VIP Dedaun Alam

Showing posts with label burung. Show all posts
Showing posts with label burung. Show all posts

Wednesday, November 19, 2014

Burung Cecawi Anting-Anting

Burung cecawi anting-anting

As salam dan salam bahagia kepada pengunjung serta pembaca blog Dedaun Alam yang terbiar untuk beberapa bulan tanpa sebarang entri serta info. Ruang masa yang agak terhad dan kekurangan bahan menjadi faktor utama. Bila lama tak menulis, terasa rindu dan semangat untuk menulis tetap ada tapi tertangguh.

Burung cecawi anting-anting seperti dalam foto di atas merupakan spesis burung yang dilindunginya sepenuhnya. Ianya juga sukar didekati untuk difotokan. Setelah beberapa cubaan, ini gambar terbaik yang dapat saya hasilkan. Itupun terpaksa main sorok-sorok dengan burung pemalu ini. Biarpun kicauan merdunya boleh didengar namun untuk mengambil gambarnya sangat sukar. Jika ternampak kelibat manusia, ia terbang lari. 

Keistimewaan burung lindungan ini adalah dapat meniru hampir semua spesis burung dan yang paling hebat ia juga mampu membuat suara seperti kucing mengiau. Untuk info lengkap boleh rujuk cecawi. 

Tuesday, June 18, 2013

Burung Tuwu


Burung yang nampak seperti burung gagak ini adalah burung tuwu atau asian koel (Eudynamys scolopacea). Saya dah menulis mengenai burung ini dalam entri sebelum ini. Siapa yang belum mengenali burung tuwu, boleh baca infonya di sini. Saya juga ada buat rakaman bunyi burung tuwu yang dimuatnaik ke Youtube.

Tuesday, October 2, 2012

Yang Singgah Di Sini...

Mereka sering kelihatan singgah dan hinggap di sini tapi ada juga spesis burung yang sangat jarang untuk dijumpai seperti tiung belacan. Burung-burung lain yang biasa dilihat di sini adalah dendang selayang, melilin, bangau, camar, layang-layang, helang, butbut dan beberapa spesis yang tak dikenali oleh saya.

Burung kelicap yang sering kelihatan singgah untuk menghisap madu bungaan.
Saya hanya sekali lihat burung ini singgah di sini. Sempat ambil dua keping gambar dan ia terus terbang. Spesis ini jarang dilihat dan agak sukar untuk dijumpai. Burung daripada spesis tiung ini dikenali dengan nama tiung belacan. Suara tidak merdu seperti saudara rapatnya iaitu tiung emas.

Burung cecawi yang kesejukan selepas hujan lebat. Singgah hanya sekejap sebelum terbang. Spesis cecawi anting-anting sering kedengaran suaranya tapi payah untuk diambil gambar. Bila nampak orang, ia terus terbang jauh.

Penangkap ikan atau udang yang mahir. Ia juga pakar terjun junam. Pekaka yang berehat di atas kabel elektrik.


Wednesday, September 5, 2012

Greater Rocket-Tailed Drongo

Sepasang burung Cecawi Anting-anting atau Greater Rocker-tailed Drongo (Dicrurus Paradiseus). Jarang untuk dapat peluang untuk ambil gambar burung lindungan ini secara berpasangan. Gambar kelabu kerana bateri kamera hampir kehabisan. Kuasa fokus berkurangan.

Tuesday, August 7, 2012

Tempua @ Baya Weaver


Burung tempua jantan.

Burung tempua (Ploceus philippinus) juga dikenali dengan nama cak raya, ciak raya dan ciak tempua. Burung tempua jantan mempunyai kepakaran dalam menganyam sarang yang dibina tergantung pada bahagian hujung ranting/daun pokok besar. Bagi burung tempua jantan ketelitian dan kekemasan sarang yang dianyam sangat diutamakan kerana ia adalah satu-satunya cara burung spesis memikat pasangan. Jika ia tidak berpuas hati dengan anyaman, sarang yang dalam proses untuk disiapkan akan dijatuhkan ke tanah. Tempua jantan akan menganyam sarang lain yang lebih baik. Sarang tempua dianyam menggunakan rumput kering dan akan dianyam satu persatu sehingga sempurna. Tempua jantan mampu menganyam rumput sambil terbang! 

