VIP Dedaun Alam

Showing posts with label buah tempatan. Show all posts
Showing posts with label buah tempatan. Show all posts

Saturday, September 14, 2013

Kebun Kecil Tepi Pagar - 'Betik Runtuh'

Biasa dengar istilah durian runtuh dan harga runtuh kan? Kali ini ada yang baru dari kebun kecil saya, betik runtuh. Durian runtuh memberi makna kita mendapat hasil yang lumayan/banyak dalam satu masa. Betik runtuh ni asalnya gugur dari pokoknya yang hampir tumbang. Pokok betik yang ditanam menggunakan biji benih betik MARDI berbuah dengan lebat. Semua orang yang melihat pokok dan buahnya pasti teruja dan kagum dengan buahnya. Pokok betik ini dah beberapa kali condong dan menyenget tapi tuan dia tongkat dengan dua batang kayu penyangga sebesar paha untuk mengelak daripada terus menyembah bumi. Semalam, selepas hujan lebat ianya tumbang ke arah yang tak disokong oleh kayu penyangga. Nasib baiklah ia tak terus menyembah bumi kerana tertampan/tersangkut pada pagar chainlink. Hentakan yang kuat menyebabkan buah-buahnya yang berat dan besar terlucut dan terputus dari tangkai. 1/3 buahnya gugur ke bumi. Tuan dia dapat betik runtuh..hehe..
Ini antara faktor yang menyebabkan pokoknya tumbang. Dalam satu tangka ada tiga biji buah yang besar. Tiga biji buah dalam setangkai ni dah hampir 10 kg.

Thursday, August 22, 2013

Duku Palembang, Rindu Terlerai

Duku palembang merupakan spesis duku yang jarang ditemui ditanam. Duku jenis ini menjadi kegemaran kami sekeluarga. Pokok ini adalah generasi kedua dan dibawa dari kampung asal bonda saya di Pasir Mas. Generasi ketiga pokok ini ditanam oleh saya sebanyak 8 pokok di tempat saya tinggal sekarang untuk meneruskan legasinya. Anak-anak pokok yang ditanam berasal daripada pokok di foto ini.

Disebabkan saya tinggal jauh dari kampung, rindu pula nak makan buah duku palembang ni. Dah bertahun tak merasa kerana masa balik kampung, buahnya tiada kerana bukan musim berbuah atau telah lepas masanya. Dapat tengok pokok dan daun je.. Balik beraya tahun ni, buah duku palembang baru nak masak. Pagi-pagi raya pertama, saya terus petik buah duku yang masak(bukannya betul-betul masak lagi). Tu pun kena pilih sebab dalam setangkai(rujuk foto), buahnya ada yang masak dan belum masak sepenuhnya. Tak kisahlah janji dapat makan. Untuk info, buah duku palembang bersaiz kecil(besar sikit daripada guli kaca), isinya pejal dan lebih manis daripada dokong.

Isinya memang sedap dan manis. Tak percaya tanya la tebuan ni..hehe.. Serangga penghisap madu ni pun teruja dengan kemanisan buah duku palembang yang masak.

Tuesday, May 21, 2013

Kebun Kecil Tepi Pagar - Betik Sekaki



Biji benih betik ini asalnya daripada betik klon MARDI. Sepokok betik jenis ini antara tanaman yang mula-mula ditanam dalam kebun kecil. Bila pokok telah membesar, ia mengambil ruang yang agak luas, banyak pokok yang berada di bawah naungannya terpaksa mengalah kerana kekurangan cahaya. Nak alih ke tempat lain pun tak boleh kerana pokok betik ini dah lebih tinggi dari orang yang menanamnya. Semasa entri ini ditulis, buah sulungnya belum lagi masak. Tak sabar nak tengok warna isinya dan bagaimana pula rasanya. Adakah betik klon MARDI sama dengan betik sekaki yang popular tu?

