Apa agaknya yang terselindung dan ada di bawah pasu ini? Kali ini saya ingin kongsi tip dan kaedah mudah serta ringkas untuk menyelamatkan anak-anak pokok yang baru dialihkan ke tempat baru dalam musim/cuaca panas. Biasanya bahang matahari akan menyebabkan anak-anak pokok menjadi layu. Pada waktu pagi, kita lihat pokok yang baru dialihkan masih segar tapi bila petang, ia akan layu. Paling merisaukan, anak pokok akan melecur, kekeringan dan mati dek kepanasan pada waktu siang. Untuk kebun berskala kecil, saya guna dua cara iaitu menggunakan jaring hijau sebagai peneduh. Kaedah ini berkesan tapi ianya agak cerewet kerana kita perlu memasang jaring menggunakan kerangka ringkas. Jaring ini akan melindungi seluruh kawasan yang ditanam dengan pokok baru. Cara atau kaedah kedua yang saya sering pratikkan untuk kebun kecil ni adalah menggunakan pasu kecil kitar semula. Pasu-pasu kecil ini biasanya kita dapat percuma apabila membeli anak-anak pokok daripada nurseri. Pasu kecil ada dua jenis iaitu yang dibuat menggunakan tanah liat dan plastik. Kedua jenis pasu sesuai digunakan sebagai peneduh ringkas dan mudah alih. Caranya mudah saja, bila anak pokok dah ditanam di tempat baru, siram dulu sebelum tutup dengan pasu kecil. Biarkan pasu kecil itu selama seminggu atau lebih. Siraman perlu dibuat melalui lubang dan bahagian tepi pasu tanpa mengangkatnya.
Anak pokok cili yang berada di bawah lindungan pasu kecil selama hampir dua minggu. Ini untuk pastikan akar barunya telah keluar dan dapat mencari air serta nutrien untuk pokok. Ia tak akan layu dek kepanasan dan paling penting, selamat daripada gangguan/serangan serangga atau haiwan perosak seperti siput, cengkerik dan lain-lain.