Semasa musim membiak, burung ini akan membuat bunyi bising sebagai cara komunikasi. Diet utama mereka adalah bijirin termasuk padi. Di Malaysia, burung tempua adalah spesis lindungan.

Tuesday, May 15, 2012

Pucung Kuak @ Black-crowned Night Heron

Pucung kuak atau Black-crowned Night Heron yang hidup dalam kurungan. .


Pucung kuak (Nycticorax nycticorax) adalah antara spesis pucung yang terdapat di Malaysia. Ia hidup di hampir sebahagian dunia kecuali kawasan paling sejuk dan Australasia. Burung pucung kuak dewasa berukuran lebih kurang 64 cm (25 inci) panjang dan berat 0.8 kg. Ia mempunyai bulu berwarna hitam pada bahgian atas kepala dan badan. Bahagian tepi berwarna kelabu dan putih pada bahagian bawah. Burung pucung kuak jantan dan betina sama dari segi bentuk dan corak tetapi yang jantan lebih besar. Pucung kuak tidak mempunyai bentuk yang sama dengan spesis pucung lain. Badan mereka agak gempal dan tinggi kira-kira 63 cm dengan paruh, kaki dan leher yang pendek berbanding sepupu dalam famili yang sama iaitu bangau dan Day Heron. 

Burung ini suka membuat bising burung ketika bersarang dalam koloni. Sarang mereka dibina menggunakan ranting kayu di atas pokok dan tanah. Pucung kuak bertelur diantara tiga hingga lapan biji. Mereka mendiami kawasan berpaya air tawar atau air masin(pantai). Seperti namanya, burung ini mengeluarkan bunyi 'quok' atau 'kuak..kuak'.

Burung pucung kuak memakan ikan, krustasia, katak, serangga akuatik, ular, mamalia kecil dan bururng kecil.. Burung ini akan berdiri dan menunggu untuk menyerang hendap mangsanya pada waktu malam atau awal pagi.  Pada siang hari mereka berehat di atas pokok atau semak.

Friday, May 11, 2012

Belibis

Burung belibis atau lesse whistling-duck.

Rakaman video suara burung belibis yang nyaring.

Burung comel yang nampak seperti anak itik ini adalah burung belibis (Dendrocygna javanica). Nama Inggerisnya, Lesser Whistling-Duck atau Lesser Treeduck. Walaupun bersaiz kecil (sebesar tapak tangan orang dewasa), ia mengeluarkan yang kuat dan nyaring. Sebab itulah ia dipanggil Lesser Whistling-Duck. Burung belibis mendiami kawasan berhampiran pantai atau kawasan paya. Di Langkawi terdapat sebuah kampung yang diberi nama Kampung Belibis kerana terdapat banyak burung ini di situ suatu masa dahulu. Kampung ini terletak di Ewa, Mukim Ayer Hangat. Burung belibis adalah spesis burung yang dilindungi sepenuhnya.

Wednesday, May 9, 2012

Ayam Hutan @ Red Junglefowl

Sepasang ayam hutan yang tidak lagi hidup liar dalam hutan tapi dalam kurungan hutan batu.


Ayam hutan adalah daripada genus Gallus dan ia dikenali sebagai  nama Junglefowl. Genus ini milik famili Phasianidae. Spesis lain dalam famili Phasianidae ialah ayam belanda, merak, kuang, dan puyuh. Ayam domestik dipercayai berasal daripada Red Junglefowl dan berkongsi nama saintifiknya, Gallus Gallus. Ayam dewasa bersaiz diantara 43 hingga 76 cm panjang. Bahagian kepala yang mempunyai telinga dengan corak putih dan balung merah. Leher berwarna kekuningan dan bahagian belakang berwarna merah terang. Bahagian bawah badan gelap dan kaki berwarna kelabu. 

