VIP Dedaun Alam

Showing posts with label serangga. Show all posts
Showing posts with label serangga. Show all posts

Friday, March 22, 2013

Kebun Kecil Tepi Pagar - Terima Kasih

Ucapan terima kasih ini sebenarnya ditujukan kepada ejen penting dalam kebun kecil saya. Mereka memainkan peranan penting dalam pendebungaan. Tanpa kerja yang tak pernah tahu erti penat oleh mereka, tumbuhan biasanya tidak produktif. Terima kasih ejen debungaku.

Ejen yang paling saya suka iaitu kelulut. Satu spesis lebah yang jarang dapat dilihat tapi mereka sentiasa ada dalam kebun kecil, pagi dan petang.

Lebah tukang atau lebih dikenali sebagai kumbang antara ejen penting dalam pendebungaan.

Lebah kecil juga tak ketinggalan untuk menghisap madu dari bunga jantan peria kampung.

Ini bukan lalat rumah sebab ia mencari bunga untuk dapatkan madunya.

Thursday, December 13, 2012

Kebun Kecil Tepi Pagar - Serangga, Kategori 18SX

Sepasang belalang askar yang sedang memperkembangkan zuriat. Lihat daun bendi yang dimakan oleh belalang ini.

Ladybird pemakan daun ini juga dalam perancangan untuk menambah bilangan ahli keluarga. Yang seekor lagi tu berlari-lari ke sana ke mari tanpa arah. Mungkin kecewa kekasih hatinya bermain kayu tiga dengannya.

Ini anak mentadak. Kekchong kata orang Kelantan. Mentadak adalah serangga karnivor dan akan menolong mengurangkan serangga perosak/pemakan daun.

Larva serangga ini tak memakan daun tapi bila dewasa ia akan menghisap cairan daripada dedaunan.

Thursday, November 1, 2012

Kebun Kecil Tepi Pagar - Ejen Yang Comot

Dalam kebun kecil tepi pagar saya terdapat berbagai jenis serangga yang menjadi ejen pendebungaan. Semut hitam kecil ini adalah antara peminat madu bunga bendi. Dek kerana terpikat dengan manisnya madu, habis badan semut kecil ni comot dengan nektar bunga. Ia sedang berusaha untuk membuang nektar yang melekat pada seluruh badannya.
"Adoyaii...nak berjalan pun payah ni..huhu...", kata semut hitam. Kesian pulak tengok ejen saya yang comot ni berjalan atas kelopak bunga bendi.

Thursday, October 25, 2012

Kebun Kecil Tepi Pagar - Serangga Pembantu & Perosak

Ladybird atau ladybug sebenarnya ada lebih 300 spesis. Bukan semua spesis ladybird membantu petani. Spesis ladybird dikelaskan mengikut bintik pada badannya. 12 spot ladybird seperti dalam foto ini adalah jenis perosak samada larvanya atau ladybird dewasa. Lihat kesan gigitan pada bahagian atas daun. Ia hanya memakan bahagian atas daun tanpa melubangkannya. Kerosakan pada daun tidak begitu teruk kerana jumlahnya yang sedikit. 

Bila nampak tuan kebun, tau pula dia melarikan diri dan sembunyi dengan membuat penyamaran. Macam la tuan kebun tak nampak...hehe.. Ladybird ni saya tak sampai hati nak musnahkan. 

Ladybird 2 bintik ini bersaiz agak kecil. Hanya 1/4 daripada saiz ladybird yang pertama. Foto ladybird ni agak blur kerana ia sedang berlari-lari anak atas daun setelah melihat tuan kebun. Tak pasti kehadirannya untuk menolong atau sebaliknya.

Yang ni sedia untuk menyuntik buah dengan telurnya. Ia adalah antara musuh utama petani dan penanam.

Serangga? Labah-labah bukan serangga tapi araknid. Labah-labah karnivor kecil ini menangkap serangga lain untuk dijadikan makanan.




Tuesday, October 23, 2012

Kebun Kecil Tepi Pagar - Tetamu Yang Baik & Tidak

Antara ejen pendebungaan dalam kebun kecil saya. Rama-rama kecil berehat di atas daun kacang panjang.

Bari-bari dan semut yang memunggah nektar bunga bendi singa.

Serangga hitam dengan corak putih dan merah ini tak dikenali oleh saya. Tak pasti samada kehadirannya untuk membantu atau sebaliknya. Rasanya ia sama spesis dengan serangga dalam foto di bawah.

Serangga ini mungkin masih muda. Rasanya ia menjadi serangga seperti dalam foto di bawah apabila dewasa.

Masa kanak-kanak, kami memanggilnya superman kerana sayap yang panjang dan berwarna merah. Ia menghisap cairan di bawah daun dan merembeskan cecair. Apa agaknya nama betul serangga ini?

Thursday, July 12, 2012

Peringat


Peringat atau penyengat sedang membina sarang untuk pembiakan koloninya. 