Thursday, May 9, 2013

Kebun Kecil Tepi Pagar - Markisa


Setelah lebih enam bulan ditanam, pokok markisa yang dibiarkan melilit dan melingkari pagar akhirnya berbunga dengan lebat. Dalam tempoh hampir dua bulan semua bunga yang mekar tidak menjadi buahnya. Dan selepas itu, kelihatan putik-putik buah bergantungan tapi kebanyakannya disengat oleh serangga perosak (lalat buah) yang menyebabkan buah rosak dan ada yang gugur.

Tuesday, February 12, 2013

Timun Betik

Buah timun betik yang seakan sama dengan timun batang/mentimun.

Timun betik atau dikenali juga dengan nama timun suri merupakan buahan dalam famili cucurbitae. Ianya satu famili dengan timun,. tembikai dan labu. Timun betik lebih menyerupai mentimun tapi saiznya berkali ganda besar iaitu sebesar buah betik kampung. Buah timun betik yang masak boleh dimakan segar, dijadikan jus, dimakan bersama santan+garam+gula dan ia juga boleh dimakan bersama kelapa parut(ditambah sedikit garam dan gula).

Timun betik semakin sukar untuk ditemui sekarang kerana jumlah tanamannya semakin mengecil kerana permintaan yag tinggi terhadap buahan saingan seperti tembikai, rock melon, marshmellon, honey dew dan lain-lain. 

Siapa yang kenal dan biasa makan buah timun betik ini? Kulitnya yang merekah menandakan ia telah masak dan boleh dituai.

Tuesday, January 8, 2013

Rambai

Rambai yang dikenali dengan nama rambai telur.

Rambai atau nama botaninya Baccaurea Motleyana dalam famili Euphorbiaceae. Buah rambai juga termasuk dalam kategori buahan nadir di Malaysia. Pokok rambai berasal dari Malaysia dan Indonesia. Pokok rambai biasanya berbatang lurus dan buahnya keluar pada bahagian batang, dahan dan ranting pokok.

Buah rambai mempunyai rasa masam dan manis dimakan mentah dan boleh dijadikan bahan masakan. Isi buah rambai melekat pada bijinya dan jika memakan buah rambai, ia ditelan bersama bijinya.

Nota : Dah lama saya tak makan buah rambai, balik kampung hujung tahun lepas jumpa orang orang jual buah rambai ni. Beli dan makan untuk lepaskan rindu..hehe.. Di kampung lama saya ada banyak pokok rambai tapi masa balik biasanya bukan musim ia brbuah.

Friday, January 4, 2013

Isi Buah Tal


Pernah lihat isi buah tal segar? Buah tal juga dikenali dengan nama kelapa laut. Kelapa laut pun tak pernah lihat pokoknya? Buah tal segar pada tandan rupanya bagaimana agaknya? Isi buah tal segar kali terakhir saya makan adalah semasa masih bersekolah. Ketika itu ia masih banyak dijual, sebungkus seprti dalam foto di atas hanya berharga RM1.00. Sekarang, harganya dah melonjak. Bukan saja harganya naik, isi buah tal sangat payah nak jumpa orang jual sekarang. Isi buah tal rasanya hampir sama dengan isi kelapa muda tapi teksturnya lebih kenyal. Selain dimakan segar, isinya boleh dijadikan jus. Hiris isi tal nipis-nipis dan masak bersama dan gula. Boleh dicampur madu dan ais untuk menambahkan lagi keenakan rasanya.

Info mengenai pokok kelapa laut, buah dan khasiat serta kegunaannya, boleh baca di sini.

Sunday, December 30, 2012

Kebun Kecil Tepi Pagar - Setelah 12 Hari (Ep. 3 : Surprise!)

Sebelum saya bercuti, buah petola ular ini hanya sepanjang kira 0.5 meter(1'6"). Bila balik dari bercuti 12 hari, terkejut bila lihat petola ni hampir mencecah tanah. Panjangnya lebih 1.6 meter. Saya belum ukur untuk dapatkan ukurang panjang yang tepat. saya akan buat entri khas untuk petola ular gergasi ini.

