VIP Dedaun Alam

Showing posts with label harum. Show all posts
Showing posts with label harum. Show all posts

Tuesday, March 12, 2013

Cempaka Keling


Cempaka keling adalah tumbuhan hiasan renek dalam famili Magnoliaceae. Nama botaninya, Michelia  Figo/Magnolia Figo dan Magnolia Fuscata(kelopak bunga berwarna putih seperti dalam foto). Pokok cempaka keling telah lama ditanam sebagai hiasan laman kerana bunganya berbau sangat harum. Bunga ini antara bunga yang saya paling suka baunya. Bau bunganya seakan pisang masak dan seolah-olah ianya manis. Pokok bunga cempaka keling dikenali dengan nama banana shrub kerana baunya. Ia jenis pokok yang lambat membesar dan ketinggian sekitar 4-5 meter jika ditanam di atas tanah. Sekiranya pokok ini ditanam sebagai pokok pasuan, ketinggiannya hanya sehingga 2 meter sahaja.

Wednesday, July 25, 2012

Abelmoschus Moschatus @ Kapas Hantu

Bunga kapas hantu berwarna kuning lembut dan hampir sama dengan bunga bendi.

Buah kapas hantu yang boleh dimakan sebagai sayuran

Nama Botani : Abelmoschus Moschatus
Famili : Malvaceae

Pokok kapas hantu merupakan tumbuhan herba berbatang lembut yang berasal dari India. Pokok ini dalam famili yang sama dengan bunga raya dan kacang bendi iaitu malvaceae. Hampir keseluruhan pokok kapas hantu mempunyai bulu-bulu halus dengan ketinggian sekitar 2 hingga 3 meter. Ia mempunyai umbisi di dalam tanah dan apabila pokok mati ia akan tumbuh semula setelah menerima hujan. Pokok kapas hantu membiak melalui biji benih dan ubi.

Ubi, buah dan pucuk kapas hantu boleh dimakan. Biji kapas hantu mengandungi minyak 'fatty musky' dan mempunyai bauan amber. Ia berguna dalam pembuatan minyak wangi. Biji benih kapas hantu mempunyai aroma harum yang dikenali sebagai grani moschi. Bijinya juga dimasukkan ke dalam kopi Arab sebagai penambah rasa. Biji kapas hantu juga boleh digunakan untuk merawat sakit tekak(kerongkong). Daun dan akar digunakan untuk merwat penyakit gonorrhea. Ia juga baik untuk penghadaman dan penyegar nafas. Selain itu, ia dikatakan mampu mengatasi kekejangan, masalah peredaran darah, sakit sendi, dan berfungsi sebagai aromaterapi. Ia juga dianggap racun serangga dan afrodisiak. Lendir daripada akar pokok ini digunakan dalam industri pembuatan kertas dan bunganya dicampur bersama tembakau untuk memberi aroma dan perisa bunga.

Bahagian-bahagian yang berbeza dalam tumbuhan yang mempunyai kegunaan dalam perubatan tradisional tetapi tidak semua yang telah terbukti secara saintifik.

Saturday, May 19, 2012

Melur Hutan

Melur hutan yang jarang ditemui. Ia hidup dengan memanjat pokok besar yang berdekatan.

Bunga melur hutan bewarna putih bersih. Baunya harum.

Dedaun Alam kali ini memperkenalkan tumbuhan yang kurang dikenali dan pastinya hanya segelintir di antara kita mengenali tumbuhan ini. Hampir tiada rencana atau info yang ditulis mengenai tumbuhan ini di Malaysia kecuali sebuah karya yang bertajuk Capa Rengat. 