Peringat sebenarnya nama panggilan untuk penyengat di kalangan rakyat Kelantan. Ada satu tempat dinamakan sempena nama serangga berbisa ini iaitu Peringat. Di Kedah, ia dikenali dengan nama temingat. Peringat, penyengat atau temingat ini mempunyai sengat untuk mempertahankan diri apabila terancam atau diancam. Ia akan menyerang atau menyengat jika sarangnya diganggu samada secara sengaja atau tidak. Sengatan serangga sangat menyakitkan tapi tidak membawa maut seperti sengatan tebuan atau lebah. Saya sendiri telah beberapa disengat oleh serangga kecil ini dan sengatan pada bahagian muka akan memberi kesan bengkak yang lebih teruk berbanding bahagian badan lain. Siapa yang pernah disengat oleh serangga kecil ini?

Monday, January 9, 2012

Mentadak @ Kekchong

Anak mentadak atau nimfa yang sebesar kerengga.

Mentadak yang dikenali dengan nama kekchong dan sudu senu oleh penduduk Kelantan merupakan serangga karnivor. Terdapat lebih 2,200 spesis mentadak di seluruh dunia. Ia terdiri dalam 15 famili yang berbeza tetapi kebanyakan  mentadak yang dijumpai sekarang adalah dalam famili Mantidae. Serangga ini mempunyai sepasang kaki depan yang unik untuk menangkap mangsanya. Ia menjadikan serangga lain seperti belalang, lalat, semut sebagai makanan. Mentadak bertindak sebagai kawalan serangga perosak secara biologi. Ia menggunakan teknik serang hendap untuk memerangkap mangsa sebagai makanannya. Kepalanya mampu berpusing hampir satu pusingan, ia juga boleh melompat dan terbang dalam jarak sederhana. Mentadak mempunyai kebolehan untuk menggunakan teknik penyamaran diri atau camouflage sepertimana sesumpah dan cicak kubing untuk mengelak daripada musuh..

Tuesday, September 20, 2011

Serangga - Siri 2

Serangga-serangga yang dipaparkan dalam segmen serangga siri ke 2 ini adalah daripada jenis serangga perosak tanaman dan sayuran.
.
Kepinding. Serangga ini akan menghisap cairan daripada tunas dan pucuk muda tumbuhan yang akan menyebabkan tunas atau pucuk menjadi layu dan rosak.

Kumbang kecil ini memakan daun dan bunga. Ia biasanya menyerang tumbuhan dalam kumpulan yang banyak dan akan menyebakan kerosakan teruk pada pokok. 

Belalang. Serangga ini memakan daun dan pucuk muda tumbuhan.

Belalang perah yang menggunakan teknik penyamaran (camourflage) di sebalik dedaunan pokok intan berayun atau kosmos kuning ini.

Monday, September 12, 2011

Kunang-kunang

Kunang-kunang atau kelip-kelip adalah serangga spesis kumbang coleoptera daripada famili Lampyridae

'Lampu' yang berkelip-kelip pada bahagian abdomen kunang-kunang. 

Kunang-kunang atau kelip-kelip merupakan serangga unik kerana ia mampu mengeluarkan kerlipan cahaya pada bahagian hujung bawah abdomen. Terdapat lebih 2000 spesis kunang kunang di seluruh dunia. Ia mendiami kawasan yang berdekatan dengan air seperti sungai dan paya. Serangga spesis kumbang coleoptera ini mengeluarkan cahaya merah terang, kuning atau hijau mengikut spesis. Kerlipan cahaya ini berfungsi sebagai komunikasi sesama sendiri. Kunang-kunang juga menggunakan cahaya ini semasa musim mengawan. Kerlipan cahaya yang dihasilkan sebagai tarikan kepada pasangan samada jantan atau betina. Ada juga spesis kunang-kunang yang menggunakan cahaya yang berkelip ini sebagai umpan untuk memerangkap mangsa.

Monday, May 9, 2011

Kumbang Nostalgia

Kumbang penyengat yang mahir mengorek lubang pada kayu.

Pernah lihat serangga ini? Mungkin ada yang biasa melihat serangga ini dan sudah pasti ada yang tidak tahu akan kewujudannya. Ia dipanggil kumbang biarpun ia sebenarnya bukan spesis kumbang. Kumbang ini adalah sama famili dengan tebuan. Ia tidak hidup secara koloni sepertimana saudara terdekatnya. Kumbang ini tinggal dan membiak di dalam lubang yang dikorek pada kayu mati samada kayu binaan rumah atau pokok. Ia akan mengorek lubang berbentuk terowong dan hidup bersama pasangannya untuk membiak. Kumbang ini memakan madu dan nektar bunga. Kenapa ia dianggap nostalgia? Kumbang ini semakin sukar untuk ditemui sekarang kerana faktor rekabentuk rumah yang semakin moden dan tidak menggunakan kayu. Dahulu, kumbang ini gemar untuk membuat 'rumah' pada kayu penyambut lantai rumah. Aktiviti kumbang ini tidak disukai oleh tuan rumah kerana ia akan merosakkan struktur kayu dan boleh menyebabkan penyambut lantai akan patah jika bilangan terowong dikorek dalam jumlah yang banyak. Jadi, apa yang dilakukan oleh tuan rumah dan kanak-kanak pada masa itu untuk mengatasi masalah ini? Sesiapa yang ada nostalgia atau kenangan boleh kongsi dalam ruangan komen.

