VIP Dedaun Alam

Thursday, March 31, 2011

Ginseng Jawa

Pokok ginseng jawa yang ditanam untuk dimakan sebagai ulaman.

Nama Botani : Talinum crassifolium Willd.
Famili : Portulacaceae

Pengenalan

Tumbuhan semusim ini berasal dari Amerika Selatan. Walaupun dipanggil dengan nama ginseng tetapi ia bukan genus Panax. Pokok ini tumbuh meliar tetapi ada yang ditanam sebagai pokok hiasan atau herba. Ia berketinggian sekitar 60 cm. Pokok ini mempunyai batang yang bercabang di bahagian bawah dan bahagian pangkalnya agak keras. Daun pokoknya jenis tunggal dan cabang akan keluar pada bahagian tangkai daun. Bahagian atas daun berwarna hijau dan licin serta tebal. Manakala bahagian bawah daun berwarna hijau muda.

Kegunaan

Ginseng jawa atau som jawa dapat meningkatkan tenaga tubuh dan tenaga batin. Akar ginseng jawa mengandungi saponin dan flavonoid. Ia baik untuk menguatkan paru-paru dan bersifat afrodisiak. Daunnya mengandungi saponin, flavonoid dan steroid. Saponin bersifat antiradang. Flavonoid dapat menrawat pembengkakan, jangkitan bakteria, antivirus dan antihistamin. Tannin pula bersifat sejuk.

Akar ginseng jawa berkhasiat untuk mengatasi badan yang lesu, pening, lemah tenaga batin, batuk, cirit birit, pusingan haid yang tidak teratur, masalah keputihan dan menambah pengeluaran susu ibu. Daunnya pula berkhasiat untuk melancarkan pengeluaran susu ibu, merawat bisul dan menambah selera makan.

Akar ginseng jawa yang segar dibersihkan dan dipotong kecil-kecil. Ia direbus menggunakan dua gelas air sehingga tinggal segelas. Tapis dan sejukkan air rebusan tersebut. Minum air rebusan dua kali sehari dipercayai dapat menambah tenaga dan tenaga batin(seksual). Daun ginseng jawa segar yang ditumis dan dimakan sekurang-kurang dua kali dalam satu hari dapat menambah pengeluaran susu ibu dan menambah selera makan. Untuk merawat bisul, daun ginseng jawa segar dibersihkan dilumatkan dan dicampur sedikit gula merah. Ia ditampal pada bisul dan dibalut.

Monday, March 28, 2011

Bunga Part XVIII

Bunga yang ditampilkan oleh Dedaun Alam dalam siri ke 18 ini diharap dapat menambah pengetahuan pembaca. Bunga-bunga ini mungkin pernah dilihat dan tidak pernah dilihat sehingga kini oleh kita.

Bunga yang cantik ini kurang dikenali dan jarang ditemui. Bunga cantik ini adalah daripada pokok yang namanya agak lucah, k**e mamak

Bunga daripada pokok kaktus.

Bunga kecil daripada pokok hiasan yang saya lupa namanya.

Bunga lengkuas. Bunga lengkuas boleh dicelur dan dimakan sebagai ulam. Ia dikatakan baik untuk kesihatan kita.

Tuesday, March 22, 2011

Asli Atau Tiruan??

Bunga daripada spesis anthurium ini kelihatan seperti bunga tiruan. Ia seakan diperbuat daripada plastik dan getah. Hampir semua pokok daripada spesis anthurium mengeluarkan bunga seperti ini.

Pokok anthurium ini merupakan tumbuhan yang berasal dari Amerika Tengah dan Amerika Selatan. Ia adalah tumbuhan dalam famili araceae, iaitu keladi. Terdapat lebih 800 spesis anthurium. Anthurium juga dikenali dengan nama pokok bunga flamingo.

Friday, March 18, 2011

Bunga Part XVII

Dedaun Alam kini kembali dengan siri bungaan yang terdapat di Malaysia. Bunga hiasan, sayuran dan bunga daripada pokok buahan tempatan. Jom kita hayati keindahan bunga ciptaan Illahi.

Bunga daripada spesis lily. Di Kelantan ia dipanggil dengan nama bunga 'peti ngaji'.


Bunga kemboja yang mekar. Cantik warnanya.

Bunga seripagi? Bukan. Bunga kangkung? Pun tidak. Ini adalah bunga pokok ubi keledek.

Yang ini bunga sentul. Ada tak pembaca yang tidak pernah lihat buah sentul?

Wednesday, March 16, 2011

K**e Mamak

Buah k**e mamak yang telah masak.

Sekali pandang ia seakan buah asam jawa.

Nama buah ini agak unik dan berbau lucah (18SX). Terpaksa disensor nama asalnya.

