VIP Dedaun Alam

Thursday, July 29, 2010

Bonglai Bukit

Pokok bonglai bukit


Nama Botani : Zingiber Cassumunar
Famili : Zingiberaceae

Pengenalan

Pokok bonglai bukit merupakan tumbuhan yang sekeluarga dengan halia dan lengkuas. Ia biasanya tumbuh secara liar di hutan terutama kawasan lembap. Pokok ini mempunyai nama yang hampir sama dengan bonglai atau beka tetapi kedua-dua pokok ini sangat berbeza cirinya.

Kegunaan

Rizom pokok bonglai bukit yang direbus digunakan sebagai herba lepas bersalin. Daunnya yang disalai atas api dan dibalut pada tempat berkenaan dipercayai dapat merawat seliuh dan sakit urat.

Wednesday, July 28, 2010

Ubi Kayu

Pokok ubi kayu yang mempunyai pelbagai manfaat untuk kita.


Nama Botani: Manihot Esculenta
Famili : Euphorbiaceae

Pengenalan

Pokok ubi kayu berasal dari Amerika Selatan. Pokok ubi kayu merupakan tumbuhan berbatang rapuh dan mudah patah. Batangnya berbentuk bulat dan bergerigi yang disebabkan bekas pangkal tangkai daun. Bahagian tengah batangnya mempunyai gabus. Pokok ubi kayu biasanya mencapai ketinggian sehingga 4 meter. Ia mudah ditanam dan penjagaannya juga tidak sukar. Pokok ini boleh ditanam menggunakan keratan batang. Ia tumbuh subur di kawasan yang berketinggian 1200 meter dari aras laut. Daun pokok ubi kayu memiliki tangkai panjang dan setiap tangkai mempunyai daun sekitar 3-8 helai. Kulit batang ubi kayu mengandung tanin, enzim peroksida, glikosida dan kalsium oksalat.

Kegunaan

Pada zaman pemerintahan Jepun di Tanah Melayu, ubi kayu menjadi makanan pilihan setelah bekalan beras sukar diperolehi. Ia juga mnejadi makanan pilihan semasa musim tengkujuh. Ubi kayu boleh direbus, dibakar, digoreng, dijadikan kerepek dan kuih muih tradisional.

Selain ubi yang boleh dimakan, daun dan bahagian pokok ubi kayu juga ada gunanya untuk kita. Untuk merawat reumatik, 5 helai daun ubi kayu dan satu sudu besar kapur sirih ditumbuk sehingga lumat dan ditampal pada tempat berkenaan. Sepotong batang ubi kayu direbus bersama 3 gelas air sehingga mendidih, kemudian ditapis dan diminum dua kali sehari(waktu pagi dan petang) dipercayai dapat meredakan demam. Manakala daunnya yang dilumatkan dan ditampal pada bahagian kepala dapat mengatasi sakit kepala. Air rebusan daun ubi kayu juga dikatakan dapat merawat cirit birit. Pucuk ubi kayu yang dicelur dan dimakan sebagai ulam dapat menambah selera makan. Tangkai daun yang muda ditumbuk halus atau buah ubi kayu yang diparut boleh digunakan untuk luka bernanah.

Kandungan nutrisi bagi ubi dan daun ubi kayu ( per 100 gram ):

Ubi kayu

Kalori 146 kal
Protein 1.2 gram
Lemak 0.3 gram
Kalsium, 33.0 mg
Fosforus, 40.0 mg
Zat besi, 0.7 mg

Daun ubi kayu

Vitamin A, 11000 IU
Vitamin, C 275 mg
Vitamin, B1 0.12 mg
Kalsium, 165 mg
Kalori, 73 kal
Fosforus, 54 mg
Protein, 6.8 gram
Lemak, 1.2 gram
Zat besi, 2 mg

Tuesday, July 27, 2010

Paku Tanduk Rusa

Pokok paku tanduk rusa yang mempunyai daun seperti tanduk rusa


Nama Botani : Platycerium sp.
Famili: Polypodiaceae

Pengenalan

Pokok paku tanduk rusa atau staghorn fern ini merupakan tumbuhan jenis paku pakis yang menumpang di pokok lain. Ia jenis epifit dan melekap pada dahan atau batang pokok besar yang lain. Pokok ini mempunyai daun yang unik bentuknya iaitu menyerupai tanduk rusa. Terdapat lebih daripada 17 spesis paku tanduk rusa di seluruh dunia seperti platycerium bifurcatum(Australia Timur, New Guinea dan New Caledonia), platycerium andinum(Peru dan Bolivia, platycerium alcicorne (Madagascar), Platycerium grande (Australia, Malaysia dan Filipina) dan platycerium conorum(Malaysia). Pokok tanduk rusa lebih menggemari cuaca tropika tetapi mampu bertahan dalam cuaca di bawah paras beku(-9 Celcius). Pokok ini membiak melalui spora dan pecahan anak.

Kegunaan

Daun tanduk rusa ditumbuk bersama sedikit garam dan ditambah segelas air, ditapis dan diminum pada waktu pagi dan petang dipercayai dapat merawat demam. Untuk mengatasi masalah haid yang tidak teratur, daun paku tanduk rusa dicampur dalam air mendidih dan diminum sebelum kedatangan haid. Daun paku tanduk rusa dan sedikit kapur sirih ditumbuk halus dan ditampal pada bisul dapat merawat bisul.

Monday, July 26, 2010

Kuku Garuda

Pokok kuku garuda yang kurang dikenali oleh generasi muda.

