VIP Dedaun Alam

Showing posts with label bunga. Show all posts
Showing posts with label bunga. Show all posts

Tuesday, April 9, 2013

Napok Same Tapi Bukang Diye















Meminjam tagline Zizan dalam Maharaja Lawak, Napok same tapi bukang diye (nampak sama tapi bukan dia), kedua bunga ini kelihatan sama tapi sebenarnya ia daripada dua pokok yang berlainan. Siapa yang kenal dan biasa lihat bunga yang hampir sama dengan bunga markisa(kanan foto)?

Tuesday, March 12, 2013

Cempaka Keling


Cempaka keling adalah tumbuhan hiasan renek dalam famili Magnoliaceae. Nama botaninya, Michelia  Figo/Magnolia Figo dan Magnolia Fuscata(kelopak bunga berwarna putih seperti dalam foto). Pokok cempaka keling telah lama ditanam sebagai hiasan laman kerana bunganya berbau sangat harum. Bunga ini antara bunga yang saya paling suka baunya. Bau bunganya seakan pisang masak dan seolah-olah ianya manis. Pokok bunga cempaka keling dikenali dengan nama banana shrub kerana baunya. Ia jenis pokok yang lambat membesar dan ketinggian sekitar 4-5 meter jika ditanam di atas tanah. Sekiranya pokok ini ditanam sebagai pokok pasuan, ketinggiannya hanya sehingga 2 meter sahaja.

Monday, January 28, 2013

Kebun Kecil Tepi Pagar - Bunga Markisa & Sawi Fair Lady

Bunga markisa sulung daripada pokok yang saya tanam 4 bulan lalu. Dah lama saya tak lihat bunga markisa yang cantik ni.

Bunga sawi fair lady. Pokok sawi ini dibiarkan berbunga kerana tuan kebun nak ambil biji benihnya.

Tuesday, January 22, 2013

Bunga Part XXXIII

Bunga cannon ball tree. Pokok cannon ball atau peluru meriam merupakan pokok 'trademark' Botanical Garden, Penang.

Bunga kuning keemasan ini adalah bunga Maiden's Jealousy. Pokok jenis memanjat berkayu keras ini sebenarnya tmubh meliar di kawasan paya bakau dan ia banyak ditanam sebagai pokok hiasan.

Bunga marigold. Biarpun keseluruhan bahagian pokok berbau busuk, bunga tetap cantik dan harum.

Mawar merah kecil yang ditanam oleh bonda saya.

Sunday, January 6, 2013

Orkid - Satu Ketika & Kini

Sebagai peminat bungaan dan landskap, pokok orkid merupakan salah satu daripada pokok hiasan yang menjadi pilihan saya. Kira-kira lapan tahun lalu, saya membeli pokok-pokok orkid dan membina sebuah rumah orkid untuk menempatkan koleksi yang ada. Biasanya saya membeli pokok orkid dengan melihat warna dan bentuknya. Pokok yang dah berbunga dan mekar selalunya dibawa pulang. Itu cerita lama. Setelah berpindah ke tempat baru, pokok-pokok orkid ditinggalkan. Beberapa tahun lepas rumah orkid runtuh kerana faktor usia. Kini, mereka mendapat rumah baru dan dibawah jagaan baik bonda saya. Bunga-bunga orkid dalam entri ini adalah antara yang mekar semasa saya balik kampung hujung tahun lepas.

Bunga orkid yang disirami titisan hujan musim tengkujuh.

Warna bunga orkid ini memikat hati. Ketika membeli pokok ini dulu, bunga-bunganya sedang mekar.

Bunga orkid mekar dengan indah bila dijaga dengan baik oleh bonda saya.

Orkid ini hanya tinggal sekuntum. Bila disentuh, bunga gugur. Terpaksa panggil model kecil pegang bunga untuk diambil fotonya.

Tak pasti kenapa kelopak orkid jadi kegemaran serangga perosak sedangkan yang lainnya tak diusik.

Antara bunga orkid yang mekar ketika sesi fotografi dibuat. Yang lain, belum keluar tangkai bunga baru dan ada yang belum mekar bunganya.

