VIP Dedaun Alam

Friday, June 21, 2013

Buah Kantan


Siapa yang pernah atau biasa lihat buah kantan? Pasti ada antara kita jawab ya dan tidak kerana tidak semua spesis kantan yang menghasilkan buah. Ada spesis kantan hanya berbunga tapi bunganya tak menjadi buah. Untuk info, spesis atau jenis kantan boleh dibezakan melalui bentuk dan warna bunganya.

Buah kantan sebenarnya boleh digunakan sebagai bahan masakan sepertimana bunganya juga. Namun penggunaan buah kantan kurang popular berbanding bunganya. Selain digunakan untuk masakan, buah kantan yang masak boleh dimakan segar. Isi buah kantan yang berupa biji-biji kecil mepunyai rasa masam manis dan sedikit pedar. Di sesetangah negeri di Malaysia, isi buah kantan dimakan bersama pencicah/colek.

Buah kantan juga boleh digunakan untuk merawat sakit telinga. Rebus buah kantan dan gunakan air rebusannya sebagai ubat titis ke bahagian dalam telinga untuk mengatasi sakit telinga. Air rebusan buah kantan juga boleh digunakan sebagai pencuci luka kecil.

Tuesday, June 18, 2013

Burung Tuwu


Burung yang nampak seperti burung gagak ini adalah burung tuwu atau asian koel (Eudynamys scolopacea). Saya dah menulis mengenai burung ini dalam entri sebelum ini. Siapa yang belum mengenali burung tuwu, boleh baca infonya di sini. Saya juga ada buat rakaman bunyi burung tuwu yang dimuatnaik ke Youtube.

Wednesday, June 12, 2013

Labu Botol

Buah labu botol yang sedia untuk dituai. Para-para atau dalam bahasa modennya, trellis dibuat menggunakan batang buluh madu.

Selain buah, pucuk labu botol juga boleh dijadikan sayuran sepertimana pucuk labu jenis lain. Ia sedap dimasak lemak putih/kuning.

Labu botol atau nama botaninya, Lagenaria Siceraria tergolong dalam famili Cucurbitaceae iaitu sama dengan  labu biasa, timun dan petola. Labu botol berasal dari benua Afrika dan kini ia banyak ditanam di kawasan bercuaca tropika. Ia juga mampu hidup di negara beriklim sederhana dan sejuk seperti Amerika Syarikat dan Eropah. Pokok labu botol jenis memanjat ditanam menggunakan biji benih. Biji benih yang disemai bercambah dalam tempoh 5 hingga 7 hari. selepas dua minggu, pokok labu botol akan mula memanjat dan pembesaran agak cepat. Ia memanjat menggunakan sulur tendril yang kuat dan sulur ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu satu bahagian lebih panjang daripada yang satu lagi. Daun labu botol jenis ringkas, berselang seli, mempunyai bulu-bulu halus dan berbau. 

Labu botol mula berbunga selepas kira-kira 3 bulan ia ditanam, bunga labu botol keluar pada ketiak daun dan berwarna putih. Kadar pertumbuhan menjadi lambat apabila pokok mula berbunga. Bunga betina lebih banyak daripada bunga jantan sekiranya cuaca sejuk dan berkurangan jika terdapat dua atau lebih buah labu botol dibiarkan matang dan masak. Pokok labu botol akan berterusan mengeluarkan hasil sehingga tujuh bulan. Buah perlu dituai semasa muda untuk menggalakkan penghasilan buah lebih lama. Buah labu botol mempunyai pelbagai bentuk dan saiz. Buah yang tua berkulit keras dan tahan lama. Isinya putih dan lembut. 
kandungan yang terdapat dalam sebiji labu botol adalah 95% air, 3.5% karbohidrat, 0.4% protein, 0.1% lemak, mineral, fosforus, kalsium, Vitamin A, Vitamin B1, Vitamin B2, Vitamin C dan niasin. 

Buah labu botol dimasak sebagai sayuran seperti masak bening, masak lemak putih, masak lemak kuning. dan ia juga boleh digoreng. Biji buah boleh dipanggang dan dimakan sebagai kuaci. Manakala minyak daripada biji labu botol dijadikan sebagai minyak masak. Selain buah, pucuk dan daun muda labu botol boleh dimakan sebagai sayuran. 

Buah yang matang direbus dan air rebusannya dijadikan sirap herba untuk merawat sakit dada. Isinya yang direbus dan diminum air rebusannya dapat menyejukkan badan, melawaskan pembuangan air kecil, mengeluarkan batu karang dari pundi kencing, mengubati sakit perut/usus dan meredakan demam. Cecair daripada buah labu botol disapu pada kepala dan tapak kaki untuk menurunkan suhu badan akibat demam.

