VIP Dedaun Alam

Showing posts with label belinjau. Show all posts
Showing posts with label belinjau. Show all posts

Thursday, September 16, 2010

Belinjau

Buah belinjau

Nama Botani : Gnetum gnemon
Famili : Gnetaceae

Pengenalan

Pokok belinjau yang juga dikenali dengan nama malinja merupakan tumbuhan yang berasal dari Asia Tenggara. Di Malaysia, ia banyak tumbuh secara meliar terutama di negeri Terengganu. Di Terengganu, belinjau dikenali dengan nama buah cokok. Pokok belinjau yang ditanam terdiri daripada pelbagai varieti. Varieti ini mudah dibezakan melalui saiz buahnya. Pokok belinjau berketinggian sederhana iaitu mencapai 15m - 20m. Daun pokok belinjau berbentuk bujur dan bahagian hujung daun yang runcing. Bunganya keluar pada bahagian ranting atau dahan secara jambak dan berbentuk kon. Buah belinjau berbentuk bujur dan mempunyai tiga lapisan kulit. Bahagian kulit luar buah berwarna hijau ketika muda dan menjadi merah setelah masak. Lapisan kedua kulit agak keras dan berwarna kuning pada peringkat muda dan bertukar kepada coklat gelap setelah masak. Dan lapisan ketiga kulit buah melinjau berwarna putih dan nipis. Dalam bahagian ini terdapat biji belinjau yang boleh dimakan. Pokok belinjau membiak melalui biji benih tetapi percambahan biji benihnya agak sukar.

Kegunaan

Pucuk atau daun muda, bunga dan kulit biji buah belinjau boleh dimakan. Biji belinjau juga boleh dimakan setelah direbus atau digoreng. Bijinya juga boleh dijadikan kerepek, keropok atau emping. Kayu pokok belinjau boleh dijadikan bahan binaan dan perabot.

Setiap 100g pucuk dan buah muda belinjau mengandungi air 75.1mg, protein 6.6g, lemak 1.2 g, karbohidrat 9.1g, fiber 6.8 g, kalsium 151mg, fosforus 224mg, ferum 2.5mg, vitamin A 10889 I.U., niasin 1.2 mg dan vitamin C 121 mg.