Ayam hutan hidup dalam keluarga yang tipikal iaitu terdiri daripada seekor ayam jantan dan beberapa ekor ayam betina. Ayam hutan membiak dalam bulan Januari hingga November. Telur ayam hutan berwarna putih kekuningan dan biasanya ia bertelur diantara 5 hingga 7 biji. Sarang ayam hutan dibina di atas tanah dengan mengais lubang cetek.

Ayam hutan memakan serangga seperti anai-anai, belalang, kelkatu, haiwan inverterbrata, buahan dan bijirin. Ayam hutan termasuk dalam kategori haiwan yang dilindungi. Mereka yang mempunyai pengalaman memburu ayam hutan sering mengaitkan ayam hutan dengan kisah misterinya iaitu mereka ada 'penjaga'nya.

Monday, April 9, 2012

Zebra Dove @ Ketitir

Burung ketitir sering dilihat mencari makanan di kawasan terbuka.

Ketitir atau merbuk merupakan spesis burung merpati yang berasal dari Asia Tenggara(Selatan Thailand, Semenanjung Malaysia dan Singapura, Indonesia dan Filipina). Burung ini yang dipanggil Zebra Dove (Numenius Chinensis) menjadi pilihan penggemar burung dan memeliharanya dalam sangkar. Ia dibela kerana siulan suaranya yang merdu. Ketitir hidup bebas di dalam belukar, ladang, kebun dan kawasan terbuka di kawasan tanah rendah. Ia juga biasa dilihat di taman dan kawasan perumahan di desa atau bandar.  

Burung ketitir bersaiz sederhana, badan langsing dengan ekor yang panjang. Bahagian atas badan keperangan kelabu dengan jalur hitam dan putih. Bahagian bawah berwarna merah jambu dengan corak hitam di sisi leher, dada dan perut. Saiznya kira-kira 20 hingga 23cm panjang dan lebar sayap di antara 24-26cm. Di Thailand dan Kelantan, pertandingan suara burung ketitir/merbuk diadakan untuk mencari juara suara terbaik dan merdu. 

 Burung ketitir memakan rumput kecil, buah dan biji rumpai. Ia juga menjadikan serangga dan invertebrata kecil sebagai makanan. Tidak seperti spesis burung merpati yang lain, mereka hidup secara individu atau berpasangan. Musim pembiakan burung ini secara semulajadi adalah dari September hingga Jun. Burung jantan akan membuat aksi berjalan sambil menunduk kepala, ekor diangkat dan dikembangkan sebagai cara memikat pasangan. Sarang mereka berbentuk mangkuk yang dibina menggunakan daun dan rumput kering. Ia dibina di atas pokok dan ada sarang yang dibina di atas tanah. Burung betina akan bertelur satu atau dua biji telur berwarna putih. Telur tersebut akan dieram oleh pasangan secara bergilir selama 13 hingga 18 hari. Setelah menetas, anak burung akan meninggalkan sarang dalam tempoh dua minggu. Ia boleh terbang dengan baik selepas berusia tiga minggu.

Wednesday, March 14, 2012

Burung Tuwu @ Asian Koel

Burung tuwu jantan

Burung tuwu jantan akan mengeluarkan bunyi, koo-ooo dengan kuat, nyaring dan berulang-ulang dari pagi(waktu Subuh) sehingga senja. 


Bunyian burung tuwu yang saya rakam. Bunyi kuat daripada burung ini boleh didengari dari jarak hampir 1 km.

Burung tuwu atau asian koel atau nama saintifiknya, Eudynamys scolopaceus daripada famili Cuculidae adalah burung tempatan. Ia juga terdapat di beberapa negara Asia lain termasuk India dan China. Burung dewasa jantan spesis ini bersaiz antara 39-46cm. Musim membiak bagi burung tuwu di Asia Tenggara adalah di antara Mac hingga Ogos). Sewaktu musim membiak, burung tuwu jantan akan berbunyi tanpa henti dari pagi sehingga senja sebagai panggilan untuk menarik perhatian pasangan. Burung tuwu betina berwarna kelabu dan berbintik putih pada kesuluruhan bahagian badan. Spesis ini mempunyai reputasi yang kurang baik, iaitu bersifat parasit. Semasa musim bertelur, ia akan menggunakan sarang yang dibina oleh spesis burung lain. Ia akan memakan telur burung dalam sarang yang dipilih dan burung tuwu betina akan bertelur sebagai ganti. Telur burung tuwu akan dieram oleh burung asal(pemilik sarang) sehingga menetas. Dan selepas itu mereka mengambil alih tugas untuk menjaga anak. satu taktik yang bijak tetapi agak sadis.

