VIP Dedaun Alam

Showing posts with label keindahan alam. Show all posts
Showing posts with label keindahan alam. Show all posts

Friday, February 10, 2012

Pantai Taman Lagenda

Pantai berpasir putih tiada nama khusus tetapi lokasinya dalam Taman Lagenda. Pantai ini juga terhasil daripada tanah tebusguna dan tempat saya berdiri untuk abadikan foto ini adalah tengah laut sebelum ditambak dengan tanah dan pasir. Pemandangan ini menghala ke arah Dataran Lang.

Pandangan ke sebelah kanan iaitu Jeti Pelancongan. Kawasan tersebut juga adalah tanah tebusguna.

Pemandangan dari pantai ini.


Sunday, June 26, 2011

Pulau Tuba

Pulau Tuba adalah salah satu di antara 104 (bukan 99 buah) buah pulau di gugusan Pulau Langkawi. Ia merupakan pulau kedua yang mempunyai penduduk. Keluasan Pulau Tuba lebih kurang 20 km persegi dengan kepadatan penduduk seramai 5000 orang. Pulau Tuba terletak berhampiran Pulau Dayang Bunting.

Jeti Marble antara jeti untuk ke Pulau Tuba. Satu lagi jeti yang menyediakan perkhidmatan bot ke Pulau Tuba adalah di Jeti Pelancongan, Pekan Rabu. Bot laju (dalam foto) mengambil masa 7 hingga 10 minit untuk sampai ke jeti Pulau Tuba (berdasarkan kekuatan enjin bot dan jumlah penumpang)

Bot laju berlabuh di jeti Pulau Tuba. Untuk sampai ke sini, tambang bagi setiap orang dewasa adalah RM5.00 sehala.

Pemandangan di Pulau Tuba. Sawah padi yang terbiar tanpa diusahakan seperti dulu kerana faktor jentera dan pengairan.

Pemandangan di sebuah perkampungan nelayan. Bot nelayan yang berlabuh ketika air surut.

Jeti nelayan. Si kecil yang sedang menikmati keindahan alam di sini.

Wednesday, September 29, 2010

Pantai Padang Lalang (Tanjung Rhu)

Keindahan pantai di Langkawi biasanya diserikan lagi dengan wujudnya pulau-pulau kecil yang berhampiran dengan pantai.

Pantai ini berpasir putih, landai, panjang dan terdapat banyak cengkerang hidupan laut (termasuk batu karang mati)


Pantai ini sebenarnya tidak mempunyai nama khusus. Mengikut penduduk tempatan, ia juga dikenali dengan nama Pantai Tanjung Rhu. Pantai Tanjung Rhu terletak berhampiran dengan pantai ini. Yang pasti pantai tidak ditumbuhi (ditanam) pokok rhu. Ia sebenarnya terletak di Kampung Padang Lalang, Mukim Ayer Hangat iaitu kira-kira 3 km dari bulatan Ayer Hangat menuju ke Tanjung Rhu. Pantai indah ini juga sekadar boleh dipandang dan dinikmati keindahannya sahaja kerana tiada sebarang kemudahan asas di sini. Biasanya pengunjung yang datang ke sini bertujuan untuk menikmati laksa dan mee sup (yang dijual menggunakan kedai bergerak = lori kecil) dengan berteman hembusan bayu laut di bawah sebatang pokok besar.

Tuesday, September 28, 2010

Pantai Teluk Yu

Pantai Teluk Yu.


Pantai  Teluk Yu terletak dalam mukim Ayer Hangat, Langkawi. Lokasinya kira-kira 2km dari Pntai Pasir Hitam. Pantai ini juga tiada kemudahan asas untuk pengunjung seperti tandas dan bilik air. Kemudahan yang ada hanyalah tempat untuk berehat seperi wakaf atau gazebo dan landskap yang ringkas. Kebanyakan pantai di Langkawi tidak
menyediakan kemudahan asas untuk pengunjung. Sesuatu perlu dibuat oleh pihak berkenaan kerana Langkawi merupakan pulau peranginan.  Pantai ini mendapat nama kerana kehadiran ikan yu suatu masa dahulu dan peristiwa ini diabadikan dengan binaan skulptur ikan yu.

Monday, September 20, 2010

Pantai Tanjung Rhu

Pemandangan pantai yang indah dan terdapat pulau kecil berhampiran dengan pantai

Pasir pantai yang putih dengan tanjung yang menganjur ke laut memukau mata yang memandang

Si kecil begitu teruja dengan keindahan pantai ini.

Dua perkara yang ada dalam minda si kecil ini bila melihat laut iaitu mandi dan naik bot.


Pantai Tanjung Rhu terletak dalam mukim Ayer Hangat iaitu kira-kira 15 minit perjalanan dari Kuah. Pantai mendapat nama daripada kedudukannya di sebuah tanjung yang ditumbuhi oleh pokok rhu. Pantai ini merupakan antara pantai yang tercantik di Langkawi. Namun begitu, disebalik keindahan dan kecantikannya pantai ini 'tidak mesra' untuk orang awam dan pelancong domestik kerana tiada kemudahan awam di sini. Sesiapa yang datang ke sini mungkin sekadar menikmati keindahan pemandangan. Dan kerana faktor inilah pantai ini tidak menjadi pilihan penduduk tempatan untuk berkelah atau bersantai. Di pantai terdapat dua buah resort yang terkenal.