Melur hutan adalah tumbuhan berkayu jenis memanjat seperti melur biasa dan melur susun. Nama botaninya, Jasminum bifarium daripada famili Oleaceae. Pokok melur hutan hidup dengan memanjat pokok besar yang lain. Daunnya berbentuk bujur, kira-kira 10 cm panjang, 5 cm lebar. Bunganya mempunyai sembilan kelopak yang berwarna putih dan berbau wangi. Melur hutan juga dikenali dengan nama star jasmine (melur bintang) dan capa rengat. Buahnya dalam bentuk beri bersaiz kurang daripada 1 cm panjang dan apabila matang ia menjadi hitam kebiruan. Melur hutan ini tumbuh meliar di dalam hutan sehingga ketinggian 1,500 meter dari aras laut. Ia biasanya ditemui di dalam semak sepanjang pantai dan kawasan pasang surut. Melur hutan adalah tumbuhan asli di Asia Tenggara. 

Di Filipina, akar melur hutan direbus digunakan untuk merawat gusi berdarah dans sebagai ubat kumur untuk radang gusi. Air rebusan akar melur hutan juga digunakan untuk ibu lepas bersalin. Akarnya yang direbus dan diminum boleh merawat kepanasan badan. Daunnya yang dilumat dan ditampal pada bahagian kepala berkesan untuk mengurangkan sakit kepala dan pening.

Saturday, November 26, 2011

Melur Susun @ Duke Of Tuscany


Bunga melur susun daripada spesis jasminum sambac varieti duke of tuscany. Bau bunga melur susun tidak sekuat bunga melur biasa. Baca info bunga melur di sini.

Tuesday, June 7, 2011

Bunga Kembang Pukul Empat

Pokok bunga kembang pukul empat.

Pokok bunga kembang pukul empat juga dikenali dengan nama bunga pukul empat berasal dari Amerika Selatan. Ia kini telah tersebar luas di seluruh dunia kerana ditanam sebagai pokok hiasan dan juga herba. Nama botaninya, Mirabilis Jalapa L. daripada famili Nyctaginaceae. Pokok jenis renek ini berketinggian 1 meter dan membiak melalui biji benih, keratan ranting dan ubi. Bunga kembang pukul empat berbentuk trompet dan berwarna merah, oren, kuning, merah jambu, ungu, putih dan ada yang mempunyai jalur kombinasi warna. Bunganya akan mekar atau kembang pada waktu petang (biasanya selepas pukul 4 petang) dan layu pada waktu pagi keesokan hari. Bunga kembang pukul empat berbau wangi. Bunga ini biasanya menghasilkan buah yang berbentuk bulat dan kecil. Buahnya berwarna hijau ketika muda dan manjadi hitam setelah tua/masak.

Pokok bunga kembang pukul empat bukan sekadar ditanam sebagai pokok hiasan, ia juga mempunyai khasiat dalam perubatan tradisional. Akarnya yang dilumatkan dan ditampal digunakan untuk merawat lebam, luka dan terseliuh. Akar dan ubi pokok ini yang direbus dan diminum untuk melawaskan pembuangan air besar, membunuh cacing dalam perut, merawat atritis, disenteri, jangkitan salur kencing dan keputihan bagi wanita. Air rebusan ini juga boleh digunakan untuk merawat bengkak, bengak payudara, bisul dan kudis dengan menyapu air tersebut pada bahagian berkenaan.

Buah kembang pukul emapt yang telah masak dijadikan serbuk disapu pada jerawat untuk menghilangkan jerawat dan ia juga boleh digunakan untuk menghaluskan dan memutihkan kulit. Serbuk daripada buah ini juga dijadikan bedak dan sabun. Bunga kembang pukul empat yang dihancurkan dan ditampal pada penyakit kulit seperti kurap untuk merawatnya. Bunga kembang pukul empat berwarna putih yang dijadikan jus dan dicampur dengan madu digunakan untuk merawat batuk berdarah. Cecair bunga ini juga boleh digunakan sebagai ubat titis untuk sakit telinga.

Daun pokok bunga kembang pukul empat yang ditumbuk lumat dan ditampal pada kudis dan luka untuk mengubatinya. Ia juga boleh merawat bengkak mata. Daun ini juga boleh merawat demam paas dan mengubati bisul.

Friday, March 11, 2011

Lidah Jin

Pokok lidah jin juga dipanggil pokok lidah mak mertua ditanam sebagai pokok pasuan. Ia mudah hidup dan senang untuk dijaga.