Friday, January 6, 2012

Spotted Dove

Spotted Dove on the pole position. Burung tekukur singgah di puncak tiang talian elektrik.

Dari bawah. Streptolia chinensis hinggap di dahan cermai.

Friday, December 16, 2011

Dendang Selayang @ Black Naped Oriole

Dendang Selayang atau Kunyit Besar

Singgah sebentar sambil berkicau diranting pokok rhu.


Burung Dendang Selayang yang juga dikenali dengan nama Kunyit Besar, Kunyit Dada Leper dan Black Naped Oriole. Nama saintifik bagi burung ini, Oriolus chinensis daripada famili Oriolidae. Burung Dendang Selayang berwarna kuning keemasan dan mepunyai jalur hitam pada bahagian mata, tepi kepala sehingga ke bahagian belakang kepala. Sayap dan ekornya berwarna kuning dan hitam. Paruh berwarna oren muda. Burung betina berwarna kuing kehijauan pada bahagian atas badan dan atas sayap. Panjang keseluruhan burung ini adalah 24 - 28 cm. Musim membiak bagi burung Dendang Selayang ialah pada bulan Disember hingga Jun setiap tahun.

Burung ini mengeluarkan bunyi siulan atau kicauan yang agak kuat dan merdu iaitu, kwia-lu, u-dli-u, u-lu-lu, u liu secara berulang-ulang. Ia juga mengeluarkan bunyi kyehhrr. 

Akta 76/72, spesis ini diperlindungi sepenuhnya.

Monday, November 7, 2011

Cecawi Anting-Anting

Burung cecawi anting-anting.

Burung cecawi anting-anting adalah antara spesis burung cecawi yang terdapat di Malaysia. Spesis cecawi ini dikenali dengan nama Greater Rocket-Tailed Drongo (Dicrurus Paradiseus). Cecawi anting-anting mempunyai jambul pada bahagian dahi. Ekornya bercabang dan mempunyai ekor panjang tanpa bulu dan berbulu sedikit pada bahagian hujung (seperti damak/anak panah). Bulu burung ini berwarna biru gelap berkilat tetapi kelihatan seakan kehitaman. Panjang keseluruhan burung cecawi anting-anting ini adalah di antara 30 hingga 36cm.

Ia biasanya mendiami kawasan hutan, tanah pamah, pinggir hutan (termasuk kawasan kampung), hutan sekunder, kawasan ladang dan boleh ditemui sehingga pada ketinggian 1,700 meter dari paras laut. Burung cecawi anting-anting menjadikan serangga, nektar bunga, burung-burung kecil, reptilia dan mamalia kecil sebagai makanan.. Ia mebiak pada bulan Februari-Julai setiap tahun. Burung betina bertelur di antara 3 hingga 4 biji dalam sarang yang dibina tergantung dari dahan pada ketinggian 4 meter hingga 15 meter dari tanah.

Burung ini mengeluarkan pelbagai bunyi termasuk kicauan yang kuat, bercampur siulan, bunyi hilaian garau dan ia mampu meniru suara burung lain.

Mengikut Akta 76/72, ia diperlindungi sepenuhnya.

Friday, July 15, 2011

Burung Leba

Burung gembala kerbau atau common myna

Burung leba adalah nama panggilan bagi burung gembala kerbau oleh penduduk di Kelantan. Burung ini daripada spesis tiung dengan nama saintifiknya, acridotheses tristis dalam famili sturnidae. Burung biasa ditemui hidup bebas dan meliar di kawasan bandar dan desa. Ia menjadikan serangga dan sisa makanan sebagai diet utamanya. Burung ini mampu mengeluarkan pelbagai jenis bunyi dan ia boleh mengajuk suara manusia. Ia paling gemar membuat sarang pada bahagian pelepah pokok kelapa yang tinggi dan dalam bumbung bangunan.

