VIP Dedaun Alam

Showing posts with label tumbuhan akuatik. Show all posts
Showing posts with label tumbuhan akuatik. Show all posts

Monday, September 17, 2012

Keladi Senduk

Pokok Keladi Senduk


Pokok keladi senduk adalah tumbuhan akuatik yang berasal dari Asia Tenggara. Tumbuhan akuatik ini juga dikenali dengan nama keladi merawan, paku rawan, keloyok, lagung (Iban), centongan (Jawa), sesenduk, kelor (Sabah), selimpat, kemelin (Perak), kelayau, keladi itik, keladi layar, genjer (Indonesia), kelayar (Negeri Sembilan), samsir (Sarawak), kelayo dan yellow burrhead leaf. Biarpun namanya dikenali dengan keladi atau paku tetapi ia bukan daripada famili keladi atau paku pakis. Keladi senduk atau nama botaninya, Limnocharis flava merupakan tumbuhan akuatik daripada famili Limnocharitaceae. 

Pokok ini tumbuh di kawasan berair cetek seperti parit, taliair dan sawah padi. Ia juga mampu hidup di kawasan lembab berdekatan dengan air. Ia dianggap musuh bagi penanam padi kerana bila ia tumbuh dalam petak sawah, ia akan menguasai kawasan tersebut. 

Keladi senduk atau paku rawan ini boleh dimakan. Pucuknya dimakan sebagai ulam atau dijadikan masakan. Bunganya yang belum mekar juga dijadikan makanan. Ia sedap dimasak dengan beberapa jenis masakan tradisional. Di sesetengah tempat, bunga tumbuhan ini dijual di pasaran.

Pembaca blog ini yang ada pengalaman dengan pokok ini boleh kongsi di sini. Mungkin pernah makan atau pernah lihat tapi tak tahu ianya boleh dimakan. Atau mungkin juga tak kenal dan tahu tentang kewujudan tumbuhan akuatik ini.

Tuesday, July 17, 2012

Echinodorus Cordifolius


Echinodorus cordifolius adalah tumbuhan akuatik daripada famili Alismataceae yang menjadi pilihan untuk ditanam sebagai pokok hiasan akuatik. Pokok ini berasal dari Mexico, Bahagian Selatan dan Utara USA. Ia dikenali dengan nama Spade Leaf Sword, Creeping Burr Head, Elephant Ear dan Texas Mud Baby. 

Monday, July 9, 2012

Keladi Bunting

Pokok keladi bunting atau water hyacinth

Keladi bunting atau nama botaninya, Eichornia crassipes merupakan tumbuhan akuatik yang berasal daripada Amerika Selatan. Ia dibawa masuk ke Malaysia sejak lama dulu sebagai pokok hiasan dan kini ia membiak dengan banyak terutamanya di kawasan paya, tasik, lombong dan lain-lain kawasan berair tenang. Keladi bunting hidup secara terapung seperti kiambang dan akar rerambut berfungsi sebagai penyerap nutrien daripada air. Bahagian pangkal batang atau pelepah keladi yang 'bunting' bertindak sebagai pelampung.  Keladi mempunyai bunga yang cantik berwarna ungu atau merah jambu seakan orkid dan keluar mengikut musimnya.

Keladi bunting yang ditanam sebagai pokok hiasan akuatik ini juga boleh dijadikan makanan ternakan dan ikan. Fungsi terpenting keladi bunting ini adalah mengurangkan pencemaran air kerana ia menyerap karbon dioksida dan membebaskan oksigen semasa proses fotosintesis.

Thursday, July 5, 2012

Kiambang



Kiambang atau nama botaninya, Pistia Stratiotes L. merupakan tumbuhan akuatik dalam famili keladi iaitu araceae. Kiambang hidup secara terapung di permukaan air yang tidak mempunyai arus pergerakan mengalir atau tenang seperti tasik, lombong, kolam, paya, parit, taliair dan sawah padi. Ia mempunyai akar rerambut yang berjuntai ke dalam air yang berfungsi sebagai penyerap nutrien. Daun pokok kiambang berbentuk roset iatu seakan bunga mawar atau pokok kobis. Kiambang sebenarnya kaya dengan kalium yang terdiri daripada kalium klorida dan kalium sulfat.

Kiambang yang dijadikan penghias kolam atau tasik ini oleh peminat tumbuhan akuatik mempunyai khasiatnya tersendiri. Mungkin generasi sekarang tidak mengetahui daun kiambang boleh dimasak sebagai makanan. Pokok kiambang juga dijadikan makanan haiwan ternakan. Ia juga dijadikan baja organik kerana mempunyai kandungan kalium.yang tinggi.

Akar pokok kiambang direbus dan diminum untuk melawaskan pembuangan air besar. Daunnya ditumbuk lumat dan ditampal pada tempat berkenaan boleh merawat bengkak, buasir, radang kulit dan ulser. Daun kiambang yang segar digaul bersama nasi panas dan santan kemudian dimakan sebagai penawar disenteri. Air rebusan daun kiambang diminum untuk meredakan batuk berdarah dan merwat diabetes. Air rebusan yang digunakan sebagai mandian dikatakan mampu untuk mengurangkan masalah kembung perut. Daun kiambang dibakar dan gunakan abu untuk merawat penyakit kurap.

Seluruh bahagian pokok kiambang direbus dan diminum untuk mengubati disenteri dan sakit semasa buang air kecil. Ia juga boleh merangsang haid dan melawaskan pembuangan air kecil.

Kiambang menjadi inspirasi penulis lirik lagu Kembara (Dato' M.Nasir).

Kiambang
Kau kembang di pinggir kali
Ungu warnamu berseri
Walaupun baumu tak seharum mawar
Namun kau masih tetap menawan

Kiambang
Bayangmu di air tenang
Mencerminkan wajah keriangan
Walaupun hidupmu dalam kesepian
Hanya berteman cahaya rembulan

Nasibmu kiambang di pinggir kali
Sedang kau mekar menghiasi desa
Kemarau panjang pun tiba
Keringlah dikau dalam dahaga.