VIP Dedaun Alam

Sunday, July 15, 2012

Kateh Ayam



Kateh ayam ini adalah makanan tradisional yang mengimbau nostalgia zaman kanak-kanak kerana ia adalah antara juadah minum petang kami sekeluarga. Kateh ayam yang tiada kena mengena dengan ayam ini dibuat daripada ubi keledek yang dipotong bentuk jejari empat segi memanjang seakan makanan ringan terkenal sekarang. Ia wujud lebih awal daripada restoran makanan segera pertama di Malaysia dan di dunia! Jejari ubi keledek ini dicelup dalam adunan tepung campuran (tepung ubi,  kelapa, telur dan lain-lain.) Kateh ayam adalah makanan tradisional rakyat Kelantan sejak lama dulu dan kini ia semakin dilupakan kerana terdapat pelbagai pilihan makanan(yang sihat dan tak sihat). Kateh ayam dalam foto dibuat oleh saya dengan kerjasama isteri tersayang sebagai makanan  minum petang dan untuk memperkenalkan makanan yang kurang dikenali ramai dan semakin dilupakan ini.

Nota : Kateh dalam dialek Kelantan bermaksud bahagian kaki dari paha hingga kaki. Contoh; kateh aye(ayam), kateh belale(belalang), kateh ci-rik(cengkerik) dan sebagainya.

Thursday, July 12, 2012

Peringat


Peringat atau penyengat sedang membina sarang untuk pembiakan koloninya. 

Peringat sebenarnya nama panggilan untuk penyengat di kalangan rakyat Kelantan. Ada satu tempat dinamakan sempena nama serangga berbisa ini iaitu Peringat. Di Kedah, ia dikenali dengan nama temingat. Peringat, penyengat atau temingat ini mempunyai sengat untuk mempertahankan diri apabila terancam atau diancam. Ia akan menyerang atau menyengat jika sarangnya diganggu samada secara sengaja atau tidak. Sengatan serangga sangat menyakitkan tapi tidak membawa maut seperti sengatan tebuan atau lebah. Saya sendiri telah beberapa disengat oleh serangga kecil ini dan sengatan pada bahagian muka akan memberi kesan bengkak yang lebih teruk berbanding bahagian badan lain. Siapa yang pernah disengat oleh serangga kecil ini?

Monday, July 9, 2012

Keladi Bunting

Pokok keladi bunting atau water hyacinth

Keladi bunting atau nama botaninya, Eichornia crassipes merupakan tumbuhan akuatik yang berasal daripada Amerika Selatan. Ia dibawa masuk ke Malaysia sejak lama dulu sebagai pokok hiasan dan kini ia membiak dengan banyak terutamanya di kawasan paya, tasik, lombong dan lain-lain kawasan berair tenang. Keladi bunting hidup secara terapung seperti kiambang dan akar rerambut berfungsi sebagai penyerap nutrien daripada air. Bahagian pangkal batang atau pelepah keladi yang 'bunting' bertindak sebagai pelampung.  Keladi mempunyai bunga yang cantik berwarna ungu atau merah jambu seakan orkid dan keluar mengikut musimnya.

Keladi bunting yang ditanam sebagai pokok hiasan akuatik ini juga boleh dijadikan makanan ternakan dan ikan. Fungsi terpenting keladi bunting ini adalah mengurangkan pencemaran air kerana ia menyerap karbon dioksida dan membebaskan oksigen semasa proses fotosintesis.

Thursday, July 5, 2012

Kiambang



Kiambang atau nama botaninya, Pistia Stratiotes L. merupakan tumbuhan akuatik dalam famili keladi iaitu araceae. Kiambang hidup secara terapung di permukaan air yang tidak mempunyai arus pergerakan mengalir atau tenang seperti tasik, lombong, kolam, paya, parit, taliair dan sawah padi. Ia mempunyai akar rerambut yang berjuntai ke dalam air yang berfungsi sebagai penyerap nutrien. Daun pokok kiambang berbentuk roset iatu seakan bunga mawar atau pokok kobis. Kiambang sebenarnya kaya dengan kalium yang terdiri daripada kalium klorida dan kalium sulfat.

Kiambang yang dijadikan penghias kolam atau tasik ini oleh peminat tumbuhan akuatik mempunyai khasiatnya tersendiri. Mungkin generasi sekarang tidak mengetahui daun kiambang boleh dimasak sebagai makanan. Pokok kiambang juga dijadikan makanan haiwan ternakan. Ia juga dijadikan baja organik kerana mempunyai kandungan kalium.yang tinggi.

Akar pokok kiambang direbus dan diminum untuk melawaskan pembuangan air besar. Daunnya ditumbuk lumat dan ditampal pada tempat berkenaan boleh merawat bengkak, buasir, radang kulit dan ulser. Daun kiambang yang segar digaul bersama nasi panas dan santan kemudian dimakan sebagai penawar disenteri. Air rebusan daun kiambang diminum untuk meredakan batuk berdarah dan merwat diabetes. Air rebusan yang digunakan sebagai mandian dikatakan mampu untuk mengurangkan masalah kembung perut. Daun kiambang dibakar dan gunakan abu untuk merawat penyakit kurap.