Friday, July 8, 2011

Tekukur

Burung tekukur biasanya hidup secara berpasangan dan tidak berkumpulan.

Burung Tekukur atau nama dalam bahasa Inggeris, Spotted Dove ialah spesis burung merpati. Ia termasuk dalam famili Columbidae. Nama saintifiknya Streptopelia chinensis. Burung ini biasanya hidup di kawasan padang dan menjadikan bijirin atau buah rumput sebagai makanan. Selain merbuk atau ketitir, burung tekukur menjadi plihan oleh peminat burung untuk dibela di dalam sangkar. Ia mengeluarkan bunyi, 'koo-koo-koo' secara perlahan dan 'kuu-kuu-kruuh' dengan agak nyaring.

Sunday, April 24, 2011

Amaran Si Yellow Vented Bulbul

Burung merbah kapur atau yellow vented bulbul ini berkicau dan membuat pergerakan sebagai amaran kepada saya semasa hendak mengambil gambar putik buah sentul klon. Kelakuan seperti ini biasanya sebagai amaran, sarangnya ada berhampiran. Puas saya mencari sarangnya tetapi gagal. Burung merbah kapur ini diam setelah saya berlalu pergi dari situ. Inilah foto aksi burung merbah kapur yang sempat saya ambil.



Untuk melihat aksi burung ini memberi amaran, scroll down foto ini dengan gerakan yang agak cepat.

Tuesday, February 22, 2011

Merbah Kapur (Yellow Vented Bulbul)

Merbah kapur hinggap di dahan pokok rambutan sambil membawa makanan dengan paruh untuk anak-anak yang berada dalam sarang. Ia memastikan keadaan selamat sebelum terbang ke sarang anak-anaknya yang dibina pada pokok buluh Jepun berhampiran pokok ini.

Ia merasakan keadaan kurang selamat kerana ada 'musuh dengan benda pelik(kamera)' asyik memerhatikan pergerakannya. Terbang menjauhkan diri ke dahan semambu. Terdapat seekor lagi burung merbah kapur yang berada di dahan pokok jambu. Kedua-dua ibubapa burung ini silih berganti memberi makanan untuk anak-anak mereka.

Setelah melihat keadaan selamat kerana tiada 'musuh' yang berhampiran, ia terbang dan hinggap di ranting pokok buluh Jepun. Sebenarnya 'musuh' sedang bersembunyi di tempat yang terlindung dari pandangannya semata-mata untuk mengambil gambar ini. Perhatikan serangga yang dibawa oleh burung mebah kapur ini untuk disuap kepada anak-anaknya.

Menoleh ke arah anak-anaknya yang berada di dalam sarang sebelum masuk.

Dua ekor anak burung merbah kapur ini telah selamat terbang dan hidup bebas di alam semulajadinya pada petang Sabtu (19 Februari 2011). Kira-kira tiga jam selepas foto ini di abadikan dan hanya tiga hari selepas entri pertama mengenai anak burung ini.


Merbah Kapur (Yellow Vented Bulbul)

Nama Saintifik : Pycononotus goiavier
Famili : Pyconontidae

Merbah kapur atau yellow vented bulbul merupakan burung yang hidup meliar di kawasan semak berhampiran pantai, hutan sekunder, kawasan ladang, kebun dan kampung di Semenanjung Malaysia. Burung ini menjadikan buah-buahan, serangga, nektar dan pucuk sebagai makanannya. Panjang badanya dari paruh ke hujung ekor ialah kira-kira 20cm. Bahagian kening burung merbah kapur berwarna putih tetapi bahaigan mata dan paruhnya berwarna gelap. Leher dan dadanya berwarna putih. Badan merbah kapur berwarna kecoklatan dan tongkengnya kekuningan.