Monday, December 10, 2012

Bunga Part XXXII

Dedaun Alam kali ini menampilkan Bunga Part XXXII, siri bungaan ke 32. Bunga-bunga dalam siri kali adalah bunga yang biasa kita lihat iaitu bunga pokok hiasan, herba, buahan dan sayuran.

 Bunga setawar halia yang putih bersih. Rizom pokok ini digunakan sebagai ubatan herba.

Bunga cili hutan. Bentuk semua bunga cili hampir sama dan hanya ada sedikit perbezaan.

Bunga betina betik. Pokok betik yang mengeluarkan bunga betina memerlukan debunga dari pokok betik jantan atau betik hemafrodit untuk hasilkan buah.

Bunga yang saya lupa namanya. Banyak ditanam sebagai hiasan landskap kerana bunganya yang cantik.

Tuesday, October 9, 2012

Bunga Lempoyang

Lempoyang yang berbunga mengikut musimnya. Bentuk bunganya seakan mikrofon dan sering dipetik untuk dijadikan bunga kering hiasan. Rizom pokok lempoyang mempunyai pelbagai khasiat untuk perubatan. Kajian saintifik mendapati ia mampu merawat kanser.
Khasiat pokok lempoyang boleh baca di sini.

Wednesday, September 26, 2012

Kebun Kecil Tepi Pagar - Bunga Petola Ular & Bendi Singa

Bunga petola yang sudah lama tidak saya lihat. Kali terakhir lihat bunga petola ular ialah semasa sekolah rendah. Waktu itu, petola ular ditanam oleh bonda saya di kawasan tepi rumah. Saya sendiri dah lupa bentuk bunga petola  ular ni. Bunga ini mekar pagi tadi dan ia adalah bunga yang pertama daripada pokok yang saya tanam..

Bunga bendi singa. Bendi merupakan tumbuhan yang sama famili dengan bunga raya iaitu malvaceae. Selain bunga raya, ia juga berkongsi famili dengan roselle, kapas hantu, asam paya dan jerun. 

Tuesday, August 28, 2012

Bunga Part XXXI

Agak lama Dedaun Alam tidak bersiaran. Tiada stok foto dalam simpanan kerana sepanjang bulan Ramadhan kamera langsung tak disentuh. Foto untuk entri ini adalah stok lama. Bunga dalam siri ke 31 ini biasa kita lihat. Ada yang kita kenal dan ada yang tidak.mengenali namanya.

Bunga tridax procumbens atau coat button. Pokok yang tumbuh meliar ini juga ada khasiat dalam perubatan herba. Info mengenainya  akan disiar selepas ini.

Bunga ubi larut.

Bunga orkid yang saya lupa namanya. Ia hidup di atas tanah dan berbunga mengikut musimnya.

Bunga durian belanda.

Monday, August 13, 2012

Ditelan Pahit Dibuang Sayang

Biarpun bunga betik jantan pahit rasanya tapi madu bunganya tetap manis. Tebuan hitam ini menghisap madu kuntuman bunga betik jantan dan ia bertindak sebagai ejen pendebungaan.

Bunga betik jantan yang rasanya pahit tapi sayang jika dibiar atau gugur begitu saja. Ditelan pahit, nak dibuang terasa sayang, jadi kutip bunga betik jantan untuk dicelur dan dimakan sebagai ulam. Memang masih terasa pahitnya tapi boleh ditelan tanpa masalah. Atau dijadikan kerabu. Celur dulu, toskan dan gaulkan bersama bahan-bahan biasa untuk buat kerabu(kerisik, garam, dan lain-lain tu). Kerabu bunga betik memang unik rasanya, pahitnya berkurangan.

Friday, June 22, 2012

Bunga Part XXX

Bungaan dalam Bunga Part XXX ini merupakan bunga daripada pokok yang tumbuh meliar dan rumpai. Ada yang ditanam sebagai pokok hiasan seperti jarak pagar. Bungaan lain adalah bunga-bunga kecil yang kita terlepas pandang untuk melihat keindahan dan kecantikannya. Dedaun Alam membawa bunga-bunga kecil ini ke dalam dunia yang lebih besar untuk tatapan semua.

Bunga dan buah yang cantik ini ialah bunga jarak pagar. Biarpun pokok jarak pagar berketinggian sehingga 2 meter tetapi bunganya bersaiz agak kecil dan keluar dalam jumlah yang banyak
.
Bunga maman hantu yang cantik. Tidak nampak hantunya.