 
Bunga lidah jin yang mempunyai tangkai panjang dan ianya berbau harum!
Nama Botani : Sansevieria trifasciata
Famili : Ruscaceae

Pengenalan

Pokok lidah jin atau sansevieria trifasciata adalah tumbuhan asli dari Benua Afrika. Pokok lidah jin  mempunyai daun yang panjang dan runcing. Terdapat banyak jenis pokok lidah jin dan mudah dibezakan melalui bentuk dan corak daunnya. Pokok biasanya ditanam sebagai pokok hiasan kerana corak daunnya yang menarik dan ia mudah dijaga. Pokok lidah juga mengeluarkan bunga. Bunganya berwarna putih kekuningan, berjambak dengan tangkai yang panjang. Bunga lidah jin berbau harum. Pokok lidah jin boileh dibiakkan melalui pecahan pokok, pemisahan anak, daun atau keratan daun.

Kegunaan

Selain ditanam sebagai pokok hiasan, lidah jin juga mempunyai khasiat perubatan. Daun lidah jin yang dipanaskan dan jusnya dititiskan ke dalam telinga digunakan untuk merawat sakit telinga. Lidah jin juga digunakan sebagai herba untuk mengubati kegatalan. Jusnya dilumur pada bahagian kepala untuk meransang pertumbuhan rambut. Jus dari daun pokok ini digunakan sebagai ubat sakit gigi. Jus yang dihasilkan daripada rizomnya digunakan untuk membunuh kutu.

Thursday, January 6, 2011

Teratai

Pokok teratai yang ditanam dalam pasu sebagai pokok hiasan. Ia memerlukan penjagaan dan pembajaan yang betul untuk memastikan pokok teratai hidup subur dan berbunga.

Nama Botani : Nelumbium nelumbo Druce
Famili : Nelumbonaceae

Pengenalan

Pokok teratai adalah tumbuhan akuatik yang berasal dari Asia. Ia biasanya tumbuh secara meliar di kawasan berair seperti tasik, kolam, lombong, parit, taliair dan sawah padi. Teratai memerlukan air dan dasar berselut(lumpur) untuk hidup subur. Ia tumbuh secara menegak dengan umbinya menjalar dalam lumpur di dasar. Daun teratai berwarna hijau, lebar dan berbentuk hampir bulat dengan tangkai daun yang panjang. Daun teratai biasanya berada sedikit jauh dari permukaan air. Bunga teratai berbau wangi dan ianya mekar pada waktu pagi sehingga petang. Teratai mempunyai bunga berwarna merah jambu, putih dan kuning mengikut jenisnya. Bunga ini akan menghasilkan buah. Pokok teratai banyak ditanam sebagai pokok hiasan kerana bunganya yang cantik dan ia juga merupakan bunga suci agama Buddha.

Kegunaan

Daun teratai boleh digunakan sebagai pembungkus. Umbi muda dan biji teratai boleh dimakan. Teratai mengandungi nutrien yang penting seperti vitamin B1, B2, C, protein, lemak, karbohidrat, caroten, asid nikotinat, , kalsium, phosphorus dan besi. Biji teratai boleh digunakan untuk mengatasi masalah penghadaman, diare dan radang usus. Umbi teratai dapat merawat demam, batuk berdarah, muntah, tekanan darah tinggi dan anemia. Akarnya pula boleh mengubati muntah darah dan batuk berdarah. Daun teratai juga boleh boleh digunakan merawat strok haba, diare, sakit kepala dan pendarahan pada wanita. Bunga teratai pula dapat merawat pendarahan dan radang kulit.

Untuk merawat batuk darah dan muntah darah:, umbi teratai dibersihkan dan dijadikan jus. Jus tersebut diminum sehingga sembuh. Umbi teratai yang dicampur bersama kunyit diparut dan diambil airnya.  Air hasil parutan tersebut boleh direbus bersama air sehingga mendidih dan dicampur sedikit madu.  Kemudian diminum untuk merawat disenteri.