Burung merbah kapur mengeluar bunyi 'chic..chic..chic..' dengan cepat dan 'chwich..chwich..' dengan nyaring dan jelas. Ia juga mengeluarkan bunyi 'tidloo..tidloo..tidloo..' dan tud-liu..tud-liu..tud-liu..'

Thursday, February 17, 2011

Burung Apa?

"Burung apa? Burung murai... Burung apa?? Burung murai.." Petikan daripada iklan Petronas beberapa tahun lepas yang membawa mesej mendalam kepada kita semua. Dalam foto di bawah, adakah ianya anak burung murai? Tidak. Burung murai biasanya bersarang di dalam lubang pokok atau celahan pelepah pokok palma (kelapa, kelapa sawit, pinang dan lain-lain). Pasti ada yang mengenali anak burung ini. Buung ini memilih pokok buluh jepun untuk membina sarangnya. Ketinggiannya lebih kurang 1.5 meter sahaja dan lebih menarik ini kali ketiga ia bersarang di sini. Pertanyaan, burung apa agaknya? Sesiapa yang kenal, sila beri jawapan dalam ruangan komen.

Sarang burung ini berbentuk mangkuk. Pastinya ia bukan burung tempua atau burung layang-layang (walet)

Anak burung berusia lebih kurang seminggu. Matanya belum celik dan masih lagi berbulu pahat.
Anak-anak burung ini tidak mengeluarkan bunyi bising ketika lapar. Ia juga sopan(senyap) semasa ibu atau bapanya menyuap makanan.

Tuesday, January 25, 2011

Burung Melilin

Burung melilin biasanya hinggap atau berada di pokok besar dan tinggi. Lokasi : Kuah, Langkawi

Dan jika boleh, tempat yang paling tinggi seperti ini.
Singgah sebentar di dahan pokok sebelum melayang ke pokok lain. Burung ini tidak terbang seprti kebanyakan burung-burung lain, ia sekadar membuka sayap untuk meluncur dan sekali sekali mengepakkan sayapnya jika jarak yang agak jauh.

Pasangan burung ini mencari makan pada batang pokok mempelam di Ulu Melaka.

Burung melilin merupakan salah satu spesis burung enggang atau kenyalang (hornbill). Biasanya burung melilin bersaiz lebih kecil berbanding kenyalang atau enggang. Terdapat 57 spesis burung enggang di seluruh dunia dan ia tergolong dalam kumpulan bucerotidae. Burung daripada spesis ini mempunyai paruh berbentuk seperti tanduk lembu yang berwarna terang dan garang. Burung ini memakan buah-buahan, serangga dan haiwan kecil.

Burung melilin masih banyak dan hidup bebas di Langkawi. Ia adalah burung yang dilindungi sepenuhnya kerana semakin diancam kepupusan. Burung melilin ini boleh dilihat dihampir semua tempat di Langkawi. Jika melalui Jalan Persiaran Putera (Di Hadapan Bangunan LADA dan Billion), anda boleh melihat burung ini terbang bebas dan mencari makan tanpa rasa takut. Malah penulis pernah melihat burung ini makan buah pinang hiasan di tepi jalan menuju ke Jetty Point. Ia boleh dilihat dihampir keseluruhan pulau Langkawi dan pulau-pulau sekitarnya. Kehadiran burung ini mudah untuk dikesan kerana ia mengeluarkan bunyi yang sangat kuat dan terbang dalam kumpulan kecil.

Burung betina daripada spesis ini biasanya bertelur sehingga 6 biji. Ia bertelur di dalam sarang yang dibina dalam lubang pokok yang tinggi. Lubang ini akan ditutup dengan menggunakan tanah liat, selut, najis dan cebisan buah-buahan. Semasa mengeram, burung betina akan tinggal di dalam sarang yang mempunyai satu bukaan kecil (sekadar muat untuk mengeluarkan paruh). Melalui lubang kecil inilah burung jantan memberi makan kepada pasangan dan anak-anaknya. Apa yang menarik, burung ini adalah pasangan sehidup semati. Burung betina akan terus berada bersama anak-anaknya di dalam lubang sehingga anak-anaknya membesar dan mampu unuk terbang.