Dalam rumpai yang tinggi dan panjang, terselit buah tembikai kuning. Ianya sangat mengujakan saya kerana sebelum tinggalkan kebun kecil, hanya ada putik yang masih kecil dan bunganya belum mekar masa tu. Bukan sebiji tapi ada empat biji semuanya.

Tuesday, October 11, 2011

Nona Vs. Nona Serikaya@Sekaya

Entri ini khas untuk pembaca Dedaun Alam mengenali dan mengetahui perbezaan antara nona dan nona serikaya. Terdapat percanggahan pendapat kerana ada yang mengatakan kedua-dua buah ini adalah dari jenis yang sama. Memang benar buah ini daripada famili yang sama iaitu annonaceae tapi ianya spesis yang berbeza. Jadi, jika ada yang berpendapat nona dan nona serikaya adalah buah yang sama, fikirkan kembali dengan fakta dan foto yang dipaparkan di sini.

Nona atau annona reticulata L. perhatikan daunnya yang lebih runcing dan berwarna hijau gelap berbanding daun nona serikaya (foto di bawah)

Annona squamosa atau nona serikaya. Ia juga dikenali dengan nama nona srikaya dan buah sekaya.

Buah nona serikaya (kiri) dan buah nona (kanan). Perbezaan yang paling ketara antara dua spesis buah  ini.





Sunday, July 24, 2011

Settho @ Manggis

Ketika muda buah manggis berwarna hijau.

Buah manggis masak akan bertukar menjadi merah gelap dan hitam apabila terlalu masak. Isinya berwarna putih.

Manggis atau settho dalam sebutan di kalangan penduduk Kelantan merupakan tumbuhan asli dari Malaysia. Nama botaninya, garcinia mangostana daripada famili Guttiferae. Pokok manggis berbatang lurus dan tegak dengan ketinggian mampu mencapai sehingga 25 meter. Ia mempunyai banyak dahan atau cabang dan berdaun lebat. Silara pokok berbentuk kon atau silinder. Pokok manggis membiak melalui biji benih dan keratan batang.

Kandungan nutrisi bagi setiap 100gram buah manggis masak :
Air, 72.9g
Karbohidrat, 19.8g
Protein, 0.5g
Lemak, 0g
Fiber/Serat, 0.2g
Besi, 0.9mg
Fosforus, 17mg
Kalsium, 11mg
Vitamin A, 14IU
Vitamin C, 66mg

Xanthone yang terdapat  pada bahagian dalam kulit dan biji manggis mempunyai khasiat yang sangat baik untuk kesihatan kita. Jus manggis diminum dapat mengatasi pelbagai penyakit. Xanthone iaitu bahan aktif dalam buah manggis membantu mengatasi alergi, resdung, lelah, eczema, gatal-gatal, psoriasis, seborrhea, jangkitan kulat, luka-luka yang biasa pada mulut, melecur, selepas pembedahan, penyakit darah tinggi, kencing manis, lebihan kolesterol , keletihan, kekurangan darah, ulser, gastrik, saluran usus yang bengkak

Xanthone berfungsi sebagai antioksidan, antiproliferatif, antiinflamasi dan antimikrobial. Sifat antioksidan manggis melebihi vitamin E dan vitamin C. Kajian pakar membuktikan sifat antioksidan pada buah manggis jauh lebih efektif  jikadibandingkan dengan antioksidan pada rambutan dan durian. Xanthone hanya terdapat dalam buah manggis. Jika durian dikenali dengan gelaran raja buah, manggis pula mendapat gelaran ratu buah.

Kelebihan dan Khasiat Buah Manggis:

1. Menyembuh dan mencegah kanser
Hasil penelitian sementara, ekstrak yang terdapat pada buah manggis dapat mencegah tumbuhnya sel-sel pada pesakit leukimia, memperlahankan perkembangan sel pada kanser paru-paru, kanser hati, dan kanser usus.