Seluruh bahagian pokok kiambang direbus dan diminum untuk mengubati disenteri dan sakit semasa buang air kecil. Ia juga boleh merangsang haid dan melawaskan pembuangan air kecil.

Kiambang menjadi inspirasi penulis lirik lagu Kembara (Dato' M.Nasir).

Kiambang
Kau kembang di pinggir kali
Ungu warnamu berseri
Walaupun baumu tak seharum mawar
Namun kau masih tetap menawan

Kiambang
Bayangmu di air tenang
Mencerminkan wajah keriangan
Walaupun hidupmu dalam kesepian
Hanya berteman cahaya rembulan

Nasibmu kiambang di pinggir kali
Sedang kau mekar menghiasi desa
Kemarau panjang pun tiba
Keringlah dikau dalam dahaga.

Wednesday, July 4, 2012

Cek Mek Molek

Kuih cek mek molek

Sambil mata memandang skrin tv menonton perlawanan bolasepak Liga Super antara Negeri Sembilan vs. Kelantan, tangan sibuk menguli adunan cek mek molek. Cek mek molek dalam foto adalah hasil tangan saya sendiri. Ubi keledek atau nama manjanya bagi orang Kelantan, ubi stello dibeli segar dari ladang. Tuan kebun baru gali terus beli dengan harga jauh lebih murah berbanding di pasar. Saya menggunakan dua ketul ubi keledek yang bersaiz besar. Ubi keledek direbus sehingga masak(empuk). Sejukkan dan lecek/lenyek sehingga lumat. Masukkan tepung gandum sedikit, uli adunan. Tambah tepung gandum sedkit demi sedikit sehingga adunan menjadi doh. Bentukkan bulat sebesar bola golf, tekan pada bahagian tengah untuk masukkan gula mengikut citarasa. Kemudian bentukkan seperti bola ragbi dan digoreng. Cek mek molek yang tak berapa nak molek hasil tangan yang  pertama dah sedia untuk dimakan.

Nota : Kelantan menang 3-2 ke atas Negeri Sembilan, cek mek molek jadi sarapan pagi tadi.

Thursday, June 28, 2012

Locong

Locong biasanya dibuat dengan pelbagai bentuk dan warna.

Locong adalah salah satu makanan tradisional Kelantan yang akan dicari oleh penggemar dan peminatnya. Nama locong popular dan jadi sebutan ramai ketika bulan puasa kerana ia biasanya dijual dalam bulan Ramadhan sebagai makanan berbuka puasa. Locong dijual dalam bungkusan plastik. Bagi penggemarnya, ada beberapa cara untuk menikmati makanan pencuci mulut ini iaitu menuangkan santan yang dimasak dan dicampurkan air gula melaka/gula merah(seperti kuah cendol). Cara kedua, tuangkan susu pekat manis dan sedikit air masak, kacau rata dan boleh dimakan. Cara ketiga iaitu cara paling mudah, campurkan air gula ke bekas yang diisikan dengan locong dan nikmatinya. Rasanya yang kenyal dan sejuk sangat menyegarkan ketika berbuka.

Monday, June 25, 2012

Kuih Buah Tanjung

Kuih buah tanjung

Ramadhan semakin dekat dan bila tiba bulan puasa, kuih buah tanjung menjadi satu kemestian dan kuih yang mesti ada ketika itu. Kuih buah tanjung merupakan kuih tradisional yang berasal dari Kelantan. Biasanya kuih ini hanya dijual dengan banyak dalam bulan Ramadhan sebagai juadah berbuka puasa. Kuih ini tidak dimakan sebagai juadah atau kudapan tapi sebagai pencuci mulut kerana rasanya yang sangat manis. Kuih tradisional ini dibuat dengan bahan-bahan yang mudah namun cara untuk membuatnya memerlukan sentuhan seni dan kesabaran. Acuan tidak digunakan untuk membentuk seperti buah tanjung, hanya sentuhan tiga jari menjadikan bentuk dan saiz kuih ini. Bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat kuih buah tanjung ialah tepung beras, tepung pulut, kuning telur itik, gula, daun pandan, air dan bunga cengkih. Tepung pulut, tepung beras yang digoreng tanpa minyak dan kuning telur itik(dipukul hingga kembang) diadun dan diuli hingga menjadi doh yang lembut. Guna tiga jari untuk membuat bentuk dan saiz seakan buah tanjung. Kerja membentuk perlukan kesabaran kerana ia perlu dibuat satu demi satu sehingga doh habis. Setelah siap dibentuk, kuih ini dimasak dalam air yang dicampur gula, bunga cengkih dan daun pandan sehingga masak.