya dan sebiji buahnya agak besar(bandingkan kesan tapak kaki dinosaur..err..ayam di atas simen pada bahagian atas buah pisang).

Pisang nangka adalah antara varieti pisang yang terdapat dan ditanam di Malaysia. Ia mendapat nama kerana apabila masak, isi buahnya berbau wangi seakan-akan nangka. Pisang nangka biasanya tidak dimakan segar kerana isinya agak pejal dan rasanya yang sedikit masam. Ia merupakan pisang yang terbaik untuk digoreng, dibuat pengat, disira, dimasukkan ke dalam pulut dakap dan beberapa jenis kuih tradisional tempatan. Benih pisang nangka ini dibawa dari kampung dan ditanam di tempat tinggal sekarang ini. Tanahnya sangat sesuai untuk tanaman pisang.

Sunday, March 13, 2011

Pisang Raja

Pisang raja yang telah masak

Pisang raja merupakan salah satu spesis pisang yang ada di Malaysia. Pisang raja boleh dimakan segar dan ia lebih sedap jika digoreng. Pisang raja tidak banyak dalam pasaran tempatan. Nama botani pisang raja ialah musa paradisiaca. Musa paradisiaca merupakan spesis pisang yang dimakan selepas dimasak atau diproses.  Selain pisang raja, antara kultivar dalam jenis ini ialah pisang awak, pisang nangka, pisang tanduk dan pisang nipah.

Pisang raja boleh dimakan segar dan ia lebih sedap jika digoreng. Ia juga boleh dijadikan kerepek, direbus, dibuat pengat dan dijadikan bahan untuk membuat pelbagai jenis kuih atau kek.

Saturday, December 11, 2010

Pisang Nipah

Pisang nipah yang telah masak

Perbandingan antara pisang nipah(sebelah kiri foto) dan pisang awak (atas) dan pisang mantan.

Di Malaysia terdapat beberapa jenis pisang nipah. Pisang nipah seperti dalam foto di atas bersaiz besar dan mempunyai kulit tebal seakan buah nipah. Pisang nipah biasanya tidak dimakan segar kerana ia lebih sedap jika digoreng atau dijadikan kuih/masakan seperti pengat, cucur pisang dan lain-lain.

Sunday, November 28, 2010

Pisang Jari Buaya

Pisang jari buaya

Pisang jari buaya merupakan pisang jenis lama dan ia kurang dikenali. Ia tidak popular seperti mana pisang kapas, rastali, awak dan lain-lain. Pisang jari buaya mendapat nama daripada bentuk buahnya yang kelihatan seperti jari buaya. Pisang ini mempunyai rasa manis dan sedikit masam. Ia sedap jika digoreng, direbus atau dijadikan kuih tradisional seperti cucur pisang. Buahnya juga boleh dimakan segar dan bau isinya wangi.

Friday, November 26, 2010

Pisang Tanduk

Buah pisang tanduk yang bersaiz besar

Pisang tanduk adalah antara beberapa jenis pisang yang terdapat di Malaysia. Pokok pisang merupakan tumbuhan dalam famili Musaceae. Pisang tanduk agak unik kerana ianya tidak mengeluarkan jantung seperti pisang jenis lain dan buahnya yang paling banyak adalah sebanyak tiga sikat. Buah pisang tanduk bersaiz besar dan panjang. Ia berbentuk seakan tanduk dengan panjang buahnya boleh mencapai 30cm. Pisang tanduk biasanya tidak dimakan segar. Ia lebih sedap jika digoreng atau dibuat pengat, sira dan kerepek.