2. Mencegah Penyakit Yang Membawa Maut
Buah ini berkhasiat mengatasi penyakit yang dianggap berbahaya seperti diabetes, kanser, arthritis, Alzheimer, penyakit jantung. .

3. Menurunkan Berat Badan
Xanthone cepat mengubah zat makanan menjadi tenaga.

4. Mengurang Dan Menghilang Rasa Sakit
Buah manggis juga berkhasiat mengurangi atau menghilangkan rasa sakit.

5. Mencegah Penyakit Jantung
Buah manggis dapat memulihkan kembali kekenyalan pembuluh darah melalui antimikorbial dan antioksidan yang terdapat di dalam buah tersebut.
6. Melawan Radika Bebas
Buah manggis mengandung catechins yang terbukti lebih efektif dan lebih berdaya guna dibandingkan vitamin C atau vitamin E dalam melawan radikal bebas yang ada di dalam tubuh kita. Memakan buah manggis setiap hari sebagai makanan supplement, akan mendapatkan zat antioksidan yang lebih banyak.

7. Mengurangi Tekanan Darah Tinggi
Hipertensi atau tekanan darah tinggi terjadi disebabkab terdapat gangguan pada pembuluh darah dan akan menyebabkan risiko mendapat penyakit jantung dan strok. Buah manggis mampu mengatasi masalah tersebut terutama untuk mengawal dan menormalkan berat badan.

8. Memelihara Sistem Penghadaman
Xanthone berkhasiat mengatasi kelebihan bakteria dan menyeimbangkan kembali kerja perut.

9. Menjaga Saluran Kencing
Zat xanthone yang ada pada buah manggis termasuk zat yang mengaktifkan antibakteria.

10. Mengatasi Gangguan Pernafasan
Xanthone yang terdapat pada buah manggis dapat mengatasi gangguan pernafasan.

11. Memulihkan Penyakit Asma
Buah manggis menjadi ubat alternatif  untuk menyembuhkan asma kerana ia memiliki kemampuan melawan jangkitan dan mengandung zat-zat yang mengurangi alergik.

12. Mencegah dan Mengubati Diabetes
Nutrisi yang terdapat dalam buah manggis membantu menormalkan tekanan darah, memulihkan tenaga dan mengurangi paras gula yang berlebihan dalam darah.

13. Memelihara Kemampuan Mental
Kita digalakkan memakan buah manggis yang banyak mengandung zat antioksidan kerana ia juga boleh mencegah mental degeneration.

14. Kelebihan Lain Buah Manggis
Memulihkan tenaga, menurunkan paras kolesterol LDL, mengatasi masalah penyakit batu karang dan mencegah masalah penglihatan.

Friday, July 1, 2011

Durian Si Raja Berduri

Durian atau nama botaninya, durio sp. Buah durian yang menunggu masa untuk gugur, menandakan ia telah masak.

Durian yang dikategori oleh orang ramai sebagai 'durian kampung'. Ia biasanya berduri agak panjang, tajam dan rapat. 

Isi 'durian kampung' yang kuning keemasan. Isi durian ini juga agak tebal dan manis. Isinya lebih sedap dimakan segar, makan bersama pulut, dibuat pengat, dicampur bersama bubur kacang, dijadikan cekodok durian... Isi yang dah kurang elok, boleh dibuat tempoyak. Untuk simpan lebih lama, ia boleh dimasak sebagai lempuk.

Sunday, June 19, 2011

Horse Mango

Buah bacang atau macang yang telah masak. Buah bacang yang dikenali dengan nama horse mango dalam bahasa Inggeris akan gugur dari tangkai menandakan ia telah masak. Ia juga berbau harum apabila masak.

Isi buah bacang yang masak. Ia lembut, harum, manis dan mempunyai serat. Rasa buah bacang berbeza mengikut spesis. Ada yang manis dan ada yang sedikit masam. Buah bacang yang gugur perlu disimpan sekurang-kurangnya dua hari sebelum dikupas. Proses ini adalah untuk memastikan buah bacang benar-benar masak dan ia juga akan mengurangkan kandungan getah pada baaigan kulit buah. Getah buah bacang boleh menyebabkan kegatalan kepada kulit sensitif.