Nama Botani : Polyscias filicifolia / fruticosa (L.) Harms.
Famili : Araliaceae

Pengenalan

Pokok kuku garuda juga dikenali dengan nama pokok siku keluang ini dipercayai berasal dari Indonesia. Pokok renek ini mempunyai banyak variasi yang boleh dibezakan dengan bentuk daun. Daun pokok kuku garuda ini mepunyai bentuk tajam dan bergerigi di bahagian tepi daun. Pokok ini banyak ditanam sebagai pokok hiasan. Ia boleh dibiak melalui keratan batang.

Kegunaan

Pucuk dan daun muda pokok kuku garuda ini boleh dimakan sebagai ulaman dan dijadikan bahan masakan. Akar atau daun pokok ini yang direbus dan diminum boleh digunakan untuk melawaskan pembuangan air kecil serta merawat penyakit batu karang. Daun kuku garuda yang dilumatkan dan ditampal pada tempat berkenaan dikatakan dapat merawat sakit saraf dan reumatik. Ia juga boleh digunakan untuk menghentikan pendarahan yang disebabkan oleh luka kecil.

Sunday, July 25, 2010

Rancang Tembaga

Pokok rancang tembaga

Nama Botani : Smilax calophylla Wall.
Famili : Liliaceae

Pengenalan

Pokok rancang tembaga merupakan tumbuhan semulajadi yang terdapat di hutan Malaysia dan Indonesia. Pokok ini mempunyai rizom di dalam tanah. Ketinggian pokok ini biasanya tidak melebihi 1 meter. Ia tumbuh di kawasan tanah rata dan kawasan tanah tinggi. Daun pokok rancang tembaga mempunyai tiga urat daun yang jelas kelihatan. Pokok rancang tembaga mempunyai bunga yang berbentuk jambak dan buahnya dalam bentuk beri(bulat-bulat kecil). Ketika muda buahnya berwarna hijau dan bertukar menjadi merah apabila masak. Pokok ini membiak melalui biji benih, rizom, keratan batang dan pecahan anak.

Kegunaan


Batang, rizom dan akar pokok rancang tembaga direbus bersama-sama dengan akar tongkat ali dan ubi jaga digunakan sebagai afrodisiak dan untuk ibu lepas bersalin. Daun rancang tembaga yang disapukan dengan minyak kelapa dan dilayur di atas api kemudian ditampal pada tempat bengkak dipercayai dapat meredakan bengkak.

Dukung Anak

Pokok dukung anak


Nama botani : Phyllanthus niruri
Famili : Eurphobiaceae

Pengenalan

Pokok dukung anak biasanya tumbuh secara meliar di kawasan rumah, tepi-tepi jalan dan kawasan terbiar. Pokok ini agak lasak kerana mampu hidup dalam apa jua keadaan cuaca dan tempat. Ketinggiannya biasanya tidak melebihi 0.5 meter.

Kegunaan

Seluruh bahagian pokok ini yang direbus dan diminum mampu mengubati cirit-birit dan menurunkan tekanan darah tinggi. Perahan air daripada pokok ini juga digunakan untuk mengubati kudis dan luka. Air perahan daripada pokok dukung anak juga boleh digunakan untuk mengubati luka dan kudis. Titiskan air perahan itu ke bahagian yang luka dan berkudis.

Pokok dukung anak (kira-kira secekak) dimasak dengan sedikit susu kambing dikatakan dapat mencegah bayi daripada dijangkiti penyakit demam kuning dan ia juga boleh merawat penyakit hepatitis.

Friday, July 23, 2010

Petai Belalang

Pokok petai belalang. Buahnya boleh dimakan mentah atau sebagai ulam


Nama Botani : Leucaena leucocephala
Famili : Leguminosae

Pengenalan

Pokok petai belalang sebenarnya berasal dari Mexico. Pokok petai belalang boleh membesar sehingga ketinggan 4 meter. Ia tidak sesuai ditanam di kawasan tanah berpasir dan tidak mempunyai saliran yang baik. Ia mempunyai daun bipinat dan bersaiz kecil. Petai belalang mempunyai buah sperti petai biasa tetapi lebih kecil saiznya. Petai belalang boleh ditanam menggunakan biji benih dan keratan batang.

Kegunaan

Pokok petai belalang boleh digunakan untuk mengubati diabetis. Rebus akarnya dengan menggunakan tiga cawan air. Biarkan air rebusan itu mendidih sehingga tinggal kira-kira secawan. Air rebusan akar tadi boleh diminum sehari sekali. Daun-daun muda petai belalang yang ditumbuk bersama-sama beras dan ditampal pada kerongkong boleh meredakan batuk. Ia juga boleh merawat kudis campak dengan menyapu ke bahagian kulit.

Daun petai belalang juga berkesan untuk mengatasi masalah kelemumur. Daunnya dibakar, ambil abu dan dicampur dengan minyak kelapa, gosok ke bahagian kulit kepala. Bungkus rambut selama sejam dan kemudian bilas menggunakan air bersih. Daun petai belalang direbus bersama tawas boleh mengubati penyakit kayap. Gunakan air rebusan tersebut untuk mandi dan membersihkan badan.

Selain digunakan untuk perubatan tradisional, petai belalang boleh dijadikan sebagai makanan tambahan untuk ternakan kambing. Walaupun kambing amat menyukai daun petai belalang, pemberiannya sebagai makanan tambahan tidak boleh melebihi 30% kerana daun dan batang petai belalang mengandungi mimosin yang boleh menyebabkan keguguran bulu, kehilangan selera makan, pengeluaran air liur berlebihan dan pembesaran kelenjar tiroid.