Bijinya yang ditumbuk lumat dan ditampal pada gigi atau gusi untuk mengurangkan kesakitan. Bunga dan isi batang labu botol direbus dan diminum sebagai penawar racun. Buah labu botol yang tua dan dikeringkan dijadikan kraftangan, bekas menyimpan air, topi, alatan muzik, kerja seni(lukisan), pelampung dan lain-lain. 

Tuesday, June 4, 2013

Kebun Kecil Tepi Pagar - Varieti Cili Yang Ditanam


Ini adalah antara varieti cili yang saya tanam dalam kebun kecil. Cili yang paling atas adalah cili kulai king. Cili kulai king menghasilkan buah yang banyak dan tempoh berbuah yang agak panjang. Cili kedua adalah cili panjang hijau. Cili ini disemai oleh isteri saya menggunakan biji benih daripada cili yang dibeli di pasar basah untuk masakan. Cili yang ketiga adalah cili solok siam. Cili ini masih terus mengeluarkan hasil tapi tak begitu lebat seperti sebelumnya. Di bawah cili solok siam adalah cili panjang merah. Biji benihnya juga disemai oleh isteri saya menggunakan biji daripada cili dari pasar. Belum sempat masak saya dah tuai cili ini untuk mengelak serangan lalat buah. Cili kecil yang dibawah sekali dalah cili hutan. Cili hutan berbuah dengan lebat, rasanya agak pedas tapi saiznya kecil. Benih asal cili ini sememangnya dibawa balik dari hutan.

Thursday, May 30, 2013

Kebun Kecil Tepi Pagar - Segar Dari Kebun 30/05/13

Dalam bekas ini ada lapan jenis tuaian segar dari kebun kecil. Dapat tak bezakan lapan jenis tuaian tersebut? Salah satunya, tak kelihatan dalam foto kerana bersaiz kecil dan terperosok di bahagian bawah bekas iaitu cili hutan.

Tuaian segar dari kebun kecil dibuat pagi tadi. Hanya ada tiga jenis sayuran baru dalam tuaian kali ini iaitu terung panjang ungu(dah dituai sebelum ini tapi tak diambil fotonya), labu botol(atau labu air?) dan cili hijau/merah panjang. Labu botol merupakan tuaian pertama. Cili Kulai King berterusan memberi hasil yang sangat memuaskan. Cili solok masih berbuah biarpun tak begitu lebat. Terung panjang hijau adalah hasil daripada pokok nan sebatang tapi ia sudah memadai buat penanamnya.

Tuesday, May 28, 2013

Buah Cermai


Cermai tergolong dalam kategori buahan nadir di Malaysia. Jika dulu ia agak mudah ditemui kerana kebanyakan orang menanam pokok cermai tapi kini ia semakin berkurangan dan semakin sukar untuk kita jumpa pokok atau buah cermai. Rasa buahnya yang sangat masam mungkin menjadi punca utama ia dipinggirkan. Sebenarnya buah cermai tidak sesuai dimakan secara segar, ia lebih sedap dimakan bersama pencicah/colek. Buahnya yang matang juga boleh dijadikan jeruk dan halwa. malangnya generasi sekarang kebanyakan tidak berminat dengan makanan tradisional dan pastinya ada antara kita yang belum pernah melihat pokok dan buah cermai ini.

Friday, May 24, 2013

Ulat Gulung


Entri ini dibuat atas permintaan salah seorang pembaca blog Dedaun Alam suatu ketika dulu. Katanya, dia sudah lama tak melihat ulat gulung pada daun pisang. Ini komen pembaca tersebut yang hanya dikenali dengan nama Aza Mars, "jarang jumpa ngan kumbang nih~~jgn la dipupuskannya.. lagi satu aku dh tak pernah tgk katak pisang,kodok ngan ulat yg ada kt daun pisang yg brgulung---kalu ada pn aku jumpa gulungan daun pisang yg brgulung..."

 Ini pula respon saya kepada komen beliau, "Sekarang dah makin sukar untuk jumpa kumbang pengorek lubang ni. Rekabentuk rumah dah banyak guna konkrit dan pasang siling, kumbang nak korek lubang buat sarang dah tak boleh. Terpaksa cari pokok/dahan mati utk teruskan kelangsungan hidupnya. Ulat yang gulung daun pisang tu memang dah lenyap kat tempat saya. Daun pisang yang saya tanam tiada satunya yg digulung oleh ulat. Mungkin rama2 yang bertelur di daun pisang dah berkurangan."

 Dua minggu lepas saya terpandang ada gulungan pada daun pisang yang ditanam. Sahlah ulat gulung masih wujud biarpun tak banyak. Kepada sesiapa yang rindu nak tengok ulat gulung, boleh tengok kat sini ye. Ada tak rakan-rakan maya yang tak pernah lihat ulat gulung ni?