Pokok bunga kembang pukul empat.
Pokok bunga kembang pukul empat juga dikenali dengan nama bunga pukul empat berasal dari Amerika Selatan. Ia kini telah tersebar luas di seluruh dunia kerana ditanam sebagai pokok hiasan dan juga herba. Nama botaninya, Mirabilis Jalapa L. daripada famili Nyctaginaceae. Pokok jenis renek ini berketinggian 1 meter dan membiak melalui biji benih, keratan ranting dan ubi. Bunga kembang pukul empat berbentuk trompet dan berwarna merah, oren, kuning, merah jambu, ungu, putih dan ada yang mempunyai jalur kombinasi warna. Bunganya akan mekar atau kembang pada waktu petang (biasanya selepas pukul 4 petang) dan layu pada waktu pagi keesokan hari. Bunga kembang pukul empat berbau wangi. Bunga ini biasanya menghasilkan buah yang berbentuk bulat dan kecil. Buahnya berwarna hijau ketika muda dan manjadi hitam setelah tua/masak.
Pokok bunga kembang pukul empat bukan sekadar ditanam sebagai pokok hiasan, ia juga mempunyai khasiat dalam perubatan tradisional. Akarnya yang dilumatkan dan ditampal digunakan untuk merawat lebam, luka dan terseliuh. Akar dan ubi pokok ini yang direbus dan diminum untuk melawaskan pembuangan air besar, membunuh cacing dalam perut, merawat atritis, disenteri, jangkitan salur kencing dan keputihan bagi wanita. Air rebusan ini juga boleh digunakan untuk merawat bengkak, bengak payudara, bisul dan kudis dengan menyapu air tersebut pada bahagian berkenaan.
Buah kembang pukul emapt yang telah masak dijadikan serbuk disapu pada jerawat untuk menghilangkan jerawat dan ia juga boleh digunakan untuk menghaluskan dan memutihkan kulit. Serbuk daripada buah ini juga dijadikan bedak dan sabun. Bunga kembang pukul empat yang dihancurkan dan ditampal pada penyakit kulit seperti kurap untuk merawatnya. Bunga kembang pukul empat berwarna putih yang dijadikan jus dan dicampur dengan madu digunakan untuk merawat batuk berdarah. Cecair bunga ini juga boleh digunakan sebagai ubat titis untuk sakit telinga.
Daun pokok bunga kembang pukul empat yang ditumbuk lumat dan ditampal pada kudis dan luka untuk mengubatinya. Ia juga boleh merawat bengkak mata. Daun ini juga boleh merawat demam paas dan mengubati bisul.