Biji teratai dan biji teratai muda direbus dan airnya diminum untuk merawat penyakit darah tinggi. Untuk menghentikan pendarahan hidung, ruas akar teratai dibersihkan dan dijadikan jus. Titiskan air tersebut ke bahagian hidung.

Friday, July 2, 2010

Yesterday, Today And Tomorrow

Pokok yesterday, today and tomorrow mempunyai bunga tiga warna(berasal daripada kuntuman bunga yang sama). Bunganya mengeluarkan bau yang sangat harum.

Tiga viariasi warna bunga yesterday, today and tomorrow (Ungu tua, ungu muda dan putih)

Nama Botani : Brunfelsia pauciflora
Famili : Solanaceae

Pokok renek jenis berbunga tumbuh subur di bawah sinaran matahari yang sepenuhnya tetapi memerlukan sedikit teduhan atau naungan ketika panas waktu tengahari. Ia juga boleh hidup di bawah naungan. Ketinggian pokok ini mencapai 3 meter tanpa pemangkasan. Pokok ini memerlukan pemangkasan supaya ketinggian dapat dikekalkan pada 0.6 hingga 0.9 meter. Bunganya mempunyai lima kelopak berwarna ungu tua semasa mula-mula mekar dan berubah menjadi ungu muda dan akhirnya menjadi putih. Bunga ini sangat harum baunya. Ia boleh dibiakkan melalui keratan batang dan biji benih. Ia memerlukan penyiraman secara tetap dan tidak boleh membiarkan tanah dalam pasuan kekeringan.

Pokok ini sebenarnya mengandungi racun alkaloids terutama dalam buahnya.

Monday, June 28, 2010

Melur

Pokok bunga melur mengeluarkan bunga sepanjang tahun

Bunga melur berwarna putih bersih


Bunga melur yang telah mekar mengeluarkan bau yang sangat harum. Kudup bunga ini biasanya akan mekar pada waktu senja.


Nama Botani : Jasminum Sambac
Famili: Oleaceae

Pengenalan
Pokok bunga melur atau jasmine mempunyai pelbagai varieti. Di Malaysia, terdapat tiga jenis bunga melur yang biasa dijumpai iaitu melur susun(duke of tuscany), maid of orlean (melur susun) dan star jasmin. Kelopak bunga melur jenis duke of tuscany mempunyai lapisan yang lebih banyak. Namun begitu baunya tidak sekuat maid of orlean dan bunga melur selapis yang biasa. Pokok melur memerlukan pancaran cahaya matahari yang secukupnya untuk tumbesaran dan pembungaan. Ia boleh dibiakkan melalui keratan batang. Bunga melur melur berwarna putih bersih dan baunya sangat harum. Ia mengeluarkan bunga sepanjang tahun.

Kegunaan

Bunga melur digunakan oleh masyarakat India dalam upacara keagamaan. Daun bunga melur yang digiling sehingga halus dan ditampal sekeliling payudara pada waktu pagi dipercayai dapat menambah air susu ibu. Untuk merawat sakit mata, segenggam daun melur ditumbuk halus dan ditampal pada dahi. Untuk merawat bengkak akibat gigitan lebah, ambil segenggam bunga melur, ramas sehingga hancur dan tampal pada bahagian yang terkena sengatan. Segenggam daun dan bunga melur yang diramas di dalam air dan airnya digunakan untuk membasahkan dahi dipercayai dapat meredakan demam dan sakit kepala.

Friday, June 25, 2010

Bunga Part V

Koleksi Bunga Part V yang Dedaun Alam tampilkan kali ini adalah daripada spesis ros atau mawar. Semua gambar bunga di bawah ini diambil di Cactus Point dan Mardi Agrotek, Cameron Highland.

Merah tanda cinta

Kudup bunga yang akan mekar

Yang ini cantik dan harum baunya

Kelopak bunga yang mempunyai gabungan dua warna

Mawar yang mekar segar, cantik dan wangi.