Wednesday, February 16, 2011

Rama-rama

Rama-rama ini menghisap madu bunga lantana camara. Agak sukar untuk mengambil fotonya kerana ia terbang dari bunga ke bunga yang lain.

Rama-rama ini mungkin baru keluar dari kepompongnya. Ia masih lemah untuk terbang.

Rama-rama yang sama dalam foto di atas. Warnanya lebih menarik.

Berehat sebentar di besi pagar 'chainlink'. Mungkin kepenatan kerana terbang ke sana ke mari mencari madu.

Tuesday, February 15, 2011

Serangga

Dedaun Alam kali ini memperkenalkan serangga yang terdapat di sekeliling kita. Ia mungkin biasa kita lihat tetapi pasti ada yang tidak pernah melihat serangga-serangga ini.

Spesis pepatung yang jarang ditemui. Pepatung sebenar telah wujud sejak zaman dinosaur lagi. Saiznya ketika itu jauh lebih daripada apa yang kita lihat sekarang.

Semua spesis pepatung mempunyai dua pasang sayap lutsinar.

Pepatung yang bersaiz kecil dan terbang dengan kelajuan yang sederhana.

Anak belalang. Belalang ini dikenali dengan nama 'belalang perroh' oleh penduduk Kelantan. Ianya bersaiz besar apabila dewasa. Ketika terbang ia mengeluarkan bunyi yang terhasil daripada kepaknya.

Belalang daun. Sayapnya menyamai daun dan sangat berguna untuk penyamaran daripada serangan musuh.

Tuesday, January 18, 2011

Pepatung

Pepatung bersaiz kecil ini terbang agak perlahan.

Salah satu spesis pepatung bersaiz sederhana.

Sepasang pepatung yang romantik sedang mengawan.

Januari 2011, musim untuk pepatung ini membiak. Tiga pasang pepatung tidak sedar aksi mereka dirakam oleh lensa kamera penulis.

Pepatung yang juga dikenali dengan nama tuyut (Kelantan), pelatung (Kedah), sibur-sibur (Perak) merupakan sejenis serangga terbang yang unik. Ia mempunyai mata bulat yang besar, dua pasang sayap lutsinar yang kuat dan abdomen yang panjang. Pepatung mempunyai tiga pasang kaki seperti serangga lain tetapi ia tidak boleh berjalan. Pepatung juga merupakan hidupan atau serangga yang paling laju bergerak di dunia. Ia mampu terbang dengan kelajuan melebihi 200kmj dan mampu untuk berhenti secara pegun diudara walaupun dengan kelajuan tinggi. Ini bermakna ia mampu untuk berhenti serta merta pada kelajuan melebihi 200kmj. Kemampuan dan kelebihan ini terletak pada dua pasang sayapnya yang boleh mengawal pergerakannya. Ia mampu terbang ke depan, kiri, kanan, mengundur dan terbang setempat (Rekaan helikopter ditiru daripada kehebatan pepatung ini). Pepatung juga dapat memusingkan kepalanya dalam pusingan hampir 360 darjah tanpa menggerakkan badan. Terdapat lebih daripada 2000 spesis pepatung di dunia. Ia boleh dibezakan melalui saiz, bentuk dan warna badannya. Pepatung menjadikan serangga lain (termasuk pepatung lain) sebagai makanannya.

Walaupun pepatung ini serangga terbang tetapi ia bertelur dan membiak di dalam air. Kita sering melihat pepatung yang terbang di permukaan air sambil menyentuh bahagian hujung abdomennya. Inilah salah satu cara ia bertelur. Ia juga bertelur di atas tumbuhan akuatik dan ada spesis pepatung yang mampu untuk menyelam ke dasar untuk bertelur. Telur tersebut akan menetas dan menjadi nimfa. Nimfa ini mengambil masa kira-kira 2 bulan sehingga lima tahun di dalam air(mengikut spesis pepatung). Ia memakan berudu, anak-anak ikan, udang dan lain-lain. Ia bernafas melalui insang.

Apabila larva telah bersedia untuk proses metamorfosis, ia akan memanjat tumbuhan akuatik. Setelah berada di luar air, ia mula bernafas. Kepompong akan terbuka pada bahagian belakang kepala dan pepatung dewasa akan keluar dan terbang untuk meneruskan hidupnya sebagai serangga terbang yang hebat. Usia pepatung tidak panjang iaitu kira-kira empat bulan.