Tuesday, August 31, 2010

Pantai Hujung Airport

Keindahan Gunung Matchichang yang boleh dilihat dari pantai berpasir putih ini.

Pantai yang landai dan bersih.


Pantai Hujung Airport diberi nama sedemikian oleh penduduk tempatan kerana pantai ini tidak wujud sebelum ini seperti mana pantai-pantai lain yang wujud secara semulajadi sejak lebih 500 juta tahun dahulu. Pantai ini wujud pada penghujung tahun 1990 hasil tebus guna tanah untuk pembinaan landasan kapalterbang Langkawi International Airport, Padang Matsirat. Walaupun pantai ini cantik tetapi ia tidak menjadi pilihan untuk berkelah atau mandi manda  kerana beberapa faktor. Di sini tiada kemudahan asas dan air lautnya juga sedikit keruh kerana terletak berhampiran Kuala Sungai Muda.

Tuesday, August 3, 2010

Pantai Pasir Tengkorak

Dedaun Alam kali ini mempersembahkan keindahan alam di Langkawi. Langkawi sememangnya dikelilingi oleh laut dan pantai yang indah. Pantai Pasir Tengkorak merupakan sebuah pantai yang terletak di Datai. Ia kurang dikenali oleh pelancong kerana lokasinya agak jauh dari tempat tumpuan tetapi sebenarnya pantai ini menjadi pilihan penduduk tempatan untuk berehat sambil mandi manda.

Pulau Tarutao (Thailand) terletak kira-kira 5km dari pantai ini.

Pantai yang berpasir putih dengan air jernih kristal dan persekitarannya bersih. Dua orang gadis comel ini terpesona dengan keindahan Pantai Pasir Tengkorak.

Selain pasir, pantai ini juga diserikan dengan kawasan berbatu.


Lagenda Pantai Pasir Tengkorak

Mengapa pantai ini diberi nama yang agak menakutkan dan menyeramkan? Mengikut lagenda tempatan, suatu masa dulu terdapat raksasa laut atau air pusar yang menenggelamkan banyak kapal dan kemudian mencampakkan tengorak mangsanya di pantai ini.

Mengikut satu lagi lagenda, satu pertempuran hebat di antara Jentayu dengan Garuda berlaku di pulau berdekatan.yang mengakibatkan banyak nyawa terkorban. Jasad para pahlawan yang terkorban banyak ditemui di pantai ini.

Ada pula yang menceritakan suatu masa dulu terdapat penjara di Pulau Tarutao. Walaupun ramai banduan yang cuba melarikan dari penjara, ia sukar dilakukan kerana pada masa lampau terdapat banyak jerung berkeliaran di kawasan ini. Banduan yang meloloskan diri biasanya akan lemas atau dibaham jerung. Jasad mereka terdampar di sini.





Batu syal dan batu pasir yang berusia ratusan juta tahun.





Fakta Pantai Pasir Tengkorak

Pantai Pasir Tengkorak merupakan sebuah poket pantai berpasir putih halus di antara pantai-pantai berbatu dengan batu pasir dan syal. Batu pasir dan syal berkemiringan landai dan bergelombang ini adalah batuan formasi Machinchang yang berusia kira-kira 550 juta tahun. Batu pasir mengandungi perlapisan silang dan kesan riak yang baik (rujuk foto batu di atas). Manakala selanglapis batu pasir-syal menghasilkan struktur asalan beban yang menarik seperti kesan beban, struktur nyalaan, lapisan konvolut, fitur perlepasan bendalir dan kekanta pasir terpancung. Fitur unik yang lain adalah struktur asalan penghabluran garam berbentuk seperti sarang lebah yang dikenali sebagai tafoni, khususnya pada syal yang terdedah di permukaan. Jasad timbul tafoni membayangkan kemtangan proses pembentukannya, manakala bentuk-bentuk tafoni biasanya dipengaruhi oleh corak kekar dan arah percikan air laut.

Tebing pantai yang berbatu merah berusia lebih 500 juta tahun.

Terdapat 'sungai' kecil mengalir dari bukit berhampiran ke laut. Airnya sangat jernih tetapi anda tidak digalakkan untuk mandi-mandi di sungai ini kerana kedalaman airnya hanya beberapa sentimeter sahaja.


Jika tadi dikatakan pantai ini mendapat nama daripada lagendanya tetapi yang sebenarnya mungkin namanya diberi sempena bentuk batuan di pantai ini. Perhatian bentuk batuan di bawah ini.

Batuan yang berbentuk seakan lapisan tengkorak manusia.

Ratusan 'tengkorak manusia' terdampar di sini.

Friday, May 21, 2010

Senja Nan Merah

Foto-foto ini diambil pada hari Ahad lepas(16 May 2010). Lokasi pemandangan indah waktu senja ini ialah di Jeti Kuah.

Mentari hampir terbenam.

Pemandangan indah dilatari dengan feri dan kapal layar.

Indahnya alam ciptaanMu.

Bot kecil melintas sewaktu foto ini diambil. Banjaran Gunung Mat Chinchang menambahkan lagi keindahan alam ini.