Cermai tergolong dalam kategori buahan nadir di Malaysia. Jika dulu ia agak mudah ditemui kerana kebanyakan orang menanam pokok cermai tapi kini ia semakin berkurangan dan semakin sukar untuk kita jumpa pokok atau buah cermai. Rasa buahnya yang sangat masam mungkin menjadi punca utama ia dipinggirkan. Sebenarnya buah cermai tidak sesuai dimakan secara segar, ia lebih sedap dimakan bersama pencicah/colek. Buahnya yang matang juga boleh dijadikan jeruk dan halwa. malangnya generasi sekarang kebanyakan tidak berminat dengan makanan tradisional dan pastinya ada antara kita yang belum pernah melihat pokok dan buah cermai ini.