VIP Dedaun Alam

Showing posts with label bonglai. Show all posts
Showing posts with label bonglai. Show all posts

Tuesday, November 2, 2010

Buah Beko

Buah beko atau bonglai. Bunga pokok ini mekar pada waktu malam dan akan gugur keesokan pagi.


Buah beko atau juga dikenali dengan nama bonglai ini mungkin kurang dikenali. Dan pastinya ada di kalangan kita yang belum pernah melihat atau mengetahui tentang pokok dan buah ini.  Buah beko dalam foto adalah dari pokok dalam entri ini. Buah beko berbentuk leper dan panjangnya kira-kira 50 cm. Ia biasanya dijadikan kerabu dan ulam. Buah beko yang belum matang dipilih untuk dijadikan kerabu atau ulaman kerana apabila matang ia akan menjadi keras.  
Buah beko perlu dibakar di atas bara sebelum boleh dijadikan kerabu atau ulaman. Proses membakar ini untuk memudahkan kerja membuang kulit dan mengurangkan rasa pahitnya.

Sunday, October 25, 2009

Bonglai

Pokok bonglai

Nama botani : Oroxylum indicum
Famili : Bignoniaceae

Pengenalan

Pokok bonglai juga dikenali sebagai pokok bolai, bongloi, boli, bikir, kulai, merlai, beka, beko dan lain-lain lagi. Pucuk bonglai yang masih muda dan buahnya yang muda boleh dimakan sebagai ulam dan dijadikan kerabu. Pucuk bonglai biasanya dicelur dahulu sebelum dimakan untuk mengurangkan rasa pahit. Buah bonglai yang muda yang juga agak pahit rasanya tetapi sedap dimakan. Buah ini perlu dibakar sehingga kulit luarnya melecur. Ia boleh dimakan begitu sahaja sebagai ulam atau dijadikan kerabu. Bunga bonglai dimakan oleh kebanyakan orang Jawa.

Kegunaan

Daun bonglai yang direbus boleh diminum sebagai ubat sakit perut, peransang selera, sengal-sengal tulang dan demam panas atau luka. Manakala air rebusan bonglai juga boleh digunakan sebagai ubat untuk demam panas, penyakit taun, lepas bersalin dan sakit sendi. Daun yang ditumbuk lumat ditampal pada kulit untuk meredakan sakit kepala dan sakit gigi.

Kulit bonglai juga digunakan dalam ubatan tradisional bersama tumbuhan herba lain sebagai ubat sakit pinggang, membuang angin, buasir, lemah jantung, menguruskan badan, tonik, sakit lutut, kesuburan rambut, pening kepala dan jerawat. Ramuan yang bercampur dengan akar bonglai boleh digunakan sebagai ubat untuk batu karang, sembelit angin, kayap dan panas badan.

Orang India menggunakan akar bonglai sebagai ubat sakit perut, cirit birit dan disenteri. Orang Cina menggunakan biji bonglai sebagai ubat sakit perut dan hati, sakit kerongkong, bronkitis, batuk kokol dan untuk kudis. Kulit pokok bonglai boleh digunakan sebagai ubat hepatitis.