Friday, April 2, 2010

Dara Singgah

Pokok dara singgah

Kuntum bunga dara singgah yang muda tapi berbau sangat harum

Bentuk daun pokok dara singgah. Bunganya keluar pada bahagian hujung dahan
Pokok dara singgah merupakan tumbuhan yang tumbuh meliar di hutan tetapi ada yang ditanam di kawasan rumah kerana bunganya yang berbau harum. Pasti ramai pembaca yang tidak pernah tahu tentang kewujudan pokok bunga istimewa dan unik namanya ini. Bunganya keluar pada bahagian hujung dahan atau ranting dan berbentuk seakan bunga kenanga. Biarpun bunganya masih muda, bau harumnya telah boleh dihidu. Kenapa pokok ini diberi nama dara singgah dan sehebat mana keharuman bau bunganya? Ok, biar saya jelaskan kenapa ia diberi nama sedemikian. Suatu masa dahulu sesiapa yang menanam pokok ini di kawasan sekitar rumah dan pokoknya sudah mula berbunga, orang yang melalui kawasan rumah tersebut pasti akan singgah untuk mencari dari mana datangnya bau harum yang mereka hidu. Dek kerana terpesona dengan keharuman bunga ini tidak kira siapa akan singgah termasuk anak-anak dara. Keharumannya pula bagaimana? Cerita itu sudah cukup untuk menggambarkan betapa harumnya kuntuman bunga dara singgah ini.

Friday, March 5, 2010

Spider Lily @ Bakung

Bunga bakung berwarna putih dan mempunyai bau yang harum

Pokok bakung biasanya menjadi pilihan sebagai hiasan landskap.


Nama Botani : Hymenocallis sp.
Famili : Amaryllidaceae/Lilliaceae.
Pengenalan

Pokok Bakung juga dikenali dengan nama spider lily merupakan tumbuhan jenis bebawang yang ditanam sebagai hiasan landskap. Ia mempunyai daun yang berbentuk seperti pedang dengan panjangnya sehingga 1.3m. Daun pokok bakung biasanya berwarna hijau yang sekata dan mempunyai urat selari. Bunga bakung berwarna putih dan berbau sangat harum.
Kegunaan

Pokok bakung dipercayai boleh merawat bisul dan luka, bengkak kaki dan tangan. Ia juga mampu meredakan sakit sendi, sakit pinggang dan kencing tidak lawas.

Monday, February 8, 2010

Tanjung

Pokok tanjung

Bentuk daun tanjung dan bunganya yang kecil tetapi berbau harum


Nama Botani : Mimusops elengi
Nama Lain : Indian meddaler, Bulletwood tree, Spanish cherry,
Famili : Sapotaceae

Pengenalan

Pokok bunga ianjung atau nama botaninya mimusops elengi berasal dari Asia Tenggara termasuk Malaysia. Ia bersaiz sederhana dengan ketinggian sehingga 4m. Pokok tanjung tidak akan naik meninggi tetapi merendang dengan daunnya yang lebat dan rimbun. Ia biasa ditanam sebagai pokok hiasan landskap atau tepi-tepi jalan kerana ia merendang dan dapat memberi teduhan. Daun tanjung berwarna hijau tua, agak keras, permukaan yang berkilat dan sentiasa lebat sepanjang tahun. Bunga tanjung berbau sangat harum dan boleh dihidu dari jarak yang jauh jika tiba musim ia mengeluarkan bunga. Buah tanjung mempunyai bentuk bujur seakan bola ragbi dan bersaiz kira-kira 3cm panjang. Ketika muda ia berwarna hijau dan rasanya sangat kelat tetapi apabila masak warnanya bertukar menjadi oren atau jingga. Buahnya yang telah masak boleh dimakan, rasanya manis tetapi sedikit kelat.

Kegunaan

Bunganya digunakan oleh masyarakat Melayu dan India sebagai hiasan kepala serta dalam upacara keagamaan bagi kaum India. Keharuman bunga tanjung bertahan lama dan ia masih harum walaupun telah kering. Setelah bunga tanjung kering, rendam dalam minyak kelapa untuk mengembalikan semula keharumannya. Biasanya bunga tanjung direndam ke dalam minyak kelapa dan dilumur ke rambut digunakan untuk mewangikan rambut.