Thursday, May 19, 2011

Sentul

Pokok sentul jenis klon baru yang sedang berputik.

Pokok sentul yang sedang berbuah dengan lebat ini adalah daripada jenis sentul klon. Biasanya sentul akan masak dan boleh dipetik pada awal bulan Jun. Sentul juga tergolong dalam kumpulan buahan nadir di Malaysia.  Kisah dan rupa buah sentul klon yang masak boleh lihat di sini.

Tuesday, May 17, 2011

Ketereh

Buah ketereh atau gajus kuning dirakam pada 14 Mei, 2011 di Pulau Tuba, Langkawi.

Buah ketereh atau nama tempatannya, gajus merupakan buahan yang tergolong dalam kumpulan buah nadir Malaysia. Terdapat dua jenis gajus yang biasa ditemui ditanam atau hidup di Malaysia iaitu, gajus kuning dan merah. Ia juga dikenali dengan nama janggus oleh penduduk di bahagian utara Semenanjung Malaysia (janggus disebut jangguih), jambu golok (Pahang) dan jambu monyet (Indonesia). Info mengenai ketereh atau gajus ini anda boleh baca di sini.

Persoalan atau pertanyaan kepada pembaca,
1. Pernah lihat dan kenal buah gajus ni? (Untuk generasi muda)
2. Jika kenal, sudah berapa lama tidak lihat buah ini?
3. Bila kali terakhir anda makan buah gajus ni?
4. Ada kisah mengenai buah ini untuk dikongsikan di sini?

Thursday, April 21, 2011

Pisang Berangan

Setandan pisang berangan yang matang. Boleh dituai dalam tempoh sebulan atau lebih.

Pisang berangan merupakan varieti pisang tempatan yang paling terkenal dan mempunyai pasaran yang meluas di seluruh dunia. Pisang jenis ini menjadi pilihan utama untuk ditanam secara ladang kerana permintaan yang tinggi dalam pasaran tempatan.

Tuesday, April 19, 2011

Pisang Kapal

Buah pisang kapal yang masih muda.

Pisang kapal adalah antara pisang tempatan yang semakin sukar temui ditanam sekarang. Buah pisang kapal tidak mempunyai nilai komersil yang menyebabkan ia tidak menjadi pilihan peladang untuk menanamnya secara ladang. Pisang kapal juga dikenali sebagai dwarf banana (pisang kerdil) kerana ketinggiannya yang sederhana iaitu sekitar 1 hingga 1.5 meter sahaja.

Sunday, April 17, 2011

Pisang Nangka

Pisang nangka yang belum masak. Baru diambil semalam kerana pokoknya patah akibat beban buah yang berat walaupun telah ditongkat dengan kayu sebesar paha! Ada 6 sikat semuanya dan sebiji buahnya agak besar(bandingkan kesan tapak kaki dinosaur..err..ayam di atas simen pada bahagian atas buah pisang).

Pisang nangka adalah antara varieti pisang yang terdapat dan ditanam di Malaysia. Ia mendapat nama kerana apabila masak, isi buahnya berbau wangi seakan-akan nangka. Pisang nangka biasanya tidak dimakan segar kerana isinya agak pejal dan rasanya yang sedikit masam. Ia merupakan pisang yang terbaik untuk digoreng, dibuat pengat, disira, dimasukkan ke dalam pulut dakap dan beberapa jenis kuih tradisional tempatan. Benih pisang nangka ini dibawa dari kampung dan ditanam di tempat tinggal sekarang ini. Tanahnya sangat sesuai untuk tanaman pisang.