Bunga ini bersaiz kecil, saya telah terpijak pokoknya semasa mengambil gambar bunga maman hantu di atas dan terpandang bunga di celah dedaunnya. Ini bunga rumput yang biasa tumbuh di kawasan terbuka seperti padang, sawah dan kawasan terbiar.

Siapa tahu dan kenal nama pokok ini? Saya kurang pasti nama asal pokok yang tumbuh meliar dan berkhasiat sebagai ubatan herba. Rempah padang? Bunganya sangat kecil tapi cantik.

Friday, June 1, 2012

Bunga Part XXIX

Sudah lama Dedaun Alam tidak bersiaran dengan bungaan. Bunga-bunga dalam siri ke 29 ini terdiri bungaan berwarna putih. Pasti ada peminat bunga berwarna putih kerana kebanyakan bungaan yang berwarna putih ini mempunyai bau yang harum.

Bunga melur hutan atau capa rengat. Putih suci warnanya dan berbau harum.

Bunga orkid liar yang tumbuh meliar. Bunga bersaiz kecil, hampir tidak dapat dilihat dari jauh. Pokoknya tumbuh di atas tanah dengan ketinggian sekitar 30cm sahaja.

Bunga siantan (ixora) putih atau di Kelantan ia dikenali dengan nama bunga tudung periuk putih. Ia juga berbau harum dan akarnya digunakan sebagai ubatan tradisional.

Bunga jeliti yang sangat harum baunya walaupun bersaiz kecil, ia mekar dalam jumlah yang banyak ketika berbunga.


Saturday, May 19, 2012

Melur Hutan

Melur hutan yang jarang ditemui. Ia hidup dengan memanjat pokok besar yang berdekatan.

Bunga melur hutan bewarna putih bersih. Baunya harum.

Dedaun Alam kali ini memperkenalkan tumbuhan yang kurang dikenali dan pastinya hanya segelintir di antara kita mengenali tumbuhan ini. Hampir tiada rencana atau info yang ditulis mengenai tumbuhan ini di Malaysia kecuali sebuah karya yang bertajuk Capa Rengat. 

Melur hutan adalah tumbuhan berkayu jenis memanjat seperti melur biasa dan melur susun. Nama botaninya, Jasminum bifarium daripada famili Oleaceae. Pokok melur hutan hidup dengan memanjat pokok besar yang lain. Daunnya berbentuk bujur, kira-kira 10 cm panjang, 5 cm lebar. Bunganya mempunyai sembilan kelopak yang berwarna putih dan berbau wangi. Melur hutan juga dikenali dengan nama star jasmine (melur bintang) dan capa rengat. Buahnya dalam bentuk beri bersaiz kurang daripada 1 cm panjang dan apabila matang ia menjadi hitam kebiruan. Melur hutan ini tumbuh meliar di dalam hutan sehingga ketinggian 1,500 meter dari aras laut. Ia biasanya ditemui di dalam semak sepanjang pantai dan kawasan pasang surut. Melur hutan adalah tumbuhan asli di Asia Tenggara. 

Di Filipina, akar melur hutan direbus digunakan untuk merawat gusi berdarah dans sebagai ubat kumur untuk radang gusi. Air rebusan akar melur hutan juga digunakan untuk ibu lepas bersalin. Akarnya yang direbus dan diminum boleh merawat kepanasan badan. Daunnya yang dilumat dan ditampal pada bahagian kepala berkesan untuk mengurangkan sakit kepala dan pening.

Thursday, May 3, 2012

Hawaiian Baby Woodrose




Hawaiian Baby Woodrose (Argyreia nervosa) adalah tumbuhan memanjat yang juga dikenali sebagai Elephant Creeper dan Wolly Morning Glory. Ia berada dalam famili convolvulceae iaitu famili yang sama dengan  Rivea corymbosa(Ololiuhqui) dan Ipomoea violacea (Morning Glory). Pokok memanjat ini mengambil masa 18 bulan selepas ditanam untuk berbunga dan ia akan merimbun dalam tempoh 2 tahun. Ia boleh emebesar sehingga 10 meter panjang. Pokok yang mempunyai daun berbentuk hati(love) ini tidak boleh didedahkan kepada cahaya matahari secara terus kerana boleh mengakibatkan daun menjadi lecur dan kering. Hawaiian Baby Woodrose memerlukan  tiang, para-para dan pergola sebagai sokongan untuk memeanjar dan menjalar. 