Untuk merawat ruam, ambil beberapa kuntum bunga tanjung dan direbus bersama 2 sudu besar jintan hitam. Kemudian embunkan air rebusan ini semalam. Tapiskan air yang diembunkan itu, guna untuk mandikan pesakit.

Air rebusan kulit batang pokok tanjung boleh digunakan untuk mencuci luka. Kulit batang pokok tanjung direbus bersama air, ditapis dan gunakan sebagai ubat kumur sekali sehari dapat merawat sakit gigi dan menghilangkan nafas berbau. Bunga tanjung juga mampu menghasilkan minyak pati berwarna kuning muda kehijauan yang biasa digunakan dalam aromaterapi.

Thursday, January 28, 2010

Kesidang @ Kerak Nasi

Pokok kesidang atau bunga kerak nasi

Bunga kesidang yang berwarna putih bersih dan berbau harum.


Nama Botani : Vallaris glabra
Nama Lain: Bunga kerak nasi (utara Semenanjung, bunga tikam seladang (Pantai Timur)
Famili: Apocynaceae

Pengenalan

Pokok kesidang atau bunga kerak nasi merupakan sejenis tumbuhan yang memanjang. Batangnya kecil tapi berkayu dan keras serta mudah lentur. Kulit batang dan daun kesidang mempunyai getah yang berwarna putih.
Kegunaan
Pokok ini ditanam kerana bunganya yang berbau harum dan pokoknya mudah dijaga, biasanya ia menjadi pokok pilihan untuk tanaman di pergola. Bunga kerak nasi berbentuk seperti bintang kecil-kecil berkelompok dan berwarna putih bersih. Bunga ini sangat harum baunya dan ia adalah antara bunga yang berbau harum menjadi pilihan saya. Keharuman bunga kerak nasi ini seperti daun pandan dan vanilla. Keharumannya boleh dihidu dalam lingkungan 15 m. Sekiranya kita berada menghidu aroma wangian selama lebih kurang 30 minit, tubuh kita akan terasa tenang, segar dan minda kita jadi lebih baik dan positif.

Thursday, October 22, 2009

Inai

Pokok inai

 Bunga dan daun inai

Nama Botani: Lawsonia Inermis
Famili: Lythraceae

Pengenalan

Pokok inai merupakan sejenis tumbuhan renek dari spesies lawsonia. Daunnya yang matang berwarna hijau gelap dengan bintik-bintik kehitaman. Tumbuhan ini sukakan kelembapan yang agak tinggi dan bersaliran yang baik, namun ia adalah tumbuhan yang agak lasak dan boleh bertahan dalam keadaan kering yang tidak terlalu lama. Pokok inai boleh dibiakkan melalui keratan batang atau biji benih.

Kegunaan

Daun pokok inai mempunyai nilai perubatan yang tinggi. Ia boleh digunakan untuk menyembuhkan luka dan kudis di sekeliling kuku. Daun inai ditumbuk dan disapukan pada tempat yang sakit. Air rebusan daun inai bersama dua gelas air. Setelah mendidih, airnya ditapis dan diminum dipercayai dapat merawat sakit perut.

Serbuk daun inai digunakan untuk menyembuhkan luka-luka semasa berkhatan, bisul, penyakit-penyakit kulit dan sengal-sengal tulang. Air daun inai adalah bahan astringen yang boleh mengecutkan tisu-tisu organik dan dapat mengurangkan atau mengawasi pendarahan yang berlebihan. Air daun inai juga dapat menyembuhkan sakit tekak. Daun inai yang disapu pada kulit untuk mengubati penyakit kulit, bisul dan melepuh.

Di samping penggunaan untuk tujuan perubatan, daun inai adalah bahan penting dalam proses mewarnakan tapak tangan, kuku dan kaki. Ia biasanya dicampurkan dengan pewarna asli yang lain untuk memberi warna yang baik. Inai juga boleh digunakan untuk mewarnakan rambut atau bahan tekstil.

Nota : Bunga inai yang belum berkembang boleh dijadikan ulam dengan dimakan mentah.