Sunday, March 13, 2011

Pisang Raja

Pisang raja yang telah masak

Pisang raja merupakan salah satu spesis pisang yang ada di Malaysia. Pisang raja boleh dimakan segar dan ia lebih sedap jika digoreng. Pisang raja tidak banyak dalam pasaran tempatan. Nama botani pisang raja ialah musa paradisiaca. Musa paradisiaca merupakan spesis pisang yang dimakan selepas dimasak atau diproses.  Selain pisang raja, antara kultivar dalam jenis ini ialah pisang awak, pisang nangka, pisang tanduk dan pisang nipah.

Pisang raja boleh dimakan segar dan ia lebih sedap jika digoreng. Ia juga boleh dijadikan kerepek, direbus, dibuat pengat dan dijadikan bahan untuk membuat pelbagai jenis kuih atau kek.

Tuesday, February 8, 2011

Jambu Air

Buah jambu air yang masak

Nama Botani : Syzygium aguem sp.
Famili : Myrtaceae

Pokok jambu air merupakan tumbuhan yang berasal dari Asia Tenggara. Terdapat beberapa spesis jambu air yang boleh dibezakan melalui bentuk serta saiz, warna dan rasa buahnya. Hampir semua spesis jambu air mempunyai daun yang lebar dan berwarna hijau. Pokok jambu air biasanya mempunyai banyak cabang atau dahan dan berkayu keras. Pokok jambu berbuah mengikut musim tetapi ada juga spesis yang mengeluarkan buah sepanjang tahun.

Buah jambu air kaya dengan vitamin C, kandungan air dan serat yang tinggi. Sifat buahnya yang sejuk dikatakan dapat meredakan ketegangan apabila memakan buahnya. Kandungan serat yang tinggi dalam buah jambu  juga membantu sisem percernaan dan ia apat mencegah serangan kanser usus. Dengan memakan buah jambu air juga boleh mencantikkan kulit dan membuat kulit kita lebih berseri. Buah jambu air boleh membantu untuk melawaskan pembuangan air kecil dan air besar.

Thursday, September 16, 2010

Belinjau

Buah belinjau

Nama Botani : Gnetum gnemon
Famili : Gnetaceae

Pengenalan

Pokok belinjau yang juga dikenali dengan nama malinja merupakan tumbuhan yang berasal dari Asia Tenggara. Di Malaysia, ia banyak tumbuh secara meliar terutama di negeri Terengganu. Di Terengganu, belinjau dikenali dengan nama buah cokok. Pokok belinjau yang ditanam terdiri daripada pelbagai varieti. Varieti ini mudah dibezakan melalui saiz buahnya. Pokok belinjau berketinggian sederhana iaitu mencapai 15m - 20m. Daun pokok belinjau berbentuk bujur dan bahagian hujung daun yang runcing. Bunganya keluar pada bahagian ranting atau dahan secara jambak dan berbentuk kon. Buah belinjau berbentuk bujur dan mempunyai tiga lapisan kulit. Bahagian kulit luar buah berwarna hijau ketika muda dan menjadi merah setelah masak. Lapisan kedua kulit agak keras dan berwarna kuning pada peringkat muda dan bertukar kepada coklat gelap setelah masak. Dan lapisan ketiga kulit buah melinjau berwarna putih dan nipis. Dalam bahagian ini terdapat biji belinjau yang boleh dimakan. Pokok belinjau membiak melalui biji benih tetapi percambahan biji benihnya agak sukar.

Kegunaan

Pucuk atau daun muda, bunga dan kulit biji buah belinjau boleh dimakan. Biji belinjau juga boleh dimakan setelah direbus atau digoreng. Bijinya juga boleh dijadikan kerepek, keropok atau emping. Kayu pokok belinjau boleh dijadikan bahan binaan dan perabot.

Setiap 100g pucuk dan buah muda belinjau mengandungi air 75.1mg, protein 6.6g, lemak 1.2 g, karbohidrat 9.1g, fiber 6.8 g, kalsium 151mg, fosforus 224mg, ferum 2.5mg, vitamin A 10889 I.U., niasin 1.2 mg dan vitamin C 121 mg.