Di setengah tempat, biji buah pokok ini dimakan dengan pelbagai kaedah penyediaan masakan. Woodrose Bayi Hawaii mengandungi LSA (d-lysergic acid amide) yang memberi kesan sampingan seperti loya,  muntah,  kejang perut, kecelaruan, pening, paranoia, takut dan panik jika terlebih makan.

Sunday, April 22, 2012

Kelulut & Bunga Jambu Air

Seekor kelulut menghisap madu daripada kuntuman bunga jambu air.

Sedang memilih bunga yang masih dipenuhi dengan madu.

Wednesday, March 28, 2012

Dendrobium Crumenatum

Dendrobium crumenatum adalah nama botani untuk orkid merpati atau pigeon orkid. Tapi kenapa ia diberi nama orkid merpati? Kuntuman bunga orkid merpati yang mekar boleh dilihat di sini dan info mengenainya boleh dibaca di sini.

Inilah penyebabnya. Kuntum bunga orkid merpati yang belum mekar dipusing kedudukannya dari posisi asal seperti foto pertama akan kelihatan seakan seekor burung merpati putih.

Friday, March 23, 2012

Bunga Telipok

Bunga telipok atau telipuk.

Telipok lebih dikenali dengan nama water lily. Info mengenainya boleh dibaca di sini.


Thursday, February 2, 2012

Tabebuia @ Tecoma

Pokok tabebuia ditanam sebagai pokok hiasan peneduh tepi jalanraya.

Nama Botani : Tabebuia sp.
Famili : Bignonicecae

Pokok tabebuia yang juga dikenali dengan nama pokok tecoma dan terumpet merupakan tumbuhan asli dari Mexico sehingga ke bahagian utara benua Amerika Selatan. Terdapat lebih 50 spesis tabeuia yang dibezakan melalui warna dan bentuk bunganya. Pokok daripada spesis tabeuia ini mengeluarkan bunga berwarna putih, kuning, perak, merah dan merah jambu. Ia ditanam di kebanyakan negara tropika sebagai pokok hiasan dan balak. Tabebuia membiak melalui biji benih dan boleh dibiakkan melalui keratan batang atau ranting.

Sunday, January 29, 2012

Pigeon Orchid Blossom

Bunga orkid merpati yang mekar

Foto bunga orkid merpati ini diambil pada bulan Mac 2008 menggunakan kamera berpixel 3.0. Pokok orkid merpati ini saya tanam didahan pokok mangga/pauh/mempelam/pelam. Bunganya akan mekar serentak dalam satu masa. Mekar pada waktu pagi dan akan layu pada waktu petang. Bila ia mekar, keharuman bunga akan dapat dihidu dari jarak yang agak jauh.

Sunday, January 1, 2012

Bougainvillea @ Bunga Kertas

Pokok bunga kertas.

Pokok bunga kertas atau bougainvillea berasal dari Brazil. Ia ditanam diseluruh dunia sebagai pokok hiasan kerana bunganya yang cantik dan mempunyai pelbagai warna. Pokok yang berasal daripada famili Nyctaginaceae dibiakkan melalui keratan batang, cantuman dan tut. Pokok bunga kertas sebenarnya jenis pokok berkayu yang memanjat dan menjalar. Antara kelebihan pokok ini ialah ia boleh dicantum dengan spesis bunga kertas yang lain pada satu pokok. Ia akan mengeluarkan bunga yang berbagai warna. Pokok bunga kertas juga boleh dijadikan bongsai dengan memangkas secara berjadual.

Sebenarnya pokok bunga kertas bukan sekadar pokok hiasan, ia juga mempunyai khasiat tersendiri dalam perubatan herba tradisional.  Daun pokok bunga kertas yang segar dilumatkan boleh digunakan untuk merawat luka kecil. Daun yang dilumatkan ditampal pada tempat luka. Akar pokok bunga kertas direbus dan diminum untuk meredakan demam panas dan sebagai julap (atasi sembelit). Air rebusan bunganya pula diminum sebagai penawar batuk.