Bunga yang cantik. Apabila bunga pokok ini sudah mekar, ia menandakan buahnya boleh dipetik. Jika dipetik sebelum bunga mekar, rasa buah tidak seperti yang diharapkan.

Nama Botani : Saman spp.
Famili : Fabaceae (Leguminosae)

Pokok yang mempunyai nama unik serta berbau lucah ini merupakan tumbuhan yang sama spesis dengan pokok hujan-hujan (Samanea saman). Nama pokok ini diberikan oleh penduduk Utara Semenanjung Malaysia iaut Kedah, Perlis dan Pulau Pinang. Tidak pasti nama asal atau nama lain bagi pokok ini. Di Utara sememangnya ia dikenali dengan nama tersebut. Buah k**e mamak boleh dimakan segar apabila masak. Kulit buah ini perlu diketuk untuk medapatkan isinya yang berwarna merah. Pokok dan buah k**e dikategorikan sebagai nadir kerana ia sangat sukar untuk dijumpai.

Sunday, March 13, 2011

Pisang Raja

Pisang raja yang telah masak

Pisang raja merupakan salah satu spesis pisang yang ada di Malaysia. Pisang raja boleh dimakan segar dan ia lebih sedap jika digoreng. Pisang raja tidak banyak dalam pasaran tempatan. Nama botani pisang raja ialah musa paradisiaca. Musa paradisiaca merupakan spesis pisang yang dimakan selepas dimasak atau diproses.  Selain pisang raja, antara kultivar dalam jenis ini ialah pisang awak, pisang nangka, pisang tanduk dan pisang nipah.

Pisang raja boleh dimakan segar dan ia lebih sedap jika digoreng. Ia juga boleh dijadikan kerepek, direbus, dibuat pengat dan dijadikan bahan untuk membuat pelbagai jenis kuih atau kek.

Friday, March 11, 2011

Lidah Jin

Pokok lidah jin juga dipanggil pokok lidah mak mertua ditanam sebagai pokok pasuan. Ia mudah hidup dan senang untuk dijaga.

 
Bunga lidah jin yang mempunyai tangkai panjang dan ianya berbau harum!
Nama Botani : Sansevieria trifasciata
Famili : Ruscaceae

Pengenalan

Pokok lidah jin atau sansevieria trifasciata adalah tumbuhan asli dari Benua Afrika. Pokok lidah jin  mempunyai daun yang panjang dan runcing. Terdapat banyak jenis pokok lidah jin dan mudah dibezakan melalui bentuk dan corak daunnya. Pokok biasanya ditanam sebagai pokok hiasan kerana corak daunnya yang menarik dan ia mudah dijaga. Pokok lidah juga mengeluarkan bunga. Bunganya berwarna putih kekuningan, berjambak dengan tangkai yang panjang. Bunga lidah jin berbau harum. Pokok lidah jin boileh dibiakkan melalui pecahan pokok, pemisahan anak, daun atau keratan daun.

Kegunaan

Selain ditanam sebagai pokok hiasan, lidah jin juga mempunyai khasiat perubatan. Daun lidah jin yang dipanaskan dan jusnya dititiskan ke dalam telinga digunakan untuk merawat sakit telinga. Lidah jin juga digunakan sebagai herba untuk mengubati kegatalan. Jusnya dilumur pada bahagian kepala untuk meransang pertumbuhan rambut. Jus dari daun pokok ini digunakan sebagai ubat sakit gigi. Jus yang dihasilkan daripada rizomnya digunakan untuk membunuh kutu.

Monday, March 7, 2011

Asam Batu

Pokok asam batu atau begonia

Nama Botani : Begonia sp.
Famili : Begoniaceae

Pokok asam batu atau lebih dikenali dengan nama begonia merupakan tanaman hiasan daripada divisi Magnoliophyta. Begonia merupakan spesis berbunga dalam famili Begoniaceae. Terdapat lebih 1500 spesis pokok begonia di seluruh dunia. Ianya boleh dibezakan melalui bentuk daun, corak dan warnanya.

Selain ditanam sebagai pokok hiasan, begonia juga mepunyai khasiat perubatan. Ia boleh digunakan untuk mengubati luka kecil kerana pokoknya mengandungi saponin. Ada spesis begonia ini digunakan untuk  menurunkan panas badan. Batang pokok ini mengandung polifenol dan flavonoida. Daun begonia glabra yang segar dibersihkan dan ditumbuk sehinnga lumat digunakan untuk merawat luka kecil. Gunakan daun begonia glabra yang ditumbuk lumat untuk dibalut pada luka. Pokok begonia fimbristipulata pula boleh meredakan demam. Seluruh bahagian pokok dibersihkan dan direbus. Setelah sejuk, air rebusan tersebut ditapis dan diminum. Ia dipercayai dapat menurunkan panas badan akibat demam.