VIP Dedaun Alam

Tuesday, April 19, 2011

Pisang Kapal

Buah pisang kapal yang masih muda.

Pisang kapal adalah antara pisang tempatan yang semakin sukar temui ditanam sekarang. Buah pisang kapal tidak mempunyai nilai komersil yang menyebabkan ia tidak menjadi pilihan peladang untuk menanamnya secara ladang. Pisang kapal juga dikenali sebagai dwarf banana (pisang kerdil) kerana ketinggiannya yang sederhana iaitu sekitar 1 hingga 1.5 meter sahaja.

Sunday, April 17, 2011

Pisang Nangka

Pisang nangka yang belum masak. Baru diambil semalam kerana pokoknya patah akibat beban buah yang berat walaupun telah ditongkat dengan kayu sebesar paha! Ada 6 sikat semuanya dan sebiji buahnya agak besar(bandingkan kesan tapak kaki dinosaur..err..ayam di atas simen pada bahagian atas buah pisang).

Pisang nangka adalah antara varieti pisang yang terdapat dan ditanam di Malaysia. Ia mendapat nama kerana apabila masak, isi buahnya berbau wangi seakan-akan nangka. Pisang nangka biasanya tidak dimakan segar kerana isinya agak pejal dan rasanya yang sedikit masam. Ia merupakan pisang yang terbaik untuk digoreng, dibuat pengat, disira, dimasukkan ke dalam pulut dakap dan beberapa jenis kuih tradisional tempatan. Benih pisang nangka ini dibawa dari kampung dan ditanam di tempat tinggal sekarang ini. Tanahnya sangat sesuai untuk tanaman pisang.

Wednesday, April 13, 2011

Bunga Part XIX

Bunga-bunga yang dipaparkan dalam part XIX ini kebanyakannya kurang dikenali dan jarang kita lihat.

Bunga cantik yang mekar secara bergugusan ini daripada pokok yang biasa ditanam sebagai peneduh di pantai dan taman.
Bunga bersaiz kecil ini adalah bunga rumpai liar. Ia biasanya tumbuh di kawasan terbuka seperti kebun.
Bunga semambu yang juga dikenali dengan nama mambu atau neem. Bunganya kecil dan akan menghasilkan buah berbentuk bujur.
Kudup bunga anggerik hutan. Pokok anggerik ini tumbuh di atas tanah bukannya menumpang pokok lain

Sunday, April 10, 2011

Pantai Kok

Pantai yang bersih. Tiada siapa yang berkelah atau bersantai di sini. Tiada sebarang kemudahan asas disediakan oleh pihak berkenaan seperti kebanyakan pantai di sini. Pantai ini biasanya dikunjungi oleh orang ramai semata-mata mahu menikmati laksa utara dan rojak buah yang dijual di sini. Ia juga digunakan sebagai 'track' untuk menunggang 'lembu'. Kuda yang dianggap lembu oleh anak saya.
Pemandangan dari pantai Kok ke arah Telaga Harbour Park

Kapal-kapal layar yang berlabuh berhampiran Telaga Harbour Park. Pemilik kapal layar yang kaya tapi mahu 'save budget' dengan tidak berlabuh di jeti Telaga Harbour yang mengenakan bayaran tertentu. Pulau buatan manusia yang dibina berhadapan Telaga Harbour Park yang berfungsi sebagai benteng penahan ombak. Dua bua pulau dibina untuk tujuan berkenaan.

Wednesday, April 6, 2011

Kubung 2

Kubung yang sedang bergayut pada batang pokok cermai manis.

Rasanya kubung ini masih juvenile (belum dewasa) kerana saiznya lebih kecil daripada kubung sebelum ini.

Ia sangat jinak dan langsung tidak melarikan diri semasa kamera dihala ke arahnya. Kubung adalah haiwan nokturnal (aktif pada waktu malam). Ia akan menjadi aktif apabila malam menjelma. Perhatikan bunga cermai manis yang lebat tu.



"Nak melayang ke tidak ni...?" Melayang adalah skil yang hebat dan unik bagi kubung.

"Atau lebih baik panjat pokok ni lebih tinggi lagi".

"Dia ni nampak baik je... Tak payah la aku lari. Biaq pi la kat dia nak amek gambaq aku pun. Nanti semua orang boleh tengok aku yang comel ni..hehe.."

Monday, April 4, 2011

Musim Bunga Di Langkawi

Ada orang yang memanggilnya bunga sakura kerana ia kelihatan seperti bunga tersebut.

Musim bunga bagi pokok ini di sini adalah pada bulan Mac. Pokok tabebuia berasal dari Amerika Tengah dan bahagian utara Amerika Selatan.

Bunganya akan keluar dalam jumlah yang banyak. Tabebuia adalah tumbuhan dalam famili bignoniaceae.

Terdapat dua jenis tabebuia yang ditanam iaitu bunga berwarna putih seperti ini dan bunga merah jambu.

Bunganya akan gugur setiap masa terutama ketika angin bertiup kencang.

Bunga tebebuia rosea yang berwarna merah jambu.

Thursday, March 31, 2011

Ginseng Jawa

Pokok ginseng jawa yang ditanam untuk dimakan sebagai ulaman.

Nama Botani : Talinum crassifolium Willd.
Famili : Portulacaceae

Pengenalan

Tumbuhan semusim ini berasal dari Amerika Selatan. Walaupun dipanggil dengan nama ginseng tetapi ia bukan genus Panax. Pokok ini tumbuh meliar tetapi ada yang ditanam sebagai pokok hiasan atau herba. Ia berketinggian sekitar 60 cm. Pokok ini mempunyai batang yang bercabang di bahagian bawah dan bahagian pangkalnya agak keras. Daun pokoknya jenis tunggal dan cabang akan keluar pada bahagian tangkai daun. Bahagian atas daun berwarna hijau dan licin serta tebal. Manakala bahagian bawah daun berwarna hijau muda.

Kegunaan

Ginseng jawa atau som jawa dapat meningkatkan tenaga tubuh dan tenaga batin. Akar ginseng jawa mengandungi saponin dan flavonoid. Ia baik untuk menguatkan paru-paru dan bersifat afrodisiak. Daunnya mengandungi saponin, flavonoid dan steroid. Saponin bersifat antiradang. Flavonoid dapat menrawat pembengkakan, jangkitan bakteria, antivirus dan antihistamin. Tannin pula bersifat sejuk.

Akar ginseng jawa berkhasiat untuk mengatasi badan yang lesu, pening, lemah tenaga batin, batuk, cirit birit, pusingan haid yang tidak teratur, masalah keputihan dan menambah pengeluaran susu ibu. Daunnya pula berkhasiat untuk melancarkan pengeluaran susu ibu, merawat bisul dan menambah selera makan.

Akar ginseng jawa yang segar dibersihkan dan dipotong kecil-kecil. Ia direbus menggunakan dua gelas air sehingga tinggal segelas. Tapis dan sejukkan air rebusan tersebut. Minum air rebusan dua kali sehari dipercayai dapat menambah tenaga dan tenaga batin(seksual). Daun ginseng jawa segar yang ditumis dan dimakan sekurang-kurang dua kali dalam satu hari dapat menambah pengeluaran susu ibu dan menambah selera makan. Untuk merawat bisul, daun ginseng jawa segar dibersihkan dilumatkan dan dicampur sedikit gula merah. Ia ditampal pada bisul dan dibalut.